Aktiviti Dakwah

PERKIM, JKSM & Wanita PERKIM Kukuhkan Institusi Keluarga

oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Pelbagai masalah timbul akibat perceraian termasuk kegagalan bekas suami memberi nafkah yang akhirnya anak-anak menjadi mangsa lebih-lebih lagi mereka yang bergelar saudara baru.

Tanggungjawab memberi nafkah diamanahkan kepada ketua keluarga iaitu suami yang wajib memberi nafkah, menjaga kebajikan isteri dan anak bahkan jika berlaku perceraian, suami masih wajib memberi nafkah sepanjang isteri berada dalam edah dan nafkah menguruskan anak.

Bertepatan dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Wanita PERKIM Kebangsaan menganjurkan Program Pengukuhan Sistem Sokongan Institusi Kekeluargaan bertempat di Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur pada 23 Februari 2019 lalu.

Program tersebut dihadiri seramai 90 peserta yang terdiri daripada Wanita PERKIM Kebangsaan, Ahli PERKIM Bahagian Negeri Sembilan serta saudara Muslim berketurunan Cina, India, Kadazan, Iban dan Bidayuh.

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Datuk Hasbullah L. Isa; Ahli Majlis Kebangsaan Wanita PERKIM, Datin Mawanchik Che Jais; Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, Prof Dr. Nor ‘Azah Datuk Abdul Manaf; Setiausaha Kehormat PERKIM Negeri Sembilan, Datuk Ali Abdul Majid; Pengarah IDIP-KL, Datuk Abdul Hanif Harun; Pengarah Kanan JKSM, Hasnita Hamidun; Laila Khalidah Ismail dan Pengarah Jabatan Sokongan Keluarga JKSM, Shamsudin Husin.


“Sungguhpun ikatan pernikahan telah putus akibat perceraian, Islam memberi ruang kepada pasangan suami isteri untuk terus berhubung di antara satu sama lain dengan batas pergaulan yang diharuskan oleh syarak,” kata Ketua Hakim Syarie, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, YAA Tuan Ibrahim Deris.

Ibrahim merupakan pembentang slot pertama bertajuk Peranan Mahkamah Syariah dalam Mengukuhkan Institusi Keluarga turut memberikan pendedahan mengenai tuntutan selepas penceraian iaitu nafkah iddah, mut’ah, harta sepencarian, hak jagaan anak (hadhanah), nafkah anak, tunggakan nafkah, tunggakan nafkah anak dan hak tempat tinggal.

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” (at-Talaq : 7)

Menurutnya, sebanyak 171,252 kes perceraian dalam kalangan pasangan Islam dari 2014 hingga 2016.

“Kadang kala hanya disebabkan pertengkaran kecil dan remeh sahaja isu tersebut menjadi lebih besar sehingga berlakunya lafaz talak suami kepada isteri,” katanya.

“Akibat pasangan tidak dapat menahan sabar dan cepat mengambil keputusan yang terburu-buru tanpa memikirkan kesan terhadap keluarga termasuk anak-anak,  perpisahan berlaku juga meskipun perihal terbabit dapat dibincangkan secara baik.

“JKSM ditubuhkan pada 2010 bertujuan membantu orang Islam iaitu isteri dan anak yang sudah mendapat perintah nafkah kerana terdapat suami yang telah diperintahkan untuk membayar nafkah menghilangkan diri, tidak dapat dikesan serta tidak mampu membayar.

“Sekiranya bapa atau suami diperintahkan membayar nafkah itu hilang upaya, wanita perlu menunggu saudara lelaki lain, sementara mendapatkan nafkah berkenaan seperti datuk (bapa kepada bapa) atau bapa saudara (adik atau abang kepada bapa).


Pengarah Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dato’  Noor Aziah Mohd. Awal
pula membentangkan slot kedua bertajuk Sistem Sokongan Keluarga Ke Arah Pemantapan Institusi Kekeluargaan.

Menurut data tahun 2016, terdapat 48,077 kes perceraian dari Januari hingga  Julai yang menjadikan jumlah puratanya 6,868 kes sebulan, 228 kes sehari dan empat kes sejam.

Majoriti pasangan bercerai kerana orang ketiga, campur tangan keluarga, perangai pasangan, ekonomi rumah tangga dan pasangan muda suka bertaliq.

Beliau turut menasihatkan pasangan supaya mendapatkan khidmat kaunseling sekiranya berlaku masalah rumahtangga; jangan terlalu ikutkan hati yang marah sehingga menyebabkan boleh berlakunya lafaz talak; berfikir dengan waras sebelum bercerai; jangan gantung isteri tidak bertali serta menyelesaikan perkara yang wajib seperti nafkah anak, nafkah iddah, harta sepencarian dan mutaah.

Terdapat lebih 12,300 bekas suami dikesan masih berdegil dan enggan membayar nafkah kepada bekas isteri dan anak masing-masing walaupun mereka sudah diperintah berbuat demikian oleh mahkamah syariah di seluruh negara.

Ramai wanita terbabit tidak memaklumkan mahkamah syariah mengenai keengganan bekas suami untuk membayar nafkah.

Walaupun mahkamah mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan, jika bekas suami gagal membayar nafkah selama sebulan, tindakan itu tidak boleh diambil jika bekas isteri tidak melaporkan kepada mahkamah.

Permasalahan tersebut menyebabkan hanya segelintir bekas suami yang membayar nafkah kepada bekas isteri dan anak masing-masing walaupun lebih 14,000 kes difailkan di mahkamah syariah dari 2002 hingga 2009 berkaitan tuntutan nafkah.

Bekas suami perlu beri sebab kenapa mereka tidak boleh bayar sedangkan sebenarnya terdapat di kalangan mereka mampu berbuat demikian kerana memiliki beberapa rumah dan kereta.

