Aktiviti Dakwah

PERKIM Rai Kejayaan Mualaf SPM, Tadika PERKIM Kg Koh

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

“Saya terpanggil untuk hadir ke Kampung Koh ini adalah kerana ingin meraikan kecemerlangan 10A seorang mualaf, Muhammad Adam Mikhail Lau Abdullah di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta  meraikan kejayaan kanak-kanak Tadika Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kampung Koh,” kata Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr Mohd. Yusof Noor.


Dr Yusof Noor berkata ketika menyampaikan ucapan beliau di Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Pelajar Mualaf Cemerlang SPM dan Kanak-Kanak Tadika PERKIM bertempat di Bilik Mesyuarat Tadika PERKIM Kampung Koh, Sitiawan, Perak pada 12 Mac 2020 lalu.

Turut hadir ialah pimpinan PERKIM Bahagian Negeri Perak iaitu Naib Pengerusi 1, Dato’ Abdul Khalid Mohd. Noor; Bendahari Kehormat, Muhammad Zainal Abidin; Pengerusi Tadbir Agama Islam Daerah Manjung, Muhammad Nizam Yusof; Pengarah Aset dan Pembangunan, Dato’ Ahmad Mustafa; Pengarah Pentadbiran dan Program, Mamat Che Chik; Setiausaha Kerja, Zulkefli Arifin serta Penyelaras Unit Komunikasi dan Media Baru, Firdaus Lokman Tah.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan.

Menurut Dr Yusof Noor, pada hari ini untuk memberi sokongan serta dorongan kepada mereka dan sumbangan yang diberikan sebagai suatu tanda penghargaan daripada PERKIM.

Jelasnya lagi, walaupun Adam sering berpindah-pindah sekolah kerana mengikuti ibunya, namun Adam tetap berjaya mengekalkan prestasi pelajarannya dan atas sebab itu jugalah beliau bertekad untuk menghadirkan diri kerana kagum akan kejayaan yang diperoleh oleh Adam.

“Saya hadir bersama kakitangan yang lain kerana ingin menzahirkan rasa kegembiraan melihat orang seperti Adam berjaya dan tempoh perjalanan kehidupan untuk Adam masih jauh lagi selepas ini serta Adam perlu menyambungkan pelajaran dalam bidang tertentu untuk mendapatkan pekerjaan yang dicitakan,” ujar beliau.

Dr Yusof Noor turut menasihatkan Adam supaya belajar dengan bersungguh-sungguh dan mencapai cita-cita yang diimpikan. Insha-Allah, Allah akan memberi ganjaran yang tidak disangka-sangka.

Ujarnya lagi, kalau tidak kerana Salina Yong, kita semua tidak berada di sini. Walaupun bangunan ini tidak begitu gah, namun saya rasa malu padanya kerana beliau terfikir untuk memulakan tadika di sini.

Salina Yong Abdullah, 80, merupakan Pengasas Tadika PERKIM Kampung Koh dan Mubaligh PERKIM Kampung Koh semenjak tahun 1972 namun beliau sudah bersara 16 tahun lalu dan masih sihat lagi.

Walaupun pusat ini kelihatan kecil namun sudah mengeluarkan lebih 1000 kanak-kanak yang dididik tanpa mengira agama sama ada Islam atau pun tidak.

Idea Puan Salina ini hebat, kerana cara pemikirannya sama seperti cara Pengasas PERKIM, AlMarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang juga Pengasas Tadika PERKIM pertama di Pulau Pinang.

Menurut Salina Yong, 100 daripada 1000 kanak-kanak Tadika PERKIM yang bukan Islam berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Seperti yang kita sedia maklum, Islam bukan untuk orang Melayu sahaja malah untuk semua maka jika kita ubah fikiran kita, pelbagai perubahan boleh dilakukan.

“Saya turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Setiuasaha PERKIM Cawangan Manjung, Samhah Nu Abdullah di atas perkhidmatan beliau  dalam membantu urusan tadika ini dengan ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran daripada PERKIM kerana minatnya terhadap kerja yang dilakukan,” ulas Dr Yusof Noor.

Katanya, kita yang bekerja dalam badan dakwah tidak boleh mengharapkan duit dari badan dakwah kerana badan dakwah tidak mempunyai wang yang banyak dan badan dakwah bermakna sukarela.

Ujar beliau, ketika Tunku hendak membeli tadika di Pulau Pinang, tanah tersebut di bayar secara sukarela oleh seorang insan dari Sabah. Mengikut sejarah itu, tidak salah bagi kita untuk mencari dana bagi membangunkan sesuatu yang bakal memberi manfaat kepada orang ramai. Antara perkara utama yang penting dalam dakwah adalah pendidikan seperti mana terkandung di dalam perlembagaan PERKIM.

Dahulunya, Tunku mulakan PERKIM dengan pendidikan namun sekarang kita seolah-olah terlupa akan perkara tersebut dan seharusnya kita perlu menyambung perkara tersebut dengan mengembangkannya ke seluruh negeri.

