Aktiviti Pendidikan

PERKIM Rai Kejayaan Mualaf Cemerlang

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

“Ilmu itu seperti satu cahaya yang menjadi penunjuk arah, tanpa cahaya seseorang itu akan tersesat dalam kegelapan,” kata Muhammad Jais Mariappan Abdullah.

Bagi yang baru memeluk Islam, mereka mengamalkan ajaran Islam dengan ilmu yang mereka peroleh selepas menghadiri kursus atau kelas pengajian Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) yang disediakan.


Jais yang juga Penyelaras Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) berkata, penganjuran kelas khusus kepada saudara baharu telah bermula sejak 1970 serta ia diadakan secara harian dan mingguan.

Beliau berkata ketika di Majlis Penyampaian Anugerah Kelas KPIPK anjuran PERKIM Kebangsaan bertempat di Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM – Kuala Lumpur (IDIP-KL), Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur pada 25 Ogos 2019 lalu.

Majlis yang memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada pelajar KPIPK itu dihadiri seramai 100 pelajar saudara baharu berketurunan Cina, India, Kadazan, Bidayuh, Murut dan warga dari negara Thailand, Filipina dan Indonesia.

Turut hadir ialah pimpinan PERKIM, Penolong Setiausaha Agung Kehormat, Datuk Hasbullah L. Isa; Pengarah IDIPKL, Dato’ Abdul Hanif Harun; Pengarah Program dan Pentadbiran, Mamat Che Chik serta tenaga pengajar PERKIM, Sulaiman Ding Yu Zhong, Muhammad Farhan Tee Abdullah, Mohd. Saiful Vijia Abdullah, Zulyadain Mohd. Radzi, Yus Ondri, Muhammad Ramlee Mahmud, Nik  Syahriman Nik Mat, Dr. Aisyah Jamian, Khadijah Ishak, Khadijah Dingjan.

Menurut Jais, ia bertujuan untuk meraikan kejayaan saudara baharu yang telah bersungguh-sungguh memberikan komitmen di dalam pelajaran di kelas PERKIM.

Ia bersandarkan Hadis Riwayat Ibnu Majah yang bermaksud: Rasulullah SAW bersabda: “Menuntut ilmu itu wajib atas setiap Muslimin dan Muslimat”.

“Dengan ada kelas tersebut, kita mengadakan beberapa aktiviti kelas, peperiksaan, pertandingan azan, tilawah al-Quran, hafazan dan kuiz pengetahuan Islam,” ujar Jais yang juga Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM Kebangsaan.

Selain itu, majlis bertujuan untuk mencari siapakah di antara mereka yang terbaik dan mencungkil bakat mereka sekali gus menilai tahap kefahaman mata pelajaran yang diambil.

Antara mata pelajaran ialah Asas Fardu Ain, Akidah, Fekah, Solat, Taharah, Bahasa Arab, Iqra’, al-Quran, Tajwid, Sirah, Akhlak, Syahadah, Taranum, Tafsir, Hadis 40, Tasawuf yang diajar dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil, Thai dan Tagalog.

Jais turut memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Mujadilah, ayat 11 bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.”

Dengan adanya kelas PERKIM, sedikit sebanyak akan membantu mualaf untuk mengetahui ilmu fardu ain dan mengenali lebih rapat dengan Pencipta mereka.

Majlis itu dirasmikan oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.


Dr. Yusof Noor dalam ucapannya berkata, program tersebut menghargai kejayaan yang dicapai oleh pelajar yang mengikuti KPIPK dalam pelbagai bahasa.

“Terdapat pelbagai bangsa dan keturunan di hadapan saya, tetapi saya tidak  mampu untuk bertutur dalam pelbagai bahasa,” katanya.

Jelas beliau, pelajar harus bersyukur kerana di waktu zaman persekolahan dahulu, tiada kelas untuk belajar agama dalam pelbagai bahasa.

Katanya, Islam di Malaysia ini dianuti oleh pelbagai kaum, berbeza di setengah-setengah negara lain penganutnya hanya mempunyai satu bangsa sahaja.

Mengikut sejarah Tanah Melayu, rakyat berbilang kaum akan menganut agama yang dianuti oleh rajanya. Apabila Sultan memeluk Islam, rakyat berbilang kaum akan mengikut secara sukarela tanpa dipaksa.

