PERKIM Anjur Wacana Rakan Seagama (WARAS)

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

“Alhamdulillah, walaupun kita berlainan bangsa tetapi kita menganut agama yang satu bersama-sama berhimpun di majlis Wacana Rakan Seagama (WARAS),” kata Tun Dr. Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Katanya, WARAS adalah bertujuan meningkatkan kemesraan dan semangat persaudaraan serta perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
Dr. Ahmad Fairuz selaku Ahli Majlis Kebangsaan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) berkata ketika menyampaikan ucapan perasmian WARAS anjuran PERKIM Kebangsaan bertempat di Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM (IDIP-KL), Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur pada 6 September 2019 lalu.
Program tersebut dihadiri seramai 120 peserta terdiri daripada agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan saudara baharu berketurunan Cina, India, Iban, Kadazan serta warga negara daripada Filipina, Indonesia dan Thailand.
Turut hadir ialah pimpinan PERKIM, Naib Yang DiPertua, Dato’ Mohd. Nakhaie Ahmad; Bendahari Kehormat, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung Kehormat, Datuk Hasbullah L. Isa; Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, Dato’ Zainal Abidin Ab. Kadir, Dato’ Dr. Ismail Ibrahim; Pengarah IDIPKL, Dato’ Abdul Hanif Harun; Pengarah Pentadbiran dan Program, Mamat Che Chik serta Setiausaha Kerja, Zulkefli Arifin.
Menurut Dr. Ahmad Fairuz, perkataan ‘rahmah’ diadaptasi dalam Bahasa Melayu ejaannya disesuaikan menjadi ‘rahmat’ yang bermaksud kelembutan hati dan perasaan empati yang mendorong seseorang melakukan kebaikan kepada pihak lain yang patut dikasihi dan disayangi.
Beliau merupakan bekas Ketua Hakim Negara turut merujuk firman Allah SWT dalam surah Al-Anbiya, ayat 107 bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
Beliau berkata, kolaborasi politik pertama antara orang Melayu dan bukan Melayu telah mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya 1955 di Malaysia. Kemudian semasa rundingan untuk Merdeka semua rakyat Malaysia bersatu dan dapat mengatasi segala cabaran ketika pembentukan Malaysia dan konfrontasi, seluruh kaum Melayu bekerja dengan bukan Melayu untuk mencapai matlamat negara.
Jelasnya, Malaysia mempunyai sejarah yang memaparkan betapa hubungan antara kaum adalah amat kuat dan harmoni.
Beliau memetik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di istiadat pertabalan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XVI pada 30 Julai 2019 telah bertitah: “Beta akan berusaha dengan sedaya upaya untuk mewujudkan perpaduan dan sikap toleransi di antara semua kaum, bangsa dan agama. Beta juga menyambut baik usaha-usaha kerajaan Beta untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat melalui penubuhan badan bebas ‘Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat’. Perpaduan dan keharmonian rakyat adalah merupakan tiang seri kekuatan negara. Jangan sesekali kita mencetuskan api perselisihan dengan membangkitkan perkara yang boleh menggugat dan meruntuh keharmonian negara.”
Dr. Ahmad Fairuz turut menekankan dari petikan ucapan Perdana Menteri Malaysia merangkap Yang DiPertua PERKIM, Tun Dr. Mahathir Mohamad: “Kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk membangunkan negara kita dengan hasrat yang besar menjadikan Malaysia negara maju.”
“Semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia dari sejak awal kemerdekaan turut membolehkan negara ini mengharungi cabaran rusuhan antara kaum yang berlaku pada tahun 1969. Berbeza dengan negara luar, rusuhan yang berlaku di negara ini hanya berlaku dalam jangka masa pendek.”
Katanya, Dr. Mahathir menyarankan supaya menyedari bahawa perlu rapatkan hubungan antara kaum tanpa menimbulkan kemarahan mana-mana kaum.
Dr. Ahmad Fairuz merujuk titah Sultan Terengganu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah: “Umat Islam di negara ini sedang diuji dengan usaha-usaha untuk menafikan kedudukan Islam seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan tegas baginda lagi bahawa suasana sukar yang turut dihadapi umat Islam di seluruh dunia itu lantas menuntut kesatuan dan perpaduan dalam kalangan ummah yang merupakan kunci penting kepada peristiwa hijrah.”
“Kunci penting itulah yang membawa kepada terbinanya Madinah, model kerajaan Islam terbilang yang dipenuhi rahmat kepada seluruh masyarakat sama ada penduduk Islam atau bukan Islam.”
Dr. Ahmad Fairuz turut membaca ayat 8 dari surah al-Maidah bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
Beliau membaca dari surah an-Nahl, ayat 125 bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahu orang-orang yang dapat petunjuk.”
Ayat 8 dari surah al-Mumtahanah turut dibaca Dr. Ahmad Fairuz bermaksud: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak juga mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.”
Katanya, menerusi surah al-Hujurat, ayat 11 bermaksud: “Wahai orang-orang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka.”
Beliau mengingatkan peserta melalui ayat 38 dalam surah al-Israk bermaksud: “Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.”

