Pasukan Kebajikan PERKIM Hulur Sumbangan Kepada Mualaf Ketika PKP 2.0

[youtube url=”https://www.youtube.com/watch?v=14Wgt9FOKtQ&t=184s” width=”700″ height=”376″]
Video & Berita: UMI MUSFIRAH ABDUL GHANI
KUALA LUMPUR – 3 FEBRUARI 2021. Pasukan Kebajikan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menyambung semula Misi Bantuan Asnaf Mualaf COVID-19 PERKIM di sekitar Lembah Klang pada 28 dan 29 Januari 2021 yang lalu.
Dua pasukan iaitu Team C yang diketuai oleh Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan (UPPP) PERKIM, YBrs Ustazah Siti Munirah Sayed Hamdan bersama pasukannya, Nur Syahirah Musa dan Umi Musfirah Abdul Ghani meneruskan penyerahan sumbangan wang tunai kepada golongan mualaf.
Cuti umum Thaipusam bukanlah menjadi penghalang untuk Team C meneruskan aktiviti ziarah di sekitar kawasan Kepong dan Selayang. Seramai 5 orang mualaf yang disantuni oleh pasukan tersebut pada hari berkenaan.
Team C bergerak dari Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan ke Kampung Laksamana, Selayang untuk menziarahi seorang mualaf bernama Jafer Nisha yang tinggal keseorangan dan menghidapi penyakit lutut yang sukar untuk bergerak ke mana-mana.
Munirah menyampaikan sumbangan dengan harapan dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh beliau.
Pasukan Kebajikan PERKIM Team C meneruskan perjalanan mereka ke Fadason Business Park, Kepong untuk menziarahi seorang mualaf yang bernama Abdul Aziz Chuah.
Beliau baru sahaja dibenarkan pulang ke rumah setelah menerima rawatan selama seminggu di hospital akibat penyakit batu karang dan Syahirah turut menyampaikan sumbangan PERKIM kepada Aziz Chuah.
Seterusnya pasukan meneruskan perjalanan ke PPR Mutiara Fadason, Kepong untuk menyerahkan sumbangan kepada tiga lagi asnaf dan mualaf yang memerlukan.
Sumbangan turut disampaikan kepada Muhammad Andy Lai yang kehilangan pekerjaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Yusof Anton yang mempunyai tanggungan ramai dan Muhammad Iman Chong Abdullah, kurang pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pada keesokan harinya, Team A yang diketuai Pegawai UPPP, YBrs Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah memulakan aktiviti ziarah bersama pasukannya Jamilatun Noor Hamid dan Siti Fatimah Ladda Abdullah pada jam 8.00 malam.
Pasukan ini memulakan aktiviti ziarah mereka di Batu 13, Hulu Langat, Selangor. Setelah menempuhi perjalanan yang agak mencabar selama setengah jam, akhirnya Team A berjaya sampai ke lokasi yang ingin dituju.
Saudara baru pertama yang diziarahi oleh Team A ialah Salmah Abdullah merupakan seorang ibu tunggal mualaf yang mempunyai empat orang anak. Dahulunya perniagaan makanan merupakan punca pendapatan beliau. Namun akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau tidak dapat berniaga lagi.
Kini, beliau hanya bergantung sepenuhnya perbelanjaan daripada anak-anaknya dan salah seorang anaknya bekerja sebagai penghantar makanan untuk menampung perbelanjaan harian dan bulanan untuk mereka sekeluarga.
Farhan menyampaikan bantuan sumbangan dan diharapkan sedikit sebanyak dapat menampung kos perbelanjaan mereka sekeluarga yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Team A meneruskan aktiviti ziarah ke rumah saudara baru, Lina Yong di Pangsapuri Desa Lembah Permai, Ampang Jaya.
Beliau telah mendiami rumah tersebut selama 15 tahun bersamaan dengan tempoh beliau memeluk agama Islam.
Sejak pemergian suaminya pada tahun 2016, kini beliau tinggal bersendirian di rumah tersebut serta sewa bulanan rumah yang didiaminya ditanggung oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Farhan menyampaikan sedikit sumbangan kepada beliau sebagai tanda keprihatinan pihak PERKIM Kebangsaan kepadanya.
Tambah Farhan lagi, usaha menjejaki golongan asnaf dan mualaf akan diteruskan oleh tiga pasukan Team A, Team B dan Team C dari semasa ke semasa bagi membantu mereka yang terjejas dengan PKP 2.0 berikutan penularan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan.
Sumbangan yang disampaikan berkemungkinan tidak dapat menghilangkan sepenuhnya kesusahan dan keperitan yang dilalui oleh mereka namun sekurang-kurangnya ia dapat meringankan sedikit kepayahan dan kesulitan yang dihadapi oleh golongan asnaf dan mualaf yang disantuni ini. Bak kata pepatah Melayu yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing.
Semoga amal kebajikan ini diterima, diredai dan diberkati oleh Allah SWT.
Mereka yang ingin menyumbang, boleh menghulurkan sumbangan secara online bagi meringankan beban golongan asnaf melalui akaun: AFFIN BANK 1050 2000 2899 (PERKIM – TABUNG KEBAJIKAN TUNKU)
Â
Â
Â