Tadika PERKIM Pulau Pinang merupakan milik PERKIM sepenuhnya, maka ia  memudahkan untuk kita menguruskannya dan jika Majlis Agama Daerah Perak bermurah hati untuk memberikan bangunan ini kepada PERKIM, justeru mudah bagi PERKIM untuk menguruskannya.

Oleh itu, jawatankuasa Tadika PERKIM Kampung Koh boleh memikirkan kaedah yang terbaik untuk membangunkan bangunan ini keseluruhannya secara sempurna dan betul.

Jika ada pelan yang baik, memudahkan kita untuk membuka ruang bagi pihak yang berkenaan untuk melaksanakan proses pembangunan di atas tanah yang kita miliki.

Ulas Dr Yusof Noor lagi, bahawa Mesyuarat Majlis Kebangsaan yang lalu bersidang bersetuju untuk mengadakan satu Tadika PERKIM di setiap negeri.

Antara kelainan tenaga pengajar di Tadika PERKIM Pulau Pinang ada yang terdiri daripada kalangan non-Muslim. Jadi, itu menunjukkan kehebatan Islam meraikan semua tanpa mengira agama.

Kata Dr Yusof Noor lagi, di pusat kita akan membangunkan Tadika PERKIM Kebangaan setelah Yang Dipertua PERKIM, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju pada perbincangan yang lalu kerana di pusat masih belum ada Tadika PERKIM.

Beliau berharap PERKIM di negeri-negeri juga akan mempunyai hasrat untuk membangunkan Tadika PERKIM kerana tadika merupakan pusat awal pendidikan untuk membina jiwa dan membuktikan Islam itu bersifat terbuka serta menerima.

Tadika PERKIM boleh menjadi contoh kepada masyarakat dan menunjukkan bahawa Islam adalah untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama.

Sebelum itu, Pengerusi PERKIM Cawangan Manjung, Syed Abdul Rani Alang Sareh memimpin bacaan doa pembuka majlis sekali gus menyampaikan ucapan aluan.


Abdul Rani turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada PERKIM Kebangsaan kerana mengambil berat keadaan bangunan Tadika PERKIM yang daif terletak di tengah bandar Sitiawan.

Kata beliau, kami sedang memohon sebuah bangunan menggantikan bangunan kayu yang sudah lama sejak dari tahun 1972 yang terdirinya Tadika PERKIM ini dan tanah ini digazetkan menjadi Sekolah Agama Islam. Kita juga mempunyai tanah di sebelah kanan tadika ini dan kita berhasrat untuk membangunkan sebuah bangunan Balai Islam serta usaha mencari dana sedang giat dijalankan.

Memandangkan saudara-saudara baharu yang memeluk Islam ada di antara mereka terumbang-ambing tiada tempat untuk berlindung kerana dibuang keluarga dan nyawa terancam serta sebagai Muslim kita bertanggungjawab  setelah mereka menerima Islam.

“Balai Islam ini kita akan jadikan sebagai pusat perlindungan dan pembelajaran agama,” jelas Abdul Rani mengakhiri ucapannya.

Setiausaha PERKIM Cawangan Manjung, Samhah Nu Abdullah turut mengulas mengenai sejarah Tadika PERKIM Kampung Koh.


Kata Samhah, Salina Yong  merupakan individu yang berusaha sehingga terbina Tadika PERKIM yang telah melebihi 50 tahun. Terdapat dua bahagian di bangunan ini di mana di bawah merupakan pusat didikan kanak-kanak iaitu tadika dan di bahagian atas adalah surau.

Di sebelah kanan ini kita ada satu lagi lot tanah wakaf kita digazetkan sebagai Balai Islam dan sehingga ini, semua dokumen tanah wakaf itu telah dimiliki namun kita perlu berusaha untuk mendapatkan dana beberapa juta ringgit.

Itulah usaha PERKIM Cawangan Manjung dalam hasrat untuk membangunkan Balai Islam dan jika mengikut perancangan pada 5 atau 6 tahun lalu, kosnya menelan belanja sebanyak RM1juta tetapi kini mungkin kosnya telah meningkat lebih daripada itu.

Samhah turut mengalu-alukan pewakaf-pewakaf untuk menyumbang kerana kami telah melancarkan Tabung Pembinaan Balai Islam PERKIM Manjung, namun kita perlu mencari lagi dana untuk menjadikan ia satu kenyataan kerana ramai memeluk Islam dan menetap di Kampung Koh ini.

Kata beliau, tahun lepas PERKIM Cawangan Manjung mempunyai 21 aktiviti sepanjang tahun iaitu kelas fardhu ain saudara baharu, kuliah bulanan, aktiviti bersama non-Muslim serta kebanyakan aktiviti dilaksanakan bersama Pejabat Agama Manjung.