Sebelum itu, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor turut menyampaikan ucapan aluan dan mengalu-alukan kehadiran Dr. Ahmad Fairuz merupakan seorang tokoh negara yang sangat komited dengan PERKIM.
Katanya, program itu merupakan sebahagian daripada kegiatan-kegiatan sampingan disamping kursus-kursus perkaderan yang akan diatur masa akan datang.
Program tersebut merupakan peluang yang baik bagi rakan seagama untuk datang mendengar dan berbincang secara santai mengenai isu-isu berkaitan dengan agama Islam.
Ia bersandarkan dengan terjemahan daripada firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).”
Tambah Dr. Yusof Noor, di Malaysia ini kita dapati orang Islam bukan hanya terdiri daripada orang Melayu sahaja tetapi pelbagai kaum dan keturunan sekali gus ia dirasai secara nyata di PERKIM kerana PERKIM adalah satu badan yang memberi perhatian khusus kepada penganut agama Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa seperti Cina, India, Iban, Kadazan, Bidayuh, Melanau, Filipina, Indonesia, Thailand, Afrika serta Belanda.
Salah satu sebab mengapa perkataan rakan seagama yang digunakan adalah kerana sudah berkali-kali dibincangkan oleh beberapa pihak mengenai perkataan mualaf.
Menurut tafsiran, mualaf bererti mereka yang bercita-cita untuk mendekati dan masuk Islam. Menurut tafsiran yang lain pula, mualaf bermaksud mereka yang baru memeluk Islam tetap dalam tempoh-tempoh tertentu sama ada satu, dua atau tiga tahun kerana peringkat itu mereka sedang mendalami Islam secara mendalam.
Jelas Dr. Yusof Noor, agak ganjil gelaran mualaf diguna pakai lagi setelah mereka memeluk Islam lebih daripada 20 hingga 40 tahun kerana golongan terbabit sesuai diberi istilah rakan seagama atau mukalaf.
Program tersebut bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara satu sama lain selain bertukar-tukar adat dan budaya dalam suasana Islam.
Selain itu, diadakan persembahan nasyid dari Kumpulan Safiya mempersembahkan lagu Assalamualaika Ya Rasulullah dan Ya Maulana.
Kemuncak program diteruskan dengan Wacana Rakan Seagama bertajuk ‘Bersatu Dalam Rahmah’ dipengerusikan oleh Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan, Dr. Suariza Hidayah Muhammad serta disampaikan oleh Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Mohd. Sukki Othman; Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, Dr. Ann Wan Seng; Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, Muhammad Fitri Abdullah dan Pengerusi Interfaith Spiritual Fellowship (INSAF), Dr. Che Amir Farid Che Isahak .
Dr. Suariza selaku pengerusi wacana berkata, di dalam al-Quran, Allah SWT menyifatkan Rasulullah SAW sebagai ‘Rahmatan Lil Alamin’ bermaksud rahmat buat sekian alam. Istilah ini kemudiannya diperbahas dan dikembangkan menjadi salah satu konsep dalam hubungan kemanusiaan dan interaksi sosial.
Jelasnya, kempen memperkenalkan Islam sebagai agama rahmah telah dimulakan di seluruh Malaysia dan konsep ini dijadikan sebagai asas dalam membangunkan teras serta mencorak dasar urus tadbir yang berasaskan Al-Quran.
Kata beliau, sifat belas kasihan dan ketegasan Rasulullah SAW adalah elemen yang tidak boleh dipisahkan dalam memelihara dan memartabatkan Islam di mana dua elemen tersebut adalah prinsip utama yang perlu diterapkan dalam pembangunan kerangka serta pelaksanaan konsep Rahmatan lil Alamin di Malaysia.
“Konsep Rahmatan Lil Alamin adalah sesuai dengan teras penubuhan PERKIM yang diasaskan oleh Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang menjadikan PERKIM sebagai pusat penyatuan kepelbagaian kaum di Malaysia di bawah satu akidah yang sama,” kata Dr. Suariza.

