Aktiviti Dakwah

PERKIM Latih Da’i Bengkel Dakwah Kontemporari

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

“Ini merupakan usaha kita dalam melebarkan dakwah kepada masyarakat supaya mereka memahami ajaran Islam yang sebenar kerana mereka telah dihasut dengan doktrin pemikiran dari golongan yang sesat,” kata Datuk Awang Mohamad, Pengerusi PERKIM  Cawangan Batu Pahat.


Kata Awang, mereka yang terlibat dengan ancaman akidah adalah golongan Ateis, Sekular, Liberal, Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang kurang didikan agama dan  sibuk dengan urusan kerja.

Beliau berkata ketika merasmikan Bangkel Dakwah Kontemporari 2019 di Batu Pahat, Johor anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan pada 7 hingga 9 November 2019 lalu.

Ia dihadiri seramai 60 peserta terdiri di kalangan bangsa Melayu dan saudara Muslim berketurunan Cina, India, Orang Asli, Kadazan dan Murut.

“Saya berasa amat bertuah kerana memilih kampung halaman saya, Batu Pahat untuk diadakan bengkel di sini walaupun pada mulanya ia diadakan di Kluang,” jelasnya.

Ujarnya, bengkel ini disasarkan kepada pendakwah di kalangan saudara baharu, ahli PERKIM serta mahasiswa kelab PERKIM Universiti (KPU) yang berhasrat untuk mempelajari cara penyampaian dakwah kepada fahaman yang tersasar dari ajaran Islam.

“Saya berharap peserta memperoleh manfaat melalui bengkel tersebut selain berkongsi ilmu kepakaran dengan menyalurkan maklumat mengenai fahaman yang boleh menyimpangkan akidah umat Islam,” kata Awang.

Beliau turut menyampaikan firman Allah SWT menerusi surah An-Nahl, ayat 125 bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui tentang siapayang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”

“Saya berharap PERKIM dapat mempergiatkan lagi program ini bagi memberi kesedaran kepada mereka bukan sahaja di bandar bahkan di luar bandar juga perlu diadakan,” katanya.

Awang berkesempatan menyampaikan salam dari Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Johor iaitu YM Datuk Dr. Syed Ali Mohamed Alattas yang tidak dapat bersama kerana penglibatan beliau di Seminar Wakaf Islam Antarabangsa di Universiti Madinah, Kuala Lumpur.


Sementara itu, penyelaras program, Muhammad Jais Mariappan Abdullah berkata  program tersebut bertujuan memberikan ilmu dan penerangan bagi menyelamatkan akidah mereka daripada amalan yang boleh membatalkan syahadah dan iman.

Katanya, zaman ini cukup dahsyat kerana terdapat Muslim mengamalkan fahaman ateis, anti Quran, anti hadis dan tidak percaya kepada agama sekali gus mereka ini tersasar dari landasan Islam.

“Sekiranya mereka gagal mempertahan dan menegakkan akidah tauhid dalam diri, maka runtuhlah agama, rosaklah masyarakat, hancurlah bangsa dan sesatlah umat Islam,” kata Jais.

PERKIM turut menampilkan tokoh-tokoh yang berjaya dengan mencurahkan ilmu kepada peserta terutamanya pendakwah saudara Muslim, ahli PERKIM dan KPU.

Matlamat utamanya adalah memberi pendidikan dan ilmu kepada peserta bagaimana untuk menghadapi cabaran dan berhadapan dengan golongan-golongan terbabit serta memberikan gambaran sebenar kedahsyatan gejala tersebut.

“Walaupun peserta mempunyai ilmu berdakwah, tetapi mereka masih lagi kekurangan ilmu bagi menangkis pemahaman golongan sesat,” kata Jais yang juga Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan (UPPP) PERKIM.

Selain itu, bengkel tersebut menggilapkan lagi cara latihan berdakwah dalam isu-isu dakwah semasa sekali gus ia membentuk pendakwah untuk mempraktikkan strategi dakwah berkesan kepada kumpulan sasar dengan sistematik dalam mengharungi arus cabaran semasa.

Beliau turut menyampaikan salam hormat daripada Pengarah Program dan Pentadbiran, Mamat Che Chik.

