Aktiviti Kebajikan

PERKIM Anjur Majlis Silaturahim Bersama Komuniti Cham dan Rohingya

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya iaitu Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan, lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (An-Nisa’ : 1)

Bagi mengeratkan ikatan silaturahim di antara masyarakat komuniti, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan Majlis Silaturahim Bersama Komuniti bertempat di Darul Azzam, Teluk Gadung Kecil, Klang, Selangor pada 23 Ogos 2015 lalu.

Program yang mendapat kerjasama Yayasan Gift itu telah menghimpunkan lebih 1000 komuniti minoriti Islam yang berketurunan Cham Kemboja dan Rohingya.

Majlis itu dihadiri oleh Naib Yang DiPertua Perkim; Prof. Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah, Bendahari Kehormat Perkim; Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim dan Penolong Setiausaha Agung Perkim; Datuk Hj. Hasbullah L. Isa.

GAMBAR TAN SRI DR MOHD YUSOF NOORsSetiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor berkata, program tersebut bertujuan untuk menghimpunkan komuniti minoriti Islam Cham dan Rohingya dari pelbagai negeri dalam satu majlis tersebut untuk merapatkan ukhwah di samping mengeratkan tali persaudaraan.

Katanya, program itu adalah penting kerana selain merapatkan silaturahim di antara Perkim dan masyarakat komuniti, ianya juga memupuk semangat perpaduan di antara sesama ummah.

Dr. Yusof Noor berkata, selain bertujuan memupuk persefahaman di kalangan masyarakat minoriti Islam, secara tidak langsung ianya memperkenalkan Perkim sebagai organisasi yang bertanggungjawab dalam  menyampaikan dakwah, kebajikan dan pendidikan kepada umat Islam.

Majlis tersebut membina satu generasi Islam dengan menghayati dan melaksanakan perintah agama dalam kehidupan serta dapat menyebarluaskan syiar Islam.

Jelasnya, di Malaysia, kita mengamalkan merayakan sesuatu perayaan dalam tempoh yang lama berbanding di negara-negara Islam yang lain seperti perayaan Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Tahun Baharu Hijrah, Maulidur Rasul dan lain-lain.

“Pada masa akan datang, Perkim berusaha dan merancang untuk mengadakan sambutan atau perayaan di kawasan yang terdapat golongan yang kurang bernasib baik sama ada di luar bandar atau di bandar,” kata Dr Yusof Noor yang juga merupakan Pengerusi TV Al-Hijrah.

Ucapnya, jika diizinkan, Perkim akan berusaha mencari golongan yang tidak berkemampuan dan membantu mereka dalam meraikan sambutan perayaan kerana ini merupakan kekuatan kita sebagai orang yang beriman.

Ujar Dr. Yusof Noor lagi, Perkim bukannya kaya (mampu), tetapi Perkim kaya dengan hasrat, niat, tujuan dan kemahuan untuk membina persaudaraan Islam.

Beliau berpesan, sebagai seorang Islam kita adalah bersaudara dan jangan mengorbankan serta mematikan persaudaraan sekiranya timbul permasalahan.

Beliau turut menyarankan agar komuniti terbabit dapat menguasai, memahami dan bertutur Bahasa Melayu dengan baik melalui penganjuran kelas yang akan dikelolakan oleh Yayasan Gift dan mendapat sokongan daripada Perkim.

Dr. Yusof Noor yang juga Presiden Universiti Islam Malaysia (UIM) berkata, bahasa adalah penting untuk berinteraksi di antara satu sama lain dan kita tidak mahu mereka tidak dapat menguasai Bahasa Melayu meskipun telah berada di Malaysia setelah sekian lama.

“Kita belajar Bahasa Melayu dalam negara ini dengan niat untuk memahami antara satu sama lain di samping mengeratkan ukhwah tanpa mengira kaum,” katanya kepada masyarakat minoriti Islam.

Beliau berharap,  semua kaum dan bangsa bersatu atas nama Islam seperti mana peranan yang dimainkan oleh Perkim.

Dr. Yusof Noor turut menyampaikan wang sumbangan kepada anak-anak komuniti Cham dan Rohingya.

Majlis tersebut turut menyajikan pelbagai juadah yang disediakan oleh komuniti Cham seperti nasi, ayam goreng, kari daging, ikan bakar, roti canai, lok lak, dim sum, aneka kuih muih dan buah-buahan serta makanan masyarakat Champa.

GAMBAR DR FIRDAUS AHMAD AZZAMsSementara itu, Pengasas Yayasan Gift, Dr. Firdaus Ahmad Azzam berkata, sebagai seorang Mukmin, kita adalah bersaudara di mana pada hari ini kita dapat menghimpunkan komuniti minoriti Islam dari seluruh pelusuk tanah air iaitu Kelantan, Parit Buntar, Pahang, Teluk Intan, Kampar, Terengganu dan lain-lain.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perkim kerana kegigihan menganjurkan pelbagai program bagi membantu komuniti minoriti Islam yang tertindas sebelum tahun 1992.

Dr. Firdaus dalam ucapannya memetik hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Tidak beriman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri”.

“Diharap masyarakat minoriti Muslim dapat menghayati bersama slogan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-58 tahun iaitu sehati sejiwa,” ujar beliau.

