Aktiviti DakwahMesyuarat Agung PERKIM Kebangsaan

Persidangan Mesyuarat Agung PERKIM Tahunan Kali Ke-55

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

“Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya,” (As-Syura: 38)

Bagi menyelaras dan membincangkan agenda-agenda dan usul-usul mengenai hal ehwal dakwah, kebajikan, pendidikan dan kewangan, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM kali ke-55 bertempat di Hotel Grand Season, Kuala Lumpur pada 15 September 2016 baru-baru ini.

Ianya dihadiri seramai 450 ahli mesyuarat terdiri daripada perwakilan dan pemerhati dari PERKIM Bahagian Negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Kelab PERKIM Universiti (KPU).

Turut bersama, badan gabungan PERKIM seperti Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Harakah Islamiah Sarawak (HIKMAH), Persatuan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan Persatuan Darul Fitrah Malaysia.

TSY5Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor dalam ucapan aluannya berkata, walaupun kini masyarakat dunia menghadapi pelbagai cabaran dan ujian namun PERKIM sepanjang penggal ini iaitu dari tahun 2014 sehingga 2016 telah dilaksanakan dengan baik.

Pertama, kegiatan-kegiatan yang berkaitan dengan dakwah, kebajikan dan pendidikan seperti yang dinyatakan di dalam prinsip-prinsip perlembagaan berjalan mengikut kemampuan kewangan. Malahan urus tadbir sentiasa dikawal selia selari dengan prinsip-prinsip pentadbiran yang ditambah baik dari semasa ke semasa.

Jelasya, kedua, pengurusan aset secara profesional akan terus dipertingkatkan untuk mengelak kebergantungan sepenuhnya kepada kerajaan selain berusaha mencapai pengurusan organisasi yang teratur dan berdisiplin.

“Ketiga, walaupun perkembangan keahlian agak perlahan, pengurusan akan mengatur langkah yang sesuai untuk memajukan PERKIM dan selanjutnya dapat mencapai sasaran keahlian PERKIM seramai satu juta ahli menjelang tahun 2020,” kata Dr. Mohd.Yusof.

Ujarnya, ia adalah sebagai satu cabaran yang memerlukan komitmen serta kerjasama dari semua peringkat dan kita harus yakin matlamat tersebut boleh dicapai.

Menurut beliau, imej PERKIM sebagai organisasi yang bercorak perkhidmatan sosial akan terus diperkasakan menerusi kerja-kerja amal.

Saya ingin memaklumkan bahawa persidangan pada kali ini dihadiri seramai 139 orang perwakilan dari seluruh negeri.

Beliau turut mengumumkan bilangan keahlian tiga tempat tertinggi mengikut cawangan iaitu PERKIM Bahagian Negeri Perlis, PERKIM Cawangan Wanita Johor dan PERKIM Cawangan Hulu Klang, Selangor.

Manakala PERKIM negeri yang paling aktif ialah PERKIM Bahagian Negeri Melaka diikuti PERKIM Bahagian Negeri Terengganu dan PERKIM Bahagian Negeri Selangor.

“Pengumuman itu sebagai satu rangsangan kepada cawangan yang lain untuk menambah bilangan keahlian,” kata Dr. Mohd. Yusof mengakhiri ucapannya.

Taklimat pemillihan Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM 2016-2019 turut disampaikan penerangannya oleh Datuk Mohd. Nawawi Ismail selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PERKIM.

Pengundian dilaksanakan secara telus dan amanah serta di kawal selia oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan bantuan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sejurus taklimat pemilihan Ahli Majlis Kebangsaan 2016 – 2019 diperdengarkan.

Pelbagai agenda-agenda dan usul-usul telah dibentangkan oleh para perwakilan di mesyuarat tersebut serta diperdengar oleh pemerhati.

TUN MAHATHIRMajlis diserikan lagi dengan ucapan penggulungan oleh Yang DiPertua PERKIM, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kerana sekali lagi telah dilantik tanpa bertanding sebagai Yang DiPertua PERKIM bagi penggal 2016 hingga 2019  dan mengharapkan dengan perlantikan kali ini dapat meneruskan segala agenda dan tujuan yang telah dirangka sejajar dengan penubuhan PERKIM yang sekian lama.

“Saya turut mendengar ucapan daripada setiap perwakilan dan terdapat pelbagai perkara berbangkit serta memerlukan perhatian yang sewajarnya agar dapat ditangani oleh PERKIM melalui mesyuarat ahli-ahli majlis,” katanya.

Menurut Dr. Mahathir, Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri di kalangan orang Islam secara majortinya iaitu sekitar 60 peratus dan selebihnya diwakili penganut agama lain seperti Hindu, Buddha, Kristian dan sebagainya. Namun begitu, terdapat juga beberapa negara bukan Islam yang memiliki rakyat yang beragama Islam secara minoriti.

