Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Aktiviti Dakwah

PERKIM USJ-Subang Jaya Lancar Projek Mentor Mentee Mualaf

Oleh: PERKIM Cawangan USJ
Susunan: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

“Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui,” (an-Nahl: 43)

Mentor mentee merupakan satu proses interaksi antara pembimbing dan individu yang dipandu (pelajar) melibatkan tindakan seperti menyokong, mendidik dan memberi nasihat. Mentor bukan sahaja mengambil berat tentang menteenya tetapi juga membimbing, memberi galakan, memupuk nilai-nilai murni, menutup aurat, meneguhkan akidah Islamiah dan berusaha membimbing menteenya menjadi individu yang soleh serta bertakwa sekali gus pelapis bagi pendakwah kelak. 

Sehubungan dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan USJ-Subang Jaya melancarkan Projek Mentor-Mentee Mualaf bertempat di Masjid Al-Mukminun, Jalan USJ 2 Subang Jaya, Selangor pada 23 September 2013 lalu.

Program tersebut disertai seramai 78 Saudara Muslim berketurunan Cina, India, Siam, Filipina, Nigeria, Sri Lanka dan Jepun telah diserapkan ke dalam projek mentoring yang akan membolehkan mereka lebih mendalami ajaran Islam melalui sokongan serta bimbingan daripada sukarelawan Perkim.

nik-rahmatPengerusi Perkim USJ-Subang Jaya, Haji Nik Rahmat Nik Abdul Rashid, projek itu perlu diwujudkan kerana ianya memberi dorongan dan bimbingan yang terancang kepada pelajar demi selain bimbingan yang diperolehi di dalam kelas, para mualaf masih memerlukan bimbingan peribadi secara harian.

Projek yang melibatkan 38 pelajar lelaki dan 40 wanita itu merupakan cetusan idea daripada program pengajian kelas Perkim yang diadakan lima kali seminggu bertempat di Pusat Maklumat Islam (IIS) pada petang dan malam hari.

“Dengan kerjasama serta pemantauan 17 sukarelawan, setiap mentor diagihkan dua hingga sepuluh mentee yang akan diberi bimbingan oleh mentor di luar kelas. Mereka diberikan panduan asas seperti pengenalan huruf hijaiyah, adab ketika makan, berwuduk, halal dan haram supaya lebih cepat memahami dan beramal sebagai Saudara Muslim di luar bilik kuliah,” kata Nik Rahmat.

Bolehkah Aku mengikutmu, Dengan syarat Engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadaMu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?” (al-Kahfi: 66)

Jelasnya, projek itu turut mewujudkan semangat kekeluargaan yang kukuh dan menghormati antara mentor dan mentee di samping mengamalkan budaya penyayang serta saling menghargai antara satu sama lain.

Selain itu ianya membimbing dan menunjuk ajar mentee supaya menjadi Saudara Muslim yang bermotivasi, berakhlak mulia dan berbudi pekerti tinggi seperti yang digariskan di dalam Islam.

Menurut Nik Rahmat, antara amalan-amalan yang sering dilakukan oleh mentor ialah sering menziarahi ke rumah mentee, membawa mentee ke rumah mentor untuk berkenalan dengan ahli-ahli keluarga, membawa mentee ke masjid dan surau untuk menunaikan solat, beribadah, mendengar majlis ilmu, makan, beriadah serta menziarahi tempat-tempat ibadah dan pusat Islam.

Nik Rahmat berkeyakinan, di dalam kumpulan yang lebih kecil, ukhuwah Islamiah dan silaturahim dapat terjalin lebih baik dengan bimbingan yang lebih tertumpu secara individu. Secara tidak langsung, mentee boleh bertanya apa sahaja pelbagai kemusykilan sambil mendapat perhatian dan penerangan yang lebih khusus daripada mentor mereka.

