Aktiviti DakwahMesyuarat Agung PERKIM Kebangsaan

PM: PERKIM Martabatkan Perjuangan Islam

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI


“Kita diberi kesempatan untuk merenung kembali usaha dan pencapaian Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) di samping menilai sejauh mana kejayaan pertubuhan itu sendiri di dalam peranannya melaksanakan dakwah serta mengangkat martabat Islam,” kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Saya berpendapat bahawa untuk menjayakan perjuangan PERKIM kita harus usaha untuk tumpukan kepada matlamat dan bukan kepada perkara-perkara yang lain.

Perdana Menteri berkata ketika menyampaikan ucapan perasmian di Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-58 bertempat di Hotel Hilton, Petaling Jaya, Selangor pada 29 November 2019 lalu.

Majlis itu dihadiri seramai 400 tetamu yang terdiri daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM), Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, Perwakilan dan Pemerhati PERKIM Bahagian Negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sarawak, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Harakah Islamiah (HIKMAH), Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan Kelab PERKIM Universiti (KPU).

Turut hadir ialah pimpinan PERKIM, Pengerusi Tetap, Dato’ Dr Abu Bakar Shaari; Naib Yang DiPertua PERKIM, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim, Dato’ Dr. Mustapha Ma, Dato’ Mohd. Nakhaie Ahmad, Prof Dr Mohd. Ridhuan Tee Abdullah; Ketua Wanita, Tunku Puan Sri Dato’ Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj; Setiausaha Agung Kehormat, Tan Sri Dr Mohd. Yusof Noor; Bendahari Kehormat, Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung Kehormat, Datuk Hasbullah L. Isa

Dr Mahathir juga Yang DiPertua PERKIM berkata, untuk menentukan masyarakat berfungsi sebagai suatu masyarakat yang berjaya, ia perlu ada pertubuhan walau akan ditentangi oleh pihak-pihak yang lain.

“Pertubuhan ialah kumpulan ahli-ahli masyarakat yang berhasrat untuk melakukan sesuatu yang boleh memberi manfaat dan membawa banyak nikmat kepada masyarakat. Untuk ini kita perlu faham bahawa sedikit sebanyak pandangan-pandangan kita yang berbeza hendaklah dikurangkan.

“Kita tentukan bahawa matlamat kita akan tercapai dengan tindakan-tindakan yang diambil oleh kita secara bersepadu. Inilah cara kita mengadakan organisasi. Kalau tidak ada usaha untuk menggabungkan pandangan dan pendekatan kita maka tidak dapatlah kita melaksanakan apa sahaja.

“Dalam sebuah negara pula, kita tentukan bahawa pendapat yang berbeza-beza antara individu, antara suku-suku kaum, antara puak-puak dan kaum-kaum hendaklah diuruskan supaya tidak tercetus salah faham antara mereka.

“Sebaliknya mereka akan dipimpin oleh pemimpin yang faham bagaimana mengurangkan perselisihan faham antara kumpulan-kumpulan ini dan menentukan  halatuju masyarakat bdan halatuju negara.

“Kalau kita mampu membuat demikian barulah kita boleh mengadakan suatu masyarakat yang aman dan yang dapat mencapai kemajuan. Ini segala-galanya bergantung kepada sifat-sifat yang ada kepada kita. Ada bangsa-bangsa yang begitu garang, perengus dan mereka sering berkelahi antara satu sama yang lain.

“Apabila perkara itu berlaku, maka tidak dapatlah masyarakat itu mencapai kemajuan atau pun memaju ke hadapan. Ini jika di faham oleh kita semua maka sudah tentulah kita mengajar diri bagi membendung sedikit perasaan-perasaan kita.

Jelas Dr. Mahathir lagi, kalau kita terlalu terpengaruh dengan perasaan kita sehingga kita cetuskan huru-hara dan mengambil tindakan yang ganas akan rugilah masyarakat itu.

“Kita boleh lihat di negara-negara seperti di Timur Tengah yang mana hari ini masyarakat di sana khususnya di negara Islam tidak selamat dan sering berperang sesama mereka kerana perselisihan faham di antara mereka atau pun perbezaan fahaman agama.

“Disebabkan perbezaan itu, mereka sering bermusuh antara mereka dan pihak lain akan mengambil kesempatan dengan membekalkan senjata supaya menimbulkan permusuhan sekali gus peperangan  saudara di dalam keadaan tidak aman.

