Aktiviti Pendidikan

Majlis Penghargaan KPIPK 2025 Raikan Pencapaian Saudara Baharu Pelbagai Bangsa

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝐊𝐔𝐀𝐋𝐀 𝐋𝐔𝐌𝐏𝐔𝐑, 𝟏𝟔 𝐃𝐈𝐒𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Seramai 100 saudara baharu pelbagai latar belakang etnik dan negara diraikan pada Majlis Penghargaan Kelas Pengajian PERKIM Kebangsaan (KPIPK) 2025 yang berlangsung di Dewan Seminar Aras 1, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini, pada pagi Selasa.

Program anjuran PERKIM Kebangsaan itu menghimpunkan peserta daripada bangsa Cina, India, Iban, Kadazan, Bidayuh, Murut, Singh serta warga Filipina, Myanmar, Indonesia, Kemboja dan beberapa negara lain, mencerminkan kepelbagaian serta keterangkuman dakwah Islam di Malaysia.

Majlis yang bermula pada pukul 10 pagi itu telah diacarakan oleh Eksekutif Dakwah PERKIM Kebangsaan, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah.

Ia diadakan sebagai platform penghargaan kepada pelajar KPIPK yang telah menamatkan pengajian sepanjang tahun ini, selain memperkukuh semangat kebersamaan dan kesinambungan pembelajaran Islam dalam kalangan saudara baharu.

Kehadiran peserta yang memberangsangkan membuktikan komitmen berterusan PERKIM Kebangsaan dalam memartabatkan pendidikan Islam secara berstruktur, inklusif dan berterusan.


𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐚𝐫𝐚𝐬 𝐏𝐫𝐨𝐠𝐫𝐚𝐦, 𝐒𝐢𝐭𝐢 𝐌𝐮𝐧𝐢𝐫𝐚𝐡 𝐒𝐚𝐲𝐞𝐝 𝐌𝐨𝐡𝐝 𝐇𝐚𝐦𝐝𝐚𝐧 berkata, penganjuran majlis tersebut bertujuan mengiktiraf usaha, kesungguhan dan disiplin para pelajar yang telah melalui proses pembelajaran serta penilaian secara konsisten di bawah KPIPK.

Menurut beliau, penghargaan ini bukan sekadar simbol kejayaan akademik, malah pengiktirafan terhadap perjalanan rohani, pengorbanan dan ketekunan saudara baharu dalam memahami serta menghayati ajaran Islam.

Beliau menambah, majlis ini juga bertujuan menyemai rasa dihargai dan motivasi berterusan agar para pelajar kekal istiqamah menuntut ilmu selepas tamat pengajian.

“KPIPK bukan noktah kepada proses pembelajaran, sebaliknya satu fasa penting yang melahirkan pelajar berasas ilmu, berakhlak dan bersedia meneruskan pengajian pada tahap lebih tinggi atau menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Menurut Siti Munirah, penganjuran julung kali majlis penghargaan ini turut berfungsi sebagai wadah memperkukuh jaringan ukhuwah antara pelajar, guru dan pentadbir selain menzahirkan komitmen PERKIM untuk terus mendampingi saudara baharu melalui sokongan moral, bimbingan ilmu dan pembinaan sahsiah secara berterusan.

Dalam majlis tersebut, pelajar yang berjaya menamatkan pengajian dikenal pasti melalui pemakaian selempang putih, sekali gus melayakkan mereka menamatkan kelas pengajian pada tahun ini.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa KPIPK kekal terbuka kepada semua yang berminat untuk menimba ilmu dan meningkatkan kefahaman agama, tanpa mengira status pengiktirafan.

“Perbezaan hanyalah dari segi pengiktirafan dan kemudahan tertentu yang dikhususkan kepada pelajar terpilih, namun semangat pembelajaran dan akses kepada ilmu kekal inklusif kepada seluruh peserta,” jelasnya.

Pendekatan tersebut katanya, mencerminkan komitmen PERKIM dalam memartabatkan pendidikan Islam yang bersifat terbuka, rahmah dan berterusan.


Sementara itu, 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐚𝐫𝐚𝐡 𝐏𝐞𝐧𝐭𝐚𝐝𝐛𝐢𝐫𝐚𝐧 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐘𝐁𝐡𝐠. 𝐃𝐫. 𝐒𝐮𝐚𝐫𝐢𝐳𝐚 @ 𝐇𝐢𝐝𝐚𝐲𝐚𝐡 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 menyampaikan ucapan perasmian dengan menegaskan komitmen PERKIM dalam menyokong kebajikan serta pembangunan golongan mualaf, khususnya melalui pendidikan Islam yang berterusan dan berteraskan nilai akhlak.

