PERKIM Bantu Mualaf Terjejas Akibat COVID-19

[youtube url=”https://www.youtube.com/watch?v=rDGatFHime4″ width=”700″ height=”376″]
Video: UMI MUSFIRAH ABDUL GHANI
Berita: UPMB
KUALA LUMPUR – 27 JANUARI 2021. “Syukur Alhamdulillah kerana Pasukan Kebajikan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) berkesempatan menyampaikan sumbangan Bantuan Asnaf dan Mualaf COVID-19 PERKIM ke tiga buah rumah saudara baharu di Ampang, Cheras dan Jalan Klang Lama,” kata Jais.
Jais atau nama sebenar Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah selaku Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan (UPPP) PERKIM Kebangsaan berkata, Pasukan Kebajikan PERKIM Team B yang diketuai beliau ditemani bersama rakan sejawat iaitu Umi Musfirah Abdul Ghani dan pelajar praktikum, Syahmi.
Jelas Jais, saudara baru yang diziarahi mereka rata-rata hilang mata pencarian mereka berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 disebabkan penularan wabak Corona Virus (COVID-19) yang semakin bertambah hingga lebih 4,000 kes sehari.
Sepanjang PKP 2.0 bermula dari 13 Januari hingga 4 Februari 2021, peranan PERKIM lebih menjurus kepada memberi bantuan terutama mualaf yang terjejas. Tambah Jais, antara mualaf yang diziarahi ialah mereka yang hilang pendapatan, ibu tunggal, sakit dan mempunyai ramai tanggungan.
Ini merupakan hari ketiga kumpulan kami berziarah dan menyampaikan Bantuan Asnaf dan Mualaf COVID-19 PERKIM di mana Pasukan Kebajikan PERKIM Team A diketuai oleh YBrs Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah, Pasukan Team C diketuai oleh YBrs Ustazah Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan manakala Pasukan Team D diketuai oleh YBhg Ustaz Haji Amran Anbarasu Abdullah.
Ujar Jais, perjalanan memakan masa lama dari satu destinasi ke destinasi yang lain disebabkan perlu melalui jalan yang sesak dan mengikuti prosedur sekatan jalan raya yang dikawal ketat oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Perjalanan Pasukan Team B yang pertama ke rumah mualaf berbangsa India, Nur Juanah Abdullah di Taman Kosas, Ampang Selangor. Juanah merupakan seorang ibu tunggal yang menyara empat orang anaknya yang masih bersekolah.
Beliau sebelum ini bekerja di sebuah syarikat pemasaran selama empat tahun sebelum diberhentikan kerja kerana COVID-19. Beliau hanya bergantung kepada wang zakat dan saguhati kehadiran Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan dalam talian sahaja.
Atas ehsan PERKIM, Jais bersama pasukannya menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Nur Juanah Abdullah.
PERKIM meneruskan sesi ziarah ke rumah saudara baharu berketurunan Orang Asli Jakun, Nur Lisa Lai Abdullah di Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Nur Lisa dan suaminya Sakif diuji kerana diberhentikan kerja oleh majikannya atas faktor kejatuhan ekonomi akibat COVID-19.
Kini, beliau bersama suaminya seorang warganegara Bangladesh mencari rezeki dengan menjual seluar jeans wanita secara atas talian. Nur Lisa terpaksa memberikan penjagaan anaknya kepada ibunya di kampung disebabkan tidak berkemampuan untuk menjaganya.
Atas keprihatinan itu, Jais menyerahkan sumbangan wang tunai kepada Nur Lisa Lai Abdullah.
Rombongan ziarah meneruskan ke rumah terakhir iaitu keluarga saudara baharu berbangsa India yang mempunyai sembilan anak, Nur Amanina Thana Abdullah di Flat Teratak Muhibbah Taman Desa, Jalan Klang Lama.
Suaminya, Abu terpaksa meminta pertolongan ibunya untuk menjaga tiga daripada sembilan anaknya kerana rumah yang disewanya tidak dapat menampung ke semua ahli keluarganya.
Kini, Amanina dan enam anaknya hanya bergantung kepada bantuan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebanyak RM500 untuk membayar sewa rumah sebanyak RM450.
Hanya RM50 sahaja sebulan untuk dibelanjakan oleh ahli keluarganya jika suaminya tidak sakit.
Suaminya, Abu hanya mengambil upah membaiki telefon dan setelah dibaiki, Amanina menyambung tugas untuk menjualnya secara atas talian.
Suaminya sering mengalami sakit kencing manis, gout dan ada kalanya beliau menghidap penyakit tibi serta sering tidak boleh bangun dari kamar tidur.
Jais turut menyampaikan sumbangan Bantuan Asnaf dan Mualaf COVID-19 PERKIM kepada Amanina.
Beliau turut menasihatkan Amanina dan keluarga agar menjaga solat dan selalu berdoa dan menjaga hubungan dengan Allah SWT.
Ulas Jais, sehingga kini Pasukan Kebajikan PERKIM Team A,B,C dan D telah menyampaikan sebanyak 63 bantuan kepada asnaf mualaf dan diharap dengan sumbangan yang disampaikan ini dapat meringankan lagi beban yang dihadapi oleh penerima.
Mereka bersyukur dan berterima kasih kepada PERKIM kerana dapat membantu di saat-saat memerlukan.
Semoga amal kebajikan ini diterima, diredai dan diberkati oleh Allah SWT.
Mereka yang ingin menyumbang, boleh menghulurkan sumbangan secara online bagi meringankan beban golongan asnaf melalui akaun: AFFIN BANK 1050 2000 2899 (PERKIM – TABUNG KEBAJIKAN TUNKU)