Ucap beliau, jika kita lihat di sesetengah negara Eropah walaupun mereka menghadapi masalah yang sama tetapi negara mereka menjadi lebih aman daripada sesetengah daripada negara Islam.

“Sehinggakan, umat Islam di negara Islam mereka terpaksa berhijrah ke negara-negara yang bukan di perintah oleh orang Islam demi mencari keamanan.

“Walaupun Islam berkata bahawa orang Islam itu adalah bersaudara tetapi mereka tidak bersaudara sebaliknya mereka bermusuh sesama mereka.

“Orang Islam berperang sehingga hancur negara mereka dan ribuan anggota mereka terbunuh dalam rusuhan dan peperangan yang dilakukan oleh mereka.

“Kita harus bertanya apakah sebabnya peperangan sering berlaku di negara Islam tetapi tidak berlaku begitu banyak di negara-negara bukan Islam?

“Adakah disebabkan mereka mengamalkan sistem demokrasi dan kita tidak mengamalkan sistem demokrasi? Adakah kerana mereka beragama bukan Islam dan kita beragama Islam?

“Saya yakin kalau kita meneliti dengan mendalam ajaran Islam, kita akan dapati bahawa kita tidak mematuhi ajaran-ajaran Islam kerana kita lebih utamakan diri kita sehingga tercetusnya rusuhan antara kita dan dengan itu negara-negara Islam kita dapati tidak dapat ditadbir dengan baik.

“Begitu juga dengan pertubuhan, apabila kita menubuh sesuatu pertubuhan dengan sesuatu hasrat atau pun kehendak ataupun matlamat, kita hendaklah kita belajar bertolak-ansur dan berkerjasama.

Menurut Dr Mahathir, beliau percaya bahawa jika kita mempunyai sikap toleransi, bersabar dan sanggup terima apa juga keperluan walaupun tidak mengikut kehendak dan selera kita, maka dapatlah kita bekerjasama.

“Jika kita gagal menyelesaikan perkara-perkara yang bukan menjadi matlamat kita maka tidak dapatlah kita mencapai matlamat kita iaitu berdakwah.

“Kita perlu berdakwah kerana kita tahu bahawa bukan orang yang belum Islam sahaja yang perlu dengar cerita dan penerangan supaya mereka akan tertarik dengan agama Islam dan memeluk agama Islam, tetapi kita lihat Muslim sendiri kadang kala tidak mengikuti ajaran-ajaran Islam.

“Saya sedar, saya bukanlah pakar dalam Bahasa Arab atau bidang Islam, tetapi saya dapat perhatikan tentang keadaan di negara-negara Islam di mana mereka berada dalam keadaan begitu tidak baik sehinggakan rakyat mereka sendiri melarikan diri daripada negara mereka.

Ulas Dr. Mahathir, beliau berpendapat bahawa PERKIM mempunyai tugas yang amat penting iaitu kita perlu jelaskan apa itu agama Islam supaya orang akan tertarik dengan agama ini dan akan terimanya.

“Sebaliknya, jika kita menunjukkan sikap yang tidak baik, jika kita tidak dapat bersatu, jika kita nampak daif, miskin dan tidak berkemampuan, maka ini dengan sendirinya menjadi suatu perkara yang akan ditolak oleh orang yang bukan beragama Islam kerana mereka melihat orang Islam selalunya gagal,bermusuh sesama sendiri, tidak dapat menyatukan perbuatan atau mencapai apa juga matlamat serta keinginan mereka.

“Saya berharap dalam PERKIM kita akan berkerjasama walaupun kita tidak bersetuju berkenaan dengan tingkah laku orang lain dan sebagainya tetapi tugas kita ialah berdakwah dan bukan mengutamakan kedudukan.

“Di usia PERKIM genap 59 tahun, sepatutnya orang yang majoriti ialah orang Islam dan ramailah orang yang bukan Islam akan menerima agama Islam, tetapi kita dapati bahawa orang Islam tidak akan mencapai kejayaan yang dapat dilihat oleh mereka dan kita dilihat daif, miskin dan tidak berkemampuan walaupun kita berdakwah menerangkan apakah itu agama Islam.

Ucap Dr. Mahathir lagi, kredibiliti orang terhadap kita sebagai pendakwah tentunya berkurangan apabila melihat pendakwah dalam keadaan daif, begitu gagal dalam kehidupan mereka.

