Aktiviti DakwahMesyuarat Agung PERKIM Kebangsaan

Perdana Menteri Saran Umat Islam Capai Kemajuan

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI


“Jika kita benar-benar mengamati dan mengamali ajaran Islam, kita juga akan menjadi negara yang maju serta mampu memberi perlindungan kepada umat Islam,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Tetapi berkemungkinan ia mengambil masa yang panjang bahkan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW pun mengambil masa sebelum ianya diterima.

Menurut Perdana Menteri, walaupun banyak rintangan yang dihadapi oleh Rasulullah SAW, tetapi baginda tidak kecewa malah baginda terus berusaha sehingga agama Islam itu diterima dan berkembang maju di seluruh dunia.

“Inilah hasil daripada perjuangan Nabi Muhammad SAW dan kita pastinya akan mengambil sandaran baginda sebagai contoh ikutan dalam perjuangan agama kita.

Dr Mahathir berkata ketika menyampaikan ucapan dasar Yang DiPertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) di Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-58 bertempat di Hotel Hilton, Petaling Jaya, Selangor pada 30 November 2019 lalu.

Mesyuarat tersebut dihadiri seramai 250 terdiri daripada Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, Perwakilan dan Pemerhati PERKIM Bahagian Negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sarawak serta badan gabungan PERKIM iaitu Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Harakah Islamiah (HIKMAH), Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan Kelab PERKIM Universiti (KPU).

Turut hadir ialah pimpinan PERKIM, Pengerusi Tetap, Dato’ Dr Abu Bakar Shaari; Naib Yang DiPertua PERKIM, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim, Dato’ Dr. Mustapha Ma, Dato’ Mohd. Nakhaie Ahmad, Prof Dr Mohd. Ridhuan Tee Abdullah; Ketua Wanita, Tunku Puan Sri Dato’ Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj; Bendahari Kehormat, Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung Kehormat, Datuk Hasbullah L. Isa

Dr. Mahathir dalam ucapannya menyatakan kesyukurannya kerana dapat menghadiri mesyuarat pada kali ini walaupun sibuk dengan hal ehwal dan urusan negara.

Jelas beliau, Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM sepatutnya dijadualkan di Nusajaya, Johor bersempena merayakan Hari Ulang Tahun PERKIM Bahagian Negeri Johor ke-50.

“Saya memohon maaf kerana pada waktu tersebut saya tidak dapat mengadakannya disebabkan menghadiri undangan negara di Indonesia dan saya fikir tentulah mesyuarat diteruskan tetapi mesyuarat ditangguhkan dan kita bersama-sama dapat mengadakan mesyuarat PERKIM tahunan di sini.

“Alhamdulillah, saya baru sahaja balik daripada Korea Selatan. Korea Selatan ini adalah sebuah negara yang dari segi pembangunan serta pentadbiran dahulunya di belakang kita tetapi hari ini mereka berada jauh di hadapan kita.

Katanya, jika diambil ukuran tentang pendapatan perkapita, Malaysia pendapatannya ialah sebanyak RM 10,000 sekepala. Manakala Korea adalah 36, 000 USD sekepala dan ini  menunjukkan bahawa mereka sudah berada di hadapan kita tiga kali ganda daripada Malaysia.

“Kita lihat pembangunan Korea Selatan adalah luar biasa daripada sebuah negara yang tertinggal di belakang, hari ini mereka sudah masuk dalam kategori negara maju. Pendapatan dan kebolehan mereka tinggi. Mereka boleh buat segala-galanya yang dahulu kita anggap boleh dilakukan oleh negara Barat tetapi sekarang ini Korea Selatan lebih maju daripada beberapa negara Barat yang telah maju.

Kata Perdana Menteri, mereka menguasai semua ilmu khususnya pembangunan negara dan industri mereka serta pertambahan ilmu yang dikuasai oleh mereka mengiktirafkan mereka salah sebuah daripada negara yang termaju di dunia.

