Multaqa Da’i Saudara Muslim PERKIM Kebangsaan SeMalaysia

oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
“Inilah masanya untuk kita semua para pendakwah berhimpun, bertukar pendapat dan pandangan dengan memastikan niat utama halatuju kita dalam menyebar luaskan dakwah dan kebajikan,” kata Naib Yang DiPertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim.
“Kita mestilah tunjukkan kebenaran Islam yang sebenar kerana golongan anti Islam sentiasa mempunyai agenda untuk menampakkan Islam itu keji, kejam dan pengganas sehingga mempengaruhi persepsi masyarakat,” ujarnya.
Dr. Shahidan berkata ketika menyampaikan ucapan perasmian Multaqa Da’i Saudara Muslim PERKIM Kebangsaan SeMalaysia bertempat di Holiday Villa, Kota Bharu, Kelantan pada 18 hingga 20 Julai 2019 lalu.
Program yang mendapat sokongan dari Kerajaan Negeri Kelantan itu menghimpunkan 84 pendakwah di kalangan mualaf dari pelbagai bangsa iaitu Cina, India, Iban, Kadazan, Murut dan Orang Asli dari seluruh Malaysia bagi merapatkan ukhuwah di kalangan mereka serta saling kenal mengenal antara satu sama lain.
Turut hadir ialah pimpinan PERKIM, Penolong Setiausaha Agung Kehormat, Datuk Hasbullah L. Isa; Timbalan Pengerusi Tetap, Wan Abdul Halim Wan Ismail; Pengarah Unit Pembangunan dan Aset, Dato’ Ahmad Mustafa; Setiausaha Kelantan, Mohamed Nazir Che Ibrahim; Pengetua Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP), Che Ahmed Che Mahmood; Ketua Pelapor Multaqa, Dr. Johari Yap Abdullah dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kota Bharu, YM Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf.
Dr. Shahidan memesan supaya pendakwah menyelami nasihat Saidina Umar al-Khattab yang menegaskan rakyatnya supaya sentiasa bersyukur dengan kurniaan nikmat Allah SWT berikan. Khalifah tersebut menyampaikan ucapannya ketika kemenangan Islam menawan Baitul Maqdis.
Tambahnya, jika kita enggan bersyukur, Allah SWT akan menarik segala nikmat pemberian dan azab siksa-Nya amatlah pedih.
“Islam adalah agama nasihat, tugas kita adalah ingin memperkenalkan keindahan agama Islam serta melupuskan pandangan negatif terhadap agama ini,” ujar Dr. Shahidan.
“Orang ramai akan lebih mudah untuk menerima nasihat secara baik dan berhikmah berbanding dengan cara kekerasan.
“Ini adalah cabaran untuk kita sebagai pendakwah kerana Allah SWT telah memberi peluang untuk kita melakukan pahala di atas amanah ini dan kita harus terima ini sebagai satu nikmat.
Persidangan yang berteraskan ‘Islam itu nasihat’ seharusnya mengetepikan pemikiran yang berpecah belah dan menjadikan kepelbagaian yang ada untuk diraikan bersama.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor dalam ucapannya berkata, ia merupakan satu program yang unik dan khusus diinisiatifkan oleh Dato’ Seri Dr Shahiddan Kassim yang mencari sumbangan sendiri.
Dr. Yusof Noor turut menekankan pendakwah tiga ciri utama pendakwah iaitu menyeru kepada Allah (berdakwah), melakukan amalan yang baik dan mengakui dirinya Islam sambil memetik firman Allah dalam surah Fussilat, ayat 33 bermaksud: “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh, dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?”
Jelasnya, PERKIM merupakan salah satu organisasi yang berjaya dan pertubuhan yang unik dalam negara dalam memberi banyak sumbangan kepada masyarakat tanpa mengira kaum serta agama.
PERKIM pernah dinobatkan Anugerah Dakwah Negara pada tahun 2015 oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di atas pengiktirafan dan penghargaan ke arah kelangsungan gerakan dakwah di Malaysia.
Tambahnya, anugerah yang diberikan adalah sangat penting dan dalam masa yang sama hadir perasaan bimbang tentang masa depan PERKIM sekiranya PERKIM tidak mengambil kira apakah peranan sebenar dalam konteks menyatu padukan ummah tanpa mengira kaum dan agama di samping dalam menyebarkan Islam.
Diharap ia menjadi program tahunan dalam memperkasakan tugas pendakwah dengan pendekatan Islam ‘Rahmatan Lil Alamin.
