Aktiviti Dakwah

PERKIM Kebangsaan Anjur Pelan Induk Dakwah

Oleh: FLT – PEGAWAI PENERBITAN

“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya”. Al-Quran (3:159)

Bagi memenuhi tuntutan dakwah, Kumpulan Task Force yang dibentuk oleh Badan Pengurusan PERKIM bagi mengkaji cadangan-cadangan halatuju dakwah PERKIM Kebangsaan telah mengadakan bengkel kerja pada Jumaat 22 dan 23 Ogos lalu di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur.

Seramai 14 orang tenaga pemikir dan 7 orang urus setia terlibat dalam bengkel tersebut, antaranya, Dato’ Prof. Dr. Zakaria Stapa (UKM), Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim (PERKIM), Datuk Hasbullah L. Isa (PERKIM), Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir (PERKIM), Prof. Dr. Idris Zakaria (UKM), Tuan Haji Ann Wann Seng (MACMA), Prof. Madya Dr. Ramle Abdullah (UNISZA), Prof. Dr. Abd Ghafar Don (UKM), Dr. Mohamad Kamil Ab. Majid (UM), Prof. Dr. Zulkifle Abd Ghani (USIM) dan Tuan Haji Isemaail Basri (Jamiyah).

Program bengkel tersebut telah diselang-selikan dengan tiga sesi pembentangan kertas kerja dan satu sesi penggulungan dan resolusi. Bengkel tersebut telah membincangkan pelbagai perkara berdasarkan kepada cadangan dan pendapat yang dikemukakan mengenai fungsi dan tanggungjawab PERKIM dan membuat resolusi-resolusi sebagai cadangan untuk dilaksanakan oleh PERKIM bagi memenuhi perjuangan umat masa kini dan masa yang akan datang.

Datuk Haji Mohd Nakhaie Haji Ahmad selaku Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Kerja (Task Force) PERKIM Kebangsaan telah memulakan bengkel dengan sesi taklimat dan seterusnya pembentangan kertas kerja.

Datuk Nakhaie memberikan taklimat pada sesi pembukaaan bengkel berkata: “Perjuangan Perkim tidak akan terpisah daripada matlamat membela agama dan mengakkannya di bumi Malaysia ini. Yang akan menggerakkan perjuangan ini ialah umat Islam sendiri yang majoritinya adalah orang-orang Melayu. Kedaulatan orang-orang Melayu dan kekuatannya akan menjamin kedudukan mantap agama Islam di negara ini, terutama dari segi undang-undang dan perlembagaan”.

Tambah beliau lagi, kedudukan bangsa menjadi salah satu komponen dalam perjuangan menegakkan Islam di negara ini. Sudah tentu keperihatinan kita yang utama tertumpu kepada kedaulatan negara ini dan kejayaannya. Jika negara ini kucar-kacir dan orang-orang Melayu lemah, Islam sukar dipertahankan. Justeru dakwah di Malaysia mesti bergelut untuk mendaulatkan ketiga-tiga komponen ini iaitu agama, bangsa dan negara.

“Plan induk ini adalah suatu rancangan yang dikemukakan sebagai garis besar untuk metlamat jangka panjang. Bagi tujuan perlaksanaan secara berperingkat, plan ini hendaklah diterjemah dan diperincikan dari semasa ke semasa untuk jangka masa tertentu, umpamanya Rancangan Lima Tahun dan untuk tujuan pelaksanaan harian ia diterjemahkan kepada Bajet Tahunan iaitu program yang spasifik yang akan dilaksanakan setiap tahun sehingga lima tahun mendatang,” jelas Datuk Nakhaie pada sesi penggulungan dan resolusi.

“Tetapi semua perancangan itu tidak lari dan terkeluar daripada Rancangan Jangka Panjang dan garis besar yang telah ditetapkan. Rancangan Lima tahun itu dikaji semula dan dinilai kembali bagi mengatur langkah untuk lima tahun berikutnya. Segalanya dibuat penilaian, diperbaiki yang sempurna dan diganti yang tidak sesuai. Sudah tentu, langkah yang diambil adalah untuk memastikan dakwah PERKIM memberi kesan besar untuk menegak agama, membela bangsa dan membangun negara ini dalam persekitaran yang Islami yang kondusif”.

Bengkel tersebut telah membuat resolusi-resolusi seperti berikut:

PERKIM yang sentiasa peka dengan statusnya sebagai pergerakan dakwah nasional menyedari betapa perlunya ia menggariskan secara spesifik langkah ke hadapan yang akan diambilnya. Visinya untuk jangka masa tertentu mestilah dinyatakan dengan jelas dan seterusnya difahami oleh mereka yang bergerak bersamanya.

Visi dan matlamat dakwah PERKIM yang realistik ialah  menjadikan PERKIM sebagai wadah perjuangan bagi menegakkan agama, memertabatkan bangsa dan memajukan negara Malaysia ini. Juga perihatin terhadap masalah-masalah kemanusiaan umumnya. Dengan perkataan lain, menyemarakkan kembali perjuangan bangsa dan umat Islam di negara ini untuk agama, bangsa, negara dan kemanusiaan sejagat.

  • Perjuangan PERKIM untuk agama, bangsa, negara dan kemanusiaan, hendaklah dibina dan digerakkan menerusi pendekatan dakwah dan kebajikan (makruf) yang merupakan pendekatan asasi dalam perjuangan Islam dan perjuang umat Islam masa kini dan akan datang.

 Perjuangan dakwah dan kebajikan PERKIM tidak seharusnya terpinggir daripada masyarakat antarabangsa. Oleh kerana itu dakwah PERKIM seharusnya mempunyai rangkaian di peringkat global dan mengupayakan perjuangannya untuk menangani isu-isu kemanusiaan sejagat.

01

Sesi perbincangan.

02

Sesi taklimat yang disampaikan oleh Naib Yang DiPertua 4 PERKIM, Dato’ Hj Mohd Nakhaie Ahmad.

03

En. Mohd Jogi Maruli selaku pengerusi majlis menyampaikan kata aluan dan taklimat awal mengenai perjalanan bengkel.

 

04

Sesi penggulungan  dan resolusi.

 

05

Para peserta bergambar kenang-kenangan di akhir bengkel.

 

06

Penyampaian cenderahati kepada para peserta oleh Dato’ Nakahie dalam sesi penutup.

Related Articles

Back to top button