Sebaliknya kita tertinggal di belakang. Saya bertanya-tanya, kenapalah kita tertinggal di belakang. Kita tanyakan kenapalah tidak ada satupun negara Islam yang maju. Semua negara Islam di takrif sebagai negara yang membangun, tertinggal di belakang. Tidak ada kebolehan untuk membekal diri mereka dengan segala keperluan mereka.

Ujar beliau, sebanyak 52 negara Islam di seluruh dunia, tidak ada satupun yang di anggap sebagai negara maju. Apakah ini kerana larangan daripada agama kita supaya kita tidak maju? Apakah ini bermakna bahawa orang yang beragama Islam tidak maju dan tidak boleh maju serta tidak dibenarkan maju?

“Saya tertanya-tanya tetapi barangkali orang lain lebih arif dalam agama kita tetapi setakat yang saya tahu, saya baca Quran dan kitab-kitab lain tidak disebutkan bahawa Tuhan melarang orang Islam daripada mencapai kemajuan.

“Beritahu saya jika terdapat larangan terhadap orang Islam mencapai kemajuan di dunia dan tempat kita hanyalah di akhirat sahaja. Dunia ini adalah untuk orang kafir, jadi kita tidak perlu kejar kejayaan dan kemajuan di dunia ini.

“Setakat yang saya tahu tidak ada larangan dan kalau tidak ada larangan kenapakah kita tidak boleh maju seperti negara-negara lain di Barat dan Timur iaitu negara yang bukan Islam.

“Apakah kerana kita ada kekurangan sesuatu umpamanya Tuhan menjadikan orang Islam ini lemah dari segi akal fikiran dan tubuh badan sehingga mereka tidak boleh melakukan apa-apa pun yang dilakukan oleh orang bukan Islam.

“Saya fikir tidak bahawa Tuhan mengurangkan keupayaan orang Islam, tetapi yang kita tahu ialah kita sendiri tidak dapat memajukan diri kita kerana ini mempunyai kesan yang amat besar kepada umat Islam.

“Kita disuruh supaya melindungi, mempertahankan, menyelamatkan umat Islam kerana di dalam Al-Quran disebut bahawa kita perlu ada alatan-alatan yang diperlukan untuk melindungi orang Islam. Tetapi hari ini orang Islam berada dalam keadaan amat daif, ditekan, diseksa, dihalau keluar daripada negara mereka dan ramai dibunuh.

“Terdapat juga orang Islam membunuh sesama sendiri sedangkan kita dilarang daripada membunuh sesama orang Islam dan jika membunuh nescaya tempat kita di akhirat adalah di neraka seperti mana yang disebut di dalam al-Quran.

“Kita tidak mampu melindungi umat Islam dan negara-negara Islam kerana kita lemah daripada pelbagai sudut. Negara kita kadang-kadang diberi kekayaan yang luar biasa tetapi dengan kekayaan itu pun kita terus lemah kerana kita kurang cekap dalam pentadbiran negara dan kita tidak ada kebolehan tertentu untuk melengkapkan diri kita untuk mempertahankan umat Islam.

“Di masa dahulu, kita dapati ada negara Islam yang di anggap maju dan kuat serta tidak ada siapa yang dapat menekan orang Islam kerana kita mempunyai sebuah negara Uthmaniah umpamanya yang begitu kuat sehingga menakutkan pihak-pihak lain daripada melakukan kezaliman kepada orang Islam tetapi pada hari ini tidak ada negara Islam yang kuat untuk menakutkan orang lain daripada menzalimi orang Islam.

“Hari ini pemanah, tombak, kuda perang tidak boleh digunakan dan tidak mampu untuk mempertahankan umat Islam malah kita perlu ada alatan-alatan yang lebih canggih untuk menakutkan musuh-musuh kita.

“Tetapi untuk itu kita tidak ada keupayaan membina dan membekalkan diri kita dengan alatan untuk mempertahankan umat Islam. Secara langsung kita tidak dapat melindungi umat Islam seperti yang dikehendaki oleh agama kita,” jelas Dr Mahathir.

