Aktiviti Dakwah

Majlis Sumbangan Khas Secara One-Off Kepada PERKIM Bahagian Negeri-Negeri dan Wanita PERKIM Bahagian

Oleh: UMI MUSFIRAH ABDUL GHANI

11 SEPTEMBER – Kuala Lumpur. Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan telah mengadakan Majlis Sumbangan Khas Secara ‘One-Off’ Kepada PERKIM Bahagian-Bahagian dan Wanita PERKIM Bahagian bertempat di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat PERKIM, Tingkat 4, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir ialah pimpinan PERKIM, Naib Yang Dipertua, YBhg Ustaz Muhammad Fitri Abdullah, YBhg Dato’ Haji Mohd Nakhaie Haji Ahmad; Pengerusi Tetap, YBhg Dato’ Dr Abu Bakar Shaari; Penolong Setiausaha Agung Kehormat, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa; Bendahari Wanita PERKIM Kebangsaan, YBhg Prof Dr Nor’azah Dato’ Abdul Manaf.

Hadir sama Pengerusi dan Setiausaha PERKIM Bahagian Negeri Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Wanita PERKIM Bahagian.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dipimpin oleh Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan (UPPP) PERKIM, YBrs Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah dan majlis tersebut dipengerusikan oleh YBrs Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah.

Menurut Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim, sumbangan 10 juta tersebut merupakan peruntukan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk diagihkan kepada PERKIM Bahagian-bahagian dan Wanita PERKIM Bahagian setelah ianya mendapat persetujuan daripada Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kali Ke-58 yang diadakan pada 29 November tahun lalu.

Katanya, beliau dan Tan Sri Setiausaha Agung Kehormat telah berjumpa dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk memaklumkan bahawa pihak PERKIM mempunyai banyak projek yang memerlukan kos yang tinggi seperti membaiki asrama Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) di Kota Bharu, Kelantan, Kompleks Saudara Baru (KOSBA), Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE) dan Tadika PERKIM.

Jelas Tan Sri Muhammad Rais, peruntukan khas 20 juta serta 30 peratus untuk PERKIM Bahagian-bahagian termasuk Wanita PERKIM merupakan usul baru dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM yang lepas, dan pihak PERKIM masih belum menerima peruntukan tersebut.

Majlis diteruskan dengan amanat khas daripada Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Menurut Tan Sri Yusof Noor, pada asalnya penyerahan cek hendak dibuat melalui surat tanpa ada perjumpaan, tetapi saya rasa lebih penyerahan kepada tangan PERKIM Bahagian adalah lebih sempurna.

Beliau turut mengajak hadirin untuk bersama-sama mendoakan agar warga PERKIM Kedah serta semua rakyat Malaysia terhindar serta selamat dari wabak pandemik COVID-19.

Jelas Tan Sri Yusof Noor lagi, beliau memilih hari Jumaat supaya warga PERKIM dari negeri lain dapat menunaikan Solat Fardu Jumaat di Surau PERKIM.

Selama 60 tahun PERKIM ditubuhkan, pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) inilah sekian kalinya kita mendapat keizinan khas untuk mendirikan Solat Jumaat di Surau PERKIM dan diharapkan keizinan Solat Jumaat di Surau PERKIM berkekalan.

Kita telah membuat surat permohonan susulan kepada pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan hadirin boleh menunaikan Solat Jumaat di Surau PERKIM walaupun dalam keadaan musafir.

Kata Tan Sri Yusof Noor, kita perlu fikirkan kaedah lain untuk memperoleh dana memandangkan pada masa sekarang ini dana yang diperoleh hanyalah dari pihak kerajaan dan terdapat pelbagai badan dakwah lain di Malaysia ini yang berjaya tanpa bantuan dari kerajaan.

Usaha untuk mencari sumber dana lain sedang berjalan di bawah Jawatankuasa Pentadbiran dan Kewangan yang dipengerusikan oleh Dato’ Nakhaie, namun kita haruslah berfikir bersama bagaimana untuk menambah dana serta mengukuhkan aset yang ada.

PERKIM Bahagian perlu memperkemas rancangan aset masing-masing kerana menurut Perlembagaan PERKIM, PERKIM Bahagian Negeri-negeri perlu menubuhkan pemegang amanah.

Tan Sri Yusof Noor berpendapat cara terbaik untuk menguruskan aset ialah mendaftarkan aset di bawah Lembaga Pemegang Amanah dan seeloknya PERKIM Bahagian Negeri-negeri perlu melantik Jawatankuasa Pemegang Amanah bagi setiap negeri supaya mudah untuk dikemukakan dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan sekali gus memudahkan urusan penukaran nama aset jika berlaku kematian.

Aset-aset yang dimiliki oleh PERKIM Kebangsaan ialah Bangunan PERKIM, Bangunan Balai Islam di International Da’wah Institute PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL) dan sebidang tanah di sebelahnya yang menjadi tapak parkir telah kita perolehi kerana hubungan baik kita dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Tan Sri Yusof Noor berharap, setelah menerima cek sumbangan khas ini, PERKIM Bahagian Negeri-negeri perlu melaporkan perbelanjaan secara terperinci kepada Ibu Pejabat PERKIM.

Hal ini adalah kerana PERKIM Kebangsaan perlu menghantar laporan kepada JPM mengenai perbelanjaan peruntukan khas tersebut.

Tambah beliau, menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Belia yang diadakan pada 4 September lalu, satu Majlis Belia Kebangsaan akan ditubuhkan dalam masa terdekat dan setiap negeri hendaklah menghantar wakil dari Kelab PERKIM Universiti (KPU) serta belia untuk membincangkan penubuhan majlis ini.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian sumbangan khas kepada setiap Pengerusi atau Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Negeri-negeri disampaikan oleh YBhg Dato’ Haji Mohd Nakhaie Haji Ahmad serta disaksikan oleh YBhg Ustaz Muhammad Fitri Abdullah, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim dan YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa.

Related Articles

Back to top button