PERKIM, PPZ, MAIWP, KFH Anjur Program Nur Hidayah
Oleh: MUHAMMAD FARHAN TEE ABDULLAH
“Sesungguhnya Allah yang mewajibkan kepadamu (mengamal dan menyampaikan) Al-Quran (wahai Muhammad) sudah tentu akan menyampaikan engkau lagi kepada apa yang engkau ingini dan cintai. Katakanlah (kepada kaum yang menentangmu) : ‘Tuhanku amat mengetahui akan sesiapa yang membawa hidayah petunjuk dan sesiapa pula yang berada dalam kesesatan yang nyata’“ (al-Qasas: 85)
Baru-baru ini Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP) telah menganjurkan Program Nur Hidayah dengan kerjasama Kuwait Finance House (KFH), Baitulmal Wilayah Persekutuan dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan bertempat di Surau Bangunan Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 25 Ogos 2013 lalu.
Program julung kali diadakan melibatkan kolaborasi di antara empat pihak itu dihadiri seramai 200 orang peserta Saudara Muslim yang terdiri daripada pelbagai bangsa, latar belakang, dan warna kulit hadir untuk memeriahkan program ini.
Ia bertujuan memberi kefahaman kepada para peserta berkenaan agama Islam melalui ceramah, perkongsian pengalaman dan forum perdana.
Selain itu, ia juga bagi memberikan penerangan ringkas kepada peserta mengenai peranan Baitulmal dan sedikit sebanyak berkenaan latar belakang Kuwait Finance House (KFH) sebagai satu promosi kepada peserta mengetahui dengan lebih lanjut mengenai bantuan dan skim yang ditawarkan kepada masyarakat Islam.
Tujuan utama program ini adalah untuk melihat kerjasama yang terbentuk melalui Program Nur Hidayah dengan menampilkan wajah-wajah Saudara Muslim yang dijemput khas bagi berkongsi ilmu dan pengalaman sepanjang bergelar mualaf.
Pada masa yang sama, kaunter PPZ-MAIWP, KFH dan Baitulmal Wilayah Persekutuan turut dibuka di Lobi Bangunan Perkim kepada pengunjung yang hadir untuk mengetahui mengenai kiraan zakat dan skim bantuan yang ditawarkan.
Lebih menceriakan suasana, artis terkenal, Adam Corrie Lee Abdullah dan Yatt Hamzah turut hadir untuk mendengar perkongsian ilmu yang disampaikan dan secara tidak langsung beramah mesra dengan para peserta.
Ahmad Suhaimi Yahya selaku Ketua Serantau Syariah Kuwait Finance House (KFH) menyampaikan ucapan aluan dalam membuka tirai majlis pada hari tersebut. Beliau yang mewakili Pengerusi KFH berasa gembira kerana pertama kali hadir dan bersama-sama peserta pelbagai kaum.
“Keuntungan yang diperoleh melalui kerjasama sebegini adalah sebagai caring corporate citizen sebagai tanda terima kasih kepada pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Adalah menjadi tanggungjawab sosial kami dalam mengembalikan keuntungan semula kepada masyarakat,” jelas beliau.
Ketua Unit Ekonomi Pembangunan Asnaf Baitulmal, MAIWP, Mohd. Saiful Hafiz Abdullah menjelaskan mengenai tanggungjawab Baitulmal Wilayah Persekutuan dalam memberi pulangan kepada asnaf yang layak untuk dibantu.
“Rata-rata banyak yang memohon untuk membayar sewa rumah kerana faktor ekonomi segeralah ke Baitulmal dan pihak kami akan usahakan perkara ini. Sekiranya layak, Baitulmal akan meluluskan permohonan tuan puan,” ujarnya.
Terdapat 28 jenis skim bantuan yang disediakan untuk golongan asnaf, di antaranya ialah bantuan perniagaan, deposit sewa beli teksi, perniagaan, pengajian tinggi, perkahwinan, kewangan bulanan dan sebagainya.
Majlis diteruskan lagi dengan ceramah yang bertajuk “Hidayah Adalah Hadiah Daripada Allah SWT” oleh Hj. Mohd. Adam Lee Abdullah (Naib Pengerusi MACMA Selangor). Beliau menceritakan pengalaman memeluk Islam dan menekankan pelbagai ujian yang diberi oleh Allah SWT sebenarnya menambahkan iman di dalam diri.
Semakin kuat seseorang itu menghadapi ujian ini, semakin tinggi darjat yang Allah akan berikan kepada mereka. Beliau turut memberikan semangat dan motivasi kepada seluruh peserta agar tidak mudah terpengaruh dengan anasir negatif yang merosakkan imej Islam.
‘Ku Temui Cinta Hakiki’ merupakan tajuk slot yang disampaikan oleh ahli kumpulan nasyid Saffiya, Leia Az-Zahra.
Beliau yang berketurunan Kadazan menceritakan kembali kisah pengalaman beliau mencari hidayah dan saat ketika memeluk Islam pada Oktober 2007.
“Jika diimbas kembali sejarah silam, saya tercari-cari siapakah Tuhan saya yang sebenar. Pada masa yang sama, saya akan merasa tenang apabila azan dilaung dan ayat-ayat suci Al-Quran dibacakan. Saya yang beragama Kristian ketika itu mula beralih sedikit demi sedikit mencari kebenaran Islam,” terangnya dalam perasaan sebak.
