Aktiviti DakwahAktiviti Kelab PERKIM

PERKIM Latih KPU Kepimpinan Dakwah

oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI


“Kita sudah kerap kali berdakwah kepada Masyarakat Orang Asli  yang jumlahnya tidak sampai 200,000 orang, saya tidak melarang dan menghalang dakwah kepada orang asli, namun fokuskan juga kepada non-muslim yang lain,” kata Prof. Dr Mohd. Ridhuan Tee Abdullah.

“Dari segi susunan, majoriti non-muslim terbesar ialah orang Cina iaitu 6.5 juta, keduanya ialah bumiputera di Sabah dan Sarawak dan yang terakhir ialah orang India tidak sampai 2 juta,” ujar beliau.

 Dr Ridhuan Tee selaku Naib Yang DiPertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) berkata ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup Kelab PERKIM Universiti (KPU) Leadership Retreat bertempat di Asia Camp, Ampang Pechah Road, Kuala Kubu Bharu pada 22 hingga 24 November 2019 lalu.

Program tersebut disertai seramai 120 mahasiswa dari KPU Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, UIAM Pagoh, Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) MICET, Universiti Tun Abdul Razak (UniRAZAK), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) dan Kuala Lumpur Metropolitan Universiti College (KLMUC).

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM (UPPP), Mohd. Yusof Ahmad; Pegawai UPPP, Muhammad Farhan Tee Abdullah.

Dr Ridhuan Tee juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Kecil KPU menegaskan bahawa, dakwah ini perlu ada fokus siapa sasaran kita dan seperti mana kita tahu bilangan Orang Asli adalah terhad.

Katanya, KPU boleh mendekati golongan non-muslim terbesar iaitu masyarakat Cina kerana jika dikaji serta diselami kepercayaan dan adat budaya masyarakat tersebut, mereka sebenarnya tidak mempunyai agama.

Jelas beliau, Buddha bukan agama kerana ia adalah suatu kefahaman dan orang yang tiada agama ini mudah untuk didakwah berbanding dengan agama-agama lain.

“Saya tidak perlu ada jawatan untuk berdakwah, tetapi apabila saya telah diamanahkan sebagai Pengerusi KPU, saya akan cuba melaksanakan sehabis baik.

“Saya berharap program-program seperti ini dapat diadakan dua atau tiga kali setahun dan di pelbagaikan supaya kita dapat terjun ke medan dakwah yang sebenar,” kata Dr Ridhuan Tee.

“Kita boleh mulakan dakwah dengan mengedar risalah dan berjumpa masyarakat selama dua atau tiga jam sambil memperkenalkan keindahan serta kecantikan Islam. Isu-isu mengenai dakwah ini perlu bercakap dan tidak boleh diam sahaja.

“Islam ini bermula dengan seorang dan dikembangkan oleh mualaf-mualaf yang memeluk Islam sepertimana contoh ikutan kita Nabi Muhammad SAW bersama sahabat-sahabatnya.

Kelak PERKIM akan mengadakan teknik berdakwah, cara memulakan dakwah, mendekati masyarakat serta berdakwah dengan pelbagai cara kepada KPU.

“Saya harapkan latihan yang diadakan di sini kita terjemahkan di lapangan. Besar ganjaran pahalanya dalam melaksanakan kerja-kerja dakwah sehingga orang itu berjaya memeluk Islam.

“Saya yakin apabila kamu berjaya bawa seseorang masuk Islam, kamu akan rasa kemanisan dalam hidup ini dengan mengislamkan seseorang itu sesuatu yang besar, itulah perbezaan KPU dengan kelab-kelab yang lain di universiti atau kolej,” kata Dr Ridhuan Tee.

Tuhan menyeru umat Islam untuk berdakwah, bukan hanya golongan agamawan sahaja dan tidak kira walau apa bidang sekali pun, berdakwah adalah kewajipan semua kerana Rasulullah SAW bersabda mafhumnya “Sampaikan lah daripada aku walaupun satu ayat”.

Beliau berharap supaya mahasiswa janganlah hanya melaksanakan aktiviti sahaja, malah berusaha untuk menambahkan ahli KPU kerana apabila kita menjadi ahli KPU, kita ada perasaan tanggungjawab sedikit untuk menyampaikan Islam.

“Saya mahu meneruskan legasi Pengasas PERKIM, AlMarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang berjaya mengislamkan Tan Sri Umar Ong Loke Lin, Tan Sri S.O.K Ubaidulla Kadir , Tan Sri Dr Abdul Mubin Sheppard dan ramai lagi,” ujarnya.

Tegas beliau, mahasiswa KPU berkempenlah mencari ahli seramai mungkin kerana kita akan menyediakan platform untuk menyampaikan ilmu sebanyak mungkin untuk meneruskan kerja-kerja dakwah.