Beliau berucap mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Dr Haji Mohamad Marzuki Mohamad Omar berkata, sokongan dan peluang yang diberikan perlu disertai dengan pembinaan akhlak yang baik, kesungguhan menuntut ilmu serta keikhlasan niat.

Menurut Dr Suariza, kehadiran ke KPIPK seharusnya berlandaskan keinginan menimba ilmu dan memperkukuh iman, bukan semata-mata kerana sesuatu imbuhan.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan hubungan pelajar dengan PERKIM tidak seharusnya terputus, malah digalakkan terus hadir dan menyumbang kepada kesinambungan perjuangan dakwah organisasi itu.

Tambahnya, perjuangan PERKIM dalam dakwah kepada bukan Islam serta usaha memelihara dan memperkukuh akidah mualaf merupakan amanah berpanjangan yang memerlukan sokongan generasi pelapis.

Sehubungan itu, beliau menyeru pelajar dan alumni KPIPK agar bersedia mengambil alih peranan, menyambung khidmat dan meneruskan usaha kebajikan serta dakwah yang telah dibina sejak sekian lama.

Dalam aspek pendidikan, Dr. Suariza menjelaskan bahawa meskipun kelas pengajian PERKIM tidak menawarkan pensijilan akademik formal seperti universiti, peranannya amat besar dalam membentuk asas ilmu, jati diri dan akhlak.

Beliau mengangkat kisah kejayaan bekas pelajar mualaf yang kini melanjutkan pengajian tinggi serta berkhidmat sebagai pendidik dan pentadbir, sebagai bukti PERKIM mampu melahirkan insan berilmu, berdikari dan bermanfaat kepada masyarakat.

Persembahan nasyid mualaf turut menyerikan majlis dengan penyampaian tiga buah lagu bertajuk Bismillah, Ya Rasulullah dan Teman Sejati didendangkan oleh Mohd Firdaus Pompeyos Abdullah dan Abu Bakar Abdullah.

Sebelum itu, ceramah bertajuk ‘Adab-Adab Menuntut Ilmu’ telah disampaikan oleh 𝐄𝐤𝐬𝐞𝐤𝐮𝐭𝐢𝐟 𝐃𝐚𝐤𝐰𝐚𝐡 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐉𝐚𝐢𝐬 𝐌𝐚𝐫𝐢𝐚𝐩𝐩𝐚𝐧 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡.


Dalam ceramahnya, Ustaz Jais Mariappan menegaskan bahawa menuntut ilmu bukan sekadar menghadiri kelas, sebaliknya menuntut penghayatan adab dan akhlak yang tinggi terhadap Allah, guru dan ilmu itu sendiri.

Menurut beliau, niat merupakan asas utama dalam menuntut ilmu. Niat yang betul kerana Allah akan melahirkan keikhlasan, manakala niat yang tersasar akan menyebabkan pelajar berasa terbeban, mudah mengeluh dan gagal istiqamah.

Beliau turut menekankan kepentingan adab terhadap guru, termasuk menghormati keputusan, menyampaikan teguran melalui saluran yang betul serta mengelakkan perbuatan menularkan isu secara terbuka yang boleh mencemarkan suasana ilmu.

Beliau juga mengingatkan bahawa guru dan pelajar masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan, justeru pelajar perlu menilai ilmu yang disampaikan, bukan semata-mata peribadi penyampainya.

Selain itu, beliau menegur sikap cuai terhadap kewajipan asas seperti solat, sambil menegaskan keikhlasan menuntut ilmu dapat dilihat melalui disiplin ibadah, masa dan kesediaan dibimbing.

Mengakhiri ceramah, Ustaz Jais menyeru para pelajar agar sentiasa memperbaiki niat, menjaga adab, menghormati guru dan mempraktikkan ilmu dalam kehidupan seharian.

Ilmu yang disertai akhlak mulia, katanya, akan mengangkat martabat seseorang dan menjadi wasilah dakwah yang berkesan.

Dalam pada itu, Siti Munirah merakamkan penghargaan kepada Ustaz Jais atas penyampaian ceramah yang menyentuh hati, selain menzahirkan setinggi-tinggi terima kasih atas khidmat beliau selama 12 tahun sebagai Penyelaras KPIPK.

