Raih Malam Seribu Bulan Dengan Ibadah Tadarus

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
Nuzul al-Quran bermaksud diturunkan al-Quran pada malam lailatul qadar yang penuh dengan keberkatan iaitu berdasarkan firmah Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah, ayat 185 bermaksud: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah,” kata Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.
Beliau berucap ketika menyampaikan ucapan perasmian di Majlis Tadarus Al-Quran Saudara Muslim sempena Sambutan Nuzul Quran 1439H bertempat di Surau Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur pada 2 Jun 2018 lalu.
Program anjuran PERKIM Kebangsaan itu menghimpunkan lebih 200 peserta terdiri daripada kalangan Saudara Muslim berketurunan Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan, serta warga dari negara Indonesia, Thailand, Filipina, Nigeria dan kaum Melayu turut tidak ketinggalan menyertainya.
“Tidak sesiapa pun tahu bilakah malam lailatul qadar kerana malam diturunkan al-Quran itu boleh berlaku pada bila-bila masa dari awal hingga akhir Ramadan,” ujar Dr. Yusof Noor.
“Sama ada sudah terlepas atau pun tidak, diharap kita dapat bersua dengan malam tersebut dan sekiranya belum lagi kita mendoakan diketemukan pada malam yang lebih baik dari 1,000 bulan.
Ia bersandarkan hadis Riwayat Bukhari & Muslim di mana Rasulullah SAW turut memberi petunjuk yang lebih terperinci untuk kita mencari lailatul qadar sebagaimana di dalam sabda baginda SAW: “Carilah malam Al-Qadar pada malam ganjil di sepuluh malam terakhir bulan Ramadan.”
Menurut Dr. Yusof Noor, kalau kita beribadat dan melaksanakan dari awal hingga akhir Ramadan pasti kita akan ditemukan pada malam al-Qadar.
Warga PERKIM bertuah kerana Yang DiPertua PERKIM, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi telah ditabalkan menjadi Perdana Menteri Malaysia dan setinggi-tinggi tahniah diucapkan.
Kita doakan mudah-mudahan beliau dapat melaksanakan tugasan negara di dalam pentadbiran Malaysia baharu dan diharap PERKIM terus gemilang di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir.
Pingat yang dikejar Tun Dr. Mahathir ialah pingat KSM yang tidak terdapat di mana-mana negara iaitu membawa maksud ‘kerja sampai mati’.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua peserta dan saya dengar bacaan tadarus mereka adalah baik serta sekiranya hendak memperbaiki bacaan al-Quran kita mestilah mendengar dan merujuk kepada pakar al-Quran,” ujarnya.
Dr. Yusof Noor berkesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua peserta dan berpesan supaya tidak boros ketika berbelanja dan mengamalkan konsep kesederhanaan.
Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Datuk Haji Hasbullah L. Isa.
Peserta tadarus dibahagikan kepada 15 kumpulan diketuai oleh munabbih untuk memperbetulkan bacaan peserta dari segi huruf, makhraj dan tajwid.
Setiap peserta diberi peluang untuk membaca beberapa helai muka surat sekaligus mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran di majlis tersebut.
Dr. Yusof Noor turut menyampaikan cenderamata seperti sejadah, kain pelikat, telekung, kurma dan sumbangan saguhati kepada munabbih.
Beliau turut mengajak peserta menyumbang selepas melancarkan Tabung Harapan Malaysia bagi menyahut seruan Perdana Menteri untuk membantu memulihkan kewangan negara.
Selain itu, peserta berpeluang berbuka puasa, menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih bersama qari jemputan dari Mesir, Al-Qari Sayyid Amru Jumaah Abduh.
Sepanjang bulan Ramadan, PERKIM turut menganjurkan ceramah Ramadan, majlis berbuka puasa, solat sunat tarawih dan jamuan moreh di Bangunan PERKIM bersama Saudara Muslim.
Seorang demi seorang saudara baru bertadarus al-Quran secara bergilir-gilir sambil diperhatikan bacaan mereka oleh munabbih.
Datuk Hasbullah (berjubah putih) mengetuai kumpulan tadarus sebagai munabbih.
Jais (berbatik ungu) selaku munabbih memperbetulkan bacaan mualaf dari segi huruf, tajwid dan makhraj.
Saudara baru berbilang bangsa menghidupkan ibadah tadarus al-Quran.
Sulaiman Ding (Al-Quran berrehal) membaca al-Quran bersama-sama saudara baru.
Peserta tadarus Melayu turut dibimbing oleh Ustaz Yus Ondri (kiri).
Dr. Yusof Noor (tengah) berkesempatan menyertai bacaan tadarus al-Quran bersama-sama peserta.
Mualaf dari negara Nigeria turut mengalunkan bacaan al-Quran dihadapan munabbih.
Dr. Yusof Noor menyampaikan ucapan dan amanat kepada peserta tadarus.
Dr. Yusof Noor (tengah) menyampaikan cenderahati kepada munabbih, Sulaiman Ding.
Qari jemputan dari Mesir, Al-Qari Sayyid Amru Jumaah Abduh mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran iaitu surah Taha, Al-Naba’ dan Al-Qadr.
Dr. Yusof Noor (kiri) memasukkan sejumlah wang ke dalam tabung tanda pelancaran Tabung Harapan Malaysia bagi menyahut sokongan dan bantuan kepada kerajaan.
Peserta tadarus berkesempatan memasukkan wang ke dalam Tabung Harapan Malaysia.
Al-Qari Sayyid Amru Jumaah Abduh memimpin solat Maghrib, Isyak dan tarawih.