Tambahnya, program seperti dakwah jalanan amat penting kerana dapat ia dapat berinteraksi sambil menyampaikan risalah kepada orang ramai di samping dapat melihat keindahan alam.

“Saya akan menyokong inisiatif yang diambil oleh KPU seperti berdakwah kepada gelandangan kerana golongan ini akan hilang akidah mereka apabila perut mereka lapar,” ulas beliau.


Sementara itu penyelaras program, Siti Munirah Sayed Mohd. Hamdan, program tersebut merupakan program tahunan bagi KPU untuk menghimpunkan 22 KPU dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan IPT Swasta (IPTS) dari seluruh Malaysia.

Katanya, program itu bukan sahaja untuk memberi ilmu kepimpinan dakwah malah membina semangat dan keyakinan diri sebagai seorang pemimpin melalui aktiviti ‘team building’ yang menguji daya ketahanan fizikal dan mental.

Kata Munirah, ia dapat membina dan menjalinkan kembali rangkaian di antara KPU, mempelajari kaedah kerja berkumpulan, membina hubungan dan mempelajari teknik dakwah berkesan.

Diharap ia dapat diteruskan pada setiap sesi sidang kepimpinan KPU agar setiap pemimpin berpeluang menimba ilmu dan pengalaman ketika memegang tampuk KPU di universiti masing-masing.

Turut diadakan ceramah bertajuk ‘Mission Focus Leader’ disampaikan Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraa Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Jaysuman Pusppanathan manakala Presiden Briged Bakti Malaysia, Dato’ Dr Abd Razak Kechik pula menyampaikan tajuk ‘Memimpin Gerakan Dakwah’.

Peserta dibahagikan kepada 12 kumpulan dengan nama Jantung Pisang Pyoor, Peria Ceria, Geli-Geli Champ, Timun Rangers, Pegaga Gagah, Ulam Raja Mantop, Diam-Diam Ubi Berisi, Serai Wangi Serangi, Kaduk Terciduk, The Amazing Kantan, Mengkudu Oshem dan Petai Warrior.

Turut diadakan, latihan dalam kumpulan (LDK), fizikal kembara halangan, cabaran bangunkan menara, kembara malam, cabaran membina rakit dan keupayaan mengapung diri di air.

Forum bertajuk ‘Kepimpinan Dalam Kelab PERKIM Universiti’ dipengerusikan oleh Siti Zaleha Mustofa selaku bekas Timbalan Presiden KPU UIAM Gombak.

Ahli panelnya ialah bekas KPU UniKL MIIT, Mohd. Iqmal Azim Mohd Termeze; bekas Yang DiPertua KPU Unikl MIIT, Rozaimie Harun dan Yang Dipertua KPU UPSI, Kamal Khairi.


Sebelum itu, Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Datuk Hasbullah L. Isa berkata, ada di antara ahli-ahli alumni KPU masih menegur saya jikalau berjumpa di luar. Majoriti daripada mereka telah bekerja di pelbagai sektor tetapi mereka masih memberikan khidmat dan membantu PERKIM.

Kata Hasbullah, saya harapkan mahasiswa bukan sekadar bersama dengan PERKIM pada masa sekarang, malah tamat pengajian teruskan jiwa bersama PERKIM kerana PERKIM adalah  sebagai satu wadah, sebagai satu badan dakwah serta kebajikan untuk kita sama-sama berjuang menyampaikan risalah-risalah Islam ini kepada semua masyarakat walau di mana kita berada.

“Walau di mana kita bekerja yang penting risalah ini disampaikan kerana PERKIM merupakan sebuah organisasi yang cukup istimewa di mana ia adalah pertubuhan terawal yang ditubuhkan oleh Tunku yang ketika itu merupakan Perdana Menteri pertama.

Menurut Hasbullah, PERKIM ini ditubuhkan untuk menjadi pengikat kepada perpaduan ummah kerana agama Islam itu sendiri menjadi pengikat Muslim. Jika dilihat PERKIM pada namanya tidak disebutkan agama atau berdakwah namun di dalam kebajikan itu terkandung dakwah, pendidikan serta ada kerjasama kita dengan sesiapa sahaja dalam gerak kerja menuju kepada Allah ini.

“PERKIM terdapat di seluruh Malaysia kecuali di Sabah kerana di Sabah kita mempunyai badan gabungan iaitu Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA).

“Semua matlamat organisasi Islam adalah sama iaitu ke arah satu matlamat yang sama untuk menyampaikan risalah Islam dan istimewanya dan bertuahnya kita dalam PERKIM kerana walaupun di PERKIM terdapat berlainan bangsa tetapi satu agama serta satu akidah.

