Aktiviti Kebajikan

PERKIM Rai Majlis Persaraan Pegawai Tadbir Unit Kewangan PERKIM, Hamidah Ismail

𝗼𝗹𝗲𝗵: 𝗦𝗥𝗭

𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗟𝗨𝗠𝗣𝗨𝗥, 𝟮𝟬 𝗗𝗜𝗦𝗘𝗠𝗕𝗘𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟰 – Seramai lebih 40 pegawai dan kakitangan Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menghadiri Majlis Persaraan Pegawai Tadbir Unit Kewangan PERKIM, Hamidah Ismail bertempat di Dewan Tingkat 1, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, dekat sini pada petang Jumaat.

Ia dihadiri pegawai kakitangan PERKIM Kebangsaan, PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Institut Dakwah Antarabangsa Islam PERKIM (IDIP-KL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).

Majlis itu diadakan bertujuan untuk meraikan kakitangan yang bersara setelah mencurahkan khidmat bakti dan sumbangan kepada PERKIM.



Hamidah Ismail
dalam ucapannya berkata, sebenarnya dua kali beliau memohon pekerjaan di PERKIM iaitu pada kali pertama iaitu selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di mana pada ketika itu PERKIM beroperasi di Balai Islam PERKIM, Jalan Ipoh dekat sini.

Hamidah kemudiannya mengambil keputusan untuk berhenti daripada PERKIM sementara kerana ingin melanjutkan pengajiannya dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setelah dua tahun selesai, beliau sekali lagi memohon untuk bekerja di PERKIM kerana mengetahui kerani kewangan PERKIM telah berhenti.

Ujar Hamidah lagi, beliau diterima bekerja di PERKIM sebagai kerani dan jurutaip pada November 1986 berbekalkan SPM, STPM dan Sijil Trengkas dengan gaji permulaan RM325.

Katanya, beliau dengan mualaf tidak asing bagi diri dan keluarganya kerana isteri pertama bapanya adalah mualaf berbangsa Cina diislamkan oleh bapanya manakala ibunya pula merupakan Cina Islam yang dipelihara oleh keluarga angkat berbangsa Melayu.

Jelas Hamidah, sejak kecil lagi, bapanya dilihat sering mengajar mualaf-mualaf Cina mengenai fardu ain dan agama Islam.

Tambah beliau lagi, adiknya juga berkahwin dengan mualaf berbangsa Siam yang telah disyahadahkan oleh Pegawai Dakwah PERKIM Bahagian Negeri Perlis, Haji Abdul Rahim Abdullah.

Beliau bersyukur kerana ditempatkan di Unit Kewangan yang sesuai dengan jiwanya di mana beliau mudah untuk memajukan diri dalam membuat kerja-kerja berkaitan akaun dan kewangan.

Hamidah turut berkongsi keseronokan bila diajar untuk membuat baucar, lejar, jurnal dan penyata bank serta bertambah seronok jika akaun yang dihasilkan itu seimbang.

Setiap pagi bekerja beliau senantiasa membuat perancangan dan penyusunan yang rapi agar kerja-kerja berkaitan kewangan dan perakaunan diselesaikan dengan sempurna tanpa membawa pulang kerja di rumah.

Bermula kerja dengan menggunakan mesin taip, buku jurnal dan lejar manual sehinggalah dinaik taraf ke sistem akaun berkomputer.

“Sepanjang karier, saya telah berkhidmat seramai tiga kepimpinan Yang Dipertua dan lapan kepimpinan Setiausaha Agung Kehormat selama di PERKIM,” jelas Hamidah.

Beliau bersyukur dapat dinaikkan gred jawatan selepas mendapat peruntukan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) malah dapat merasai kenangan manis iaitu bersahabat dengan rakan sekerja sekali gus mengenali kepimpinan PERKIM yang hebat seperti YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri serta Dato’-Dato’.

Selain itu, di PERKIM beliau berpengalaman berdakwah hingga ke pedalaman Sabah selama dua minggu dengan merentasi belantara, melawan arus sungai sejauh beratus kilometer untuk menyampaikan dakwah ke kampung-kampung.

Katanya, beliau juga diberi peluang untuk mengislamkan saudara baharu di Kampung Tinanduk, Pensiangan ketika berdakwah bersama Pengasas Misi As-Syahadah, Allahyarham Ustaz Fadli Yusof.

