PERKIM UniKL Ziarah Pesakit PPUKM
Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan juga menjadi hidayat petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Yunus : 57)
Kebajikan merupakan suatu perbuatan yang akan membawa kebaikan dan pertolongan di antara sesama Muslim. Setiap individu berusaha dan berlumba-lumba melakukan amalan soleh dan kebajikan serta menyegerakan berbuat sesuatu tanpa ditangguh-tangguh.
Sehubungan dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan bersama Kelab Perkim Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berkesempatan menziarahi 100 pesakit di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Jalan Yaacob Latib, Kuala Lumpur.
Dalam program pada 11 November 2014 lalu, Perkim Kebangsaan dan 30 ahli Kelab Perkim UniKL turut menghulurkan buah tangan kepada 100 pesakit.
Ketua Jabatan Ortopedik dan Traumatologi PPUKM, Prof. Madya Dr. Zamari Sapuan dalam ucapan aluannya berkata, beliau mengalu-alukan kehadiran rombongan ziarah dan memberikan penerangan mengenai ortopedik dan traumatologi.
Jelasnya, terdapat empat wad di Jabatan Ortopedik iaitu wad tulang belakang dan sakit puan serta majoriti pesakit ditempatkan di situ mengalami kemalangan ditempatkan di wad tersebut.
Kata Dr. Zamari, program khidmat masyarakat itu secara tidak langsung memberi perangsang dan semangat yang positif kepada pesakit dengan menziarahi serta menyampaikan buah tangan.
Rombongan ziarah itu diketuai oleh Pegawai Dakwah dan Inovasi Perkim, Muhammad Farhan Tee Abdullah dan Yang DiPertua Kelab Perkim UniKL, Abdul Rahim Mohamed serta dibantu Pegawai Perhubungan Awam PPUKM, Norhayati Md Raji. Ia turut disertai beberapa kakitangan Perkim.
Muhammad Farhan berkata, program ziarah itu bertujuan untuk menyedarkan masyarakat tentang tanggungjawab sosial terhadap golongan yang memerlukan bantuan serta ianya juga merupakan program berkala yang dilakukan di setiap hospital kerajaan dan swasta.
Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu) dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar. (an-Nisa: 40)
“Mereka yang mengalami penyakit kronik perlu dikuatkan jiwa dan emosi mereka supaya memberikan keyakinan kepada diri mereka untuk melawan penyakit yang dideritainya,” jelas Muhammad Farhan.
Walaupun sumbangan yang diberikan sekecil-kecil nilainya, namun jika ianya besertakan dengan keikhlasan semata-mata kerana Allah SWT, Allah akan menyediakan ganjaran pahala di akhirat kelak.
“Sesiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah, nescaya penyeru (malaikat) akan berseru kepadanya: “Alangkah bagusnya engkau, alangkah bagusnya perjalananmu, telah tersedia untukmu sebuah rumah di dalam syurga!” (Hadits Riwayat at-Tirmidzi)
Jelasnya lagi, kata-kata perangsang dan simpati merupakan suatu terapi yang boleh meringankan beban pesakit, sekiranya tanpa semangat yang kuat, pesakit tidak mempunyai kekuatan untuk mengharungi keperitan sakit yang ditanggungnya.
Hilangkanlah segala penyakit dan sembuhkanlah ia wahai Tuhan Pencipta manusia, Engkaulah sahaja (Ya Allah) penyembuh segala penyakit, tiada kesembuhan kecuali daripada-Mu sahaja. Iaitu kesembuhan yang tidak akan dihinggapi penyakit lagi. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Katanya, kerja dan usaha seumpama ini memberikan kesedaran kepada masyarakat bahawa pesakit memerlukan sokongan untuk mengharungi detik-detik sukar mereka.
Ia bukan sahaja dapat merapatkan silaturahim malah mengeratkan perpaduan tidak kira agama, bangsa dan warna kulit.
Mesej keprihatinan ziarah yang mulia ini dapat membuka mata masyarakat betapa pentingnya amalan dan budaya menziarahi pesakit ini.
Jelas Muhammad Farhan lagi, rombongan juga berkesempatan menziarahi pesakit yang masih menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Siti Nur Shakila yang telah menjalani pembedahan tulang belakang.
“Apabila seorang lelaki mengunjungi saudara muslimnya, maka seolah-olah dia berjalan di dalam syurga sehingga dia duduk. Apabila dia sudah duduk maka rahmat Allah mengelilinginya. Jika dia berkunjung pada waktu pagi, maka tujuh puluh ribu malaikat akan mendoaknnya hingga petang dan begitulah sebaliknya” (Riwayat at-Tirmizi, Ibnu Majah & Ahmad).
Selain melawat pesakit di Wad Spinal dan Wad Perempuan, rombongan turut mengunjungi pesakit yang menghidap penyakit barah atau kanser di Wad Onkologi Tengku Ampuan Afzan yang dikelolakan bersama Institut Kanser Majlis Kanser Nasional (Makna) IKM – PPUKM.
Wad tersebut memberi kemudahan yang komprehensif untuk pesakit kanser terutama yang kurang bernasib baik atau mereka yang kurang berkemampuan.
Hanya IKM-PPUKM sahaja yang merawat pesakit yang dirujuk oleh doktor-doktor kerajaan atau swasta dan kos pembayaran rawatan yang ditanggung oleh pesakit bergantung kepada kemampuan pesakit atau keluarga sama ada percuma, bayaran nominal atau bayaran penuh.
Rombongan juga dibawa melawat ke beberapa tempat di dalam PPUKM iaitu sudut informasi dan perkhidmatan kesihatan, farmasi satelit pediatrik, lobi pelawat dan klinik pesakit luar.
Mereka juga berharap kerjasama yang terjalin di antara PPUKM dengan Perkim akan terus dilakukan untuk memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan dan berharap agar Perkim dapat mendedahkan aktivitinya melalui pameran untuk maklumat umum.
Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) yang dahulunya dikenali sebagai Hospital UKM.
Dr. Zamari menyampaikan ucapan dan taklimat kepada mahasiswa.
Penerangan kepada mahasiswa yang disampaikan oleh Dr Zamari.
Muhammad Farhan selaku Pegawai Dakwah dan Inovasi Perkim menyampaikan beberapa nasihat dan adab ketika menziarahi pesakit kepada mahasiswa.
Dr Zamari (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Muhammad Farhan (kiri).
Abdul Rahim selaku Yang DiPertua Kelab Perkim UniKL (kiri) menerima cenderahati daripada Dr Zamari (kanan).
30 mahasiswa Kelab Perkim UniKL bergambar kenang-kenangan bersama warga PPUKM.
Mahasiswa Kelab Perkim UniKL menziarahi Teong Soon Lee (pesakit) yang ditemani suaminya.
Mahasiswa menziarahi pesakit di wad ortopedik perempuan dan menyampaikan sumbangan.
Mohd Rauh (terbaring) diziarahi oleh mahasiswa Kelab Perkim UniKL dan menyampaikan cenderahati.
Muhammad Farhan (kiri) menziarahi Zuhri Anas sambil menyampaikan buah tangan.
Mahasiswa kelab menyampaikan buah tangan kepada ibu kepada Siti Nur Syakila pelajar SPM yang telah menjalani pembedahan tulang belakang.
Mahasiswa bergambar di hadapan bangunan PPUKM ketika di akhir program.