Jadi masyarakat Islam di Malaysia sebenarnya sudah mula berfikir bagaimana hendak memahami pelbagai bahasa kerana bahasa merupakan satu alat yang penting untuk berhubung antara satu sama lain.

Jelas Dr. Yusof Noor, Tanah Suci Kota Mekah merupakan tempat tumpuan umat Islam pelbagai bangsa dari seluruh dunia untuk mereka melakukan ibadah yang menggunakan satu bahasa sahaja iaitu bahasa Arab walaupun mereka tidak dapat berkomunikasi antara berlainan bangsa.

Mereka tidak boleh menggantikan bacaan dalam sembahyang dalam terjemahan bahasa kerana hikmahnya Allah SWT telah mengikatkan hubungan antara orang-orang Islam yang berbilang bangsa.

Walau kita pergi ke seluruh pelusuk negara, ketika mereka solat mereka akan membaca dengan menggunakan bahasa al-Quran.

Kita berusaha untuk mencapai kesempurnaan mengikut hadis Rasulullah SAW walaupun tidak dapat melakukan seberapa banyak perkara-perkara sunnah.

Dr. Yusof Noor turut merakamkan penghargaan dan tahniah di atas kecemerlangan pencapaian semua peserta serta memberi sokongan yang masih belum berjaya supaya meneruskan usaha hingga ke tahap terbaik.

Katanya, perkara paling baik ketika berdoa ialah memahami permintaan yang dihajati dan menggunakan doa yang difahami oleh para hadirin.

“Jika mengaminkan doa tersebut tanpa memahami pengertian ianya tiada masalah tetapi kita mengharapkan doa yang baik itu diperkenankan Allah SWT,” ulasnya.

Ia bersandarkan dengan firman Allah SWT menerusi Surah Qaff, ayat 16 bermaksud: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.”

Menurutnya, kadang kala kita melihat pelbagai ragam ketika doa dibacakan kerana ada di antara mereka bermain dan sempat bergurau senda kerana tidak memahami kandungan doa yang dibacakan.

Ramai yang menangis ketika mereka berdoa di Mekah kerana mereka meminta dengan penuh kesungguhan dan penghayatan yang mengharapkan  pengampunan dosa-dosa mereka daripada Tuhan Yang Maha Pengampun.

Kata Dr. Yusof Noor lagi, IDIPKL turut mengadakan kelas perbandingan agama dan latihan kader dakwah kepada mereka yang mempunyai kelulusan tertentu dalam bentuk kursus, forum, dialog dan ceramah.

“IDIPKL akan melahirkan pendakwah yang bukan hanya mahir dalam ilmu al-Quran dan Hadis sahaja, tetapi mereka mempunyai keperibadian terpuji, berilmu, merendah diri malah serba berkebolehan yang secara tidak langsung menjadikan dia seorang daie,” jelasnya.

Beliau meminta pelajar supaya mengamalkan ilmu yang telah dipelajari seperti mana membaca al-Quran, walaupun kitab suci itu sering dibaca tetapi kita perlu mengulangi amalan tersebut sekali gus memahaminya.

Dr. Yusof Noor turut menyampaikan trofi, sijil anugerah dan wang tunai kepada pelajar cemerlang tahap asas, pertengahan dan lanjutan.

Adam Lee Abdullah menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Tahap Asas manakala Muhammad Asok Abdullah penerima kedua dan tempat ketiga diterima oleh Hajirah Selvarani Abdullah.

Anugerah pelajar cemerlang tahap pertengahan pula diterima oleh Mohd. Aliff Nazir N Chew diikuti Muhammad Amin Sim Abdullah di tempat kedua dan penerima ketiga ialah Aminah Kanokwan.

Pelajar cemerlang tahap lanjutan dianugerahkan kepada Soffiah Petty Abdullah manakala penerima kedua diraih Muhammad Firdaus Andi dan Norismah Abdullah di tempat ketiga.

Dr. Yusof Noor turut menyampaikan sijil anugerah dan trofi juara pertandingan Islam kepada Ali Abdullah manakala juara pertandingan azan diraih oleh Mohd. Firdaus Abdullah, dan juara hafazan diterima oleh Adam Lee Abdullah.

Rashidah Begum merangkul johan pertandingan tilawah al-Quran kategori mualaf dan kategori Muslim pula dijuarai oleh Fauziah Ibrahim.

Juara pertandingan laungan azan, hafazan, tilawah al-Quran menyerikan persembahan di akhir majlis.