Ucapnya lagi, kita mula setiap mesyuarat, setiap masa dengan menyebut nama Allah, kita berdoa meminta supaya kita dilindungi. Mesyuarat kita ini berjalan dengan baik dan segala-galanya kita minta daripada Allah. Semestinya sebagai orang Islam kita perlu minta pertolongan daripada Tuhan dan bukan daripada pihak-pihak yang lain.

“Tetapi yang kita lupa ialah Allah SWT tidak akan menolong kita melainkan kita berusaha sendiri untuk menolong diri kita. Oleh kerana kita tidak melakukan usaha ini secara yang berkesan maka kita tidak boleh mengharapkan kita akan dilindungi dan diberi keselamatan oleh Allah SWT.

“Kita boleh ikut rukun Islam seperti mengucap,  bersembahyang, berpuasa, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji tetapi ajaran Quran kita ketepikan bahkan ada kalanya yang kita melanggar ajaran al-Quran.

“Sudah tentu membunuh dilarang di dalam Islam, tapi kita lakukan sehingga lihat orang Melayu yang biasanya orang yang tidak suka kepada keganasan, ada yang pergi ke negara Syria dan sanggup mengangkat kepala yang telah dipancung dan ketawa.

“Apakah itu yang telah terjadi kepada orang Melayu yang beragama Islam? Apakah itu ajaran Islam? Apakah kita di suruh berbangga kerana kita membunuh seorang Islam lain? Tetapi itulah berlaku dan banyak pembunuhan yang berlaku di dalam negara-negara Islam.

“Perang saudara umpamanya menghancurkan sesebuah negara Islam. Perang antara orang Islam dengan saudara mereka juga beragama Islam mungkin kerana ada kelainan sedikit daripada tafsiran agama tetapi mereka berperang juga.

“Apabila berlaku konflik antara orang Islam sesama orang Islam kita perlu menjadi orang tengah untuk menyelesaikan pertelingkahan itu tetapi ini kita tidak mampu membuatnya kerana kita sendiri lemah.

“Inilah yang saya tertanya-tanya kenapa negara Korea Selatan itu boleh maju tetapi Malaysia tidak boleh maju dan kebanyakkan negara-negara Islam yang lainjuga kurang maju sehingga mereka tidak pun dapat mendirikan kerajaan dan mengadakan kestabilan serta ketenteraman di dalam negara mereka.

“Kita bercakap berkenaan dengan macam-macam amalan yang perlu kita lakukan tetapi apakah ini bermakna kita tidak boleh memajukan diri kita dalam bidang-bidang yang lain yang juga penting untuk mengekalkan agama Islam?

“Hari ini kita amat sedih melihat orang Islam lari daripada negara Islam untuk mencari perlindungan daripada negara yang ditadbir oleh bukan orang Islam.

“Berjuta-juta orang lari daripada negara sendiri kerana negara sendiri itu tidak selamat dan tidak stabil serta mereka tidak dapat keadilan dalam negara mereka. Di atas sebab itulah mereka lari ke negara-negara bukan Islam seolah-olah membuat pengakuan bahawa negara bukan Islam itu adalah lebih baik daripada negara Islam.

Sebab itu mereka pergi ke negara-negara yang memberi mereka perlindungan tetapi malangnya, apabila mereka berada di negara lain yang menerima mereka serta memberi tempat kepada mereka, mereka melakukan perbuatan-perbuatan yang merosakkan ketenteraman negara itu seperti  meletupkan bom dan ada yang membawa lori melanggar seramai 80 orang sehingga mati.

“Sudah tentu perbuatan yang semacam ini menimbulkan perasaan takut oleh orang yang menjadi tuan rumah dan mereka berasa takut kepada orang Islam sehinggakan timbulnya perkataan ‘Islamophobia’ iaitu takut kepada Islam.

“Kita marah dan kita berkata bahawa Islam bukan seperti itu. Islam tidak berhajat untuk membinasakan sesiapa. Bahkan ada daripada kita yang berkata bahawa Islam bermakna keamanan.