Saya terlalu menghargai pengalaman selama saya bekerja dengan PERKIM kerana saya dapat merasa berdakwah ke tiap-tiap negeri di Malaysia sehingga ke pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Kini, sudah 38 tahun saya berkhidmat di PERKIM dan tiba masanya untuk saya mengundurkan diri untuk memberi peluang kepada orang muda,” ujar Hamidah.

Beliau berharap, warga PERKIM dapat bekerja dengan penuh keikhlasan kerana apabila kita diterima bekerja ia adalah satu amanah dan tanggungjawab ditugaskan tanpa tertangguh.

Hamidah turut menggesa kakitangan mengamalkan sikap hormat-menghormati dan saling bekerjasama serta mengibaratkan mereka seperti sebuah keluarga supaya kehidupan lebih berkat dan bahagia.

Hamidah mengakhiri ucapannya dengan tiga buah rangkap pantun.


Sementara itu, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Dr Yusof Noor dalam ucapannya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Hamidah Ismail di atas segala jasa, khidmat bakti yang dicurahkan hingga tempoh perkhidmatan PERKIM.

Katanya, sudah tentu sudah ada perkara yang dirancang setelah bersara kelak dan kita bersama-samalah berdoa supaya Hamidah dapat jalani kehidupan dengan aman serta sejahtera.

Dr Yusof Noor berharap, Hamidah dapat terus memberi sokongan yang penuh kepada PERKIM meski pun telah bersara malah terus kempen mencari ahli PERKIM di kampung.

Istimewa majlis pada kali ini, kita raikan seorang pesara berbanding dalam majlis sektor kerajaan atau swasta kadang kala 30 hingga 60 pesara diraikan dalam majlis tersebut.

“Saya pasti, sumbangan besar Hamidah Ismail kepada PERKIM khususnya dalam dasar kewangan PERKIM tidak mungkin dapat dibalas dengan majlis keraian seumpama ini kerana, setiap idea, usaha dan pengorbanan yang telah mereka lakukan sepanjang berkhidmat terlalu besar maknanya.

“Proses perpindahan dari alam pekerjaan kepada persaraan, merupakan fitrah perjalanan seseorang yang berkerjaya dan sememangnya perlu ditempuhi.

“Persaraan yang dilihat sebagai sebuah pengakhiran dalam fasa kerjaya adalah satu permulaan kepada fasa kehidupan baharu, yang penuh cabaran untuk diterokai dalam mencari makna kehidupan.

“Walau bagaimanapun, perpisahan ini bukan bermakna sumbangan terhadap dakwah telah berakhir tetapi segala kemahiran, kepakaran dan pengalaman yang diperolehi semasa berkhidmat sebagai kakitangan PERKIM boleh dijadikan aset untuk terus bergiat aktif dan menyumbang terutamanya kepada agama Islam.

Di akhir majlis, Dr Yusof Noor menyampaikan sumbangan wang tunai dan hadiah persaraan kepada Hamidah Ismail diiringi Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Abdul Hanif Harun.

Majlis berakhir dengan jamuan makan.

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Pengarah Aset dan Pembangunan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Pembangunan Pendidikan dan Operasi PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad, Pengarah IDIPKL, Tuan Haji Mamat Che Chik serta Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin.


Nur Syahirah Musa mengacarakan Majlis Persaraan Hamidah Ismail.


Muhammad Jais Mariappan Abdullah memimpin doa pembuka majlis.


Warga dan kepimpinan PERKIM mengaminkan doa yang dibacakan.


Hamidah berkongsi kisah dan pengalamannya selama 38 tahun berkhidmat bersama PERKIM Kebangsaan.


Banyak pengalaman dan kenangan manis menggamit memori Hamidah ketika berkhidmat di PERKIM antaranya berdakwah di pedalaman Sabah.


Dr Yusof Noor merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Hamidah Ismail di atas sumbangan dan bakti perkhidmatan beliau ketika di PERKIM.


Dr Yusof Noor dan Dato’ Abdul Hanif Harun bersama-sama menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Hamidah.


Dr Yusof Noor diiringi Dato’ Abdul Hanif menyampaikan hadiah persaraan kepada Hamidah Ismail.


Dr Fatimah Abdullah mewakili SCORE menyampaikan sejambak bunga kepada Hamidah Ismail.


Kakitangan PERKIM Kebangsaan dan PERKIM Wilayah Persekutuan berkesempatan bergambar bersama Hamidah Ismail.


Warga PERKIM menikmati juadah makanan yang disediakan.


Warga PERKIM menikmati juadah laksa, kek dan kuih muih yang disediakan.

Related Articles

Back to top button