LGBT Keliru dan Kelabu

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
Golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mengejutkan negara apabila mereka lantang menuntut pengiktirafan dan hak asasi manusia tanpa segan silu kerana terdapat beberapa pertubuhan yang menyokong dan menjadi tulang belakang mereka.
Penularan gejala ini merupakan perkara serius yang perlu diatasi oleh umat Islam dan perlu dibendung dari menular ke pelusuk tanah air.
Menurut Perunding Motivasi, Tuan Haji Hushim Haji Salleh dari Hushim Motivational and Counselling Consutancy (HMCC), isu terbabit cukup membimbangkan apabila sebahagian daripada kelompok LGBT adalah golongan terpelajar dan profesional.
Hushim ditemui di Seminar Keibubapaan Mengenai LGBT Keliru dan Kelabu anjuran Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Negeri Selangor bertempat di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS), Shah Alam, Selangor pada 11 Mac 2019 lalu.
Turut hadir ialah Imam MSSAAS, Sheikh Abdul Karim Omar Al-Fatani Al-Makki; Pengerusi PERKIM Selangor, Muhammad Fitri Abdullah; Setiausaha Kehormat PERKIM Selangor, Harun Hasan; Pegawai Dakwah PERKIM Selangor, Mohd. Yusof Ahmad dan bekas Pensyarah Kanan Universiti Malaya, Roslan Mohamed.
Hushim membentangkan ceramahnya bertajuk Perkongsian Kes Kaunseling LGBT Keliru dan Kelabu dihadapan 300 peserta yang terdiri daripada kakitangan kerajaan Selangor, guru JAIS, pegawai masjid, PERKIM bahagian dan cawangan.
Hushim yang juga Naib Pengerusi 2 PERKIM Selangor berkata, seminar tersebut memberi kefahaman kepada masyarakat berkaitan isu, amalan dan ancaman LGBT di Malaysia serta turut memberi beberapa kaedah mencegah masalah tersebut dari terus menular.
Beliau menyarankan supaya pihak kerajaan dan agensi berkaitan menangani isu terbabit dengan segera kerana penyakit LGBT telah menjadi barah dalam masyarakat.
“Golongan ini cenderung memilih untuk menjadi seperti mana naluri mereka inginkan walaupun terpaksa membuang atau menambah alat kelamin yang bertentangan jantina,” kata Hushim yang juga Pengarah Urusan HMCC.
Majoriti yang terlibat dengan LGBT mengalami kekosongan jiwa selain sakit jiwa dan mempunyai kecelaruan identiti.
Hushim turut memetik firman Allah SWT dalam surah an-Naml ayat 54 hingga 58 bermaksud: “Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan); (ingatlah peristiwanya) ketika dia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji sedang kamu nampak kejinya? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan, kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya). Maka kaumnya tidak menjawab selain dari berkata: Usirlah Lut dan pengikut-pengikutnya dari bandar kamu ini; sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mendakwakan dirinya bersih suci. Lalu Kami selamatkan Nabi Lut dan keluarganya serta pengikut-pengikutnya, kecuali isterinya, Kami takdirkan dia menjadi dari golongan yang tertinggal dalam azab. Dan Kami hujani mereka dengan hujan yang membinasakan, maka amatlah buruknya hujan azab yang menimpa orang-orang yang telah diberi amaran.”
Tambah Hushim lagi, sebagaimana najis dadah dapat dibasmi dan dipulihkan, langkah konsisten seperti itu jugalah dilaksanakan untuk menghalang LGBT habis-habisan di peringkat awal sekolah dan universiti.
Beliau turut memetik keratan akhbar berdasarkan laporan Sektor HIV/ STI, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia sebanyak 1,697 individu yang mengamalkan tabiat seks songsang adalah sebahagian daripada 3,347 kes dicatatkan pada tahun 2017.
Penyebaran virus dalam golongan terbabit semakin meningkat daripada 63 kes pada tahun 2000 kepada 1,553 pada tahun 2016 selain 1,697 pada tahun 2017.
Peningkatan HIV positif melalui hubungan seks songsang meningkat sebanyak 14 kali ganda berbanding golongan mengambil dadah melalui perkongsian jarum suntikan.
Kata Hushim, walaupun pada fizikal golongan trangender itu lelaki, tetapi perasaan dan keinginan mereka lebih bersifat kewanitaan kerana naluri mereka suka berpakaian wanita dan melakukan kerja-kerja kewanitaan atau keibuan.
Gay juga dikenali sebagai homoseksual iaitu golongan lelaki yang mempunyai tarikan seksual terhadap kaum sejenisnya manakala lesbian pula seorang perempuan yang tertarik secara emosional, seksual, fizikal terhadap perempuan lain.
Biseksual pula mengamalkan persetubuhan bebas antara pasangan lelaki dan perempuan yang sering menukar pasangannya tidak kira jantina.
Golongan terbabit yang mengamalkan budaya songsang ialah manusia yang sakit jiwa kerana tubuh badannya berbeza dengan keinginan sebenar.
