Aktiviti Dakwah

PERKIM Bukit Damansara Perkasa Ibadah Mualaf

Oleh: UMI MUSFIRAH ABDUL GHANI

13 SEPTEMBER – Kuala Lumpur. Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Bukit Damansara dengan kerjasama PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan telah mengadakan Program Strategi Rundingan Meja Bulat Menyingkap Masalah Mualaf bertempat di Hotel Tamu, Kampung Bharu di sini bermula 12 hingga 13 September 2020.

Program tersebut bertujuan untuk memdedahan termasuk latihan secara teori dan praktikal berkenaan akidah serta solat kepada 34 peserta di kalangan mualaf yang memeluk Islam kurang dari 5 tahun.

Selain itu, ia mengenal pasti segelintir peserta yang masih tidak mampu untuk menguasai ilmu fardu ain dan solat dengan sempurna.

Menurut Pengerusi PERKIM Cawangan Bukit Damansara, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun program kali kedua yang dianjurkan itu menitik beratkan teori dan praktikal wuduk,mandi wajib serta solat secara terperinci dalam memperkukuhkan kesempurnaan ibadah.

Beliau turut berkesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada urus setia bertungkus-lumus menjayakan program yang terdiri daripada pegawai-pegawai PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, PERKIM Cawangan Bukit Damansara dan juga Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan.

Katanya, peserta paling senior ialah saudara Ali Chan berusia 63 tahun manakala peserta paling muda ialah Muhammad Ali berusia 12 tahun yang hadir bersama ibunya.

Jelas Dato Abdul Hanif lagi, PERKIM Cawangan Bukit Damansara sedia untuk menghimpunkan sesiapa sahaja yang baru disyahadahkan untuk membimbing serta mengajar mereka secara lebih mendalam dan menghayati ibadah yang dilakukan.

Selain itu, kakitangan Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan (UPPP) PERKIM Kebangsaan, YBrs Ustaz Haji Amran Anbarasu Abdullah menyampaikan tajuk slot ceramah bertajuk ‘Apa Erti Aku Memeluk Islam’ manakala Pegawai UPPP, YBrs Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah menyampaikan tajuk slot ceramah ‘Kepentingan Solat’ kepada peserta.

Penolong Pegawai Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL), YBrs Ustaz Abdul Qawi Navine Abdullah turut menyampaikan takzirah bertajuk ‘Kehidupan Sebagai Muslim’.

Peserta dibahagikan kepada empat kumpulan dengan dibantu oleh pemudah cara menyingkap permasalahan yang dihadapi oleh setiap peserta dan mereka juga diberi latihan serta pendedahan mengenai Rukun Islam, Rukun Iman, pergerakan solat, bacaan dalam solat, wuduk dan mandi wajib.

Peserta turut diberi latihan dan praktikal wuduk dan mandi wajib di kolam renang dipimpin oleh pemudah cara.

Majlis diserikan lagi dengan ucapan perasmian disampaikan oleh Naib Yang Dipertua PERKIM merangkap Pengerusi PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, YBhg Dato’ Haji Mohd Nakhaie Haji Ahmad.

Dato’ Nakhaie dalam ucapannya mengajak peserta bersama-sama memanjatkan rasa syukur kepada Allah S.W.T yang telah memberi petunjuk kepada kita kerana dengan petunjuknya itulah kita berada di jalan yang lurus dan benar untuk kita hidup sementara di atas dunia ini.

Katanya, di awal kehidupan sejak lahir sehingga ke usia remaja kita masih tidak jelas dengan hala tuju kita serta kehidupan yang hanya ingin berseronok.

Setelah berkahwin, kita baru dapat merasakan kehidupan yang penuh bermakna dalam memahami erti tanggungjawab dan ia adalah sangat singkat.

Ujar Dato’ Nakhaie, kita perlu sentiasa ingat, kehidupan kita di dunia tidak lama kerana akhirnya kita akan kembali kepada Allah SWT. Justeru, masa yang kita ada sekarang ini perlu kita manfaatkan sebaiknya supaya kehidupan kita benar-benar bermakna ketika di jemput oleh Allah SWT kelak.

Kita tahu yang mencipta kita adalah Tuhan yang bersifat Esa. Jika ada yang mengatakan Tuhan itu banyak, itu hanyalah pendapat serta pemikiran manusia kerana Tuhan bersifat tunggal.

Jikalau Tuhan itu banyak, dia akan menjadi lemah kerana boleh berlaku perbalahan dan sebagainya. Maka, kita perlu faham dan yakin bahawa Tuhan yang mencipta kita ialah Allah yang Maha Esa.

Katanya, setelah kita meyakini Allah SWT itu bersifat tunggal iaitu Tuhan menciptakan kita, kita perlu menghormatiNya dengan mematuhi segala suruhannya contohnya mendirikan solat. Kita tidak boleh mempersoalkan kenapa solat terdapat pelbagai rukun dan sebagainya kerana yang menetapkan cara mendirikan solat ialah Allah SWT.