“Sebaliknya, jika kita menunjuk bahawa orang Islam adalah orang yang berjaya, baik tingkah lakunya, berbudi pekerti mulia, betimbang rasa dan tidak mencemuh negara bangsa-bangsa lain dan juga agama-agama lain, berkemungkinan mereka akan memeluk Islam dalam ketenangan.

“Islam mengingatkan bahawa kita tidak perlu mencemuh sesiapa kerana dalam Surah Al-Kafirun ada menyebutkan bahawa “untuk kamu agama kamu, untuk kami agama kami”. Ini adalah pegangan yang patut ada pada kita supaya dengan itu kita pamerkan sifat-sifat yang baik kepada mereka, Insha Allah mereka mungkin tertarik dengan Islam.

“Justeru, mereka akan lebih mudah percaya kepada ajaran Islam dan itulah tumpuan kita dalam PERKIM supaya kita dapat bergerak cergas dan bergerak serentak bersama untuk satu tujuan iaitu berdakwah kepada orang bukan Islam dan juga kepada orang Islam.

Turut diadakan persembahan nasyid Safiyya, 7 Musafir dan Kindergarten Zul Iman Smart Khalifa dengan lagu bertajuk Assalamualaika Ya Rasulullah, Tombo Ati, Deen As-Salam dan lain-lain.


Sebelum itu, Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Selangor, Muhammad Fitri Abdullah menyampaikan ucapan aluan.

Fitri mewakili seluruh Ahli Jawatankuasa Perkim Bahagian Selangor mengucapkan terima kasih kepada Agung Kehormat PERKIM kerana telah memilih Negeri Selangor untuk menjadi tuan rumah untuk Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kali Ke-58 ini.

“Saya teringat bahawa sebelum ini saya pernah mencadangkan kepada Mesyuarat Majlis Kebangsaan yang lalu supaya memberikan laluan kepada PERKIM Bahagian Negeri Pulau Pinang kerana mereka telah menyatakan hasrat untuk menjadi tuan rumah.

“Walau bagaimana pun, PERKIM Bahagian Negeri Johor menjadi tuan rumah kerana telah menang majoriti pengundian tersebut.

“Kemudian kami dimaklumkan bahawa mesyuarat agung perlu diadakan di sekitar Lembah Klang kerana Tun Dr Mahathir amat sibuk dengan jadual negara.

“Bila kita beri laluan kepada sahabat kita atas nama agama, dakwah dan teman seperjuangan, kami sudah pun mendapat pahala,” kata Fitri yang juga Pengerusi PERKIM Cawangan Serendah.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada kepimpinan Perkim Bahagian Negeri Selangor sebelum ini yang memberi saya peluang serta mebimbing saya.

Kami telah diberi sebidang tanah di Shah Alam dengan usaha-usaha dari kepimpinan sebelum ini dan telah berjaya menyiapkan sebuah kompleks yang mengandungi satu banquet hall. Dewan yang kita ada lebih besar dari dewan di sini serta boleh muat seramai 1000 orang untuk sekali makan.

Walaupun kita masih dalam proses untuk mendapatkan sijil layak menduduki (CF), dewan kita ini sudah pun mula digunakan dan menjana pendapatan lebih kurang RM 50,000 sehingga RM 70,000 sebulan. Kita juga mempunyai hartanah dan sedang berusaha untuk dimajukan.

Fitri juga berkesempatan mengucapkan ucapan terima kasih khusus kepada Ahli Majlis Kebangsaan merangkap Tokoh Agama Islam Negeri Selangor, Dato’ Mokhtar Shafie kerana telah banyak membimbing dan mendidik beliau serta Pengarah Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL) merangkap Pengerusi PERKIM Cawangan Bukit Damansara kerana telah meminta beliau untuk mengisi borang keahlian PERKIM sekali gus menjadikannya ahli PERKIM yang aktif giat menjalankan usaha dan kerja dakwah.

Beliau turut mengambil kesempatan kepada perwakilan dan pemerhati agar kiranya dapat mengambil cakna saudara baharu yang berpotensi untuk dilatih, diberi peranan dalam kerajaan atau pun swasta dan tidak menjadikan mereka selama-lamanya mualaf atau saudara baharu.