Ujarnya, antara langkah-langkah perubahan golongan terbabit ialah memperbetulkan niat, melakukan taubat nasuha, selalu mengingati Allah SWT, mempercayai dengan diri, persekitaran yang baik, sentiasa bersabar, memelihara kehormatan dan maruah diri.
Sekiranya anda mempunyai kenalan LGBT, seharusnya menasihatkan mereka dengan mengajak bertakwa kepada Allah SWT, menghadapi dengan kebijaksanaan, mengingatkan mereka jalan yang lurus dan memelihara keaiban mereka.
Walaupun secara prinsipnya perlakuan LGBT tidak dapat diterima berdasarkan panduan daripada al-Quran dan al-Hadis, undang-undang serta budaya masyarakat Malaysia, namun tidak dinafikan golongan ini perlu mendapatkan bimbingan dan nasihat.
Pendekatan ini adalah selaras dengan prinsip dakwah dalam Islam agar memberi peluang kepada mereka yang melakukan dosa dan maksiat untuk memperbaiki diri dan mendapatkan pengampunan Allah SWT.
Hushim menyarankan masyarakat agar tidak menyisihkan golongan ini lebih-lebih lagi mereka yang mahu berhijrah.
Majlis tersebut diserikan lagi dengan ucapan perasmian oleh Pengarah JAIS, SS Datuk Haris Kasim.
Haris dalam ucapannya berkata, kita perlu merealisasikan agenda penting dalam memelihara akidah ummah sama ada mereka yang telah terjebak atau perlu dihalang dari terjebak dalam amalan yang bertentangan dengan agama Islam.
Oleh itu, program tersebut dirangka sebagai permulaan dalam merangka gerak kerja untuk membanteras isu-isu dari terus berkembang.
Baru-baru ini juga kedengaran suara ‘Hidup LGBT’ di ibukota yang mendesak memperjuangkan hak mereka. Kita memahami sekiranya laungan terbabit bukan dari kalangan orang Islam, tetapi terdapat di kalangan mereka yang bertudung.
“Tanpa kita disedari, Allah SWT memberi amaran kecil dengan menurunkan hujan batu di Shah Alam dan lebih daripada 50 aduan pokok tumbang diterima oleh MBSA dan itu baru sahaja amaran, sekiranya Allah murka, mungkinkah kita menerima musibah yang sama seperti negara dilanda tsunami?” ujar Haris.
Katanya, sejarah LGBT ini bukanlah sesuatu yang baharu, ia mula wujud sejak zaman Nabi Luth AS seperti mana firman Allah SWT dalam Surah Al-A’raf ayat 80 hingga 81 bermaksud: “Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika dia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.”
Kataya, dalam Islam, LGBT adalah suatu perkara yang dilaknat dan diharamkan oleh Allah SWT sama ada secara terus terang atau tersembunyi.
Perkara tersebut perlu diberikan perhatian sepenuhnya dan janganlah mengharapkan hanya badan-badan agama atau pendakwah menjalankan tanggungjawab, tetapi kita sebagai ibu bapa, guru dan orang awam perlu cakna kerana ia adalah satu dosa yang besar.
Tambah Haris lagi, kita seharusnya memantau anak kita sekiranya mereka mula cenderung ke arah kelainan jantina kerana ia akan terbawa-bawa hingga ke dewasa kelak dan kita harus mencegahnya sebelum terlambat.
Antara faktor penyebab berlaku LGBT ialah kurang penghayatan agama walaupun didikan agama dipupuk sejak kecil, namun penghayatan kehidupan agama yang kurang menyebabkan individu cenderung ke arah LGBT.
“Golongan yang terlibat dengan LGBT ialah golongan yang tidak dapat membezakan antara perkara yang baik atau pun perkara yang buruk.
“Hal ini menyebabkan mereka mudah terpengaruh dari rakan-rakan dan faktor sekeliling yang mendedahkan kepada LGBT.
Selain daripada itu, peranan media massa juga seperti internet tanpa had mudah dicapai memudahkan LGBT mendapatkan maklumat tentang gejala yang tidak sihat itu,
Kewujudan laman sosial seperti facebook, twitter, wechat, whatsapp dan sebagainya memudahkan lagi golongan ini berkomunikasi dalam kelompok mereka.
Tularan-tularan LGBT ini diketahui masyarakat umum melalui laman-laman sesawang yang kebanyakkannya wujud di barat yang menyokong LGBT.
Antara faktor lain ialah masalah dalaman keluarga dialami remaja yang menyebabkan mereka mencari keseronokan di luar rumah dari melakukan hubungan dengan rakan sejenis dan menganggap mereka boleh menggantikan ibu bapanya.
Kekurangan masa ibu bapa kerana kesibukan kerja juga menyebabkan mereka mencari kasih sayang melalui rakan sejenis.
Haris menyarakan ibu bapa perlu memberikan perhatian dengan mengadakan sesi luahan perasaan, mengambil berat, sering mendakap anak dan menjadi pendengar yang setia kepada permasalahan yang mereka hadapi.