Atas sebab perbuatan orang-orang Islam begitu ganas sehingga Islam dikenali sebagai agama pengganas dan inilah yang sedang berlaku.

“Bukan sahaja sepatutnya kita sebagai pendakwah mengembangkan agama kita, malah apa yang dilakukan menjauhkan orang yang menganuti lain daripada menerima agama Islam.

“Bukan agama kita melarang kita mencari kekayaan asalkan kita mencari kekayaan secara halal dan kita guna kekayaan kita untuk bersedekah bagi membantu yang lain di kalangan kita. Itu yang di suruh oleh agama kita kerana saya membaca Al-Quran dan faham banyak sekali suruhan-suruhan Islam kepada kita tidak pun dipedulikan bahkan kita berasa tidak puas hati kerana Islam tidak begitu seperti apa yang kita kehendaki.

“Banyaklah perlakuan kita itu bertentangan dengan ajaran agama kita seperti yang terkandung dalam Al-Quran. Kita lebih patuh kepada pemimpin sehingga walaupun pemimpin itu melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam, maka kita juga akan mengikuti pemimpin itu tanpa mengambil kira kehendak agama kita sendiri.

Dr Mahathir dalam nada yang sedih berkata, saya tidak ada masa yang banyak lagi.

“Kita mampu bersaing dengan mereka tetapi yang menjadi halangan kepada kita ialah tidak ada kemahuan.

“Kita adalah sama dengan orang-orang asing itu, daripada segi kebolehan akal fikiran dan sebagainya. Tetapi kita tidak menggunakan kurniaan Allah kepada kita dengan cara yang baik atau dengan cara yang membolehkan kita melindungi agama Islam.

“Hari ini kita sedih melihat orang Islam di Myanmar umpamanya dihalau keluar dan ramai daripada mereka yang meninggal semasa mereka melarikan diri daripada negara terbabit.

“Di Timur Tengah kita lihat orang Islam lari daripada negara mereka untuk mendapat pelindungan daripada negara-negara orang lain dengan pengakuan bahawa kita tidak mampu pun untuk mentadbir negara dengan baik.

“Saya harap kita di sini mengambil ingatan dan saya sedar saya bercakap banyak kali berkenaan dengan perkara ini kerana nasib orang Islam bergantung kepada kita mengamalkan ajaran agama Islam yang sebenar.

“Untuk ini panduan yang perlu kita guna adalah al-Quran sendiri kerana banyak sungguh terdapat ajaran-ajaran Islam dalam al-Quran sehingga kita mengaku dan mendakwa bahawa Islam bukan sahaja suatu agama tetapi dia juga adalah suatu cara hidup. Apakah cara hidup orang Islam? Semuanya terdapat dalam al-Quran.

“Kita tahu bukan semua hadis itu sahih kerana apabila Imam Al- Bukhari menyemak hadis-hadis, dikatakan beliau menyemak 600,000 hadis dan daripada 600,000 hadis ini, hanya 7,000 hadis sahaja yang diterima sebagai hadis sahih.

“Ini bermakna bahawa banyak juga hadis-hadis yang kadang-kadang kita gunakan itu bukanlah hadis yang sebenar dan berkemungkinan ia dicipta untuk memuaskan sesuatu keadaan.

Dr Mahathir berharap jika benar-benar mengamati dan mengamali ajaran Islam, Malaysia akan menjadi negara yang maju serta mampu memberi perlindungan kepada umat Islam tetapi mungkin mengambil masa yang panjang. Ini tidak harus mengecewakan kita kerana dalam setiap usaha bukan boleh berlaku dalam satu hari.

“Bahkan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW pun mengambil masa sebelum ianya diterima dan baginda menempuhi banyak rintangan tetapi baginda tidak kecewa, tetapi baginda berusaha sehingga agama Islam itu diterima dan berkembang maju di seluruh dunia.

