Aktiviti Dakwah

23 Kader Dai PERKIM Selesai Jalani Kursus Jati Diri

oleh: SRZ

JELEBU, 14 JULAI 2024 – Bagi melatih para pendakwah supaya mempunyai kekuatan dan peribadi yang teguh dalam menghadapi pelbagai cabaran, Institut Dakwah Antarabangsa Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kuala Lumpur (IDIPKL) telah menganjurkan Kursus Kader Dai Profesional – Belia Siri 2/2024 bertempat di Kem Bukit Perjuangan, Kampung Chalin Kenaboi, Titi dekat sini.

Program selama tiga hari dua malam itu menghimpunkan seramai 23 pendakwah dari Majlis Belia PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Perak, Negeri Sembilan, Pahang serta mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Selangor (UIS).

Pegawai Dakwah IDIPKL, Muhammad Hizam Abdul Rahim berkata, program tersebut merupakan program kesinambungan yang perlu dicapai bagi melengkapkan petunjuk prestasi utama bagi kursus di mana sebelum ini pendakwah hanya diberi panduan dan tunjuk ajar melalui kuliah, ceramah, diskusi dan bengkel yang diadakan di IDIPKL pada 5 hingga 7 Julai lalu.

Antara kursus yang dijalankan sebelum ini di IDIPKL ialah kursus Kemahiran Media Dakwah, Penerbitan Video Dakwah dan Infografik, Media Dakwah Pembikinan treatment, storyboard, penggambaran serta suntingan.

Katanya, kursus pada kali ini memberi latihan ketahanan kepada Dai PERKIM dari segi mental dan fizikal sebagai Muslim yang kuat.

Selain itu, ia melahirkan Dai PERKIM yang sentiasa positif, cergas dan berdaya saing dalam menyebarkan dakwah Islamiah di seluruh dunia.

Secara tidak langsung ia dapat melahirkan Dai PERKIM yang fleksibel serta berjiwa Dai yang konsisten (istiqamah) dalam berdakwah tanpa mengira tempat di mana mereka berada.

Jelas Hizam, program itu bukan sahaja untuk memberi ilmu kepimpinan dakwah malah membina semangat dan keyakinan diri sebagai seorang pemimpin melalui aktiviti ‘team building’ yang menguji daya ketahanan fizikal dan mental.

Ia dapat membina dan menjalinkan kembali rangkaian di antara Dai PERKIM, mempelajari kaedah kerja berkumpulan, membina hubungan dan mempelajari teknik dakwah berkesan.

PERKIM mengharapkan Dai PERKIM bakal menjadi pemimpin dan dai pada masa akan datang sekali gus meramaikan ahli PERKIM supaya urusan kerja dakwah dan lain-lain mudah dilaksanakan.

Ujar beliau, bagi memantapkan Dai PERKIM, ia bukan sekadar memberi mereka motivasi dengan di dalam kelas sahaja tetapi lebih berkesan berdakwah dengan cara dakwah bil hal, pendekatan secara aktiviti sukan dan lain-lain.

Katanya, aktiviti-aktiviti yang disediakan bagi memupuk para peserta semangat setiakawan, kerjasama dan mencintai alam.

Ia juga menjadikan Dai PERKIM dapat mencapai kesepakatan dalam membuat keputusan, mengeratkan silaturahim tanpa ada jurang dan menguji tahap semangat berpasukan.

Selain itu, ia mewujudkan sifat hormat menghormati dan saling bantu membantu dalam menyelesaikan aktviti diberikan sekali gus memberi impak positif kepada peserta.

Aktiviti outdoor dijalankan untuk memberi pengalaman baharu dalam diri peserta yang tidak didapati di dalam kehidupan seharian mereka.

Pengarah IDIPKL, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik turut berkesempatan memberi nasihat dan panduan kepada peserta ketika pertemuan menghadiri kursus sulungnya setelah pelantikannya pada 1 Julai lalu.

Katanya, di dalam diri Dai PERKIM mesti mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah (apologetic skill) di mana kemahiran mempertahankan Islam apabila Islam dicemuh dan dihina tanpa sebarang pergaduhan tetapi dengan penuh hikmah.

Beliau turut berkata, pendakwah perlu bijak di dalam berkomunikasi, kemahiran dalam segala aspek, membina peribadi seorang dai dan muamalat dengan masyarakat.

Katanya, melalui beberapa program dan kursus yang diadakan, Dai PERKIM berpeluang untuk menjadi Dai Antarabangsa di luar negara dengan kemahiran berbahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Kata Haji Mamat lagi, IDIPKL akan meningkatkan taraf piawaian di mana program dan kursus yang dianjurkan oleh IDIPKL akan dilaksanakan sepenuhnya di dalam Bahasa Inggeris bagi melahirkan Dai Profesional Antarabangsa PERKIM.

Aktiviti yang diadakan sepanjang kursus itu telah dipimpin sepenuhnya oleh Ketua Jurulatih Kem Bukit Perjuangan, Rosmadi Arif bersama lima jurulatih bertauliah.

Peserta turut dibahagikan kepada tiga kumpulan yang diberi nama ‘pocong’, ‘pontianak’ dan ‘langsuir’.

Dai PERKIM berpeluang mengoca atau menangkap ikan keli menggunakan tangan kosong, kembara malam di tengah-tengah hutan sejauh 8 kilometer di mana peserta dilepaskan seorang demi seorang tanpa sebarang peralatan atau lampu hingga ke beberapa hentian hingga ke Perkampungan Orang Asli Dusun Kubur.