Dr. Sukki dalam ceramahnya mengajak peserta menghayati firman Allah SWT dalam surah Ali Imran, ayat 103 bermaksud: “Dan berpegang teguhlah dengan tali Allah (ajaran dan panduan daripada Allah) dan janganlah kamu berpecah belah.”
Konsep Rahmatan Lil ‘Alamin akan berkekalan hingga ke hari kiamat. Islam tidak pernah memisahkan dari keluarga walaupun kita telah memeluk Islam sedangkan mereka masih menganut agam asal.
Baiknya Islam dari kaca mata orang belum Islam apabila mereka melihat kebaikan akhlak Muslim.
Kita merupakan duta Islam dan merupakan umat terbaik selaras dengan surah ali-Imran ayat 10 bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji).”
Walau hebat mana sekali pun kita harus bersatu kerana bersatu teguh bercerai roboh.
Kita perlu memberi gambaran terbaik tentang Islam jangan disebabkan hanya kerana segelintir kecil membuat perkara buruk, ditularkan secara meluas keburukan Islam umpama dek kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Secara tidak langsung, ia memberi pandangan negatif kepada masyarakat bukan Islam, walhal masih ramai lagi Muslim yang membuat kebaikan yang tidak ditularkan melalui media.
Kebaikan adalah bermula dari diri kita, berbaik sangkalah serta terapkan kasih sayang sesama kita.

Menurut Dr. Ann pula, Islam itu datangnya secara asing dan akan kembali dengan asing. Islam bukan sahaja terasing, malah manusia sengaja mengasingkan diri dari Islam dan mencari titik kelemahan Islam untuk memecahbelahkan Islam.
Tambahnya, sedangkan Rasulullah SAW bersabda dalam hadis Riwayat Ibnu Majah bermaksud: “Dan demi jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, akan berpecah umatku kepada 73 golongan kumpulan. Satu kumpulan sahaja yang akan ke syurga dan 72 kumpulan lagi akan dimasukkan ke dalam neraka.”
Jelas Dr. Ann, selagi berpegang kepada akidah Islamiah, inshaAllah akan selamat dunia dan akhirat.
Katanya, perpecahan dari segi akidah telah giat diusahakan oleh satu gerakan yang memberi gambaran buruk tentang Islam seperti mengatakan bahawa al-Quran sudah ketinggalan zaman dan tidak releven untuk diamalkan.
Beliau mengajak bersama-sama mewujudkan persefahaman, mencari titik persamaan dan memberi kefahaman kepada orang bukan Islam bermula dari orang Islam sendiri.
Islam terbina dari 4 perkataan iaitu ‘Aslamah’ yang bererti penyerahan diri kepada Allah secara keseluruhan serta meletakkan kebergantungan, keyakinan dan pengharapan kepada-Nya.