Jika solat itu caranya ditentukan oleh manusia sudah tentu terdapat pelbagai cara dan jika kita hendak bertemu dengan Raja atau Sultan, pihak Istana akan menetapkan istiadat serta tatacara menghadap Sultan.

Allah mengutuskan RasulNya, iaitu Nabi Muhammad SAW menerima ibadah solat serta Rasulullah mengajarkannya kepada kita dan cara mendirikan solat itu kekal dari zaman dahulu sehingga kini.

Tambah Dato’ Nakhaie lagi, kita perlu mendirikan solat lima waktu sehari semalam kerana setiap solat telah ditetapkan masanya mengikut kaedah yang tertentu. Solat perlulah didirikan pada masanya yang telah ditetapkan untuk menzahirkan rasa kasih serta hormat kita kepada Allah SWT.

Kita mendirikan solat sebagai tanda kita bersyukur serta berterima kasih di atas nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada kita sebagai contoh betapa banyak nikmat udara yang kita sedut dengan hanya percuma dan amatlah tidak patut sekiranya kita lupakan Allah dengan meninggalkan perintahNya.

Sebab itu, kita sebagai umat Islam jangan sesekali meninggalkan ibadah solat. Kita terima Islam dengan syahadah, serta yang sama penting dengan syahadah itu ialah kita perlu mendirikan solat dalam waktunya.

Kata Dato’ Nakhaie lagi, nikmat yang dikurniakan kepada kita terlalu banyak sehingga tidak terhitung. Ini menunjukkan bahawa Allah SWT itu bersifat Maha Pemurah dan seharusnya kita sebagai hamba menzahirkan rasa kesyukuran dengan mendirikan solat lima waktu sehari semalam. Jikalau mampu tambahlah dengan ibadah-ibadah serta solat-solat sunat yang lain.

Ujarnya, Rasulullah SAW banyak mengerjakan solat. Selain daripada solat yang wajib, baginda mendirikan solat sunat juga seperti dhuha dan tahajud sehingga isteri baginda Saidatina Aisyah r.a berkata: ”Wahai Rasulullah, bukankah Allah SWT telah mengampuni semua dosamu?” Baginda menjawab, ”Hai Aisyah, apakah tidak boleh aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?”

عن عائشة رضي الله عنها أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يقوم من الليل حتى تنفطر قدماه، فقلت له‏:‏ لم تصنع هذا يا رسول الله، وقد غفر الله لك ما تقدم من ذنبك وما تأخر‏؟‏‏!‏ قال‏:‏ ‏ “‏ أفلا أحب أن أكون عبداً شكوراً‏؟‏‏”‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏.‏ هذا لفظ البخاري، ونحوه في الصحيحين من رواية المغيرة بن شعبة‏)‏‏)‏‏.‏

Dalam solat itu, setiap perbuatan dan bacaannya merupakan doa. Surah Al-Fatihah mempunyai tujuh ayat yang dibaca mengandungi makna yang hebat. Kita perlu pelajari serta memahami makna Al-Fatihah itu.

Selain daripada nikmat kehidupan yang kita peroleh, satu lagi nikmat yang besar yang kita ada iaitu akal. Manusia merupakan makhluk dari segi fizikalnya lemah namun dikurniakan akal yang boleh menerima ilmu untuk mengawal makhluk yang lain.

Sekiranya kita tidak mahu menimba ilmu tetap kita menjadi makhluk yang lemah. Setelah menerima ilmu kita perlu mengamalnya kerana ilmu itu akan menjadikan kita kuat.

Menuntut ilmu dalam Islam ini adalah :

اطْلُبُوا العِلمَ مِنَ المَهدِ إِلى اللّحْدِ

Maksudnya : “Carilah (tuntutlah) ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad”.

Kita perlu menambah ilmu tidak mengira usia, contohnya jika kita tidak mengetahui cara mendirikan solat, kita perlu mempelajarinya seterusnya, kita perlu menuntut ilmu, jangan lalai dan leka kerana terdapat pelbagai cara untuk menuntut ilmu.

Sekiranya tidak tahu membaca, kita boleh mendengar iaitu belajar dari sesiapa yang tahu. Sekiranya kita memiliki ilmu haruslah kita mengamalkannya. Sekiranya kita belajar cara mendirikan solat, solatlah semampu yang mungkin.

Dato’ Nakhaie melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT kerana para peserta sanggup hadir ke program untuk menuntut ilmu bersama serta mengetahui lebih mendalam mengenai Islam seterusnya mengamalkan ajaran Islam yang diketahui.

Apabila kita kembali kepada Allah, kita hanya membawa amalan kita. Kekayaan serta harta di dunia ini hanya bersifat sementara. Gunakan harta di dunia ini ke arah kebaikan kerana itulah amalan yang akan diterima disisiNya.

Dato’ Nakhaie turut menyampaikan sijil penyertaan serta cenderahati kepada para setiap peserta disaksikan oleh Dato’ Hanif.

Tetamu kehormat berkesempatan merakamkan gambar kenang-kenangan bersama peserta di akhir majlis.

Related Articles

Back to top button