Forum Perdana bertajuk ‘Apakah Peranan yang Berkesan dan Keperibadian Dai Saudara Muslim PERKIM’ dipengerusikan oleh Mohd. Taufik Tee Abdullah manakala barisan ahli panelnya ialah Pengasas Misi As-Syahadah, Mohd. Fadli Yusof; Pengerusi Pusat Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI), Kamarudin Abdullah dan Presiden Pertubuhan Al-Khaadem, Hussain Yee Abdullah.
Mohd. Fadli yang berpengalaman mengislamkan seramai 904 orang saudara baharu majoritinya dari pedalaman Sabah turut menekankan peserta kaedah berdakwah melalui hadis daripada Riwayat Ibnu Majah yang bermaksud: Dari Abdullah bin Salam, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Wahai manusia, tebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah tali silaturahim, solatlah di malam hari ketika manusia terlelap tidur, nescaya kalian akan masuk syurga dengan selamat.”
Kamarudin menggesa pendakwah supaya berusaha bersungguh-sungguh dalam mempertahankan agama Islam seperti mana firman Allah dalam surah Muhammad, ayat 7 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”
Hussain pula mengajak pendakwah menghayati surah an-Nahl, ayat 125 bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.”
Taklimat multaqa sepanjang tiga hari diketuai oleh Pengarah Pentadbiran dan Program PERKIM Kebangsaan, Mamat Che Chik.
Da’i di kalangan saudara baharu bukan sekadar diberi hidayah tetapi Allah SWT menaikkan darjat mereka untuk menjadi pendakwah dengan membimbing dan berdakwah di kalangan masyarakat mereka sendiri.
Jelas Mamat, tiga konsep asas bagi membina personaliti seorang da’i ialah menjadi contoh teladan dalam akhlak atau percakapan; setiap Muslim perlu berdakwah dan kejayaan tidak boleh diukur dengan kuantiti tetapi kualiti dan perlu menggunakan metodologi dakwah yang berkesan.
Secara tidak langsung, ia menyatukan pendakwah dengan wahdatul fikir dan wahdatuh ummah serta mengelakkan berlakunya perbezaan pendekatan dan fahaman atau fikrah yang berbeza.
Ia juga membincangkan kaedah dakwah berkesan yang akan digerakkan sendiri oleh pendakwah-pendakwah dari pelbagai bangsa dan kaum.
Ia juga sebagai pentas percambahan idea dan fikiran di kalangan pendakwah serta mewujudkan penyelarasan dalam urusan kerja-kerja dakwah yang lebih berkesan.
Melalui beberapa ceramah, dialog dan bengkel, ia dapat mengenalpasti kelemahan dalam usaha dakwah yang dilakukan selama ini dan mengenalpasti halangan pendakwah serta cara mengatasinya.
Sesi pembentangan ‘Menangani Gejala Murtad’ disampaikan oleh Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan, Dr. Suariza Hidayah Muhammad.
Suariza memulakan sesi pembentangannya dengan memetik firman Allah surah Ali Imran, ayat 144 yang bermaksud: “Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka dia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).”
Jelas Suariza, Islam mengketegorikan murtad adalah satu kesalahan jenayah di mana antara penyebab permohonan tersebut berlaku kerana kehancuran rumah tangga, tiada bimbingan ajaran Islam dan tiada tempat bergantung setelah memeluk Islam.
Peserta turut diberi pendedahan mengenai hukum hudud, qisas, takzir, undang-undang murtad, al-Hikmah, pendekatan dakwah dan menangani murtad.
Islam menganjurkan istitabah (memohon taubat) atau menganjurkan taubat kepada golongan murtad dan golongan yang melakukan dosa kerana taubat merupakan langkah pertama serta inisiatif awal untuk kembali mencari reda Allah SWT.
Pihak berkuasa, badan bukan kerajaan dan masyarakat perlu berganding bahu memberikan pemantauan yang ketat terhadap gejala murtad dengan memperbanyakkan program agama, bengkel pemantapan akidah, khidmat nasihat supaya mereka tidak tersasar dari akidah Islam.
Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM), Firdaus Wong Wai Hung turut berkongsi bersama peserta dalam sesi ‘Kembara Dakwah dan Kejayaan Gerakan Dakwah Di Luar Negara’.
Firdaus menggesa para pendakwah supaya memberi khidmat dan usaha dakwah ke negara minoriti Islam dan bukan di negara majoriti Islam kerana kita kekurangan orang yang sanggup berkorban demi agama.
Beliau turut berkongsi pengalaman berdakwah di Uganda, Afrika, Zimbabwe di mana cabaran berdakwah bukan mudah berbanding di Malaysia.
Uganda merupakan antara 20 negara termiskin di dunia dan 12 peratus daripada penduduknya adalah Muslim dan 84 peratus adalah penganut agama Kristian manakala Zimbabwe mempunyai satu peratus penganut Islam.
