Kunjungan Hormat Jabatan Mufti Kedah Ke PERKIM Kedah
oleh: ZAATIL HIDAAYAH AHMAD BUSTAMAN
ALOR SETAR, 14 FEBRUARI 2023 – Jabatan Mufti Negeri Kedah (JMNK) telah mengadakan kunjungan hormat ke PERKIM Bahagian Negeri Kedah, Lorong Seri, Jalan Langgar di sini.
Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Kedah, YBhg Dato’ Mansor Haji Ismail mengalu-alukan kunjungan Timbalan Mufti Negeri Kedah, YBhg Syeikh Marwazi Dziyauddin dan Ketua Penolong Mufti (Rujukan Fatwa) merangkap Penyelaras Proses Istitabah & Panel Konsultasi Ititabah, YBhg Syeikh Mohd Firdaus Mohd Khalil.
Menurut Dato’ Mansor, kunjungan hormat dua hala ini adalah bertujuan untuk membuka jalinan kerjasama antara JMNK dan PERKIM Kedah di samping membincangkan perkara yang berkaitan dengan proses istitabah yang dijalankan.
Syeikh Marwazi dalam ucapannya berkata, JMNK ingin membincangkan cadangan kerjasama dengan PERKIM Kedah berkenaan pelantikan panel konsultasi istitabah dan program khas untuk pemohon yang memohon keluar Islam.
Selain itu, ahli kunjungan turut berkongsi berkaitan gerak kerja JMNK dalam menguruskan proses istitabah.
Sesi kunjungan hormat ini diakhiri dengan acara penyampaian cenderahati oleh Syeikh Marwazi kepada Dato’ Mansor serta diadakan sesi bergambar di akhir pertemuan.
Turut hadir ialah Naib Pengerusi 2 PERKIM Bahagian Negeri Kedah, Datin Hajah Aishah Ibrahim; Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Kedah, YBhg Tuan Haji Turedy Abdullah; Bendahari Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Kedah; Haji Adzaudin Haji Salleh; Pengerusi PERKIM Cawangan Daerah Kuala Muda, Ustaz Imron Kochem Haji Ahmad; Pegawai PERKIM Bahagian Negeri Kedah, Zaatil Hidaayah Ahmad Bustaman dan Hazirah Azmi.
Semoga dengan kunjungan hormat itu memberi manfaat dan impak positif kepada kedua-dua belah pihak.
JMNK membuat kunjungan hormat bersama kepimpinan PERKIM Kedah.
(Kiri) Syeikh Mohd Firdaus Mohd Khalil selaku Ketua Penolong Mufti dan Timbalan Mufti Negeri Kedah, YBhg Syeikh Marwazi Dziyauddin (kanan).
Dato’ Mansor (kiri) mempengerusikan pertemuan tersebut bersama Ahli Jawatankuasa PERKIM Bahagian Negeri Kedah.
Syeikh Marwazi menyampaikan cenderahati kepada Dato’ Mansor (kanan).
Ahli Jawatankuasa PERKIM Kedah merakamkan gambar kenangan bersama Jabatan Mufti Negeri Kedah di akhir pertemuan.