PERKIM Wilayah Laksana Pelan Induk Dakwah

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
“Wahai orang-orang Yang beriman! bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). dan (sekali lagi diingatkan): bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.” (al-Hasyr: 18)
Bagi memacu gerakan dakwah yang kukuh di dalam masyarakat supaya aktiviti dakwah berjalan serentak, selaras, berterusan dan berkesan, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Bahagian Wilayah Persekutuan menganjurkan ‘Bengkel Pelan Induk Dakwah Perkim Kebangsaan’ bertempat di Hotel Grand Pacific, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 14 November 2013 lalu.
Bengkel tersebut dihadiri seramai 100 peserta yang terdiri daripada Ahli Majlis Kebangsaan kakitangan dan ahli Perkim Bahagian Negeri Selangor, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan dan Wanita Perkim.
Penyelaras Program, Mohd. Jogi Maruli Panjaitan berkata, ianya bertujuan untuk menyusun, mengatur dan mengurus secara itqan organisasi dalaman Perkim supaya mantap, teratur serta kontemporari sekali gus membolehkannya memberi khidmat efisyen kepada kemajuan dakwah.
Jelasnya lagi, antara langkah-langkah yang perlu dilaksanakan dan bidang yang perlu diberi tumpuan bagi memantapkan rangkaian dalaman adalah pengurusan, media baharu, rangkaian luar, program memperkasakan kedudukan Islam, program pemantapan akidah pemahaman Islam dan program mengantarabangsakan dakwah Perkim.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor berkata, beliau memetik kata-kata Yang DiPertua Perkim, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Perkim perlu memberi perhatian kepada Majlis Permuafakatan Kelab Perkim Universiti (MAMPU) terutama sekali di seluruh institut pengajian tinggi awam dan swasta dalam meremajakan Perkim. Perkim seharusnya dapat mengubah serba sedikit apa yang telah dilaksanakan oleh orang-orang terdahulu iaitu dalam konteks menaiktaraf bahkan dapat disambut dengan lebih baik dari itu.
Jelasnya lagi, apa yang paling penting ialah pengasasan untuk mewujudkan pergerakan badan-badan dan organisasi Islam bukanlah suatu perkara yang mudah.
“Gerakan penyebaran agama bersistematik iaitu Kristian yang dicetus oleh seorang warga Perancis yang telah diterjemahkan bukunya dalam Bahasa Arab bertajuk ‘al-Gha’bah al-‘Alami Islamik’ telah menceritakan perjuangan pada tahun 1800 di mana ia mengerak penyebaran agama Kristian di Timur Tengah dan Asia Tenggara utamanya di Indonesia termasuk juga bahagian di Asia Tenggara iaitu Jawa, ujar Dr. Mohd. Yusof yang juga Pengerusi TV AlHijrah.
Ujarnya lagi, sudah seratus tahun lebih mereka (Kristian) mengkaji secara keseluruhannya dan bijaknya mereka mengatur langkah atau strategi serta kemudiannya tidak ada lagi kegagalan dan juga mereka mempunyai kajian-kajian yang telah dibuat di bawah sistem penyebaran agama.
“Dakwah atau gerakan penyebaran agama oleh agama lain telah bertukar format di mana mereka menjadi pihak yang mengeluarkan penstrukturan dalam perniagaan. Dakwah mereka menjadi penguasaan terhadap pentadbiran khususnya melalui produknya yang dibuat dan dikawal oleh mereka dengan teknologi dari sudut kereta, pakaian, makanan dan lain-lain di mana ianya terselit satu rencana atau muslihat untuk mengembangkan agama mereka,” katanya.
Katanya lagi, di Malaysia pada ketika dahulu terdapat gerakan penyebaran agama yang menggunakan atas nama unit kesihatan dan rawatan pengubatan yang mereka gabungkan, tetapi kini sudah tiada lagi.
“Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?,” ucapnya sambil memetik ayat 99 dari surah Yunus.
“Adakah masih berkesan berdakwah dengan hanya bergantung kepada khutbah, risalah, syarahan dan jurnal? Saya fikir ada kesannya tetapi perlu ditambah dengan perkara-perkara yang lain,” ujarnya.
Bagi nama Perkim, kita boleh dapatkan bantuan-bantuan tahap kebolehan dan kemahiran Pegawai Dakwah sehingga mencapai tahap yang digelar sebagai daie. Ianya haruslah ada peningkatan dari semasa ke semasa berlandaskan tiga elemen yang utama iaitu kekuatan sahsiah, pengetahuan dan kebijaksanaan.
“Jika engkau ingin mengerjakan sesuatu pekerjaan, maka fikirkanlah akibatnya, maka jika perbuatan tersebut baik, ambillah dan jika perbuatan itu buruk maka tinggalkanlah.” (Hadis Riwayat Ibnu Mubarak)
Naib Yang DiPertua Perkim 4, Dato’ Hj. Mohd. Nakhaie Hj Ahmad dalam ucapannya berkata, Rasulullah berjaya membentuk sesebuah negara, membina umat menerusi dakwah.
