Hidayah Ibu Tunggal Peluk Islam
oleh : SRZ
KUALA LUMPUR, 20 JULAI 2023 – Hati seorang ibu tunggal yang lama terpendam untuk memeluk agama Islam telah tertunai selepas beliau mengucapkan dua kalimah syahadah di Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan pagi tadi.
Aisyah Dewi atau nama Islamnya, Aisyah Dewi Pallaniappan memeluk Islam di hadapan Pembantu Pegawai Unit Pembangunan Dakwah dan Operasi PERKIM Kebangsaan, Ustaz Haji Amran Anbarasu Abdullah.
Menurut Aisyah Dewi, hatinya bertambah tenang, gembira dan bersyukur selepas mengikrarkan dua kalimah syahadah di dalam Bahasa Arab diikuti pula dalam Bahasa Tamil.
Aisyah Dewi berketurunan India berkata, hanya agama Islam sahaja jalan atau cara kehidupan yang sebenar.
Beliau yang mempunyai seorang anak berusia 26 itu berkata, penghijrahan beliau ke agama Islam merupakan satu keputusan yang telah lama difikirkan secara mendalam.
Beliau nekad memeluk Islam selepas pemergian ibunya beberapa bulan lalu kerana beliau merasakan telah hilang arah dan tujuan hidupnya.
Aisyah Dewi yang berasal dari Johor hadir ke PERKIM Kebangsaan dibantu oleh rakannya, Muhammad Najiy Abdullah yang juga merupakan seorang saudara baharu.
Dalam penghijrahannya itu, beliau berazam untuk mempelajari dan mendalami agama Islam dengan mengikuti Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) yang diadakan pada setiap hari.
Tambahnya, beliau tidak sabar untuk berkongsi ceritanya kepada rakan-rakan Muslimnya mengenai kegembiraannya memeluk Islam di Awal Muharam kerana mereka sering menganggap sifat Aisyah Dewi yang selalu bergurau senda.
Selain ingin mempelajari Islam dengan bersungguh-sungguh, beliau juga berhasrat ingin menghulurkan pertolongan seperti mana yang telah diajar oleh Islam.
Amran turut memberikan panduan penerangan memeluk agama Islam kepada Aisyah Dewi iaitu dengan memberi pengertian Rukun Iman, Rukun Islam, tugas dan kewajipan sebagai seorang Islam.
Selain itu, Amran memberi penerangan mengenai tanggungjawab terhadap keluarga bukan Islam serta larangan menyembah selain Allah dan larangan membuat perkara yang ditegah dalam Islam kepada Aisyah Dewi.
Selepas merekodkan pendaftaran pengislaman, Amran menyampaikan beg Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengandungi kit pengislaman seperti al-Quran, buku Iqra’, buku Asas Fardu Ain, sejadah, telekung dan lain-lain kepada Aisyah Dewi.
Amran memberi penerangan mengenai pengislaman kepada Aisyah Dewi.
Aisyah Dewi hadir bersama kenalannya, Muhammad Najiy di Ibu Pejabat PERKIM.
Aisyah melafazkan dua kalimah syahadah dalam Bahasa Arab disusuli dengan Bahasa Tamil.
Muhammad Najiy menandatangani sebagai saksi pada borang pengislaman.
Amran menyampaikan beg MAIS yang mengandungi kit pengislaman kepada Aisyah Dewi.