Jais turut berkongsi cara dakwahnya kepada ibu kandung beliau iaitu dengan menunjukkan akhlak mulia, sifat-sifat terpuji dan sunah Rasulullah sehingga ibunya tertarik untuk memeluk Islam.

Beliau menyarankan pendakwah supaya mempunyai bekalan ilmu  agama untuk berdamping dengan mereka yang masih belum Islam dan Muslim yang kurang mempraktikkan Islam.

Katanya, program tersebut merupakan keenam kali diadakan selepas PERKIM mengadakan beberapa siri bengkel di Melaka, Terengganu, Kuantan, Pulau Pinang dan terakhir tahun ini di Batu Pahat dengan pelbagai tajuk seperti Dakwah Jalanan, Dakwah Kontemporari, Dakwah Ateis, Sekular, Liberal, Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Tambahnya, pendakwah seharusnya bangun daripada kealpaan dan bertindak secara profesional bagi mengekang kedurjanaan golongan ini.

Amran Anbarasu Abdullah dari UPPP turut menyampaikan kuliah Maghrib bertajuk ‘Ciri Pendakwah Bijaksana’.

Peserta turut diberi penerangan tajuk ‘Mengenali dan Memahami Ancaman Fahaman Liberal dan LGBT.’

Peserta dibahagikan kepada empat kumpulan bagi membentangkan tajuk Sekularisme, Humanisme, Hermaneutik, Feminisme.


Menurut Naib Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Johor, Datin Paduka Hapipah Endot, gejala liberal adalah suatu fahaman yang tidak masuk akal dalam Islam kerana mereka sewenang-wenangnya mahu memperjuangkan hak kesamarataan seperti wanita boleh memimpin imam seperti mana lelaki, menuntut hak untuk tidak menutup aurat dan lain-lain lagi.

Katanya, liberal membawa banyak perkara yang bertentangan dengan hukum Islam seperti mengaitkan ajaran agama sebagai ketinggalan zaman, tidak adil dan memperjuangkan hak murtad.

Strategi golongan-golongan ini dalam mempengaruhi masyarakat tidak dibuat secara fizikal, sebaliknya ia menggunakan jarum halus khususnya di media sosial.

Hapipah turut menyampaikan sijil penyertaan kepada setiap peserta di akhir majlis.


Peserta memeriksa nama ketika sesi pendaftaran.


Jais selaku penyelaras program menyampaikan ucapan aluan.


Peserta di kalangan pendakwah mendengar ucapan yang disampaikan.


Datuk Awang Mohamad menyampaikan ucapan perasmian.


Pendakwah menunaikan solat jemaah bersama.


Peserta diberi ilmu kefahaman mengenai Ancaman Liberalisme.


Jais turut menyampaikan ilmu motivasi kepada pendakwah.


Peserta mengambil ilmu yang disampaikan oleh Jais.


Peserta mendengar penyampaian ilmu mengenai Liberalisme.


Peserta di kalangan saudara baharu juga tidak terkecuali menyertai bengkel.


Peserta membentangkan mengenai definisi Liberal.


Peserta menyiapkan tugasan kumpulan yang diberikan.


Amran (kanan) menyampaikan kuliah Subuh.


Amran memberikan motivasi dan nasihat kepada pendakwah.


Peserta membentangkan tugasan kumpulan bertajuk sekularisme.


Peserta kumpulan bersemangat ketika membentangkan tugasan mereka.


Peserta membentangkan mengenai tajuk Humanisme.


Feminisme merupakan tajuk kumpulan tiga.


Datin Paduka Hapipah Endot membuat ucapan penutupan bengkel.


Hapipah (kiri) menyatakan fahaman liberal banyak bertentangan dengan hukum Islam di hadapan 60 peserta bengkel kontemporari.


Peserta saudara baharu berketurunan Cina menerima sijil penyertaan daripada Hapipah (kiri).


Hapipah (kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada pendakwah saudara baru India.


Haslina Tiong Abdullah (kanan) menerima sijil penyertaan daripada Datin Paduka Hapipah Endot (kiri).


Peserta merakamkan gambar kenang-kenangan di akhir bengkel.

[youtube url=”https://www.youtube.com/watch?v=gtfIT3xX4Tc&t=1s” width=”700″ height=”467″]

Related Articles

Back to top button