“Inilah hasil daripada perjuangan Rasulullah SAW dan kita tentu akan mengambil baginda sebagai contoh dalam perjuangan agama kita.

“Kalau kita berusaha kita juga akan menjadi satu kuasa yang boleh melindungi umat Islam seperti yang di kehendaki oleh agama kita.

“Saya berharap dalam mesyuarat PERKIM selain daripada kita memilih pemimpin-pemimpin kita, ajaran Islam yang sebenar yang terdapat dalam al-Quran hendaklah menjadi panduan kepada kita.

“Apabila kita berasa sesat kembalilah kepada al-Quran untuk mencari penyelesaiannya kerana kita akan menjadi pendakwah yang berkesan.

“Apabila kita menjadi suatu bangsa yang maju dengan sendirinya dia akan menarik minat orang lain untuk terima agama kita kerana agama kita menunjuk bahawa agama kita memajukan penganut-penganutnya,” jelas Dr. Mahathir.


Terdahulu, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr Mohd. Yusof Noor berkata tugas saya hari ini adalah untuk melaporkan seperti yang dikehendaki oleh peraturan mengenai kehadiran dalam mesyuarat ini.

Katanya, sejak malam tadi di mana sahaja saya duduk dan bertemu dengan orang ramai sama ada perwakilan, pemerhati PERKIM atau tetamu jemputan kerana mereka melihat kehadiran Tun Dr. Mahathir mereka bertanya sesama sendiri, bukankah Tun baru sahaja pulang dari Korea Selatan semalam dan bagaimana beliau boleh terus datang ke sini?

Alhamdulillah hari ini kita bersyukur kepada Allah SWT kerana telah menganugerahkan kesihatan kepada Tun Dr. Mahathir untuk bersama-sama dalam perjuangan dakwah ini.

Jelas Dr. Yusof Noor, bezanya perhimpunan pada kali ini kerana adanya Pemilihan Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM sesi 2019-2022 yang diadakan pada setiap tiga tahun sekali.

“Kehadiran Ahli Majlis Kebangsaan adalah seramai 50 orang dan perwakilan seramai 107 orang manakala 67 orang pemerhati.

“Jumlah 157 orang Ahli Majlis Kebangsaan dan perwakilan telah memenuhi kehendak mengadakan mesyuarat agung mengikut perlembagaan PERKIM dan jumlah keseluruhan dalam dewan adalah seramai 219 orang.

“Pengurusan PERKIM Kebangsaan turut memohon kemaafan kepada PERKIM Bahagian Negeri Johor kerana keadaan tertentu kita terpaksa tukar ke kawasan ini atas sebab-sebab yang tertentu dan tentulah ada beberapa kesulitan yang dihadapi oleh banyak pihak terutamanya kepada mereka yang telah bertungkus-lumus bekerja serta membuat persiapan berkaitan dengan Mesyuarat Agung ini.

Ujarnya, memandangkan adanya kepentingan yang lebih besar iaitu perjalanan PERKIM mesti diutamakan, tempat adalah menjadi perkara yang kedua.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak walaupun mereka sudah tidak menjadi tuan rumah, mereka masih mengirimkan buah tangan dari Johor,” ucapnya.

Walaupun PERKIM Johor tidak menjadi tuan rumah pada kali ini, saya rasa berkewajipan sebagai seorang Muslim mengucapkan terima kasih kepada mereka yang berbudi dan ucapan terima kasih juga kepada semua pihak yang telah memberi buah tangan, mudahan-mudahan Allah memberkati usaha mereka.

Dr. Yusof Noor turut melaporkan jumlah keahlian PERKIM pada tahun 2018 iaitu berjumlah 55, 048 orang dan PERKIM paling ramai ahlinya ialah Perkim Bahagian Negeri Sarawak.

“Tahniah kepada PERKIM bahagian dan cawangan, diharap kita bersama-sama meningkatkan usaha dengan gigih untuk menambah ahli PERKIM,” katanya.