“Ilham penubuhan PERKIM bukanlah sembarangan, ia muncul di Mekah ketika Tunku menunaikan ibadah fardu haji, beliau melihat jemaah dari pelbagai negara dan berbeza-beza warna kulit tetapi bersatu dan mengucapkan kalimah serta solat yang sama.

“Maka Tunku terfikir ketika berada di Malaysia terdapat pelbagai bangsa dan boleh disatukan di PERKIM dan tercetuslah ia sehingga ke hari ini.

“Kita mesti meneruskan perjuangan Tunku serta mahu masyarakat kita tahu apa itu Islam serta tertarik dengan Islam. Walaupun mereka tidak memeluk Islam tetapi mereka tidak protes dan tidak membantah dengan pelaksanaan Islam serta ibadah yang diamalkan oleh orang Islam.

“Kita sebagai pendakwah perlu sampaikan kepada mereka dan menunjukkan contoh kepada yang belum Islam mengenai kebaikan serta keindahan Islam,” jelas Hasbullah.

Justeru, kita dalam PERKIM mengharapkan mahasiswa KPU bakal menjadi pemimpin dan daie pada masa akan datang sekali gus meramaikan ahli PERKIM supaya urusan kerja dakwah dan lain-lain mudah dilaksanakan.

Bukan sekadar ceramah sahaja tetapi lebih berkesan berdakwah dengan cara dakwah bil hal, pendekatan secara aktiviti sukan dan lain-lain.

“Janganlah kita nama sahaja Islam, tetapi dalam kerja-kerja dakwah Islam ini kita tidak lakukan dan kita perlu terus berusaha menyampaikan Islam walaupun hidayah itu milik Allah,” kata Hasbullah.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian sijil penyertaan kepada peserta oleh Dr Ridhuan Tee.

Majlis berakhir dengan penyampaian hadiah kepada peserta kumpulan dan kumpulan terbaik masing-masing disampaikan oleh urus setia dan pemudah cara.


Hasbullah memimpin solat fardu bersama mahasiswa KPU.


Program dimulakan dengan doa pembuka majlis.


Hasbullah merasmikan pembukaan KPU Leadership Retreat bagi mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr Mohd. Yusof Noor.


Mahasiswa berkesempatan bergambar bersama tetamu kehormat PERKIM.


Mahasiswa KPU dalam sesi ice breaking dan latihan berkumpulan.


Senamrobik merupakan aktiviti kecergasan fizikal yang dilakukan pada pagi hari.


Dr Jaysuman Pusppanathan menyampaikan sesi ceramah bertajuk ‘Mission Focus Leader’  kepada peserta program.


Dato’ Dr Abd Razak Kechik pula menyampaikan sesi ceramah bertajuk ‘Memimpin Gerakan Dakwah’.


Antara aktiviti obstacle courses yang menjadi satu cabaran bagi mahasiswa KPU.


Mahasiswa KPU cuba menyeberangi titi dalam aktiviti obstacle courses.


The Tower Challenge yang menjadi satu aktiviti kerjasama dan komunikasi yang terbaik antara ahli kumpulan.


(Dari kiri:) Siti Zaleha Mustofa, Kamal Khairi, Rozaimie Harun dan Mohd. Iqmal Azim Mohd. Termeze menjayakan forum bertajuk Kepimpinan Dalam Kelab PERKIM Universiti.


Dr. Ridhuan Tee menegaskan kepada mahasiswa KPU supaya berdakwah kepada kaum majoriti bukan Islam di Malaysia.


Mahasiswa KPU UniSHAMS menerima sijil penyertaan daripada Dr Ridhuan Tee (tengah).


Mahasiswa merakamkan kenangan manis bergambar bersama Naib Yang DiPertua PERKIM, Prof. Dr Mohd. Ridhuan Tee Abdullah.


Mahasiswa diuji dengan cabaran membina rakit dalam aktiviti water rafting.


Mahasiswa KPU bergembira kerana dapat menyiapkan rakit melalui hasil kerja berkumpulan.


Keyakinan terserlah setelah mahasiswa KPU dapat mengimbangkan rakit mereka dan memulakan dayungan.


Bukan hanya berdayung, mahasiswa KPU turut menggunakan kaki dan tangan mereka bersama-sama untuk menggerakkan rakit ke tebing.


Antara peserta lelaki terbaik, Amin dari KPU KUIPSAS menerima sebuah hamper dari Farhan Tee.


Pemudah cara menyampaikan sebuah hamper kepada Nadia yang memenangi peserta wanita terbaik KPU Leadership Retreat.

[youtube url=”https://www.youtube.com/watch?v=FrHUtVg4FlE” width=”700″ height=”467″]

[youtube url=”https://www.youtube.com/watch?v=0ONIImgMK-4&t=2464s” width=”700″ height=”467″]

Related Articles

Back to top button