PERKIM Ziarah Pesakit Wad Geriatrik PPUM
Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam kamu dan juga menjadi hidayat petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Yunus: 57)
Kebajikan adalah sesuatu perbuatan yang baik yang membawa kebaikan. Setiap individu berusaha dan berlumba-lumba melakukan amalan soleh dan kebajikan serta menyegerajab berbuat sesuatu tanpa ditangguh-tangguh.
Sehubungan dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan bersama Sahabat Pusat Perubatan Universiti Malaya (SPPUM) berkesempatan menziarahi 53 pesakit di wad Geriatrik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Selangor.
Dalam program pada 11 September 2013 lalu, Perkim Kebangsaan turut menghulurkan buah tangan kepada 53 pesakit.
Rombongan ziarah itu diketuai oleh Timbalan Pengarah Dakwah dan Inovasi Perkim, Haji Abdul Hanif Harun. Ia turut disertai beberapa kakitangan dan sukarelawan Perkim.
Hilangkanlah segala penyakit dan sembuhkanlah ia wahai Tuhan Pencipta manusia, Engkaulah sahaja (Ya Allah) penyembuh segala penyakit, tiada kesembuhan kecuali daripada-Mu sahaja. Iaitu kesembuhan yang tidak akan dihinggapi penyakit lagi. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Abdul Hanif berkata, rombongan menziarah pesakit merupakan program berkala yang dilakukan di setiap hospital kerajaan dan swasta.
Katanya, kerja dan usaha seumpama ini memberikan kesedaran kepada masyarakat bahawa pesakit memerlukan sokongan untuk mengharungi detik-detik sukar mereka.
Jelas Abdul Hanif, selain penganjuran aktiviti dakwah dan kebajikan yang lain, Perkim juga turut bersama dalam membantu dan memberi dokongan kepada yang terlantar di hospital. Ia bukan sahaja dapat merapatkan silaturahim malah mengeratkan perpaduan tidak kira agama, bangsa dan keturunan.
Mesej keprihatinan ziarah yang mulia ini dapat membuka mata masyarakat bertapa pentingnya amalan dan budaya menziarahi pesakit ini.
Rahibah Sadali selaku ketua jururawat kanan, wad geriatrik menyampaikan ucapan terima kasih kepada rombongan Perkim sambil mengetuai rombongan itu dalam sesi ziarah pesakit ke seluruh wad tersebut.
Mereka yang mengalami penyakit kronik perlu dikuatkan jiwa dan emosi mereka supaya memberikan keyakinan kepada diri mereka untuk melawan penyakit yang dideritainya.
Wad geriatrik atau lebih dikenali sebagai wad bagi warga emas memberi rawatan kepada pesakit yang berusia melebihi 65 tahun di mana ianya menyediakan perawatan geriatrik secara menyeluruh, meliputi perawatan akut dan perawatan pemulihan dan perancangan jangka masa panjang, di mana pesakit berusia boleh mengatasi dan menghadapi kehidupan mereka di rumah.
Wad tersebut dibahagi kepada dua bahagian yang dikhaskan untuk pengambilan pesakit akut dan subakut serta perawatan pesakit pemulihan.
Ianya juga menyediakan khidmat rawatan geriatrik yang menyeluruh dan komprehensif daripada aspek pembangunan, pencegahan dan pemulihan.
Mereka juga berharap kerjasama yang terjalin di antara Pusat Perubatan Universiti Malaya dengan Perkim akan terus dilakukan untuk memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan dan berharap agar Perkim dapat mendedahkan aktivitinya melalui pameran untuk maklumat umum.
Turut hadir, Pengerusi SPPUM, Dr Dzulkhaini Husain; Bendahari SPPUM, Datin Azizah Mohd. Arif dan Pegawai Unit Pembangunan dan Aset Perkim, Suariza Hidayah Muhammad.