Aktiviti Dakwah

PERKIM Wilayah Anjur Bengkel Pelapis Pendakwah

GENERASI PELAPIS PENDAKWAH

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Remaja dan belia merupakan golongan yang paling dekat dengan ilmu kerana mereka berada di alam pembelajaran di sekolah, kolej mahu pun universiti.

Mereka di asah untuk menjadikan ilmu yang mereka pelajari sebagai panduan hidup dan mengamalkan ilmu yang dipelajari sebagai ibadah supaya ilmu yang dipelajari terutama subjek pengajian Islam dapat diaplikasi dan tidak hilang selepas tamat sesi pembelajaran.

Sehubungan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Wilayah Persekutuan (PBWP) menganjurkan Bengkel Belia: Generasi Pelapis Pendakwah bertempat di Tingkat 23, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur pada 23 Mac 2019 lalu.

Seramai 50 peserta terdiri daripada pelajar Pusat Tahfiz Darus Syabab Kepong serta pelajar saudara baharu berketurunan Cina, India, Iban, Kadazan, Murut dari Kelas Pengajian  Islam PERKIM dan pelajar Kompleks Darul Hidayah sekitar Kuala Lumpur.


Pengarah program, Mohd. Jogi Maruli Panjaitan
berkata, ia bertujuan untuk memberi pendedahan kepada golongan remaja dan belia tentang penglibatan mereka sebagai pendakwah dalam masyarakat.

Ia dilaksanakan sebagai satu pembelajaran tambahan kepada mereka tentang pengenalan dunia dakwah dan memberi kefahaman kepada mereka keperluan berdakwah.

Menurut Jogi, program itu secara tidak langsung memperkenalkan peserta kepada pengertian dakwah dan memberi kefahaman kepada mereka kaedah dakwah Rasulullah SAW berdakwah serta perkara utama bagi seorang pendakwah.

Bengkel tersebut dikelolakan sepenuhnya oleh Pengasas Misi As-Syahadah, Mohd. Fadli Yusof.


Mohd. Fadli dalam pembentangannya bertajuk ‘Bicara Daie’ menerangkan kepada peserta sambil memetik firman Allah SWT di dalam surah An-Nahl, ayat 165 yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Katanya, langkah pertama dalam berdakwah ialah membawa manusia mengenal Allah SWT sehingga mereka itu menerima Allah SWT sebagai Tuhan yang mencipta dan menolak segala makhluk yang lain sebagai tuhan dengan mengucapkan kalimah syahadah iaitu: “Aku bersaksi tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku bersaksi Nabi Muhammad itu pesuruh Allah,” dan pada ketika itu mereka telah beriman.

Mohd. Fadli yang berpengalaman mengislamkan seramai 865 orang saudara baharu majoritinya dari pedalaman Sabah turut menekankan peserta kaedah berdakwah melalui hadis daripada Riwayat Ibnu Majah yang bermaksud: Dari Abdullah bin Salam, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Wahai manusia, tebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah tali silaturahim, solatlah di malam hari ketika manusia terlelap tidur, nescaya kalian akan masuk syurga dengan selamat.”

Katanya, tiada agama disisi Allah melainkan Islam dan apa yang diperjuangkan ialah melaksanakan Islam secara keseluruhan.

“Dalam kita berdakwah, kita macam tukang tunjuk pintu sahaja, inilah pintu Islam, bila seseorang itu hendak masuk, mesti kita tolong buka kerana hidayah itu Allah yang bagi,” ujar Mohd. Fadli yang juga pembimbing umrah As-Syahadah.

Tambahnya, program dakwah yang dilaksanakan sejak 2011 lalu diberi nama Misi As-Syahadah merupakan inisiatif beliau sendiri dengan menziarahi mereka di pedalaman Sabah sambil membawa makanan keperluan seperti beras, gula, tepung dan makanann dalam tin yang dibantu isteri dan anak-anak.

“Setiap kali kita menziarahi mereka dari satu kampung ke satu kampung, kita harus meyakini ianya bukan usaha kita, malah yang menyampaikan kita ke situ juga bukanlah kita, tetapi Allah SWT,” kata Mohd. Fadli yang juga Sahabat PERKIM.

Ulasnya, walaupun mereka itu belum Islam, kita perlu menjaga adab dan tingkah laku kerana mereka sering melihat dan memerhatikan kita. Kita juga haruslah menggunakan kalimah ‘belum Islam’ kerana di situ ada satu pengharapan dan doa bahawa suatu hari mereka akan memeluk Islam dan akan mendapat hidayah.

Beliau mengajak pendakwah menghidupkan Islam dengan ukhuwah, tarbiyah, jihad, ibadah, aqidah, tarbiyah, amal makruf nahi mungkar, iktisad, daulah dan alam sejagat.

Mohd. Fadli menyarankan supaya peserta mengamalkan cara hidup Islam secara keseluruhan seperti mana yang terkandung di dalam al-Quran dan al-Hadis.

“Menanam iman tidak semudah menanam pokok, sedangkan menanam pokok perlu dijaga, dibaja, dipagar, diracun musuh-musuhnya, inikan pula iman,” katanya.

“Jika memandang pada kesusahan tanpa memulakan usaha pasti tidak akan berjaya seperti mana Rasulullah SAW membaiki masyarakat di zaman baginda dengan iman hingga melahirkan masyarakat yang agung akhlaknya.