Jelasnya, kita tidak harus melakukan sesuatu seperti menindas kaum-kaum lain yang bukan beragama Islam di Malaysia seperti mana kita tidak suka melihat negara bukan Islam menindas minoriti rakyat Islam.

“Ketika negara berjuang untuk mencapai kemerdekaan, pihak British dan sesetengah penduduk Tanah Melayu termasuklah orang-orang Melayu sendiri berpendapat bahawa kemerdekaan negara tidak akan diperoleh disebabkan berlakunya permusuhan yang ketat antara orang Islam dan bukan Islam,” terangnya.

Kata beliau, hal ini adalah kerana pihak British berpendapat bahawa penduduk di Tanah Melayu secara majoritinya adalah beragama Islam dan ini memungkinkan orang Islam akan menindas penganut agama lain. Keadaan ini juga disebabkan oleh faktor luaran yang melihat kebanyakan penduduk minoriti akan ditindas oleh penduduk dari kaum atau penganut agama yang majoriti di beberapa buah negara.

Namun begitu setelah sekian lama negara mencapai kemerdekaan perkara tersebut langsung tidak pernah berlaku dan masih aman tanpa tercetusnya serangan dari negara-negara bukan yang memusuhi negara-negara umat Islam. Hal ini didorong oleh sikap rakyat Malaysia yang saling menghormati terutama elemen-elemen yang berkaitan dengan sensitiviti agama masing-masing.

Menurut Dr. Mahathir, keadilan tidak terhad kepada orang Islam sahaja. Pengurusan pentadbiran negara yang tidak teratur akan memberi impak kepada penghijrahan jutaan rakyat ke negara lain.

Natijahnya, hari ini kita melihat hampir berjuta-juta orang Islam melakukan penghijrahan ke beberapa buah negara bukan Islam. Hal ini demikian terdapat beberapa buah negara Islam yang mengamalkan pemerintahan dan sistem ‘kuku besi’.

Beliau berharap supaya negara-negara Islam bersatu kerana mereka yang merusuh dan berperang sesama sendiri mengakibatkan beratus ribu manusia yang tidak bersalah turut terkorban dan tercedera. Oleh itu saya tidak mahu perkara yang sama berlaku di negara kita.

Jelasnya, rusuhan yang berlaku adalah tidak sejajar dengan pemahaman yang diajar dalam agama Islam. Islam tidak menganjurkan permusuhan malah menitikberatkan jalinan persaudaraan sesama manusia.

Segala urusan pentadbiran negara yang dijalankan perlu mengambil kira kesan dan akibat terhadap setiap tindakan yang bakal kita laksanakan. Sekiranya terdapat perbezaan dari segi pendapat dalam aspek keagamaan, kita perlu berbincang dengan cara berhikmah dan bijaksana. Supaya hasil yang baik dapat dinikmati oleh setiap rakyat tanpa prejudis kepada agama, kaum dan bangsa Malaysia yang pelbagai.

Malaysia perlu diperintah dengan baik tanpa ada unsur penyelewengan dan penindasan untuk mengekalkan keharmonian dan kestabilan dalam mencapai status sebuah negara Islam yang aman dan selamat.

“Saya yakin kita pasti bangga andai masyarakat luar mengagumi pencapaian negara kita sebagai negara Islam paling berjaya di dunia,” harapan beliau selaku Mantan Perdana Menteri.

Sebagai sebuah negara Islam, kita mengalu-alukan orang ramai yang ingin mempelajari, mendalami dan memeluk agama Islam tanpa paksaan. Malah mereka akan dibimbing oleh pegawai agama dari jabatan agama atau agensi pengislaman yang telah ditauliahkan.

Kita juga akan mengambil perhatian dan bertindak dengan sewajarnya andai terdapat permasalahan di antara saudara baru dan ahli keluarga bukan Islam. Kebanyakan individu yang mudah menerima Islam terdiri di kalangan masyarakat pertengahan dan bawahan.

Golongan pengemis atau gelandangan yang beragama Islam tidak mempunyai tempat tinggal hanya tidur di kaki lima dan tempat ibadat seperti masjid. Hal ini perlu ditangani dengan bijaksana supaya golongan ini diberi hak perlindungan.

Pada pandangan saya, sikap yang dipamerkan oleh umat Islam kurang berjaya menarik hati golongan bukan Islam dari kelas atasan atau profesional untuk mengenali Islam dengan lebih dekat lagi.

Akhlak yang terpuji merupakan teladan atau contoh terbaik yang perlu dipraktikkan oleh orang Islam dalam konteks berdakwah. Sikap toleransi juga perlu dititikbertakan terhadap masyarakat bukan Islam. Perkara ini dilakukan oleh Rasulullah s.a.w ketika berdakwah kepada orang bukan Islam.

“Orang Islam perlu lebih berjaya dalam kehidupan dalam mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya agar dapat dipandang tinggi oleh orang bukan Islam sekali gus  menggambarkan kejayaan Islam dan keberkesanan kita dalam menjalankan tanggungjawab berdakwah kepada masyarakat secara umumnya,” kata Dr. Mahathir di akhir ucapan penggulungannya.

