Majlis Yasin dan Tahlil Sempena Hari PERKIM Ke-54

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
Yaa Siin. Demi Al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh. Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus.Yang tetap di atas jalan yang lurus (agama Islam). (Yasin: 1 hingga 3)
Baru-baru ini, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan telah mengadakan Majlis Yasin dan Tahlil Sempena Hari Perkim Ke-54 bertempat di Dewan Solat Utama, Masjid Asy-Syakirin KLCC, Jalan Pinang, Kuala Lumpur pada 8 Februari 2014 lalu.
Ianya dihadiri oleh 250 orang terdiri daripada Ahli Majlis Kebangsaan Perkim dan Saudara Muslim berketurunan Cina, India, Orang Asli, Siam, Filipina dan Indonesia.
Majlis tersebut diadakan pada setiap tahun bertujuan untuk mengabadikan tanggal 8 Februari 1903 tarikh kelahiran Putera Diraja Negeri Kedah Darui Aman, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan kemudian di terima secara rasmi oleh Ahli Majlis Kebangsaan Perkim sebagai Hari Perkim.
Tunku Abdul Rahman juga tercatat sebagai “Bapa Kemerdekaan” dan juga “Bapa Perkim” serta Perkim pada mulanya diasaskan di kediaman rasmi Tunku, di Jalan Tunku Kuala Lumpur pada 19 Ogos 1960, tiga tahun selepas kemerdekaan negara Malaysia.
Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor berkata, tanggal 8 Februari merupakan hari sejarah buat Perkim iaitu sebuah pertubuhan yang besar maknanya dalam mensejahterakan masyarakat di Malaysia.
Kita semua mengambil kesempatan untuk mengenang jasa orang-orang yang terdahulu yang telah memainkan peranan dan jasa mereka sukar dihuraikan.
Oleh itu, perlulah kita membuat majlis ini di satu tempat yang penuh dengan sejarah iaitu tempat yang muncul di zaman pimpinan Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pada masa itu.
Yang DiPertua Perkim, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannya berkata, waktu Perkim mula ditubuhkan bukanlah seperti zaman sekarang, bahkan Masjid asy-Syakirin KLCC ini pun tidak ada pada masa itu kerana di sini sebenarnya ialah tempat perlumbaan kuda dan terdapat banyak kegiatan-kegiatan maksiat yang berlaku di sini.
Alhamdulillah, oleh kerana negara kita dapat dimajukan dan dipimpin dengan baik oleh pemimpin-pemimpin waktu dahulu, maka negara kita dapat menebus balik bukan sahaja tanah yang digunakan untuk perlumbaan kuda, tetapi tanah tersebut ditebus balik sebagai suatu tanda di mana sekarang ini kita sedang menjalani ke arah memajukan dan mempertahankan agama kita.
“Kita harus ingat bahawa, kalau kita ternampak oleh dunia dan masyarakat yang bukan Islam sebagai orang yang tidak berjaya, orang yang tidak berkemampuan, orang yang miskin dan meminta-minta, sudah tentu agama kita akan terjatuh dan lemah sehingga dihina oleh pihak lain,” jelas mantan Perdana Menteri Malaysia keempat.
“Didapati bahawa pada mulanya kita bersatu hingga kita dapat menebus negara kita daripada penjajah British, malangnya setelah kita menebus negara kita ini, kita lupa tentang sokongan agama Islam supaya kita bersatu padu kerana daripada perpaduan ini akan datang kekuatan kepada kita,” katanya.
Sekarang ini, masing-masing asyik berebut tempat, maka umat Islam sudah menjadi lemah dan tidak mampu untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang kukuh dan kuat. Oleh kerana masyarakat memandang kerajaan ini sudah menjadi lemah, maka banyaklah tindakan-tindakan mereka yang menyakitkan hati kita.
Mereka tidak lagi menghormati agama Islam sebagai agama persekutuan negara ini, maka mereka menuntut hak yang sama bagi agama-agama mereka dan menimbulkan pelbagai masalah yang cuba menyakitkan hati kita termasuk membuat sepanduk seperti ‘Jesus itu anak Allah’. Ini sudah tentu digunakan untuk menyakitkan hati kita.
Tetapi oleh kerana kita berpecah dan lemah, maka mereka tidak sedikit pun takut kepada kita dan kita juga nampak mereka tidak mengambil tindakan ke atas mereka yang menghina agama Islam.
“Sempena hari ulang tahun Perkim ke-54 ini, saya ingin menyeru supaya semua memperingati ajaran-ajaran agama kita seperti yang terdapat di dalam al-Quran dan kita jangan mudah terpesong dengan orang-orang tertentu yang menyalah gunakan agama Islam untuk memecah belahkan kita,” katanya.
Jelasnya, kita perlu kembali kepada ajaran al-Quran supaya kita bersatu dan bersaudara, saya yakin agama kita dapat terpelihara dan dapat ditebus balik maruah kita untuk menjadi sebuah negara yang mana Islam adalah puak majoriti dalam negara ini.
“Inilah yang saya ingin ingatkan kita pada hari ulang tahun Perkim ke-54 ini yang bertujuan berdakwah untuk memperjelaskan agama Islam kepada orang Islam dan bukan Islam dengan mudah-mudahan mereka akan terpandu serta menerima agama yang suci ini,” ujarnya.
Sebelum itu, majlis mengadakan bacaan surah Yasin dan tahlil dipimpin oleh Sahabat Perkim, Ustaz Yus Ondri. Peserta juga bersama-sama mensedekahkan surah al-Fatihah kepada bekas barisan kepimpinan dan ahli-ahli Perkim yang telah kembali ke rahmatullah serta mendoakan semoga roh-roh mereka dicucuri rahmat serta ditempatkan di kalangan orang yang soleh dan syahid.
Majlis diakhiri dengan jamuan makan bersama Yang DiPertua Perkim.
Turut hadir, isteri Yang DiPertua Perkim; Tun Siti Hasmah Mohd. Ali dan Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Sembilan; Dato’ Hjh Siti Rahmah Hj. Kassim.
Ketibaan Tun Dr. Mahathir di Dewan Solat Utama, Masjid Asy-Syakirin KLCC.
Ucapan alu-aluan oleh Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.
Ustaz Yus Ondri (kanan) mengetuai bacaan Yasin dan tahlil.
Dr Mahathir turut bersama peserta di dalam bacaan Yasin dan tahlil.
Tun Dr Siti Hasmah turut serta di dalam majlis Yasin dan tahlil sempena Hari Perkim ke-54.
Peserta membaca dan mengikuti bacaan surah Yasin bersama-sama ketua.
Saudara Muslimah turut mengikuti bacaan surah Yasin.
Pelajar Asrama Darul Falah Perkim turut menjayakan majlis tersebut.
Pelajar kelas pengajian harian Perkim turut serta dalam majlis tersebut.
(Dari kanan) Tan Sri Dr Mohd. Yusof Noor, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Hj Hasbullah L Isa bersama-sama membacakan surah Yasin kepada pimpinan Perkim yang telah kembali ke rahmatullah.
Bacaan Yasin oleh Saudara Muslim.
Dr Yusof Noor menyampaikan cenderahati kepada isteri Yang DiPertua Perkim, Tun Dr Siti Hasmah.
Saudara Muslim bergambar bersama-sama Yang DiPertua Perkim, Tun Dr Mahathir di akhir majlis Yasin dan tahlil.
Peserta menjamu selera setelah selesai majlis tersebut.
Lagi gambar Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil Sempena Hari PERKIM Ke-54 >>>
[mappress mapid=”15″]