Menurut kajian, masyarakat Uganda adalah masyarakat termesra di dunia walaupun berbeza agama mereka tetap menyapa tetamu yang datang ke negara mereka.
Afrika adalah benua yang mempunyai bilangan minoriti Muslim berbanding negara lain dan penduduknya mahir berbahasa Inggeris dan Arab.
Firdaus meminta pendakwah menghentikan perjuangan jika terdapat di kalangan mereka meminta orang lain berjuang seperti para sahabat Nabi Muhammad SAW iaitu Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Uthman Affan dan Saidina Ali Abi Talib tetapi diri sendiri tidak memulakan.
Jelasnya, realiti sekarang ramai di antara mereka hanya bekerja sedikit tetapi mahukan ganjaran yang besar dan tidak sanggup meluangkan masa berdakwah ke jalan Allah jika tiada ganjaran.
Lebih amat memalukan lagi, ada di antara mereka yang bertanyakan tentang berapa jumlah ganjaran yang akan diperolehi jika dapat melaksanakan sesuatu.
Di negara minoriti Islam, mereka mungkin miskin dari sudut harta benda, mereka tidak minta duit bahkan mereka hanya meminta untuk mendoakan mereka.
Firdaus mengajak peserta bersama-sama membuat kerja dakwah semata-mata kerana Allah dan bukan mengharapkan balasan dari manusia kerana jika kita bantu agama Allah, pasti Allah akan terus membantu kita.
Peserta dibahagikan empat kumpulan dan diberikan tugasan pembentangan bertajuk ‘Kriteria Da’i’, ‘Dakwah Kepada Non-Muslim’, ‘Menangani Golongan Murtad’ dan ‘Wanita Dalam Dakwah’.
Konsep KSAP perlu ada pada setiap pendakwah iaitu ilmu, kemahiran, akhlak dan praktikal serta melakukan gerak kerja secara berkumpulan sekali gus mengadaptasikan konsep SWOT iaitu kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman kepada pendakwah.
Bendahari Kehormat PERKIM, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim berpendapat program tersebut memberi manfaat kepada pendakwah sekali gus mempertingkatkan lagi kualiti dan ilmu.
PERKIM perlu menganjurkan program seumpama ini dengan lebih kerap dan berterusan bagi melahirkan pendakwah yang berjaya dan turun ke lapangan.
Dr. Muhammad Rais turut mempelawa Kerajaan Negeri Kelantan bersama dalam membangun semula fasiliti dan bangunan asrama IDIP, Pengkalan Chepa, Kelantan yang terlalu daif.
Jelasnya, IDIP merupakan antara institusi kelahiran para duat yang telah berjasa kepada agama, bangsa dan negara seperti Pengarah Pusat Penyelidikan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Dr. Mohd. Farid Ravi Abdullah; Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Athiroh Masya’il Tan Abdullah; Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM, Muhammad Jais Mariappan Abdullah dan lain-lain lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti, Dato’ Panglima Perang Mohd. Nassuruddin Daud dalam ucapan perasmian penutup berkata, program perlu diadakan untuk mempertingkatkan dakwah dan mengetahui kaedah bagi menarik orang yang masih belum Islam serta orang Islam yang kurang mengamalkan Islam.
“Apabila kita Mukmin, secara tidak langsung kita bersaudara dan saya merasa bangga kerana mempunyai saudara dari pelbagai kaum kerana Islam begitu indah,” katanya.
Nassuruddin berucap bagi mewakili Menteri Besar Kelantan merangkap Pengerusi PERKIM Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob yang tidak dapat hadir kerana menghadiri urusan kerajaan negeri.
Jelasnya, golongan mualaf merupakan golongan yang wajib diberi perhatian sehingga dalam al-Quran ada menyebut tentang mualaf ini berhak menerima zakat.
“Islam wajib disebarkan seperti mana dalam al-Quran ada menyebut berdakwahlah secara berhikmah dan teladan yang baik.
“Kelantan dikenali sebagai Serambi Mekah kerana suatu ketika dahulu ramai ulama berada di Kelantan dan mereka yang tidak mampu untuk belajar di Mekah, mereka akan datang ke Kelantan untuk belajar dan berjaya menjadi ulama yang hebat,” kata Nassuruddin.
Beliau turut memetik hadis Riwayat Bukhari bermaksud: “seseorang yang mendapat hidayah Allah melalui engkau, maka hal itu lebih baik bagimu dari seekor unta merah.”
“Islam akan menghapuskan segala dosa yang dilakukan oleh seseorang sebelum dia masuk Islam.
Ulasnya, orang yang berperang perlu ada ilmu dan sekarang berperang dengan hujah maka berhujahlah dengan penuh hikmah dan dengan cara yang lebih baik.