Dalam menangani isu LGBT ini, pihak JAIS khususnya Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan menjalankan tindakan berdasarkan peruntukan enakmen kesalahan jenayah syariah tahun 1995 yang sedia ada.
Seperti peruntukan Seksyen 27 bagi kesalahan hubungan jenis bagi orang yang sama jantina, Seksyen 28 bagi kesalahan hubungan luar tabii manakala Seksyen 30 bagi kesalahan lelaki berlagak seperti perempuan.
Bagi tempoh 2013 hingga 2018 sebanyak 30 kes aduan direkodkan berkaitan kesalahan LGBT.
Daripada jumlah tersebut sebanyak tujuh tangkapan telah dilakukan oleh pihak penguatkuasaan selebihnya gagal kerana berlaku masalah teknikal kerana tidak mematuhi peraturan.
Kita memerlukan aduan-aduan daripada orang ramai kerana kita tidak mempunyai alat pengesan dan sekiranya aduan tidak dibuat, kita tidak dapat mencegah pesta atau parti maksiat LGBT.
Jelasnya lagi, walaupun tangkapan dan aduan LGBT tidak tinggi, tetapi ia bukan bermaksud kegiatan yang tidak bermoral ini boleh dipandang enteng dan sambil lewa.
Ini kerana kita memandang dosa besar ini dilakukan masih berleluasa, tidak mustahil Allah SWT akan menurunkan hukuman dan azab sebagaimana yang berlaku ke atas kaum Nabi Luth AS.
Peranan institusi-institusi pendidikan amatlah diperlukan dan pelajar seharusnya didedahkan dengan penolakan budaya LGBT sejak awal lagi.
Masyarakat Islam perlu menolak budaya barat yang membawa aktiviti songsang yang membuktikan golongan LGBT ini adalah salah dan berdosa besar.
Selain itu, kempen banteras budaya terbabit boleh dilakukan di sekolah, kawasan umum atau di media massa.
Iklan dan lencana tentang isu LGBT haruslah dipaparkan untuk pengetahuan umum dan dengan adanya kempen-kempen seperti ‘Banteras LGBT’, ‘Tolak LGBT’ atau ‘LGBT Dosa Besar’ akan memberi kesan positif kepada masyarakat.
Tindakan yang tegas daripada ibu bapa juga sangat penting bagi membendung masalah LGBT ini daripada berlaku kepada anak-anak.
Kita sedia maklum bahawa dalam kalangan anak-anak tercetus apabila kita sebagai ibu bapa kurang memberikan perhatian yang sepenuhnya terhadap anak-anak .
Sebagai contoh, ibu bapa hendaklah memeriksa kandungan telefon anak-anak dan memberi nasihat kepada kenalan rapat mereka supaya tidak melakukan perkara terkutuk.
Jelas Haris lagi, semua pihak seharusnya bersatu padu untuk membendung masalah LGBT ini. Penglibatan semua pihak membanteras gelaja itu mampu memberikan kesan yang positif kepada agama, bangsa dan negara.
Hukuman lebih berat kepada masalah itu seharusnya dilaksanakan untuk mewujudkan sebagai negara yang bebas daripada LGBT.
Majlis berakhir dengan sebuah forum perkongsian daripada tiga orang bekas transgender, gay dan biseksual yang menganggotai Pertubuhan Usrah Fitrah di bawah Unit Pengurusan Ar-Riqab, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menceritakan pengajaran serta penghijrahan mereka kepada peserta.
Hushim menyampaikan pembentangan bertajuk ‘Perkongsian Kes Kaunseling LGBT – Keliru dan Kelabu’ dihadapan 300 peserta.
Antara 3oo peserta terdiri daripada kakitangan kerajaan, pegawai masjid, dan pegawai PERKIM mendengar pembentangan bahana LGBT.
Hushim sebagai kaunselor di HMCC turut menceritakan beberapa kes LGBT yang dikendalikannya kepada peserta.
Tokoh agamawan turut tidak terkecuali menyertai seminar tersebut.
Hushim turut berinteraksi bersama salah seorang peserta seminar.
Salah seorang peserta memberikan pandangan dalam sesi soal jawab.
Pengarah JAIS, SS Datuk Haris Kasim menyampaikan ucapan perasmian di seminar tersebut.
Haris turut memberi penerangan mengenai perundangan JAIS bagi kesalahan LGBT.
Bekas-bekas LGBT berkongsi penghijrahan mereka dalam forum perkongsian yang dipengerusikan oleh Hushim.
Pengerusi PERKIM Selangor, Muhammad Fitri Abdullah (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Pengarah JAIS, SS Datuk Haris Kasim (kiri).
Tetamu kehormat berkesempatan bergambar kenang-kenangan bersama peserta seminar.
Pimpinan PERKIM Bahagian Negeri Selangor turut bergambar bersama Pengarah JAIS, SS Datuk Haris Kasim (bersuit hitam).