Kawasan tadika ini pada asalnya dulu memang terkenal di Pasar Pekan Khamis, Kampung Koh dan peniaga serta pelanggan turut menjadikan surau ruangan atas tadika ini sebagai tempat mendirikan solat dan pada waktu itu Salina Yong juga banyak meluangkan masa dengan mempromosikan tadika kepada orang ramai di pasar tersebut.

Dr Yusof Noor turut menyampaikan sumbangan cek kepada Muhammad Adam Mikhail Lau Abdullah selaku pelajar mualaf cemerlang SPM 10A dan ibu angkat yang memberi didikan dan bimbingan kepada Adam Mikhail, Hamidah Ismail.

Selain itu, Dr Yusof Noor turut menyampaikan sumbangan cek kepada Salina Yong Abdullah di atas jasanya mengasas serta memacu Tadika Perkim Kampung Koh.

Kanak-kanak Tadika PERKIM Kampung Koh turut diberi penghargaan dengan penyampaian sumbangan wang tunai dan alat tulis disampaikan oleh Dr Yusof Noor kepada Adik Muhd Faris Hakimi Mohd Effindi, Adik Muhd Nurieman Mohd Sazrin, Adik Ong Lee Yun, Adik Muhd Harraz Haiqal Mohd Hafizi dan Adik Muhd Syahmi Al-Azim Mohd Shahril.

Abdul Rani yang juga Pengerusi Tadika PERKIM Kampung Koh turut menerima cek berjumlah RM12,000 bagi tujuan pengurusan tadika dan juga menerima cenderahati berupa sebuah lirik lagu PERKIM Pacu Kemajuan daripada Dr Yusof Noor di akhir majlis.

 


Tadika PERKIM Kampung Koh yang mahsyur pada suatu ketika dulu terletak di Manjung dibina pada tahun 1972.

 


Antara kanak-kanak Tadika PERKIM kelihatan ceria dengan aktiviti kelas mereka.

 


Abdul Rani memimpin bacaan doa pembuka majlis.

 


Antara kaum ibu yang hadir bagi memberi sokongan kejayaan anak mereka.

 


Dr Yusof Noor (kiri) berkongsi kegembiraan bersama hadirin kerana kejayaan yang diperolehi oleh Adam Mikhail dan kanak-kanak tadika PERKIM.

 


Hadirin mendengar ucapan yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Dr Yusof Noor (tengah).



Muhammad Adam Mikhail Lau Abdullah (berbaju merah) menerima cek sumbangan kecemerlangan 10A SPM daripada Dr Yusof Noor.

 


Dr Yusof Noor menyampaikan cek sumbangan kepada ibu angkat Adam Mikhail, Hamidah Ismail kerana dorongan dan usaha didikan beliau asbab kejayaan Adam Mikhail.



Salina Yong (kiri) yang banyak berkorban wang ringgit, masa dan tenaga demi membangunkan Tadika PERKIM turut menerima sumbangan daripada Dr Yusof Noor.



Adik Muhd Faris Hakimi Mohd Effindi, 6 tahun menerima cek sumbangan dan hamper alat tulis daripada SUA PERKIM, Dr Yusof Noor.

 


Dr Yusof Noor menyampaikan sumbangan cek dan hamper berbentuk alat tulis kepada Adik Muhd Nurieman Mohd Sazrin, 6 tahun di atas kejayaan beliau.

 


Di atas kejayaan Adik Ong Lee Yun, 6 tahun di Tadika PERKIM, Dr Yusof Noor menyampaikan cek sumbangan dan hamper alat tulis.

 


Adik Muhd Harraz Haiqal Mohd Hafizi, 5 tahun turut diberi cek sumbangan dan hamper alat tulis daripada Tan Sri SUA.


Dr Yusof Noor menyampaikan sumbangan cek dan hamper alat tulis kepada Adik Muhd. Syahmi Al-Azim Mohd. Shahril, 5 tahun di atas kejayaannya.

 


Dr Yusof Noor menghadiahkan sebuah bingkai lagu PERKIM Pacu Kemajuan kepada Abdul Rani untuk dijadikan lagu rasmi tadika dan cawangan PERKIM.

 


Dr Yusof Noor menyampaikan cek berjumlah RM12,000 kepada Pengerusi Tadika PERKIM Kampung Koh bagi tujuan pengurusan tadika.

 


Tetamu kehormat PERKIM bergambar bersama Pengasas Tadika PERKIM Kampung Koh.

 


Salina Yong Abdullah, 80, merupakan Pengasas Tadika PERKIM Kampung Koh dan beliau banyak berkorban wang ringgit, masa dan tenaga demi membangunkan tadika PERKIM sejak tahun 1972, beliau sedaya upaya berusaha mendidik murid-murid tadika dengan menerapkan nilai-nilai murni dan akhlak.

 

[youtube url=”https://www.youtube.com/watch?v=RbZMHiCnUVo” width=”700″ height=”467″]

Related Articles

Back to top button