Antara tindakan boleh diambil oleh seksyen penguatkuasaan dan pelaksanana perintah ialah mendapatkan perintah mahkamah bagi menahan, merampas dan menjual harga penghutang untuk membayar tunggakan.


Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, YA Mohd. Amran Mat Zain
berkata program tersebut memberikan pendedahan kepada peserta berkenaan isu semasa institusi keluarga di Malaysia.

Amran berucap mewakili Ketua Pengarah JKSM, Dato’ Mukhyuddin Ibrahim turut mengalu-alukan kehadiran peserta dan mengharapkan mereka mendapat ilmu dan manfaat serta nilai tambah sepanjang program terbabit.

Program tersebut memberikan pendedahan kepada peserta peranan Mahkamah Syariah, Bahagian Sokongan Keluarga dan agensi-agensi berkaitan dalam isu-isu kekeluargaan.

Ia memastikan kepentingan golongan yang berhak menerima nafkah melalui perintah nafkah yang dikeluarkan oleh mahkamah terpelihara.

Ia juga mengenalpasti dan menyelesaikan masalah pemiutang dan penghutang penghakiman terutama yang melibatkan nafkah dan seumpamanya.


Program diserikan lagi dengan ucapan perasmian oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.

Dr. Yusof Noor dalam ucapannya berkata, usaha sebegini di anggap penting daripada kaca mata PERKIM yang diasaskan oleh AlMarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam membantu institusi keluarga.

Apabila Tunku memperkenalkan pertubuhan ini, dengan nama PERKIM, kerana di hadapan Tunku pada masa itu sebagai Perdana Menteri, dia melihat banyak keluarga di Malaysia yang membina satu kehidupan secara harmoni lebih-lebih lagi mereka yang terdiri daripada berbagai-bagai kaum itu menganut agama Islam.

Pada asalnya agama mereka berlainan, satu perkara yang baru bagaimana mereka menjadi orang Islam dan mengamalkan secara harmoni melalui sistemnya.

Rupanya banyak perkara yang tidak dapat diterjemahkan secara mendalam apakah disebalik pemikiran Tunku.

Beliau turut berterima kasih kepada JKSM dan Wanita PERKIM Kebangsaan kerana menganjur program tersebut dan berharap ia suatu permulaan serta berterusan.

Tambahnya, kalau kita boleh memperkemaskan sistem kita sehingga mereka menjadi tertarik, mungkin mereka akan berminat dengan agama ini.

Penduduk dunia hari ini, sudah sampai ke tujuh bilion dan berkemungkinan jumlah penduduk akan mencecah kepada 10 bilion pada tahun 2050.

Kata Dr. Yusof Noor lagi, apabila dunia ini  semakin bertambah penduduk, maka akan berlaku ketegangan dalam keluarga.

Di negara yang maju seperti di Amerika, penduduknya dianggarkan sebanyak 300 juta orang dan 30 juta daripadanya mengalami tekanan jiwa.

Walaupun mereka berjaya dari segi kepakaran, pembangunan dan teknologi tetapi institusi keluarga mereka gagal kerana mengadapi tekanan.

Jelasnya, jikalau kita tidak ada keupayaan untuk berkongsi dan memahami masalah serta membina etika kekeluargaan maka masalah akan lebih bertambah.

Tugas kita di PERKIM ini ialah mencari kod etika bagi membina kesejahteraan dan menguatkan pembinaan hubungan antara anggota keluarga supaya saling memahami dan mengawal masalah.

Slot terakhir disampaikan oleh Pegawai Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Dr. Amran Hassan membawa tajuk Pemantapan Institusi Keluarga  Ke Arah Melahirkan Masyarakat Berkualiti.

Dr. Yusof Noor berkesempatan menyampaikan plak cenderahati PERKIM kepada Hakim Mahkamah Rayuan, YAA Tuan Amran Mat Zain di akhir program.

 


YAA Tuan Ibrahim Deris menyampaikan pembentangan bertajuk Peranan Mahkamah Syariah dalam Mengukuhkan Institusi Keluarga.

 


Tetamu kehormat dan peserta program mendengar dan mencatat pembentangan yang disampaikan.

 


Sistem Sokongan Keluarga Ke Arah Pemantapan Institusi Kekeluargaan merupakan tajuk pembentangan disampaikan Prof. Dato’ Noor Aziah Mohd. Awal.

 


YA Mohd. Amran Mat Zain selaku Hakim Mahkamah Rayuan Syariah menyampaikan ucapan aluan di majlis perasmian.

 


Wanita PERKIM turut memberi sokongan di dalam program terbabit.

 


Dr. Yusof Noor menyampaikan ucapan perasmian di majlis tersebut.

 


Peserta wanita merupakan gender majoriti yang hadir.

 


Peserta mendengar amanat dan nasihat daripada Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.

 


Hasbullah (tengah) menyampaikan cenderahati kepada YAA Tuan Ibrahim Deris (kanan).

 


Prof. Dato’ Noor Aziah (kanan) turut menerima cenderahati berbentuk sebuah Jurnal Hukum daripada JKSM.

 


Dr. Yusof Noor (kanan) menyampaikan risalah-risalah PERKIM sebagai cenderahati kepada Mohd. Amran (kiri)

 

 


Dr. Amran Hassan menyampaikan slot penutup bertajuk Pemantapan Institusi Keluarga  Ke Arah Melahirkan Masyarakat Berkualiti.

 


Dr. Amran mengendalikan sesi sayangi keluarga bersama ibu tunggal.

 


Datuk Hasbullah (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Dr. Amran (kanan).

 


Tetamu kehormat bersama-sama peserta bergambar kenang-kenangan di akhir program.

Related Articles

Back to top button