Katanya, rata-rata komuniti yang hadir pada hari ini telah berada di Malaysia sejak tahun 1992 dan segelintir daripada tahun sebelumnya sehingga mempunyai anak, cucu dan cicit.

“Inilah satu-satunya isu yang sepatutnya perlu diberi perhatian memandangkan mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah sehingga menjadi komuniti tidak bernegara,” rintih Dr. Firdaus.

Pada tahun 1845, hilangnya sebuah tamadun Islam Melayu-Champa yang mempunyai tulisan, bangsa, artifak, budaya dan nama tetapi tidak mempunyai negara.

Perkara yang sama mungkin akan berlaku pada orang Melayu Malaysia, jika kita tidak bersatu.

Mudah-mudahan sejarah Melayu-Champa menjadi iktibar kepada seluruh masyarakat Islam supaya mereka bersatu atas nama ukhwah Islamiah.

Hari ini juga kita pertemukan tiga madrasah Rohingya iaitu dari Cheras, Meru Klang dan Kapar untuk saling mengenal antara satu sama lain.

Yayasan Gift  menjalankan kelas fardu ain pada setiap malam Sabtu manakala kelas Al-Quran dan Bahasa Melayu pula diadakan pada setiap pagi Ahad.Yayasan Gift telah mengadakan kelas fardu ain pada setiap malam Sabtu manakala kelas Al-Quran dan Bahasa Melayu pula diadakan pada setiap pagi Ahad.

Perkim yang diwakili oleh Dr. Yusof Noor menyampaikan sumbangan berbentuk bacaan Yasin dalam Bahasa Cham kepada wakil komuniti Melayu-Cham.

Turut diadakan persembahan ‘tari persembahan’, ‘melodi kembanglah bunga perautan’ dan ‘tari rentak’ dari Pertubuhan Minangkabau Tanah Datar Negeri Selangor.

Di akhir majlis, Allah telah membukakan hidayah kepada tiga wanita Cham untuk memeluk Islam, masing-masing telah diislamkan oleh Dr. Ridhuan Tee, Dr. Yusof Noor dan Dr. Muhammad Rais.

Turut hadir bersama, Setiausaha Kerja Perkim; Zulkefli Arifin, Ketua Unit Komunikasi dan Media Baru Perkim; Dato’ Ahmad Mustafa, Pegawai Tugas-tugas Khas merangkap Pengarah Unit Perancangan, Penyelarasan dan Perlaksanaan Perkim; Mamat Che Chik, Timbalan Pengarah Unit Perancangan, Penyelarasan dan Perlaksanaan Perkim; Hj. Abdul Hanif Harun dan Ketua Unit Penerbitan Perkim; Mohd. Zuber Zain.

001
Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Dr. Yusof Noor tiba ke majlis dan disambut oleh ahli Pertubuhan Minangkabau Tanah Datar Negeri Selangor.

002
Pengerusi majlis, Ustaz Jais Mariappan Abdullah membuka majlis dengan membacakan doa.

005
Antara tetamu masyarakat Cham yang hadir di majlis tersebut.

004
Setiausaha Agung Perkim, Dr. Yusof Noor menyampaikan ucapan dan amanatnya kepada komuniti minoriti Islam di majlis tersebut.

006
Antara wajah-wajah komuniti Cham yang telah berada di Malaysia sejak sebelum 1992 lagi.

003
Dr. Firdaus (kanan) menyampaikan ucapannya kepada tetamu dan hadirin pada majlis tersebut.

007
Anak-anak Rohingya mendengar ucapan sambil menjamu selera.

008
Dr. Yusof Noor (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan berbentuk bacaan Yasin dalam Bahasa Cham kepada wakil komuniti Melayu-Champa sambil disaksikan oleh Dr. Ridhuan Tee (kiri), Dr. Muhammad Rais (dua dari kiri) dan Dr. Firdaus (tiga dari kanan).

009
Bendahari Kehormat Perkim, Dr. Muhammad Rais (kiri) menyampaikan sumbangan cenderahati kepada Pengasas Yayasan Gift, Dr Firdaus (dua dari kanan) sambil disaksikan oleh Setiausaha Agung Kehormat, Dr Yusof Noor (dua dari kiri).

010
Dr. Yusof Noor menyampaikan wang sumbangan kepada anak-anak komuniti Cham.

011
Hj. Abdul Hanif (tengah) turut membantu menyampaikan wang sumbangan kepada pelajar madrasah Rohingya.

012
Pertubuhan Minangkabau Tanah Datar Negeri Selangor menyampaikan persembahan ‘tari persembahan’, ‘melodi kembanglah bunga perautan’ dan ‘tari rentak’ dalam majlis tersebut.

013
Komuniti Cham menikmati pelbagai juadah yang disediakan.

014
Kini komuniti Cham turut mahir menebar dan membuat roti canai yang enak.

015
Ahli Pertubuhan Minangkabau Tanah Datar Negeri Selangor turut bersama merakamkan gambar kenangan bersama tetamu kehormat Perkim dan Yayasan Gift.

016
Dr. Ridhuan Tee (kiri) memimpin ikrar syahadah salah seorang daripada tiga wanita Cham yang diberi hidayah untuk memeluk Islam.

Lihat lagi gambar di facebook-logo-spaced

Related Articles

Back to top button