Mentee akan lebih cepat memahami selok-belok kehidupan sebagai seorang Muslim dan mampu berubah dengan lebih efektif berbanding jika mereka hadir ke kelas mingguan sahaja,” ujar beliau.

zainal-abidinMajlis pelancaran Projek Mentoring Perkim cawangan USJ-Subang Jaya itu telah disempurnakan oleh Nazir Masjid Al-Mukminun USJ 2, Haji Zainal Abidin Zakaria.

Zainal dalam ucapannya berkata, Masjid Al-Mukminun akan terus memberikan kerjasama yang erat kepada Perkim USJ untuk membuktikan kesungguhan mereka dalam melaksanakan kelas-kelas pengajian serta mensyahadahkan mereka yang telah diberi hidayah oleh Allah.

Selain itu, masjid dengan bermurah hati memberikan sebuah bilik khas untuk dijadikan pusat pembelajaran dan kebajikan Saudara Muslim serta ahli jawatankuasa masjid turut membantu Perkim dalam melaksanakan usaha-usaha dakwah dan kebajikan di daerah Subang Jaya ini sejak lapan tahun dahulu.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian sumbangan cek berjumlah RM1000 daripada Masjid Al Mukminun untuk aktiviti dakwah Perkim USJ oleh Zainal kepada Nik Rahmat.

“Saya mewakili Perkim USJ berterima kasih kepada Masjid Al-Mukminun kerana selama ini telah banyak membantu kerja-kerja dakwah Perkim. Sekiranya tanpa mereka, tiadalah tempat untuk kami melaksanakan tuntutan dakwah danfardhu kifayah ini,” ulas Nik Rahmat.

Katanya lagi, syukur Alhamdulillah, selama lebih lapan tahun beroperasi secara percuma di premis milik masjid ini, kami telah berjaya mensyahadahkan 114 orang dan mendidik lebih 300 Saudara Muslim yang terdiri daripada masyarakat berbillang kaum serta warga asing.

Majoriti Saudara Muslim telah mengubah cara hidup mereka kepada kehidupan yang lebih Islamik. Kelas-kelas pengajian dalam Bahasa Inggeris dan Melayu turut diberikan secara percuma untuk menampung permintaan yang tinggi.

“Dana dan tenaga sukarelawan sering menjadi cabaran kepada pihak Perkim untuk menjaga kebajikan dan pendidikan Saudara Muslim. Perkim berterima kasih sekali lagi kepada pihak Masjid al-Mukminun dan individu yang telah menyumbang dalam aktiviti dakwah Perkim,” kata Nik Rahmat.

Tambahnya, Perkim USJ mengalu-alukan ahli kariah sekitar Masjid al-Mukminun dan kejiranannya, terutamanya di kalangan muslimat untuk tampil menawarkan diri menjadi mentor.

Ahli kariah yang berminat berbakti secara sukarela ini diminta menghubungi Penolong Setiausaha cawangan Perkim USJ-Subang Jaya, Hisham Muhammad di talian +6012-218 3027 untuk pendaftaran sebagai mentor di bawah program ini. Kejayaan Projek Mentoring itu sangat berkait rapat dengan penglibatan lebih ramai sukarelawan muslimin dan muslimat di kejiranan tersebut.

Untuk sebarang pertanyaan dan huluran bantuan, hubungi Nik Rahmat di talian +6012 – 319 7890 atau emelkan ke nikrahmat@gmail.com dan untuk pendaftaran kelas atau syahadah, hubungi Ketua Biro Program dan Dakwah, Haji Headir Mahfidz di talian +6012- 221 3477 atau emelkan ke headir@gmail.com.

1
Antara mentee yang turut membawa anak mereka ke projek tersebut.
2
Pelajar Nigeria antara mentee yang tekun belajar pengajian Islam.
3
Peserta mentee lelaki yang hadir di projek tersebut.
4
Peserta mentee wanita yang terdiri daripada kalangan Saudara Muslim.
5
Sesi penerangan kepada Saudara Muslim di dalam Projek Mentor-Mentee Mualaf.

Related Articles

Back to top button