Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil Sempena Hari PERKIM Ke-63
oleh: SRZ
KUALA LUMPUR, 10 FEBRUARI 2023 – Bersempena Hari Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Ke-63, PERKIM Kebangsaan menganjurkan Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil bertempat di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat PERKIM, Bangunan PERKIM Jalan Sultan Azlan Shah di sini.
Lebih 50 orang hadir terdiri daripada pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIPKL) serta Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).
Seramai 21 orang terdiri daripada Ahli Majlis Kebangsaan, PERKIM Bahagian Negeri Kedah, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Kelantan, Sarawak menyertai menerusi platform atas talian.
Majlis bacaan Surah Yasin itu dihadiahkan khusus kepada Pengasas PERKIM, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj dan pimpinan PERKIM yang telah kembali ke rahmatullah.
Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM Kebangsaan, Muhammad Jais Mariappan Abdullah memimpin bacaan Surah Yasin, Tahlil dan doa selamat.
Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor turut menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.
Dr Yusof Noor dalam ucapannya berkata, kita membaca Surah Yasin bersempena Hari PERKIM yang juga merupakan hari kelahiran Almarhum Tunku iaitu pada tanggal 8 Februari.
Walaupun 19 Ogos 1960 merupakan tarikh yang sebenar penubuhan PERKIM, tetapi kita mengabadikan hari lahir pengasasnya yang telah di terima secara rasmi oleh Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM.
Katanya, membaca Surah Yasin dan tahlil merupakan amalan orang Malaysia dan beberapa buah negara lain.
Jika satu ayat yang dibaca di dalam kitab suci Al-Quran mendapat ganjaran daripada Allah SWT apatah lagi hari ini kita membaca Surah Yasin dari mula hingga akhir ayat yang semestinya Allah SWT memberikan ganjaran pahala yang lebih besar.
“Pemimpin di Rusia dan China memperkenalkan buku-buku mereka untuk memberi panduan dan kefahaman kepada masyarakat mereka.
“Manakala tokoh-tokoh sasterawan pula membuat buku supaya jasa mereka dalam bidang penulisan dikenang.
“Tetapi tahukah kita bahawa semua buku-buku itu setelah melalui tempoh-tempoh yang tertentu ia akan dilupai dan tidak bertahan lama kecuali dijadikan kajian oleh para penyelidik,” kata Dr Yusof Noor.
Beliau berkata, kita di PERKIM ini harus mengetahui bahawa kitab yang diturunkan oleh Allah SWT kepada para anbiya adalah untuk zaman-zaman tertentu dengan bahasa-bahasa tertentu seperti Kitab Zabur kepada Nabi Daud, Kitab Taurat kepada Nabi Musa, Kitab Injil kepada Nabi Isa dan Kitab Al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW.
Tambahnya, Al-Quran yang kita baca merupakan satu keunikan kerana ia telah berusia lebih daripada 1400 tahun walaupun ia dipertikaikan oleh sesetengah pihak pada akhir-akhir ini.
“Surah Yasin dibaca pada hari ini merupakan surah yang pernah dibaca oleh Nabi Muhammad SAW seperti mana telah diwahyukan oleh Allah SWT.
“Kita bersyukur kerana hari ini kita dapat membaca huruf, kalimah, perkataan dan bahasa yang sama seperti mana Allah SWT menyampaikan melalui Malaikat Jibril secara berperingkat dan diajarkan kepada Rasulullah SAW.
“Bila kita menhayatinya kita dapat merasai besarnya peranan kita di PERKIM sebagai satu organisasi yang meneruskan risalah suci yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad SAW,” ujar Dr Yusof Noor.
Seperti mana firman Allah SWT di dalam Surah Ali-Imran, ayat 19 bermaksud: “Sesungguhnya agama disisi Allah ialah Islam.”
Beliau berharap segala usaha yang dilakukan di PERKIM akan diterima oleh Allah dengan meyakini serta mengikhlaskan lagi kerja-kerja Islam menerusi PERKIM yang merupakan peluang untuk mengembangkan Islam demi kepentingan agama Allah SWT.
Katanya, sempena Hari PERKIM ke-63, kita perlu rapatkan hubungan kita dengan membuat kunjungan dari semasa ke semasa kepada organisasi milik PERKIM Kebangsaan iaitu Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) Kelantan, Asrama Darul Falah (ASDAF), Taman Asuhan Tunku Abdul Rahman Putra (TASPUTRA) dan Tadika PERKIM Pulau Pinang.
“Biar kita tahu apakah yang telah ditinggalkan oleh Almarhum Tunku dan apakah peranan PERKIM untuk menghayati sekali gus mengembangkannya,” ujar beliau.
“Jika diizinkan Allah SWT, PERKIM perlu mewujudkan lebih banyak lagi tadika dan IDIP di setiap negeri yang diinisiatifkan sebagai lambang dan usaha PERKIM Kebangsaan,” kata beliau dengan menyatakan hasrat di hati.
“Saya yakin PERKIM di negeri-negeri akan memantapkan lagi usaha-usaha perjuangan dakwah di samping meningkatkan keikhlasan dengan menumpukan fikiran dengan menjadikan setiap gerakan itu berkesan dan memberi impak yang besar.
“Usaha Almarhum Tunku yang telah menggagaskan PERKIM akan diganda usaha bagi mencapai matlamat yang dicita-citakan,” ucap Dr Yusof Noor mengakhiri ucapan.
Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Mohamad Nordin Ibrahim; Setiausaha Kerja (Pentadbiran dan Program), YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik; Setiausaha Kerja (Bahagian dan Cawangan) PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin; Pengarah IDIP-KL, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad dan Penyelaras Unit Penerbitan dan Media Baru, Firdaus Lokman Tah.
Dr Yusof Noor bersama-sama pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan membaca Surah Yasin.
Jais memimpin bacaan Surah Yasin dan tahlil.
Warga PERKIM Kebangsaan membaca surah Yasin bersama-sama.
Pegawai dan kakitangan IDIPKL dan SCORE juga menyertai majlis itu.
Warga PERKIM Kebangsaan menghadiahkan bacaan Surah Yasin kepada Almarhum Tunku.
Warga PERKIM Kebangsaan mengikuti bacaan Yasin yang dipimpin.
Jais membaca doa selamat selepas membaca Surah Yasin dan tahlil.
Warga PERKIM menadah tangan dan mengaminkan doa yang dibacakan.
Dr Yusof Noor menyampaikan ucapannya sempena Hari PERKIM Ke-63.
Warga PERKIM tekun mendengar ucapan yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Kehormat.
Dato’ Abdul Hanif bersalam-salaman bersama pimpinan dan warga PERKIM di akhir majlis.