Aktiviti Kebajikan

PERKIM Beri Penghormatan Terakhir Kepada Allahyarhamah Saraswathy, Ibu Kepada Ustaz Jais

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 31 DISEMBER 2024 – Lebih 70 orang terdiri daripada pegawai serta kakitangan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL), Pusat Pemulihan Komuniti Strok (SCORE) PERKIM, Pelajar Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK), kaum keluarga dan waris menziarahi bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Saraswathy Khatigasu, 77, di Masjid Amru Ibnu Al-‘As, Bandar Baru Sentul, dekat sini.

Allahyarhamah Saraswathy merupakan ibu kepada Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah selaku Pegawai Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan.

Menurut Jais Mariappan, beliau bergegas dari pejabat ke kediamannya di Jalan Kolam Air setelah mendapat panggilan bahawa ibunya sedang nazak sekitar jam 4.30 petang semalam.

Selang beberapa minit kemudian dengan rasa penuh kesedihan, beliau memaklumkan bahawa ibunya yang tercinta telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 5 petang.

Mendengar perkhabaran duka tersebut, lantas beberapa orang kakitangan menziarahi Allahyarhamah sambil mengiringi bacaan ayat-ayat suci al-Quran, Surah Yasin, tahlil dan doa.

Pada keesokan pagi, jenazah ibunya di bawa ke Masjid Amru Ibnu Al-‘As diiringi kaum keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.

Kaum keluarga yang bukan Islam turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir buat Allahyarhamah.

Menurut Jais Mariappan, ibunya Allahyarhamah Saraswathy Khatigasu telah mendapat hidayah dan memeluk Islam pada tahun 2019 asbab keberkatan menjaganya dengan penuh kasih sayang selama beberapa tahun.

Allahyarhamah melihat sendiri kehidupan kami sekeluarga melaksanakan ibadah bermula dari awal pagi hingga ke malam beserta adab-adab dan akhlak yang dipamerkan menarik minat Allahyarhamah untuk memeluk Islam.

Setelah memeluk Islam, Allahyarhamah turut mengikuti Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan dan beberapa program serta aktiviti anjuran PERKIM dan jabatan agama.

Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin turut menziarahi dan memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Saraswathy.

Seusai dimandi dan dikafankan oleh waris dan ahli keluarga, jenazah Allahyarhamah Saraswathy disolatkan seramai lebih 60 orang jemaah dipimpin sendiri oleh anaknya, Ustaz Jais Mariappan.

Ustaz Jais Mariappan turut merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua yang hadir bagi menziarahi dan mengerjakan solat jenazah khusus buat Allahyarham ibunya.

Beliau juga memohon keampunan dan kemaafan sekiranya terdapat kesalahan serta kesilapan yang dilakukan sepanjang hayat Allahyarhamah ibunya.

“Jika ibu saya pernah berhutang, tuan-tuan boleh berjumpa dengan saya untuk diselesaikan,” ucap Ustaz Jais Mariappan dalam nada penuh kesedihan.

Jenazah Saraswaty kemudiannya dibawa menggunakan van jenazah sejauh 6.8 kilometer ke Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, KL- Karak untuk disemadikan.

Suasana pilu, hiba dan sedih semakin bertambah pada raut wajah ahli keluarga dan sahabat handai sejurus sahaja jenazah dimasukkan ke liang lahad lalu ditimbusi tanah.

Ketua Pengurusan Jenazah merangkap Imam Rakyat Masjid Amru Al-‘As, Ustaz Raja Abdul Halim Raja Abdullah memimpin bacaan talkin, tahlil beserta doa di akhir pengkebumian arwah ibu Jais Marippan.

Pegawai dan kakitangan PERKIM turut bersalaman dan menyampaikan salam takziah kepada Jais Mariappan dan ahli keluarganya sebelum beredar.

Warga dan Kepimpinan Tertinggi PERKIM Kebangsaan merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Jais Mariappan di atas pemergian ibunya yang tercinta. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.


Jenazah Allahyarhamah Saraswathy Khatigasu tiba di Masjid Amru Ibnu Al-‘As untuk dimandi, dikafan dan disolatkan.


Antara sebahagian Warga PERKIM Kebangsaan dan saudara baharu yang hadir di perkarangan masjid.


Ahli keluarga, waris, sahabat handai dan saudara baharu menziarahi Allahyarhamah seusai dimandikan.


Jenazah dibawa masuk ke dalam masjid untuk disolatkan.


Ustaz Jais Mariappan memimpin sembahyang jenazah Allahyarhamah ibunya yang tercinta.


Lebih 60 jemaah mengerjakan solat jenazah Allahyarhamah Saraswathy yang dipimpin oleh anaknya, Ustaz Jais Mariappan.


Ustaz Jais Mariappan memimpin doa kepada jenazah ibunya sambil diaminkan oleh jemaah.


Ustaz Jais Mariappan bersama ahli keluarga dan waris mengangkat jenazah ibunya ke dalam liang lahad.


Beberapa ahli keluarga yang bukan Islam turut memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah.


Ustaz Raja Abdul Halim (berbaju biru, tengah) memimpin bacaan talkin, tahlil dan doa ke atas jenazah Allahyarhamah Saraswathy.

Related Articles

Back to top button