“Oleh itu, seperti yang telah perkatakan ianya amat luas untuk kita bergerak melalui dakwah termasuk pelbagai hal yang berkaitan dengan kelahiran dakwah,” katanya yang juga Pengerusi Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan.
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri.” (ar-Ra’d: 11)
Jelasnya lagi, empat matlamat untuk menjadikan Perkim bertindak secara proaktif ialah dengan menggerakkan prasarana tersebut menerusi satu rangkaian, berjuang untuk memperkasakan kedudukan umat Islam di dalam negara kita dari segi perundangan dan ekonomi, berusaha untuk memantapkan kefahaman dan akidah Islam di kalangan umat serta menggerakkan dakwah di peringkat serantau iaitu sebagai langkah untuk mengantarabangsakan gerakan Perkim.
“Rangkaian utama yang lain ialah agensi-agensi agama dalam negara kita iaitu majlis-majlis agama, jabatan-jabatan agama contohnya Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) dan sebagainya,” ujarnya.
Selain itu, Perkim perlu mewujudkan rangkaian melalui pusat latihan pendakwah, agensi-agensi, kerajaan persekutuan, pertubuhan-pertubuhan, badan-badan bukan kerajaan (NGO), ulama’ dan guru-guru agama.
Pada awal kemerdekaan, bangsa Melayu hanya 49 peratus sahaja dan selebihnya dikuasai oleh bangsa-bangsa lain, tetapi kini beberapa dasar-dasar tersirat yang telah dilaksanakan orang Islam sudah menjadi 65 peratus, bumiputera termasuk yang bukan Islam menjadi 67 peratus. Andai kata kita boleh mencapai 80 peratus dalam jangka masa 50 tahun akan datang maka, rakyat Malaysia yang beragama Islam ialah 80 peratus melalui ibadah pengislaman.
Di Malaysia, bangsa Cina dan India memeluk Islam kerana kondusif, oleh sebab itu kita harus menumpukan dengan mudah agar gerakan pengislaman di sana dapat dilakukan dengan teratur.
“Saya telah mengislamkan orang-orang di Sabah dan Sarawak seramai 7000 orang semasa saya berkhidmat di Yadim, ianya mendapat kerjasama Baitulmal Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. Usaha seperti ini yang harus kita teruskan supaya bilangan orang Islam itu boleh mencecah 80 peratus,” ujarnya.
Banyak kajian telah dijalankan di IPT-IPT mengenai Ahli Sunnah Wal Jemaah malah setiap tahun ada sahaja keluaran buku-buku rujukan dan jurnal-jurnal berkaitan dengannya tetapi sayang ianya tidak pun dikeluarkan, hanya di simpan sahaja. Kita perlu melibatkan lebih ramai generasi muda dalam kegiatan dakwah di Perkim.
Perkim harus mewujudkan ko-kurikulum untuk memperkasakan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana sekarang ini pelbagai adegan yang diadakan dalam ko-kurikulum dakwah yang bertentangan dengan Islam seperti aliran yang mengancam kedudukan Islam di Malaysia seperti liberalisme, sekularisme, pluralisme, sosialisme, fundamentalisme, fahaman syiah dan wahabi.
Selain itu, Perkim perlu mewujudkan hubungan serantau bersama Yayasan Dakwah Malaysia dan Indonesia (YADMI) atau bersama Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS).
MABIMS juga telah bersetuju mengadakan satu program pengislaman penduduk di Pulau Borneo.
Peserta kemudiannya dibahagikan kepada lima kumpulan untuk membincangkan, mencadangkan dan membentukkan dasar-dasar misi yang telah dikemukakan untuk menaiktarafkan Perkim.
Turut hadir ialah Naib Yang DiPertua Perkim 3, Datuk Hj Mustapha Ma; Bendahari Kehormat Perkim, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim dan Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hj. Hasbullah L. Isa.
Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor menyampaikan ucapan perasmian di Bengkel Pelan Induk Perkim Kebangsaan.
Kakitangan Perkim bahagian merupakan antara peserta bengkel tersebut.
Ucapan Naib Yang DiPertua Perkim 4, Datuk Hj Mohd. Nakhaie Hj Ahmad.
Peserta menyumbangkan idea melalui bengkel yang diadakan.
Hasbullah (berbaju kuning) mengetuai bengkel tersebut.
Peserta berbincang dan mencadangkan sesuatu yang baharu untuk menaiktarafkan Perkim.
Peserta memberikan buah fikiran di bengkel tersebut.
Pelbagai cetusan idea daripada peserta dalam bengkel tersebut.
Peserta bergambar kenang-kenangan di akhir bengkel tersebut.