Selepas meneroka hutan pada malam hari, peserta kemudiannya meneruskan aktiviti mendaki bukit selama 15 minit dan menunaikan solat subuh berjemaah diikuti dengan senaman pagi dan beberapa aktiviti permainan.

Tidak sampai dua jam berehat, Dai PERKIM dibawa meneroka ke hutan menuju penjelajahan ekspidisi Gua Batu Pala.

Sepanjang pengembaraan di hutan, peserta diberikan panduan dan pantang larang ketika berada di sana. Peserta juga diberi tunjuk ajar sekiranya berlakunya kecemasan atau pun tersesat.

Peserta perlu melalui beberapa anak sungai dan mendaki bukit bukau sebelum tiba di Gua Batu Pala. Selama satu jam peserta mendaki gua itu di dalam keadaan memanjat, mengesot, mengiring dan meniarap sebelum tiba ke puncak gua kerana terdapat beberapa situasi yang sempit perlu ditempuhi.

Peserta juga diberi peluang dalam aktviti kemahiran ikhtiar hidup di mana peserta perlu menyediakan masakan dalam buluh, ikan keli dan ayam panggang.

Pada malam hari, peserta diajar pelbagai cara ikatan dengan menggunakan tali antaranya ialah simpul buku sila, simpul tindih kasih, lilit balak dan lain-lain lagi serta diakhiri dengan slot malam keinsafan.

Peserta kemudiannya menikmati kembara mimpi dengan tempat tidur yang hanya berkatilkan buluh dan beralaskan guni (hammock).

Aktiviti terakhir membawa peserta menerokai sungai dengan mengemudi rakit buluh sambil menikmati buah durian selepas membinanya pada petang hari sebelumnya.

Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Belia PERKIM Pusat, Mohd Farhan Aslam serta Pengerusi Majlis Belia PERKIM Wilayah Persekutuan, Mohd Aizat Rosli.


Ketua Jurulatih Kem Bukit Perjuangan, Rosmadi Arif (kiri) menyampaikan taklimat kepada Dai PERKIM.


Antara aktiviti kecergasan fizikal yang dijalankan.


Pembabitan Dai PERKIM dalam aktiviti mengoca atau menangkap ikan tanpa menggunakan sebarang peralatan.


23 peserta Dai PERKIM masing-masing telah berjaya menangkap ikan dalam aktiviti mengoca.


Peserta diberi pendedahan dalam aktiviti keluarkan diri dari ikatan.


Peserta dibawa menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk menjalani aktiviti kekuatan diri dalam night walk.


Seorang demi seorang peserta terpaksa melalui jalan malam yang gelap gelita tanpa sebarang bantuan cahaya lampu dalam aktiviti night walk.


Peserta berpeluang menunaikan solat Subuh berjemaah setelah mendaki selama 15 minit di atas bukit.


Peserta Dai PERKIM menadah tangan ketika doa dibacakan selepas solat fardu Subuh berjemaah.


Peserta menjalani aktiviti senam robik dalam suasana matahari terbit.


Pengarah IDIPKL, Tuan Haji Mamat Che Chik (kiri) menyampaikan taklimat dan pesanan kepada peserta.


Kata Haji Mamat lagi, pendakwah perlu bijak di dalam berkomunikasi, kemahiran dalam segala aspek, membina peribadi seorang dai dan muamalat dengan masyarakat.


Peserta diberi penerangan oleh jurulatih mengenai flora dan fauna serta pantang larang ketika menjalani ekspedisi menjelajah rimba.


Aktiviti penjelajahan rimba itu terhenti seketika sebelum meneroka ke dalam Gua Batu Pala.


Peserta Dai PERKIM yang berjaya mara ke hentian 5 di dalam Gua Batu Pala.


Dai PERKIM Muslimat juga turut merakamkan kenangan manis ketika berada di dalam Gua Batu Pala.


Setelah meredah hutan dan meneroka Gua Batu Pala, peserta bergotong-royong membuat persiapan dalam aktiviti ikhtiar hidup.


Peserta memanggang ikan dan ayam untuk menikmati makan tengah hari.


Dai PERKIM bergambar kenangan seusai berjaya menyiapkan makanan aktiviti ikhtiar hidup.


Malam kesedaran memberi erti keinsafan di dalam setiap lubuk hati Dai PERKIM.


Jurulatih membuat pemeriksaan ke atas rakit buluh yang telah siap diikat rapi oleh peserta kumpulan.


Peserta bergambar kenangan sambil memegang sijil penghargaan sebelum meneroka ke sungai dalam aktiviti berakit.


Antara kumpulan yang telah bersedia untuk belayar bersama rakit buluh ciptaan mereka.


Peserta keliling rakit perlu mengawal rakit mereka ketika dibawa derasan arus sungai.


Keseronokan kelihatan di setiap wajah peserta ketika menikmati dan mengemudi rakit buluh menyelusuri sungai yang deras.


Dai Muslimah berhenti seketika di pinggir sungai bagi menikmati durian.


23 Dai PERKIM telah berjaya dalam misi terakhirnya setelah menamatkan aktiviti rakit buluh.


Dai PERKIM bersyukur kegembiraan setelah berjaya di dalam Kursus Kader Dai Profesional Belia Siri 2/2024 di Kem Bukit Perjuangan, Kampung Chalin Kenaboi.

Related Articles

Back to top button