Aktiviti Dakwah

Pendakwah PERKIM Timba Ilmu Tangkis Fahaman Ateis, Murtad

oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

“Satu fahaman yang menolak akan kewujudan Allah telah membimbangkan sejak akhir-akhir ini di mana majoriti daripada mereka terdiri daripada anak-anak muda dan remaja yang tidak mempercayai kewujudan tuhan atau disebut sebagai ateis,” kata Tuan Haji Mamat Che Chik.


“Ia merupakan pemikiran dan corak kehidupan remaja masa kini yang lebih menjurus kepada konsep universal iaitu bebas daripada ikatan budaya atau tradisi kaum dan agama. Malangnya ini juga adalah musibah kepada umat Islam di Malaysia sekiranya semakin berkembang dari sudut kekuatan pengaruh.

Menyedari fenomena tersebut, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menganjurkan Bengkel Dakwah Kepada Ateis dan Murtad bertempat di Sani Hotel, Kuala Lumpur pada 27 hingga 29 April 2018 lalu.

Bengkel berjaya menghimpunkan seramai 60 pendakwah terdiri daripada kakitangan PERKIM Bahagian Negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sarawak, saudara Muslim berketurunan Cina, India, Bidayuh, Iban, Kadazan dan Dusun serta mahasiswa Kelab Perkim Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak).

“PERKIM memandang serius dan mengambil tindakan dengan melaksanakan bengkel bagi membendung penularan fahaman ateis dan memastikan doktrin berkenaan tidak berleluasa di negara ini sehingga di luar kawalan,” kata Haji Mamat selaku Pengarah Unit Perancangan, Penyelerasan dan Pelaksanaan Perkim.

Katanya lagi, jika dibiarkan adalah tidak mustahil ia akan menjadi barah pada suatu masa nanti dan pastinya bakal mendatangkan malapetaka yang besar terhadap pegangan akidah umat Islam di negara ini.

Pemikiran yang keliru, celaru, menjalani kehidupan bebas, kurang pendidikan agama dan perhatian keluarga atau sikap ibu bapa yang tidak menerapkan akhlak dan moral merupakan punca lahirnya fahaman ateis. Akhirnya golongan ini memilih untuk meninggalkan pegangan agama sekaligus menambah bilangan golongan murtad.

Bengkel tersebut diadakan bertujuan melengkapkan diri pendakwah dengan ilmu bagi memantapkan keyakinan serta persediaan berhadapan dengan golongan ateis  dan murtad terhadap kebenaran Islam.

Ia dapat menimbulkan kesedaran dakwah kepada orang bukan Islam dan sesama Islam sekaligus memberikan pendedahan ilmu asas perbandingan agama dan cara berdakwah.

“Pendakwah berpeluang mendalami teknik, strategi dan kemahiran berdakwah kepada golongan belum Islam, ateis, murtad, misionari Kristian, mualaf serta sesama orang Islam,” tambah Haji Mamat.

Program sebelumnya, PERKIM telah melaksanakan lima siri program dakwah jalanan di zon utara, selatan, pantai timur dan zon tengah dengan meletakkan pendakwah Perkim dan Kelab Perkim Universiti di barisan hadapan dalam gerakan dakwah kepada bukan Islam.

Beliau berharap bengkel tersebut bukan sahaja dapat melahirkan ramai pendakwah yang efektif dan efisyen malah membanteras gejala serta musibah itu dengan cara yang berhikmah dan berkesan.

Tegas Mamat, semua pihak perlu mengambil peranan serta berganding bahu antara satu sama lain dan tidak perlu menuding jari atau saling menyalahkan kepada mereka yang terlibat dengan kumpulan tersebut tetapi membawa mereka kembali kepada ajaran akidah Islam yang sebenar.

Bengkel tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh konsultan dan pakar Yayasan Maklumat dan Khidmat Islamik (IIS), Mas Yuri Mahyiddin.

Mas Yuri menyampaikan 13 slot sepanjang bengkel tersebut iaitu Daie Moden: Amanah dan Cabaran; Ateis dan Murtad: Punca; Skil Dakwah: Ateis dan Murtad; Skil Dakwah: Sesama Islam; Skil Dakwah: Bukan Islam; Skil Dakwah: Misionari; Teknik dan Strategi: 19 Situasi; Dai dan Akhlak: Misi Utama; Latihan: Tajuk dan Isi; Latihan: Skrip dan Dialog serta Latihan: Susunan dan Strategi.