Majlis julung kali itu turut menyaksikan penyampaian sijil dan cenderamata kepada mantan penyelaras serta individu yang banyak berjasa dalam memperkukuh kelas pengajian sejak penubuhannya.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan dan cenderamata kepada 17 guru KPIPK oleh Dr. Suariza, selain penyampaian plak cenderamata penghargaan PERKIM kepada Ustaz Jais Mariappan atas jasa dan bakti beliau dari 2013 hingga 2025.

17 pelajar KPIPK yang menamatkan pengajian pula diraikan dengan sijil penghargaan, Kitab Syarah Hadis 40, cenderamata KPIPK serta sekuntum bunga ros disampaikan oleh Dr Suariza.

Majlis turut menyaksikan penghargaan kepada Ustazah Fatimah Ladda Abdullah dan Firdaus Pompeyos yang telah memberikan sepenuh komitmen membantu dalam hal ehwal pelajar serta pengurusan KPIPK.

Majlis berakhir dengan sesi fotografi dan jamuan makan tengah hari dalam suasana penuh kesyukuran, ukhuwah dan harapan agar ilmu yang ditimba terus diamalkan serta memberi manfaat kepada masyarakat.

Turut hadir ialah Urus Setia PERKIM Kebangsaan, Mohamad Azrol Mohd Azmi, Norlailialpin Suratman.

 


Ustaz Jais Mariappan membuka tirai majlis dengan menyampaikan ceramah bertajuk ‘Adab-Adab Menuntut Ilmu’ kepada hadirin.

 


Ustaz Jais Mariappan menegaskan bahawa menuntut ilmu bukan sekadar menghadiri kelas, sebaliknya menuntut penghayatan adab dan akhlak yang tinggi.

 


Ustaz Jais Mariappan turut menekankan kepentingan adab terhadap guru, termasuk menghormati keputusan dan menyampaikan teguran melalui saluran yang betul.


Ustaz Jais Mariappan mendengar pandangan dan luahan hati daripada salah seorang pelajar yang tamat pembelajarannya di KPIPK.


Ustaz Farhan Tee menyampaikan kata-kata aluan pembukaan selaku pengacara majlis.

 


Ustaz Nik Syahriman memimpin bacaan doa pembuka majlis.

 


Pelajar-pelajar KPIPK menadah tangan ketika doa dibacakan.

 


Bagi menyerikan suasana majlis, kumpulan nasyid mualaf menyampaikan tiga buah lagu bertajuk Bismillah, Ya Rasulullah dan Teman Sejati.

 


Dr Suariza dalam ucapan perasmiannya berkata, PERKIM menyokong kebajikan serta pembangunan golongan mualaf khususnya melalui pendidikan Islam yang berterusan dan berteraskan nilai akhlak.

 


Antara tenaga pengajar dan pelajar KPIPK yang hadir di dalam Majlis Penghargaan KPIPK 2025 yang diadakan di Bangunan PERKIM.

 


Dr Suariza menyampaikan sijil dan cenderamata penghargaan kepada Ustaz Muhammad Ramlee Mahmud selaku tenaga pengajar.

 


Ustazah Zaimiah Abdul Karim menerima sijil penghargaan dan cenderamata daripada Dr Suariza.

 


Ali Abdullah menerima sijil penghargaan beserta Kitab Syarah Hadis 40, sekuntum bunga dan cenderamata daripada Dr Suariza.

 


Dr Suariza menyampaikan sijil penghargaan dan cenderamata kepada pelajar Muhd Awsam Sadial Abdullah yang telah menamatkan pengajiannya di KPIPK.

 


Pelajar mualaf daripada Myanmar turut menerima sijil penghargaan dan cenderamata daripada Dr Suariza.

 


Dr Suariza turut menyampaikan sijil dan cenderamata penghargaan kepada pelajar mualaf berbangsa Cina.

 


Dr Suariza menyampaikan plak penghargaan PERKIM berupa jam kepada Ustaz Jais Mariappan atas khidmat beliau selama 12 tahun sebagai Penyelaras KPIPK.

 


Dr Suariza bergambar kenang-kenangan bersama tenaga pengajar dan para pelajar KPIPK di akhir majlis.

 


Para pelajar yang telah tamat pengajian mereka di KPIPK bergambar beramai-ramai di atas pentas pada akhir majlis.

Related Articles

Back to top button