Pertemuan Usrah Mac Bersama Kakitangan PERKIM

oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
“Syukur Alhamdulillah kita dapat berjumpa buat kali kedua dan sesuai dengan semangat perjumpaan, kita kenali dengan nama Pertemuan Usrah Bulanan PERKIM,” kata Setiausaha Agung Kehormat, Tan Sri Dr Mohd. Yusof Noor.
Dr. Yusof Noor berkata demikian ketika mengadakan pertemuan bersama kakitangan PERKIM Kebangsaan, PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Institut Dakwah Antarabangsa Kuala Lumpur (IDIP-KL) dan Pusat Komuniti Strok PERKIM (SCORE) di Ruang Legar Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020 lalu.
Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim; Pengarah Komunikasi, Dato’ Abdul Hanif Harun; Pengarah Pembangunan dan Aset, Dato’ Ahmad Mustafa; Pengarah Unit Pentadbiran dan Program, Mamat Che Chik; Pengarah IDIP-KL, Dr Suariza Hidayah Muhammad serta Setiausaha Kerja, Zulkefli Arifin.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa dipimpin oleh Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM (UPPP), Muhammad Jais Mariappan Abdullah dan lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan dinyanyikan bersama-sama.
Pertemuan pertama telah diadakan pada 7 Februari 2020 bersamaan hari Jumaat minggu pertama dan bersempena meraikan Hari PERKIM ke-60 tahun.
“Saya daripada semasa ke semasa akan mencari jalan bersama dengan warga PERKIM di sini untuk kita menjadi contoh yang baik dalam urusan dakwah,” kata Dr. Yusof Noor.
Ucapnya lagi, unsur yang penting ialah apa pun yang kita lakukan atau apa pun jawatan yang kita sandang di sini ia merupakan kerja-kerja yang berkaitan dengan dakwah. Sehingga kalau tanpa percakapan sekalipun, gerak geri kita sebenarnya merupakan dakwah.
Katanya, wajah kita kalau boleh biarlah berwajah dakwah. Apakah maksud berwajah dakwah? Kalau wajah kita sentiasa kelihatan bengis dan marah, maka ia tidak dilihat sebagai wajah dakwah kerana Allah SWT berfirman di dalam surah Ali Imran, ayat 159 yang bermaksud: “Maka dengan rahmat Allah engkau berlaku lembut kepada mereka.Bila engkau berlaku kasar dan berhati keras maka pastilah mereka akan menghindar dari sisimu.”
Tambah beliau, maka sebab itu dakwah yang menjadi teras kepada PERKIM ini bukan hanya bergantung kepada kata-kata walaupun kita duduk dalam satu majlis, kedudukan itu boleh dianggap sebagai wasilah berdakwah.
Dr Yusof Noor turut membawa kakitangan mengimbau kembali jalan cerita filem Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang bertajuk Ali Baba Bujang Lapok.
Di dalam filem tersebut terdapat perkara-perkara yang baik dan boleh diambil pengajaran dan perkara-perkara tidak baik yang perlu dijadikan sebagai iktibar.
“Saya tidak berfikir Chief Ketua Perompak yang dilakonkan oleh P.Ramlee menuntut kita untuk menjadi seorang perompak, tetapi satu perkara yang boleh contohi ialah kesetiaan dan semangat berkerja berpasukan,” ujarnya.
Jelas beliau, watak Sarjan Perompak yang dimainkan oleh Ibrahim Pendek juga menjadi tarikan di mana pada setiap kali beliau melakukan sesuatu, beliau akan tabik atau lapor pada ketuanya dahulu.
“Secara kebetulan pula di kalangan anggota pentadbiran di PERKIM adalah seramai 40 orang dan saya mengharapkan filem tersebut menjadi contoh dalam semangat berpasukan,” ulas beliau.
Ujar Dr Yusof Noor, bila kerja secara berpasukan maka kita akan berjaya di samping menjalankan urusan dakwah dengan teratur dan berkesan serta tidak berkasar dengan orang.
Katanya, jika ada di antara kita mengasari seseorang, hendaklah menegurnya ke arah kebaikan. Kalau ada di antara mereka cuba mengatakan sesuatu yang tidak baik, maka hendaklah kita menasihatkan supaya tidak berbuat demikian.
Dalam Islam, ulama ada menyebutkan antara lain bahawa syaitan itu ada dua jenis iaitu satu syaitan jin dan satu lagi syaitan manusia.
Ujar Dr Yusof Noor lagi, janganlah kita menjadi orang yang mengapi-apikan masalah sesama sendiri dan tidak berpuas hati dengan menyebarkan perkara-perkara itu kepada orang lain hingga akhirnya kita akan bermusuh-musuhan sesama sendiri.
“Ada di antara mereka memilih PERKIM dan meninggalkan peluang yang lain kerana mereka ingin berada di bawah naungan PERKIM dengan mencari kepuasan kerohanian walaupun gaji atau faedah itu sedikit,” jelas beliau.
“Saya dapat tahu ada dalam kalangan kita di sini yang memulakan perkhidmatan di sini dengan gaji RM 200 sahaja dan kakitangan berkenaan tidak pernah mempersoalkan gaji yang di terimanya,” katanya.
Menurutnya, ramai di antara mereka yang datang bekerja di PERKIM tidak menyebut apa yang mereka patut dapat tetapi mereka ingin bersama-sama untuk menghulurkan sumbangan.
Kita patut berterima kasih kepada pimpinan tertinggi yang memimpin kita serta menjaga kebajikan PERKIM.
Kita harap masa depan PERKIM terselamat kerana orang-orang seperti saya, Tan Sri Rais, Yang Di-Pertua, Naib Yang Di-Pertua dan sebagainya adalah orang-orang yang hanya singgah untuk membantu perkhidmatan di PERKIM tetapi anda adalah orang yang tetap kekal sebagai anggota pentadbiran PERKIM.
Di tangan anda terdapat kemajuan dakwah dalam PERKIM ini.
Dr Yusof Noor turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada kakitangan SCORE, Mekimah Yob yang telah lama berkhidmat dan sumbangan untuk isteri Mualish Shah Mohd Anuar yang mengalami lumpuh kecil.
Mohd. Yusof Ahmad pula menerima cenderahati berupa sebuah buku agama manakala Sulaiman Ding Yu Zhong menerima senaskah al-Quran terjemahan.
Kakitangan PERKIM berhimpun bersama dalam Majlis Pertemuan Usrah Mac di ruang legar Bangunan PERKIM.
Muhammad Jais (dua dari kiri) memimpin bacaan doa pembuka majlis.
Kakitangan PERKIM menyanyikan lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan.
Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr Mohd. Yusof Noor menyampaikan ucapan kepada kakitangan.
Kakitangan mendengar amanat dan nasihat yang disampaikan oleh Tan Sri Setiausaha Agung Kehormat.
Dr Yusof Noor menyampaikan sumbangan wang ihsan kepada kakitangan SCORE, Mekimah Yob yang telah lama berkhidmat.
Mualish Shah (tengah) menerima sumbangan wang ihsan daripada Dr Yusof Noor kerana penyakit lumpuh kecil yang dialami isteri beliau.
Mohd. Yusof Ahmad (tengah) menerima sebuah buku sejarah Islam daripada Dr Yusof Noor.
Dr Yusof Noor menyampaikan hadiah berupa senakshah al-Quran kepada Sulaiman Ding Yu Zhong.
[youtube url=”https://www.youtube.com/watch?v=SAI1s8tl6ts” width=”700″ height=”476″]