Beliau turut menyusun strategi khas dan skil dakwah kepada para daie bagi mematahkan hujah golongan tersebut memandangkan telah berleluasa tertubuhnya pasukan kumpulan mereka di media sosial seperti di facebook, twitter dan Instagram.


Majlis diserikan lagi dengan ucapan perasmian Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah.

Fitri dalam ucapannya turut mengucapkan penghargaan dan tahniah kerana mengadakan program khusus kepada pendakwah untuk berhadapan dengan golongan tersebut dengan bantuan dan kepakaran IIS.

“Isu tersebut dipandang serius dan saya secara peribadi terlibat dengan isu murtad lebih 15 tahun bermula sebagai perunding cara di Jabatan Mufti Negeri Sembilan yang memberikan khidmat kaunseling bagi kes permohonan keluar dari agama Islam,” ujarnya.

Beliau turut dilantik sebagai penasihat akidah di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bagi menangani kes murtad.

Fitri yang juga merupakan Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Selangor berkata, murtad boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu murtad di kalangan mualaf, anak mualaf dan Islam asal.

Kita sebagai pendakwah perlu berhadapan dan membantu golongan tersebut kembali kepada Islam dengan cara bil hikmah.

Kalau kita hendak luaskan skop dakwah, kita kena latih lebih ramai lagi daie kerana banyak program, bengkel, seminar dan forum PERKIM yang dihadiri oleh ribuan peserta di seluruh negara tidak diundang untuk menjadi ahli PERKIM.

“Kita latih mereka dakwah tetapi kita gagal ikat mereka bersama Perkim,” kata Fitri yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Dakwah PERKIM Kebangsaan.

Kalau di Selangor, kita banyak laksanakan program dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Bila selesainya mana-mana kursus, saya ambil peluang untuk mengedar borang keahlian Perkim untuk mereka menyertai PERKIM.

Bercakap mengenai dakwah, kita kena ada visi dan misi. Hari ini dakwah perlu proaktif dan tidak boleh buat macam cara dahulu.

Jelas Fitri lagi, PERKIM merupakan satu pusat perniagaan yang menjana ganjarannya untuk akhirat sepertimana memetik firman Allah dalam surah As-Saf, ayat 10 dan 11 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang pedih? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya serta kamu berjuang di jalan Allah dengan harta benda dan jiwa raga kamu, yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu  mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

Selain itu, diadakan sesi soal jawab, kuiz, dan latihan dalam kumpulan mengenai murtad dan ateis kepada peserta.

Fitri turut menyampaikan sijil penyertaan kepada setiap peserta di akhir majlis.

 


Antara pendakwah yang menyertai program Bengkel Dakwah Kepada Aties dan Murtad baru-baru ini.

 


Muhammad Jais membacakan doa pembukaan di awal bengkel.

 


Farhan Tee mengemudikan majlis dengan tersusun dan teratur.

 


Tuan Haji Mamat berucap ketika menyampaikan ucapan aluan di majlis tersebut.

 


Antara pendakwah PERKIM yang menyertai program.

 


Amanat dan nasihat disampaikan kepada pendakwah untuk dijadikan panduan.

 


Mas Yuri membentangkan 13 slot pengisian Aties dan Murtad kepada pendakwah sepanjang 3 hari berlangsung.


Pendakwah mengambil input yang diberikan oleh pembentang.

 


Turut diadakan kuiz kepada pendakwah.

 


Pendakwah berbincang secara berkumpulan mengenai cara menangkis golongan ateis dan murtad.

 


Pendakwah bersama-sama melontarkan buah fikiran dalam sesi latihan dalam kumpulan.

 


Kesepakatan ahli kumpulan bersetuju menerima idea-idea yang diberikan untuk dibentangkan.

 


Pendakwah membentangkan hasil idea daripada perbincangan dalam kumpulan.

 


Ustaz Fitri berkongsi kisah pembabitan beliau dalam usaha dakwah dan kaunseling golongan murtad.

 


Fitri (kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada Firdaus (kiri) sambil disaksikan oleh Mamat (tengah).

 


60 pendakwah bersama tetamu kehormat bergambar kenang-kenangan di akhir bengkel tersebut.

Related Articles

Back to top button