PERKIM, IDIPKL Jayakan SKOP Ke-10 Bertajuk Dakwah Silang Budaya Dalam Masyarakat Non-Muslim
KUALA LUMPUR, 11 JULAI 2024 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan bersama Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIPKL) telah menganjurkan Siri Kuliah Dakwah Perdana (SKOP) Ke-10 bertempat di Dataran Dakwah, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini pada pagi Khamis.
Lebih 200 orang telah menghadiri program tersebut terdiri daripada saudara baharu, Pelajar Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK), PERKIM Bahagian Negeri Sembilan, PERKIM Cawangan Rahmat, PERKIM Cawangan Selayang Baru, Pelajar Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) dan lain-lain.
Program tersebut telah diacarakan oleh Penolong Pegawai Dakwah IDIPKL, Abdul Qawi Navine Abdullah.
Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor turut menyampaikan ucapan aluan pada program tersebut.
SKOP Ke-10 bertajuk ‘Dakwah Silang Budaya Dalam Masyarakat Non-Muslim Di Malaysia’ dipengerusikan oleh Dai Aiman Sufyan Aezman selaku Moderator Tanyalah Ustaz TV9.
Ahli panelnya pula disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBhg Dr Nur A’Thiroh Masyaa’il Tan Abdullah serta Shah Kirit Kakulal Govindji selaku Presiden Global UNITY Network.
Dakwah silang budaya dalam masyarakat non-Muslim di Malaysia merupakan satu usaha untuk menyampaikan ajaran Islam melalui pendekatan yang memahami, menghormati, dan merangkul kepelbagaian budaya dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama.
Kedua-dua panelis turut berkongsi kisah mereka memeluk Islam dan kehidupan mereka setelah bergelar Muslim.
Menurut ahli panel, dakwah silang budaya memerlukan pendekatan yang bijaksana, inklusif, dan berterusan.
Selain itu, panelis turut menyampaikan pandangan penting mengenai keharmonian dalam berdakwah, menekankan kepentingan pemahaman bersama antara pelbagai budaya dan kepercayaan.
Panelis juga menekankan untuk memupuk pesefahaman di kalangan masyarakat, semua orang perlu ambil tahu kepercayaan dan pantang larang pelbagai kaum.
Beliau juga menyarankan agar masyarakat Muslim lebih peka dan cakna terhadap cabaran yang dihadapi oleh mualaf sebelum, semasa dan selepas masuk Islam. Mualaf juga mempunyai peranan yang sangat penting sebagai penghubung dalam masyarakat majmuk.
Kuliah ini menunjukkan usaha berterusan dalam mempromosikan dialog antara budaya dan kefahaman bersama di Malaysia, negara kita yang kaya dengan kepelbagaian etnik dan agama.
Inisiatif seperti ini membantu dalam membina jambatan kefahaman dan kerjasama antara umat Islam dan masyarakat non-Muslim, yang merupakan asas penting untuk keharmonian sosial dan kestabilan negara.
Ahli panel turut berkongsi cabaran seorang mualaf dan berdakwah kepada ahli keluarga kepada hadirin.
Melalui usaha yang tulus dan berhemah serta mempamerkan akhlak yang mulia, mesej Islam dapat disampaikan dengan cara yang mudah untuk mereka terpaut dengan Islam asbab hidayah daripada Allah SWT.
Turut diadakan sesi soal jawab di antara peserta.
Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa serta Pengarah Pembangunan Pendidikan dan Operasi PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad.
Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Yusof Noor bersalaman bersama tetamu yang hadir di SKOP ke-10 anjuran PERKIM, IDIPKL.
Abdul Qawi Navine Abdullah mengacarakan majlis dalam pelbagai bahasa.
Tetamu kehormat PERKIM menadah tangan ketika doa dibaca.
Dr Yusof Noor menyampaikan ucapan aluannya di SKOP ke-10.
Hadirin mendengar ucapan yang disampaikan.
Lebih 200 orang hadir bagi mendengar Siri Kuliah Dakwah Perdana ke-10.
‘Dakwah Silang Budaya Dalam Masyarakat Non-Muslim Di Malaysia’ merupakan tajuk SKOP ke-10 dijayakan oleh Dai Aiman Sufyan Aezman (tengah), YBhg Dr Nur A’thiroh Masyaa’il Tan Abdullah (kanan) dan Shah Kirit Kakulal Govindji (kiri).
Kepimpinan PERKIM mendengar kuliah yang disampaikan oleh barisan panelis.
Dr Nur A’thiroh berkongsi kisah beliau sewaktu bergelar mualaf.
Shah Kirit menegaskan semua orang perlu ambil tahu kepercayaan dan pantang larang pelbagai kaum.
Sesi soal jawab di antara peserta.
Dr Yusof Noor menyampaikan cenderahati kepada Dr Nur A’thiroh.
Shah Kirit menerima cenderhati daripada Dr Yusof Noor.
Dai Aiman menerima cenderahati daripada Dr Yusof Noor.
Barisan kepimpinan PERKIM bergambar bersama barisan panelis SKOP ke-10.
Hadirin yang hadir berkesempatan bergambar bersama ahli panel SKOP ke-10.