Turut hadir ialah pimpinan PERKIM, Bendahari Kehormat, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim; Pengarah Unit Perancangan, Penyelidikan dan Perlaksanaan (UPPP), Mamat Che Chik; Penyelaras Unit Komunikasi dan Media Baru, Dato’ Ahmad Mustafa, Setiausaha Kerja, Zulkefli Arifin serta Wanita Kebangsaan, Dato’ Hanifah Taib-Alsree, Datuk Maznah Dasmi dan Tunku Mukminah Tunku Mohd. Jiwa.

Keputusan pemilihan Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM bagi sesi 2016 – 2019

Pengerusi Tetap
Y.Bhg. Dato’ Dr. Hj. Abu Bakar Shaari

Timbalan Pengerusi Tetap
Wan Abd. Halim Wan Ismail

Yang DiPertua
Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad (menang tanpa bertanding)

Naib Yang DiPertua

  1. Y.Bhg. Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim
  2. Y.Bhg. Dato’ (Dr) Haji Mustapha Ma
  3. Y.Bhg. Dato’ Haji Mohd Nakhaie Ahmad
  4. Y.Bhg. Prof. Dr. Haji Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Ahli Majlis Kebangsaan

  1. Y.Bhg. Datuk Haji Hasbullah L. Isa
  2. Y.Bhg. Dr. Ustaz Mohd Farid Ravi Abdullah
  3. Y.Bhg. Ustaz Hj. Muhammad Fitri Abdullah
  4. Y.Bhg. Dr. Ann Wan Seng
  5. Y.Bhg. Dato’ Haji Mustafa Abdul Rahman
  6. Y.Bhg. Prof. Dr. Ramle Abdullah
  7. Y.Bhg. Datuk Haji Zainal Abidin Ab Kadir
  8. Y.Bhg. Dato’ Dr. Ismail Ibrahim
  9. Y.Bhg. Datin Paduka Hajah Hapipah Endot
  10. Y.Bhg. Prof. Dr. Nur’azah Dato’ Abd. Manaf
  11. Y.Bhg. Prof. Madya Dato’ Haji Mohd Mokhtar Shafii
  12. Y.Bhg. Datuk Haji Yidris Abdullah
  13. Y.Bhg. Dato’ Dr. M.Fadzli Dato’ Hassan

 

a01
Para perwakilan memeriksa nama di kaunter pendaftaran sebelum menghadiri persidangan mesyuarat.

 

02
Bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Hafizuddin Abdullah daripada MAIWP.

 

03
Wanita PERKIM menyertai persidangan mesyuarat agung tahunan di Hotel Grand Seasons baru-baru ini.

 

04
Perwakilan PERKIM menyemak laporan tahunan di persidangan mesyuarat agung.

 

05
Ucapan aluan Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Dr. Mohd. Yusof Noor.

 

06
Dr. Mohd. Yusof Noor menyampaikan ucapan aluan di mesyuarat agung tahunan PERKIM.

 

07
Mohd. Nawi menyampaikan taklimat pemilihan kepada para perwakilan.

 

08
Tekun…perwakilan Perak mendengar taklimat yang disampaikan.

 

22
(Dari kiri:) Prof. Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim, Dato’ Dr. Mustapha Ma, Dato’ Mohd. Nakhaie Ahmad dan (belakang) Dato’ Abu Bakar Shaari.

 

09
Persidangan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan kali ke-55 diadakan di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur.

 

10
Perwakilan Perlis memeriksa senarai nama sebelum dibenarkan  mengundi.

 

11
Para perwakilan membuat pilihan bagi Pemilihan Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM bagi sesi 2016 hingga 2019.

 

12
Salah seorang perwakilan membuang kertas undi bagi pemilihan Naib Yang DiPertua.

 

13
Wanita PERKIM membuang undi bagi pemilihan Pengerusi Tetap.

 

14
Peti undi dibawa masuk setelah selesai sesi pembuangan undi.

 

15
Petugas menyusun dan mengira kertas-kertas undi.

 

16
Para perwakilan membahaskan usul-usul kepada ahli persidangan mesyuarat.

 

17
Usul Perwakilan PERKIM Negeri Sembilan mendapat perhatian ahli mesyuarat.

 

18
Pandangan dan idea daripada perwakilan dalam mengemukakan usul untuk dicadangkan.

 

19
Dr. Shahidan Kassim menyampaikan ucapan di persidangan mesyuarat tersebut.

 

 

20
Yang DiPertua PERKIM, Tun Dr. Mahathir membuat ucapan penggulungan di akhir mesyuarat tersebut.

 

21
Ucapan penggulungan Dr. Mahathir sebagai amanat dan nasihat kepada para ahli persidangan.

gambar selanjutnyafacebook-logo-spaced

 

Related Articles

Back to top button