“Menang atau kalah tidak penting, yang penting kita beri khidmat yang ikhlas kepada agama dan negara,” kata Fitri ketika mengakhiri ucapannya sambil mengucapkan selamat bertanding kepada Ahli Majlis Kebangsaan dalam Pemilihan Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM sesi 2019 – 2022.

Dr Mahathir dan tetamu kehormat turut menyampaikan Anugerah Tokoh Lelaki PERKIM kepada Dato’ Dr Mustapha Ma dan Anugerah Tokoh Wanita PERKIM kepada Faiza Bawumi Sayed Ahmad.

Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad menerima Anugerah Khidmat Cemerlang Ahli Majlis Kebangsaan manakala Anugerah Pendakwah Cemerlang disandang oleh Dr Nur Athiroh Masya’il Tan Abdullah.

Anugerah Tokoh Wanita PERKIM Bahagian Terbaik dianugerahkan kepada Datin Asmah Md. Rashid dan Anugerah Tokoh Lelaki PERKIM Bahagian Terbaik disampaikan kepada Dato’ Abdul Wahab Abdul Jalil.

PERKIM Bahagian Negeri Selangor menerima Anugerah PERKIM Bahagian Terbaik manakala PERKIM Cawangan Kuantan Pahang menerima Anugerah PERKIM Cawangan Terbaik dan Wanita PERKIM Cawangan Rengit Johor menerima Anugerah Wanita PERKIM Cawangan Terbaik.

Anugerah Khas Tokoh Pendakwah Unggul pula diterima oleh Dato’ Dr Danial Zainal Abidin.

Pemenang anugerah masing-masing menerima sijil penghargaan, plak anugerah dan wang tunai.

Sebelumnya, Ahli Majlis Kebangsaan mengadakan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bilangan 2/57 bagi membentangkan Minit Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bil 1/57, membentangkan laporan perkara berbangkit dan taklimat Pemilihan Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM sesi 2019 – 2022.


Ketibaan Perdana Menteri bersama kepimpinan PERKIM bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bil 2/57.


Yang DiPertua PERKIM, Tun Dr Mahathir Mohamad bergambar bersama Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM sebelum memulakan Mesyuarat Majlis Kebangsaan.


Dr Mahathir mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan PERKIM Bil 2/57.


Ahli Majlis Kebangsaan membentangkan laporan dan perkara-perkara berbangkit di mesyuarat tersebut.


Perdana Menteri bersama kepimpinan tertinggi PERKIM di majlis makan malam.


Muhammad Ridhuan Tan Abdullah menyampaikan bacaan doa pembuka majlis.


Pengerusi PERKIM Bahagian Selangor, Muhammad Fitri Abdullah selaku tuan rumah menyampaikan ucapan aluan.


Kumpulan nasyid Safiyya, 7 Musafir dan Kindergarten Zul Iman Smart Khalifa menyampaikan beberapa buah lagu.


Perdana Menteri menyampaikan ucapan perasmian di Majlis Makan Malam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangasaan Kali Ke-58.


Para perwakilan dan pemerhati mendengar amanat yang disampaikan oleh Yang DiPertua PERKIM.


Perdana Menteri berkata, PERKIM mempunyai tugas yang amat penting iaitu perlu menjelaskan apakah dia agama Islam supaya orang akan tertarik dengan agama tersebut.


Fitri (kanan) selaku Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Selangor menerima Anugerah PERKIM Bahagian Terbaik disampaikan oleh Perdana Menteri.


Dr Mahathir menyampaikan plak Anugerah Khidmat Cemerlang Ahli Majlis Kebangsaan kepada Dato’ Mohd. Nakhaie Ahmad.


Dato’ Dr. Mustapha Ma menerima Anugerah Tokoh Lelaki PERKIM daripada Yang DiPertua PERKIM.


Anugerah Khas Tokoh Pendakwah Unggul pula diterima oleh Dato’ Dr Danial Zainal Abidin (kanan).


Dr Yusof Noor (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati berupa potret gambar kegiatan Perdana Menteri bersama PERKIM.


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bergambar bersama pemenang-pemenang anugerah.

[youtube url=”https://www.youtube.com/watch?v=uG4vfilWxq0″ width=”700″ height=”467″]

[youtube url=”https://www.youtube.com/watch?v=sChoIrDoqeI&t=2254s” width=”700″ height=”467″]

Related Articles

Back to top button