Mimpi Keluar Dari Kegelapan Dorong Fadhil Nagamuthu Peluk Islam
KUALA LUMPUR, 6 JUN 2023 – “Saya berlari dalam keadaan cemas menuju ke dalam hutan yang gelap gelita kerana dikejar oleh orang-orang kampung tanpa mengetahui apa kesalahan yang saya lakukan dan saya terus bersembunyi di suatu tempat,” kata warga emas berbangsa India, Muhammad Fadhil Nagamuthu.
Setelah keadaan kembali tenang, datang seseorang mendekati Fadhil sambil menyuluh lampu ke arah mukanya, lantas Fadhil bangun semula untuk melarikan diri dari orang tersebut kerana beliau menyangkakan orang itu ialah orang kampung yang mengejarnya.
Fadhil melihat keadaan sebenar orang itu dari jarak dekat ketika dirinya disuluh cahaya lampu picit.
Orang memakai jubah putih dan bersongkok mendekati Fadhil sambil bertanya kenapakah saudara duduk di sini?
Lalu Fadhil menjawab, saya dikejar oleh orang kampung dan keadaan sangat gelap dan saya tiada arah lalu bersembunyi di sini.
Orang berpakaian Arab itu bertanyakan lagi kepada Fadhil, Adakah lampu yang tergantung di leher saudara itu boleh dinyalakan?
Tanpa berfikir panjang, Fadhil mencuba membuka lampu picit dan menyalakannya.
Orang serba putih itu menghulurkan tangan dan membawa Fadhil ke arah cahaya lalu Fadhil tersedar dari mimpinya.
Setelah Fadhil terjaga dari mimpinya, beliau melihat rakan sekerjanya sedang menunaikan solat Subuh lantas beliau mengambil air sembahyang dengan cara tersendiri mengikut rakannya untuk bersolat.
Seusai Fadhil bersolat dengan caranya sendiri, beliau menyatakan hasrat kepada rakannya untuk memeluk Islam, tetapi di atas kesibukan kerja rakan beliau tidak dapat menunaikan hajatnya.
Selang beberapa bulan, mimpi Fadhil kembali menghantui dirinya menyebabkan beliau berasa gundah gulana dan tidak tenang dengan keadaan dirinya hingga beliau hilang pekerjaan sebagai Pengawal Keselamatan.
Kesempitan hidup yang dialaminya menyebabkan beliau terpaksa mencari sewa rumah kedai di sekitar Chow Kit dan mempelajari sedikit demi sedikit agama Islam.
Di hari Fadhil diberi bungkusan makanan oleh penyumbang, beliau terkial-kial untuk membuka makanan disebabkan tangan kirinya patah akibat jatuh di bilik air.
Kemudian datang seorang pemuda berbangsa India berusia 33 tahun, Barath Munasamy membantunya untuk membuka makanan.
Fadhil mengucapkan terima kasih kepada pemuda itu dan berkata kamu tolong atas bantuan daripada Tuhan.
Barath yang bekerja di syarikat swasta di ibu negara merupakan saudara baharu menemani Fadhil sehingga selesai makan.
Beliau menceritakan keindahan Islam dan keagungan Allah SWT kepada Fadhil.
Tanpa membuang masa, Fadhil terus meminta Barath memenuhi hajatnya untuk dibawa ke tempat memeluk Islam.
Barath membawa Fadhil ke Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan di Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah untuk disyahadah dan didaftarkan pengislamannya.
Fadhil dipelawa oleh Pegawai Unit Pembangunan Dakwah dan Operasi, Ustaz Sulaiman Ding Yu Zhong untuk memimpin bacaan dua kalimah syahadah dan disaksikan oleh Barath.
Segala impian Fadhil untuk memeluk Islam telah tercapai dan beliau berasa gembira kerana menjadi seorang Islam.
Sulaiman Ding turut terpegun dengan keistimewaan Fadhil kerana beliau fasih membaca Surah Al-Fatihah dan kemudian menyampaikan Buku Asas Fardu Ain dalam Bahasa Tamil kepada Fadhil.
Sulaiman Ding menyarankan Fadhil mendalami ilmu agama Islam dengan menghadiri Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan yang diadakan pada setiap hari bermula jam 5.30 petang hingga 7.00 malam.
Fadhil Nagamuthu melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan Sulaiman Ding.
Sulaiman Ding (kanan) menyampaikan penerangan memeluk agama Islam kepada Fadhil Nagamuthu.
Fadhil Nagamuthu menceritakan kisah mimpinya dibawa oleh lelaki berjubah keluar dari kegelapan.
Barath Munasamy (kiri) membawa Fadhil Nagamuthu menunaikan hasratnya untuk memeluk Islam.