Aktiviti Dakwah

Persidangan Dakwah Kebangsaan

Ucaptama YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad, Yang Dipertua PERKIM di Persidangan Dakwah Kebangsaan
Ucapan YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM dan Ucapan Penutup YABhg Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, Timbalan Yang Dipertua PERKIM
Persepsi Dominan Barat Terhadap Islam dan Muslim – YBhg Dr Chandra Muzaffar (JUST)
Menyebarkan Agama Islam
Umat Islam Berhadapan dengan Cabaran Islamofobia, Penyebaran Agama Islam dan Kemiskinan
‘Penyelesaian kepada Cabaran Umat Islam dan Peranan NGO Islam’

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 16 FEBRUARI 2023 – Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini telah merasmikan Persidangan Dakwah Kebangsaan bertemakan ‘Cabaran Umat Islam Dan Peranan NGO Islam’ bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Sultan Abdul Halim di sini.

Persidangan anjuran PERKIM Kebangsaan itu menghimpunkan seramai lebih 350 orang mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Dakwah Islam Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) dan Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMUC).

Persidangan itu merupakan satu usaha PERKIM Kebangsaan dalam mencari jalan penyelesaian kepada cabaran-cabaran dakwah, isu dan masalah yang dihadapi oleh umat Islam menerusi platform forum, syarahan dan ceramah yang disampaikan oleh tokoh-tokoh Islam terkemuka dari dalam dan luar negeri.

Menurut Dr Mahathir, pemimpin negara Islam yang mentadbir negara tanpa berpegang kepada sunnah dan al-Quran akan mengakibatkan rakyat sengsara sehingga ada yang berhijrah ke negara bukan Islam bagi mendapatkan perlindungan.

Katanya, ini kerana tanpa pegangan, pemimpin akan mudah tergelincir dari landasan yang mendorong mereka ke arah kemudaratan berbanding kebaikan.

“Pihak yang terbabit dengan dakwah Islam harus menyelidik dan mengenal pasti pendekatan baharu bagi menghindari perkara berkenaan.

Kita perlu ada pendekatan baharu untuk melindungi umat Islam dalam menghadapi cabaran seperti peperangan, pergolakan politik dan iklim,” ujarnya.

Perbuatan seperti membakar al-Quran yang berlaku di negara Sweden itu merupakan satu perbuatan yang tidak bertamadun dan boleh mencetus permusuhan yang sepatutnya dielakkan.

Tambah Dr Mahathir, tindakan itu tidak sepatutnya dibuat kerana memberi perspektif buruk kepada agama Islam malah umat Islam.

“Mereka tidak sepatutnya berbangga atau mencontohi bahkan mereka perlu menghormati kefahaman dan kepercayaan agama orang lain,” katanya.

Dr Mahathir turut menjayakan pelancaran al-Quran Edisi Khas PERKIM khusus kepada saudara baru.

Beliau juga turut menyampaikan al-Quran Addin kepada tokoh-tokoh Islam dari negara Singapura, Brunei, Indonesia, USIA, HIKMAH dan MACMA.

Turut hadir ialah Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Tuan Haji Muhammad Fitri Abdullah, YBhg Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, YBhg Prof Dr Ramle Abdullah; Bendhari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim; Setiausaha Kerja Pentadbiran dan Program, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor pula menekankan dakwah sebagai medium untuk memberi kesedaran kepada umat Islam.

Dakwah adalah cara Islam memperjuangkan kebenaran hakiki, menegakkan makruf serta menjauhi kemungkaran dan memerangi kezaliman.

Menurut beliau, kini ramai menyaksikan keluarbiasaan tingkah laku sebahagian manusia, yang hampir menyerupai haiwan, iaitu tidak menggunakan akal dan hati apabila bertindak, yang boleh memberi risiko kepada kejadian buruk.

“Selain itu, ia mendorong semangat ekstremisme beragama, melakukan provokasi antara satu sama lain, mencipta isu yang sensitif, menghancur dan membinasakan sesuatu kumpulan etnik dan merosakkan lambang kesucian agama lawan termasuklah perbuatan membakar kitab suci al-Quran.

“Kejadian itu yang sebenarnya seolah-olah menjemput dakwah kerana ia penting untuk mengembalikan dan menyedarkan mereka mengenai kewarasan,” ujarnya.

“Ada umat Islam sekarang ditekan, ditindas dan dihina, malah terdapat (rakyat) negara-negara Islam yang terpaksa berhijrah untuk mencari perlindungan di negara bukan Islam.

“Ini bermakna pentadbiran negara Islam itu sendiri menekankan orang Islam. Apakah sebabnya perkara ini berlaku, tentu kita berpendapat pentadbiran orang Islam tidak begitu baik dan tidak berpegang kepada ajaran agama.

“Ini juga berpunca daripada salah faham, perbezaan pendapat dan kezaliman pentadbiran. (antara faktor yang memudaratkan negara dan rakyat),” katanya.

Turut diadakan sesi pembentangan bertajuk ‘Persepsi Dominan Barat Mengenai Islam dan Muslim’ disampaikan oleh Presiden International Movement for a Just World (JUST), YBhg Dr. Chandra Muzaffar.

Forum bertajuk ‘Menyebarkan Agama Islam’ pula telah disampaikan oleh empat ahli panel iaitu Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), YBhg Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin; Presiden Briged Bakti Malaysia, YBhg Dato’ Dr Hj Abdul Razak Hj Kechik, Presiden Pertubuhan Islam Seluruh Sabah, YBhg Datuk Haji Sapawi Hj Ahmad dan Pengasas Academic Advisor Jannaedu International Sdn Bhd, YBhg Prof. Dr. Hikmatullah Babu Sahib.

Forum tersebut dipengerusikan oleh Naib Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.

Pada sebelah petang pula diadakan sesi dialog bertajuk ‘Umat Islam Berhadapan dengan Cabaran Islamofobia, Penyebaran Agama Islam dan Kemiskinan’.

Sesi dialog dalam Bahasa Inggeris itu disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa The Muslim Converts’ Association of Singapore (Darul Arqam), Muhammad Imran Kuna Abdullah; Ketua Umum, Wanita Islam (WI) Indonesia, YBhg Dr. Hjh Marfuah Musthofa; Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), YBhg Datuk Nadzim Othman dan Pengasas Elzar Shariah & Business Solutions, YBhg Dr. Zaharuddin Abd. Rahman.

Sesi dialog itu dipengerusikan oleh YBhg Prof. Dr. Khaliq Ahmad Mohamad Israil dari Institut Pemikiran Antarabangsa dan Tamadun, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

‘Penyelesaian kepada Cabaran Umat Islam dan Peranan NGO Islam’ merupakan tajuk terakhir forum yang disampaikan oleh empat ahli panel iaitu Mantan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), YBhg Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah; Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid; Penyandang Kursi Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA), YBhg Prof. Dato’ Mohamad Abu Bakar serta Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli.

Forum terakhir itu juga dipengerusikan oleh YBhg Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin.

Persidangan itu berakhir dengan ucapan penutup oleh Timbalan Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abd. Halim.

Related Articles

Back to top button