 

[youtube url=”https://www.youtube.com/watch?v=FXhGCoRW6iU&feature=youtu.be” width=”560″ height=”315″]

Kelas Asas

  1. Adam Lee Abdullah (Anugerah Pelajar Cemerlang)
  2. Muhammad Asok Abdullah (Anugerah Pelajar Terbaik)
  3. Hajirah Selvarani Abdullah (Anugerah Pelajar Baik)

Kelas Pertengahan

  1. Mohd Aliff Nazir N Chew (Anugerah Pelajar Cemerlang)
  2. Muhammad Amin Sim Abdullah (Anugerah Pelajar Terbaik)
  3. Aminah Kanokwan (Anugerah Pelajar Baik)

Kelas Lanjutan

  1. Sofiah Petty Abdullah (Anugerah Pelajar Cemerlang)
  2. Muhammad Firdaus Andi (Anugerah Pelajar Terbaik)
  3. Norismah Abdullah (Anugerah Pelajar Baik)

Pertandingan Pengetahuan Islam

  1. Ali Abdullah
  2. Mohd Aliff Nazir N Chew
  3. Adam Lee Abdullah
  4. Wani Saleha
  5. Muhammad Asok Abdullah

Pertandingan Laungan Azan

  1. Mohd Firdaus Abdullah
  2. Zaini Wong Abdullah
  3. Muhammad Awsam Sadial Abdullah
  4. Zaid Lim
  5. Muhammad Rasul

Pertandingan Hafazan

  1. Adam Lee Abdullah
  2. Aisha Acuna
  3. Ali Abdullah
  4. Sarah Mendoza Abdullah

Pertandingan Tilawah al-Quran (Mualaf)

  1. Rashidah Begum
  2. Nuraini Khadijah Tan Abdullah
  3. Sarah Mendoza Abdullah
  4. Mohd Firdaus Abdullah
  5. Aisha Acuna

Pertandingan Tilawah al-Quran (Muslim)

  1. Fauziah Ibrahim
  2. Raimah Hussin
  3. Azizah Musa
  4. Hasmah Hassan
  5. Azniza Abd Hamid

 


Antara 100 saudara Muslim yang hadir di Majlis Penyampaian Anugerah KPIPK 25 Ogos lalu.

 


Dr. Yusof Noor menyampaikan amanat dan ucapan perasmian kepada pelajar.

 


Adam Lee menerima trofi dan sijil anugerah pelajar cemerlang tahap asas dari Dr. Yusof Noor.

 


Dr. Yusof Noor menyampaikan sijil dan trofi anugerah pelajar cemerlang tahap pertengahan kepada Mohd. Ariff N Chew.

 


Setiausaha Agung PERKIM menyampaikan sijil dan trofi anugerah pelajar cemerlang tahap lanjutan kepada Soffiah Petty Abdullah.

 


Rashidah Begum menjuarai pertandingan tilawah al-Quran kategori mualaf.

 


Adam Lee selaku juara pertandingan hafazan menerima sijil dan trofi daripada Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.

 


Dr. Yusof Noor menyampaikan penghargaan kepada Ali Abdulah selaku juara pertandingan pengetahuan Islam.

 


Juara pertandingan azan, Mohd. Firdaus Abdullah menerima trofi daripada Dr. Yusof Noor.

 


Fauziah Ibrahim menerima trofi dan sijil anugerah juara pertandingan Tilawah al-Quran kategori Muslim daripada Dr. Yusof Noor.

 


Nik Syariman selaku tenaga pengajar PERKIM menerima sijil dan sebatang pen daripada SUA PERKIM.

 


Sulaiman Ding yang mengajar ilmu Islam dalam bahasa Mandarin menerima sijil penghargaan dan sebatang pen daripada Dr. Yusof Noor.

 


(Dari kiri:) Adam Lee Abdullah, Mohd. Aliff Nazir N Chew dan Soffiah Petty Abdullah merupakan pelajar cemerlang kelas asas, pertengahan dan lanjutan KPIPK.

 


(Dari kiri): Rashidah Begum (johan tilawah mualaf), Adam Lee Abdullah (johan hafazan), Ali Abdullah (johan pengetahuan Islam), Mohd. Firdaus Abdullah (johan azan) dan Fauziah Ibrahim (johan tilawah Muslim).

 


Pengurusan tertinggi PERKIM berkesempatan bergambar bersama-sama pelajar KPIPK.

Related Articles

Back to top button