Muhammad Fitri pula menerangkan bahawa al-Quran mewajibkan kita untuk bersatu seperti mana terkandung di dalam surah al-Anbiya’, ayat 92 bermaksud: “Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku.”
Nabi Muhammad SAW diutuskan kepada masyarakat Jahiliah sebagai satu rahmat di mana Jahiliah merujuk kepada dua perkara iaitu jahil dalam agama dan akhlak.
Tambahnya, sebelum kedatangan baginda, masyarakat ketika itu hidup zalim-menzalimi dan tiada rahmat.
“Sesungguhnya nabi diutuskan untuk memperbaiki akhlak masyarakat Jahiliah,” kata Muhammad Fitri yang juga Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM.
Katanya, sejarah peperangan Al-Basus selama 40 tahun yang disebabkan oleh seekor unta yang masuk ke kawasan kabilah lain dan dibunuh. Pemilik unta membunuh pula pembunuh untanya dan bermulalah pembunuhan di antara dua kabilah itu untuk menuntut hak. Di atas kalimah tauhid, mereka semua bersatu padu, bertolak ansur dan saling menyayangi.
Ujar Fitri, surah pertama yang diturunkan ialah Iqra’ yang mengajar tentang keilmuan dan kadangkala berlakunya salah faham adalah kerana tiada atau kekurangan ilmu.

Dr. Amir Farid menyifatkan masyarakat Islam di Malaysia mudah berbalah hingga mencetuskan peperangan kecil hanya disebabkan perbezaan fikrah walaupun hampir keseluruhan mengikut pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah.
Ujarnya, perbalahan terjadi apabila salah satu pihak tidak dapat menerima pendapat lain dan menentang secara tidak berhikmah. Untuk itu, kita perlu bersatu dan cuba menambahbaik pendapat secara bertoleransi serta meraikan yang lain.
Tambah Dr. Amir lagi, dari segi ekonomi, orang bukan Islam lebih jauh dihadapan berbanding ekonomi Muslim. Seharusnya kita mengemaskini ekonomi Islam dan berkempen untuk menyokong produk Muslim demi mengukuhkan ekonomi Muslim tetapi bukan dengan cara memboikot produk orang bukan Islam.
Walaupun pelbagai kaedah dan kempen yang diadakan, gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah, mat rempit dan pembungan bayi sukar dibendung di kalangan belia Islam.
Dari segi politik, penyatuan untuk menegaskan agama Islam membawa keadilan, kesejahteraan bukan sahaja untuk orang Islam bahkan untuk bukan Islam.

Lebih 100 peserta terdiri di kalangan saudara baharu menghadiri program Wacana Rakan Seagama.

Saiful Hafiz Vijia menyampaikan bacaan doa dalam versi bahasa Arab, Melayu dan Inggeris.

Peserta menadah tangan ketika doa dibacakan.

Kumpulan nasyid Safiya menyampaikan lagu Assalamualaika Ya Rasulullah dan Ya Maulana.

Dr. Yusof Noor menyampaikan ucapan aluan sempena WARAS.

Peserta mendengar ucapan disampaikan oleh Dr. Yusof Noor.

Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, Tun Dr. Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim menyampaikan ucapan perasmian.

Dr. Ahmad Fairuz gembira kerana dapat berhimpun bersama pelbagai bangsa dalam membincangkan Islam.

Bersatu Dalam Rahmah merupakan tajuk WARAS disampaikan oleh (dari kiri:) Suariza, Dr. Sukki, Dr. Ann, Dr. Amir dan Muhammad Fitri.

Sukki (kanan) mengajak peserta supaya berpegang teguh dengan tali Allah dan jangan berpecah belah.

Dr. Ann mengajak orang Islam mewujudkan persefahaman, mencari titik persamaan dan memberi kefahaman kepada orang bukan Islam.

Muhammad Fitri (kanan) mengajak umat Islam supaya bersatu dan menghayati kisah sejarah Rasulullah SAW.

Dr. Amir Farid turut menyentuh berkenaan perbezaan fikrah dan pendapat di kalangan masyarakat Islam Malaysia.

Tetamu kehormat merakamkan kenang-kenangan bersama peserta di akhir program.



