Aktiviti Dakwah

Majlis Sambutan Hari PERKIM Ke-59

 oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Pelbagai usaha, bakti dan keringat dilakukan oleh AlMarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah demi menubuhkan serta mengasaskan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) bagi manfaat dakwah, kebajikan, pendidikan dan kerjasama kepada  saudara baru.

Baru-baru ini, PERKIM Kebangsaan menganjurkan Majlis Sambutan Hari PERKIM ke-59 dan Sambutan Tahun Baru Cina 2019 bertempat di Surau PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur pada 21 Februari 2019 lalu.

Ia dihadiri seramai 300 yang terdiri daripada ahli-ahli PERKIM, PERKIM Bahagian-bahagian serta saudara Muslim berketurunan Cina, India, Bidayuh, Iban, Kadazan serta warganegara Filipina, Indonesia dan Thailand.

Turut hadir ialah Naib Yang DiPertua PERKIM, Dato’ Dr. Mustapha Ma dan Datuk Haji Mohd. Nakhaie Ahmad; Bendahari Kehormat PERKIM, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim; Orang Besar Daerah Gombak, YAD Tan Sri Dato’ Paduka Raja Dato’ Haji Wan Mahmood Pa’wan Teh; Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, YTM Tunku Mukminah Tunku Mohd. Jiwa dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Zahed Saidin.


Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr Mohd. Yusof Noor berkesempatan merasmikan majlis tersebut.

Dr. Yusof Noor dalam ucapannya berkata, pada peringkat awalan PERKIM, pejabat pertama ialah di rumah Tunku di Jalan Tunku, Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Jalan Batu Road (Bangunan MARA) dan Balai Islam Sentul dan terakhir di Bangunan PERKIM Jalan Ipoh.

Katanya, bersempena memperingati Hari PERKIM, eloklah kita bersama-sama mengingati jasa Tunku kerana kalau tidak kerana kebijaksanaan beliau mungkin kita tidak berada di bangunan ini.

Mungkin juga kita berpindah randah dari satu bangunan ke satu bangunan dan dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

Tunku melihat PERKIM dalam jangka masa panjang dan memandang jauh ke hadapan sejajar dengan  misinya menjadikan sebuah organisasi penggerak dakwah terunggul untuk  memberi sokongan kepada institusi Islam di Malaysia dan antarabangsa.

Jelasnya, tanggal 8 Februari 1903 merupakan hari sejarah buat PERKIM kerana mengabadikan tarikh tersebut sempena kelahiran Tunku sebagai Hari PERKIM yang di terima secara rasmi oleh Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM.

Tunku juga tercatat sebagai “Bapa Kemerdekaan” dan juga “Bapa PERKIM” serta diasaskan pada 19 Ogos 1960, tiga tahun selepas kemerdekaan negara Malaysia.

Katanya, kita semua haruslah mengambil kesempatan untuk mengenang jasa orang-orang yang terdahulu yang telah memainkan peranan dan jasa mereka kepada PERKIM iaitu sebuah pertubuhan yang besar maknanya dalam mensejahterakan masyarakat di Malaysia.

Kalau pertubuhan ini telah diilhamkan oleh beliau, ia mesti mempunyai tapak yang kuat dan mempunyai pangkalan yang menjadi lambang perjalanan dakwah dalam negara kita yang mempunyai berbilang bangsa.

Walaupun Tunku sibuk dalam menguruskan pentadbiran negara ketika menjadi Perdana Menteri, beliau tidak lupa akan tanggungjawabnya kepada PERKIM dengan melantik Tan Sri SOK Ubaidullah Kadir Basha sebagai Yang DiPertua PERKIM pertama.

SOK Ubaidullah juga merupakan penerima tokoh Maal Hijrah 1410H yang kedua dalam sejarah Malaysia ini di mana tokoh penerima Maal Hijrah yang pertama ialah pengarah kamus bahasa Arab ke bahasa Melayu pertama, Allahyarham Syeikh Mohd. Idris Abdul Rauf Al-Marbawi pada tahun 1986.

Jelas Dr. Yusof Noor lagi, negara ini terdapat pelbagai golongan yang menganut akidah yang sama iaitu Islam seperti kaum Melayu, Cina, India, Iban, Sikh, Kadazan, Murut, Melanau dan lain-lain.

Sesetengah orang Cina menerima Islam lebih dahulu daripada orang Melayu walaupun mereka digelar mualaf, tetapi etnik minoriti Cina Uighur dikatakan menerima Islam lebih awal daripada kita dan jumlah komuniti mereka adalah lebih besar berbanding penganut Islam di Malaysia.