Mesyuarat diteruskan dengan meluluskan Minit Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-57; menerima laporan tahunan PERKIM Kebangsaan dan PERKIM Bahagian-bahagian, Wanita PERKIM, HIKMAH, USIA dan MACMA 2018; meluluskan akaun bagi tahun berakhir 31 Disember 2018; memilih Ahli Majlis Kebangsaan bagi sesi 2019 – 2022; meluluskan anggaran pendapatan dan perbelanjaan bagi tahun 2020; membincang dan meluluskan usul serta ucapan penangguhan.

Ahli majlis, perwakilan dan pemerhati memilih dan membuang undi sewaktu Pemilihan Ahli Majlis Kebangsaan bagi penggal 2019 – 2022.

Selepas Yang DiPertua PERKIM, Dr Mahathir membuat ucapan penggulungan, Dr Abu Bakar Shaari turut mengumumkan keputusan penuh Pemilihan Ahli Majlis Kebangsaan Sesi 2019 – 2022.

Pengerusi Tetap
– Dato’ Dr Abu Bakar Shaari

Timbalan Pengerusi Tetap
– Wan Abd. Halim Wan Ismail

Yang DiPertua
– Tun Dr Mahathir Mohamad

Naib Yang DiPertua
– Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim
– Prof. Dr Mohd. Ridhuan Tee Abdullah
– Muhammad Fitri Abdullah
– Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad

Ahli Majlis Kebangsaan
– Dr Mohd. Farid Ravi Abdullah
– Dr Ann Wan Seng
– Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hing
– Datuk Hasbullah L. Isa
– Dato’ Dr Ismail Ibrahim
– Prof. Dr Ramle Abdullah
– Prof. Madya Dr Nur‘azah Dato’ Abdul Manaf
– Tan Sri Dato’ Dr Harussani Zakaria
– Prof. Madya Dr Amin Malik Shah Abd. Majid
– Datuk Dr Norhafizah Musa
– Dato’ Ali Abd. Majid
– Datin Paduka Hapipah Endot
– Datin Paduka Norsiah Harun


Para perwakilan PERKIM memeriksa nama ketika sesi pendaftaran.


Dr. Yusof Noor menyambut ketibaan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.


Perwakilan bersalam-salaman ketika ketibaan Yang DiPertua PERKIM, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Kepimpinan tertinggi PERKIM menadah tangan ketika doa dibacakan.


Muhammad Ridhuan Tan Abdullah memimpin bacaan doa pembuka majlis.


Setiausaha Agung Kehormat PERKIM menyampaikan ucapan aluan.


Yang DiPertua PERKIM, Tun Dr Mahathir menyampaikan ucapan dasar kepada seluruh perwakilan dan pemerhati.


Kata Dr Mahathir, setelah bangsa kita maju secara sendirnya akan menarik minat orang lain untuk terima agama Islam.


Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Datuk Nawawi Ismail memberikan taklimat pengundian Pemilihan Ahli Majlis Kebangsaan Sesi 2019 – 2022.


Perdana Menteri memangkah kertas undi bagi memilih Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM Sesi 2019 – 2022.


Dr Mahathir memasukkan kertas undi ke dalam peti undi ketika berlangsungnya Pemilihan Ahli Majlis Kebangsaan sesi 2019 – 2022.


Perdana Menteri berkesempatan melawat pameran PERKIM


Dr. Mahathir melihat gambarnya ketika mengislamkan saudara baharu di pameran PERKIM.


Para perwakilan dari PERKIM Bahagian Negeri Selangor, Hushim Salleh memberikan pandangan dan pendapat beliau di Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM.


Kharuddin Abdullah mewakili perwakilan PERKIM Negeri Sembilan menyampaikan ucapan penangguhan.


Ucapan penggulungan Yang DiPertua PERKIM, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Perdana Menteri berkesempatan bergambar kenangan bersama perwakilan dan pemerhati PERKIM Bahagian Negeri Selangor.

[youtube url=”https://www.youtube.com/watch?v=S3CV3QslJWA&t=9s” width=”700″ height=”467″]

Related Articles

Back to top button