Walaupun kita tak mampu untuk melakukan sesuatu secara berseorangan, kita mempunyai cara lain iaitu bekerjasama dalam menyebarkan dan memperkukuhkan agama Islam.
Menurutnya, ilmu merupakan perkara paling penting sehingga wahyu pertama diturunkan adalah iqra’ kerana ilmu itu akan menjaga kamu dan harta benda kamu yang menjaganya.
Nassuruddin turut berhasrat untuk membangunkan IDIP supaya bilangan pelajar boleh bertambah dan dapat melahirkan lebih ramai da’i di kalangan mualaf.
Nassuruddin dan Dr. Muhammad Rais turut menyampaikan sijil penyertaan dan bergambar bersama peserta di akhir program.
Para duat memeriksa dan menandatangani nama ketika sesi pendaftaran.
Antara 84 pendakwah yang hadir di Multaqa Da’i Saudara Muslim PERKIM Kebangsaan SeMalaysia.
Pendakwah mengaminkan ketika doa dibacakan.
Ridhuan Tan memimpin bacaan doa dalam tiga versi bahasa.
Tetamu kehormat menadah tangan ketika doa dibacakan.
Dr. Yusof Noor menyampaikan ucapan aluan di majlis perasmian pembukaan.
Dr. Yusof Noor turut menekankan pendakwah tiga ciri utama pendakwah iaitu menyeru kepada Allah (berdakwah), melakukan amalan yang baik dan mengakui dirinya Islam.
Dr. Shahidan Kassim merasmikan majlis pembukaan Multaqa Da’i Saudara Muslim PERKIM Kebangsaan.
Dr. Shahidan meryeru pendakwah supaya menunjukkan Islam sebenar kepada golongan anti Islam.
(Dari kiri:) Taufik Tee, Fadli Yusof, Kamarudin dan Hussain Yee menjayakan forum perdana bertajuk ‘Apakah Peranan yang Berkesan dan Keperibadian Da’i Saudara Muslim PERKIM’.
Hussain Yee berkongsi pengalaman beliau ketika menyampaikan kuliah Subuh.
Mamat Che Chik menyampaikan taklimat multaqa kepada duat.
‘Menangani Gelaja Murtad’ merupakan tajuk sesi pembentangan Dr. Suariza Hidayah.
Firdaus Wong berkongsi pengalamannya berdakwah di negara Afrika, Uganda dan Zimbabwe.
Firdaus mengajak peserta bersama-sama membuat kerja dakwah semata-mata kerana Allah dan bukan mengharapkan balasan dari manusia
Peserta kumpulan berbincang mengenai tugasan yang diberikan.
Saiful Hafiz mengetuai kumpulan dan memberi pandangannya dalam tugasan yang diberikan.
Peserta kumpulan bertukar-tukar idea dan buah fikiran bagi menyiapkan tugasan.
Penglibatan Wanita Dalam Dakwah merupakan tajuk tugasan yang dibincangkan oleh duat.
Peserta kumpulan menyiapkan tugasan yang diberikan.
Alnord Roger mewakili kumpulannya dalam sesi pembentangan kumpulan.
Kaedah SWOT digunakan dalam sesi pembentangan oleh kumpulan Nazirah dan Ridhuan Tan.
Pendakwah membentangkan tugasan yang diberikan menerusi persembahan multimedia.
Saiful Hafiz bersama kumpulannya membentangkan tajuk pendekatan dakwah kepada non-Muslim.
Nur Kamardhia Eben mewakili kumpulannya membentangkan tajuk ‘Penglibatan Wanita Dalam Dakwah’.
Tetamu kehormat mengaminkan doa yang dibacakan di majlis perasmian penutup.
Dr. Muhammad Rais menyampaikan ucapan aluannya di majlis perasmian penutup.
Para duat mendengar amanat dan nasihat yang disampaikan.
Nassuruddin berhasrat untuk membangunkan IDIP bagi penambahan pelajar dan dapat melahirkan lebih ramai da’i di kalangan mualaf.
Para pendakwah terus diberi suntikan motivasi dan sokongan untuk memperkasakan dakwah.
Nassuruddin (tengah) menyampaikan sijil penyertaan kepada Danial Al-Hafiz (kiri) sambil disaksikan oleh Dr. Muhammad Rais (dua dari kiri), Hasbullah (dua dari kanan) dan Wan Abd Halim (kanan).
Da’i saudara baharu menerima sijil penghargaan daripada Nassuruddin (kanan).
Tetamu kehormat bersama pendakwah mengisyaratkan kalimah syahadah ketika bergambar kenang-kenangan di akhir program.
Pendakwah Muslimah berkesempatan merakamkan kenangan bersama tetamu kehormat sambil mengisyaratkan dua kalimah syahadah.