Majlis kemudiannya dihiburkan seketika dengan persembahan daripada Kumpulan Qasidah Ar-Rayyan. Kumpulan ini telah ditubuhkan pada Jun 2012 yang diwakili seramai 13 orang ahli. Pelbagai lagu qasidah telah dipersembahkan bagi menaikkan ingatan peserta kepada junjungan Nabi Muhammad SAW.
Istimewanya, kumpulan ini mempunyai kelengkapan alat muzik tersendiri bagi menceriakan suasana. Kumpulan ini juga sempat mendendangkan lagu qasidah yang terkenal bertajuk Ya Hanana.
Aturcara disambung semula dengan Forum Bicara Selebriti bertajuk ‘Insan Terpilih’.
Moderator yang mengendalikan forum ini ialah Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman yang kini berkhidmat di Pusat Pungutan Zakat. Sementara itu, dua ahli panel yang dijemput khas ialah Ustaz Ebit Liew (pendakwah bebas) dan Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang (penceramah dan penulis bebas).
Di antara mutiara kata yang disampaikan oleh Ustaz Ebit Liew ialah Islam itu sangat mahal dan berharga. Seseorang yang memeluk Islam itu disayangi Allah dan perlu bersyukur kerana hidayah itu tidak mudah untuk dikecapi.
“Kita tidak boleh benci orang bukan Islam kerana mereka tidak memahami Islam yang sebenarnya,” jelas beliau.
Selain itu, Ustaz Norhisyam pula menjelaskan bahawa nilai Islam bukan di nilai pada pangkat seseorang. Penekanan ilmu sangat penting untuk menguatkan aqidah. Ia juga bertujuan untuk mengenali Allah SWT dengan lebih baik.
Beliau turut mengungkap kembali kisah Nabi Musa a.s dan Firaun, yang membuktikan kekuatan aqidah ahli sihir pada masa itu yang terus beriman kepada Allah setelah melihat kejadian ular Nabi Musa a.s yang menelan kesemua ular ciptaan mereka.
“Setelah iman berada dalam hati, ahli sihir dibunuh kerana tidak mengaku Firaun sebagai Tuhan, sebaliknya mereka hanya bergantung harap kepada Allah SWT. Begitulah golongan tersebut akan berada di dalam syurga kerana melihat mukjizat Nabi musa a.s dan terus beriman kepada Allah,” cerita beliau lagi.
Di dalam pusingan kedua pula, Ustaz Ebit Liew sempat menceritakan kisah mengenai seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang bernama Abdullah bin Huzafah Al-Sahmi yang diutuskan oleh Rasulullah SAW untuk menyebarkan dakwah Islam kepada pemerintah dan raja-raja yang masih belum menerima Islam pada masa itu.
“Ketika beliau ditangkap oleh Raja Rom, beliau ditawarkan separuh kerajaan Rom agar meninggalkan Islam, namun ditolak oleh Abdullah Huzafah. Sahabat beliau dibunuh seorang demi seorang di depan mata, tapi masih tidak melunturkan kepercayaan beliau di dalam Islam. Begitulah kekuatan aqidah beliau terhadap Allah SWT yang tidak mempu menggugat iman seseorang apabila ia bertakhta di dalam hati,” ujar beliau.
Setelah tamat forum tersebut, acara majlis perasmian penutup dilakukan dengan dimulakan penyampaian hadiah cabutan nombor bertuah yang disampaikan oleh Dato’ Hj. Mustafa Abdul Rahman selaku Pengerusi PPZ-MAIWP dan Datuk Hj. Hasbullah L. Isa selaku Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan.
Dalam ucapan perasmian tersebut, Mustafa meluahkan perasaan gembira kerana melihat program tersebut berjalan lancar melalui kerjasama di antara pihak yang terlibat. Beliau turut mengharapkan agar program ini memberi kesan dan banyak memberi input kepada Saudara Muslim dan sasaran PPZ-MAIWP kepada golongan ini.
“Selain itu, PPZ-MAIWP juga bertindak memberi maklumat dan cuba membantu Saudara Muslim untuk mendapat peluang yang diingini menerusi agensi berkaitan,” jelas beliau.
Sementara itu, Hasbullah menjelaskan Saudara Muslim merupakan core business Perkim selama ini kerana pelbagai program dan aktiviti yang diadakan kepada pelbagai kaum termasuk di perkampungan Orang Asli.
Kami juga membantu Saudara Muslim yang berminat untuk melakukan perniagaan hasil suntikan dana yang diberikan kepada Perkim Kebangsaan,” kata beliau.
Jelas Hasbullah, Perkim Kebangsaan menerima kerjasama yang baik daripada agensi kerajaan dan badan korporat serta mengucapkan jutaan terima kasih kepada PPZ-MAIWP, KFH dan Baitulmal Wilayah Persekutuan yang pernah menyumbang kepada Perkim.
Semua hadirin mendirikan solat Zohor berjemaah sebelum menikmati hidangan makan tengah hari dan bersurai.
Lagi gambar @