“Sesiapa sahaja yang telah memeluk Islam, segeralah didik mereka menyembah Allah SWT dengan menunaikan solat lima waktu sehari semalam kerana solat merupakan ibu segala ibadah.

Katanya, solat atau sembahyang itu disebut oleh Rasulullah SAW sebagai lambang bahawa mereka yang telah Islam wajib menunaikan solat fardu lima waktu dan dididik dengan syariat-syariat Islam lain seperti puasa, haji, sedekah, berjuang, berjihad dan sebagainya.

Setelah mereka taat beribadah, Allah SWT mewajibkan mereka mengeluarkan zakat dengan mengambil sebahagian harta di kalangan mereka yang kaya untuk diberikan kepada mereka yang miskin

Jelasnya, dalam berdakwah, kita mesti memperkenalkan mereka dengan bersungguh-sungguh, meyakini, memahami, mencintai, merindui, takut iaitu tunduk dan patuh kepada perintah Allah serta memperkenalkan mereka utusan Allah iaitu Nabi Muhammad SAW agar mereka mencintai, merindui, mengikuti sunnah Rasulullah SAW kerana sunnah baginda itulah kehidupan Islam yang kitabawa dan hidupkan.

Menurut Mohd. Fadli, tujuan utama misi As-Syahadah ialah menyampaikan agama Islam kepada seluruh manusia dengan memperkenalkan mereka kepada Allah seperti mana riwayat hadis Rasulullah berpesan kepada Muaz bin Jabal: ‘Wahai Muaz, kamu akan pergi ke suatu negeri (Yaman) yang di sana ramai ahlul kitab (Yahudi) dan (Nasrani) dan ajaklah mereka agar mereka beriman kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.’

Hati pendakwah hendaklah benar-benar jinak dengan Allah SWT kerana salah satu tujuan utama dalam berdakwah ialah hendak membawa manusia kepada-Nya.

Kalau hati pendakwah bersifat liar atau tawar kepada Allah SWT, maka dakwahnya juga diterima oleh mad’u dalam keadaan hati liar dan tawar.

Walaupun beberapa orang sahaja yang berjaya diislamkan, namun lebih utama ialah mendidik mereka hingga jumlahnyaberkualiti dan bertambah.

Kejayaan dalam mendidik manusia ialah bila mana seseorang itu mampu memperkenalkan Allah kepada manusia sehingga takut dan cinta kepada-Nya.

Kini Mohd. Fadli telah mendirikan enam buah masjid sejak lapan tahun lalu bagi meneruskan aktiviti pendidikan untuk pembangunan Islam setelah penduduk bertambah memeluk Islam.

Selain Sabah, Sarawak, Labuan dan Semenanjung Malaysia, beliau bersama kumpulannya turut berdakwah di Osaka, Kyoto, Kobe, Hiroshima serta Tokyo, Jepun dan kini beliau berhasrat untuk berdakwah di negara New Zealand.

Beliau sering mengingatkan kepada peserta bahawa dugaan dalam berdakwah haruslah ditempuh dan jangan sesekali berpatah semangat kerana sebagai orang Islam mereka seharusnya meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

“Kita sebagai pendakwah seharusnya mempamerkan akhlak terpuji dan budi pekerti yang mulia seperti mana ikutan kita junjungan besar Nabi Muhammad SAW,” ujarnya.

Mualaf yang telah memeluk Islam diberikan pendidikan asas Islam dan diziarahi secara berkala bagi suatu tempoh masa dalam mewujudkan ukhuwah silaturahim serta diadakan program pemantauan dan latihan bagi melahirkan pendakwah di kalangan mereka.

Turut diadakan sesi soal jawab dan kuiz di antara peserta.

Peserta juga diberi peluang menyertai program susulan dan lapangan Misi As-Syahadah yang akan diadakan pada April 2019.

Mohd. Fadli turut menyampaikan sijil penyertaan dan beberapa buah buku karangannya berjudul ‘Kapsul Iman’ dan ‘One Way Ticket: Pergi Tak Pasti Kembali’ kepada pemenang kuiz.

 


Mohd. Fadli (kanan) menyampaikan teknik dan kaedah dakwah berkesan kepada peserta.

 


Doa merupakan salah satu cara berkesan dalam berdakwah.

 


Pengarah program, Mohd. Jogi (kanan) turut menyampaikan taklimat kepada peserta.

 


Mohd. Fadli menunjukkan surat kiriman daripada Rasulullah SAW kepada Raja Rom dalam pembentangannya.

 


Mohd. Fadli telah berdakwah lebih daripada 30 tahun di Sabah, Semenanjung Malaysia dan Jepun dalam menyebarkan ajaran Islam.

 


Sesi soal jawab juga diadakan bagi menyelesaikan kemusykilan peserta.

 


Teknik bersabar merupakan tunjang di dalam berdakwah kerana ia membentuk mukmin sejati.

 


Mohd. Fadli (kiri) menyampaikan sebuah buku berjudul ‘Kapsul Iman’ karangannya kepada pemenang kuiz.

 


Peserta di kalangan pendakwah bergambar beramai-ramai di akhir Bengkel Generasi Pelapis Pendakwah.

Related Articles

Back to top button