Beliau berhasrat merancang bersama MAIWP untuk mempertingkatkan dan menaik taraf Surau PERKIM kerana pekerja dan kakitangan mereka menggunakan surau tersebut sebagai tempat beribadah dan pusat aktiviti keagamaan yang menjadi lambang sejarah dakwah negara.

Kita juga ingin menjadikan surau tersebut sebagai satu tarikan kepada orang ramai yang menggunakan laluan tersebut dan berasa nikmat keindahan ketika melaksanakan ibadah ataupun qiam.

Bagi menanamkan semangat kecintaan kepada organisasi badan dakwah negara, PERKIM sedang mengatur persiapan bagi sambutan Jubli Intan ke-60 tahun pada tahun 2020.

Jelasnya, kita bukan sekadar mengambil faedah daripada PERKIM, tetapi menambah dan mempergiatkan lagi usaha yang telah ditinggalkan oleh Tunku.


Menurut Pengerusi Surau PERKIM, Datuk Haji Hasbullah L. Isa, kita haruslah rasa bersyukur kepada Allah SWT kerana dapat menyambut Hari PERKIM sudah menjadi tradisi pada setiap tahun.

19 Ogos 1960 merupakan tarikh yang sebenar penubuhan PERKIM di mana hari ini kita merayakan Hari PERKIM ke 59 tahun dan turut meraikan Tahun Baru Cina 2019 yang baru telah dirayakan pada 5 hingga 6 Februari lalu.

“PERKIM kini berada di ambang Jubli Intan ke 60 tahun bermula dari 8 Februari 2019 hingga ke 8 Februari 2020,” kata Hasbullah yang juga Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.

Jelasnya, majlis Jubli Intan yang bakal diadakan itu merupakan acara sumbangan besar PERKIM selama 60 tahun bermula dari tahun 1960 hingga 2020 dalam gelangang dakwah, kebajikan, pendidikan dan kerjasama dengan semua pihak dalam usaha menuju redha Allah SWT serta Rahmatan Lil ‘Alamin.

Sambutan tersebut dirasakan penting sebagai wadah kepada seluruh warga PERKIM dalam pelbagai era zaman daripada dahulu sehingga sekarang untuk bersama-sama menghayati falsafah perjuangan PERKIM sekali gus memartabatkan syiar Islam kepada manusia seluruhnya.

Kata Hasbullah, sudah tentu sambutan Jubli Intan tersebut akan lebih meriah lagi dengan kehadiran Perdana Menteri Malaysia merangkap Yang DiPertua PERKIM, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dr. Yusof Noor turut menyampaikan sumbangan khas Tabung Amanah Tunku kepada Hasbullah dan Imam Surau PERKIM, Ahmad Muhammad.

Turut diadakan Majlis Bacaan Surah Yasin dan tahlil dipimpin oleh Yus Ondri serta solat Zohor berjemaah.

Majlis berakhir dengan jamuan makan tengahari dan acara menggaul yee sang serta pertunjukan mi tarik bagi meraikan Tahun Baru Cina.

 


Jais Mariappan membacakan doa pembuka majlis.

 


Wanita PERKIM turut menyertai sambutan Hari PERKIM.

 


Ahli PERKIM juga antara tetamu yang hadir pada majlis tersebut.

 


Tetamu kehormat dan saudara baru menyertai majlis Hari PERKIM ke-59.

 


Hasbullah menyampaikan ucapan aluan di majlis tersebut.

 


Antara daripada 300 tetamu yang hadir.

 


Hadirin mendengar ucapan yang disampaikan oleh Pengerusi Surau PERKIM.

 


Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Yusof Noor menyampaikan ucapan perasmian.

 


Hadirin mendengar amanat yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.

 


Dr. Yusof Noor (kiri) menyampaikan sumbangan Tabung Amanah Tunku bagi menaik taraf surau kepada Hasbullah L. Isa.

 


Ahmad Muhammad (kanan) menerima sumbangan daripada Dr. Yusof Noor (kiri).

 

 


Tetamu yang hadir bersama saudara baru membaca surah Yasin.

 


Tetamu kehormat bersama-sama membaca Surah Yasin menghadiahkan kepada AlMarhum Tunku dan ahli-ahli PERKIM yang telah meninggal dunia.

 


Saudara baru berpeluang untuk membaca surah Yasin bersama-sama.

 


Tetamu kehormat meraikan sambutan Tahun Baru Cina dengan menggaul makanan yee sang.

Related Articles

Back to top button