Tiga Pasangan Orang Asli Selamat Diijab Kabul
KEMAMAN, 3 JUN 2023 – Seramai tiga pasangan saudara kita orang asli telah selamat diijabkabulkan sempena Program Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS), Cakna Kesihatan Malaysia Madani: Kembara Kasih HPUniSza Bersama Orang Asli & Raikan Cinta Pasangan Orang Asli, Jabor dekat sini.
Program itu mendapat kerjasama Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Negeri Terengganu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Pengurusan Komuniti Orang Asli (MPKOA) Sungai Pergam itu telah berjalan dengan lancarnya kelmarin dengan kehadiran masyarakat kampung khususnya.
Pelbagai pengisian menarik telah diadakan termasuklah acara akad nikah pasangan pengantin baru, pemeriksaan kesihatan, sukaneka, ceramah agama, taklimat kesihatan dan lain-lain lagi.
Pihak PERKIM dengan kerjasama JAKIM telah diberi amanah untuk menjayakan majlis akad dan juga keraian pengantin.
Pasangan ‘Raja Sehari’ berusia dalam linkungan 19 tahun hingga 40 tahun itu terdiri daripada penduduk kampung Orang Asli Sungai Pergam itu sendiri.
Setelah selesai ijab kabul, ketiga-tiga pasangan itu dibawa berarak ke dewan bagi acara perasmian dan persandingan diketuai pihak PERKIM dan JAKIM serta kaum keluarga pasangan terbabit.
Pro Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin merangkap Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor turut hadir bagi perasmian dan penyampaian hadiah.
Dr Yusof Noor dalam ucapan perasmiannya menzahirkan rasa syukur dengan kesudian dan penglibatan pelbagai pihak menjayakan program tersebut.
Beliau menyeru semua penduduk kampung mengambil peluang dengan pelbagai pengisian menarik yang disediakan khususnya dalan aspek nasihat penjagaan kesihatan, pemeriksaan kesihatan dan pelbagai khidmat lagi.
Di akhir program, majlis diserikan dengan upacara persandingan dan meraikan pengantin daripada tetamu-tetamu kehormat diketuai Dr Yusof Noor.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniSZA, YBhg Dato’ Prof Madya TS Dr. Mohd Hafiz Yusoff; Pengarah Hospital Pengajar UniSZA, YBhg Prof. Dato’ Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif; Naib Yang Dipertua PERKIM merangkap Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Terengganu, YBhg Prof Dr Ramle Abdullah serta Pengerusi Koperasi PERKIM Terengganu (KOPTER), YBhg Dato’ Haji Mohd Jefri Abd Razak.
Hadir sama, Pendaftar UniSZA, Muzafar Mohd Din; Pengarah Pembangunan dan Aset PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Tok Batin Sungai Pergam, Roslan Ismail serta Pengerusi MPKOA Sungai Pergam, Yu Kidam.