Aktiviti Dakwah

Lebih 300 Hadiri Solat Sunat Hari Raya Aidiladha Di Surau PERKIM

oleh : SRZ

KUALA LUMPUR, 29 JUN 2023 – Lebih 300 jemaah terdiri daripada saudara baharu berketurunan Cina, India Kadazan, Bidayuh dan warganegara Bangladesh, Pakistan, Indonesia serta Filipina menghadiri Solat Sunat Hari Raya Aidiladha 1444H yang diadakan di Surau Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini.

Laungan Takbir Hari Raya Aidiladha dimulakan oleh Pegawai Unit Pembangunan Dakwah dan Operasi (UPDO) PERKIM Kebangsaan, Muhammad Farhan Tee Abdullah seawal jam 7.30 pagi diikuti dengan Tatacara Solat Sunat Hari Raya Aidiladha disampaikan oleh Pegawai UPDO PERKIM Kebangsaan, Muhammad Jais Mariappan Abdullah.

Jais kemudiannya memimpin Solat Sunat Hari Raya Aidiladha dengan takbir sebanyak tujuh kali diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Surah Al-A’la manakala pada rakaat kedua bertakbir sebanyak lima kali diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Surah Ad-Dhuha.

Khutbah Hari Raya Aidiladha disampaikan oleh Imam Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul, Zanafi Mustafa dengan tajuk ‘Menghayati Falsafah Ibadah Korban’.

Zanafi dalam khutbahnya menyeru jemaah bahawa setiap persembahan amal ketaatan dan pengorbanan perlu disematkan bersama keikhlasan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Katanya sambil memetik Surah Al-Maidah, ayat 27 bermaksud: “Dan bacakanlah kepada mereka kisah dua orang anak Adam yang berlaku dengan sebenarnya, ketika mereka berdua mempersembahkan suatu korban (untuk mendekatkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang daripada mereka (Habil) dan tidak diterima (korban) daripada yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):” Sesungguhnya aku akan membunuhmu!”. (Habil) menjawab: “Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa.”

Tambah Zanafi lagi, kita hanya dituntut untuk menyembelih seekor kambing atau satu daripada tujuh bahagian lembu dan seumpamanya sahaja dan pengorbanan itu sangat kecil jika dibandingkan dengan korban nyawa seorang anak sebagaimana yang dilalui Nabi Ibrahim AS.

“Kita yang berkemampuan sewajarnya menjadikan peristiwa itu sebagai pencetus semangat dan motivasi terhadap tuntutan berkorban dan sedaya upaya menjayakannya.

“Fahamilah falsafah ibadah ini agar ia mampu menjadi pendorong kita untuk bersama menyertai ibadah korban yang saban tahun dituntut menyempurnakannya.

“Perlu difahami bahawa Islam menuntut kita berkorban bagi membuktikan keimanan dan kesyukuran terhadap anugerah iman dan Islam.

“Meskipun ibadah korban hanya sekadar tuntutan sunat muakkad, namun hukum mengabaikannya adalah makruh bagi yang berkemampuan.

Zanafi turut memetik hadis yang diriwayatkan daripada Imam At-Tirmizi dari Sayyiditina Aishah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda : “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).”

Beliau turut menyimpulkan bahawa ibadah korban adalah ibadah tahunan yang menjadi syiar agama dan suatu tuntutan yang membawa maksud yang besar dalam membuktikan keimanan dan kesyukuran kepada Allah SWT.

Ujar Zanafi lagi, ibadah korban menggabungkan tuntutan hubungan dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia. Ia perlu disempurnakan berpandukan syariat dan sepenuh ketaqwaan untuk meraih ganjaran besar dan penerimaannya di sisi Allah SWT.

Di akhir khutbah, Zanafi turut mengajak jemaah supaya berazam untuk menyertai ibadah korban pada masa akan datang, lantaran memahami betapa besar ganjaran ibadah ini yang tidak boleh dilepaskan, demi menjamin kesejahteraan kita di akhirat kelak.

Solat Sunat Hari Raya Aidiladha berakhir dengan bersalam-salaman dan bermaaf-maafan di antara jemaah.


Farhan (kiri) melaungkan takbir Hari Raya Aidiladha bersama jemaah surau.


Kehadiran saudara baharu dan warga asing memenuhi dewan ruangan solat.


Antara lebih 300 jemaah menghadiri Solat Sunat Hari Raya Aidiladha.


Saudara baharu bertakbir  membesarkan keagungan Allah SWT di pagi Aidiladha.


Jais memberikan taklimat berkenaan tatacara Solat Hari Raya Aidiladha kepada jemaah.


Jais memimpin Solat Sunat Hari Raya Aidiladha.


Zanafi Mustafa menyampaikan khutbah bertajuk ‘Menghayati Falsafah Ibadah Korban’.


Zanafi menuntut sidang jemaah berkorban bagi membuktikan keimanan dan kesyukuran terhadap anugerah iman dan Islam.


“Ibadah korban menggabungkan tuntutan hubungan dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia,” ujar khatib.


Menurut Zanafi ibadah korban perlu disempurnakan berpandukan syariat dan sepenuh ketaqwaan untuk meraih ganjaran besar dan penerimaannya di sisi Allah SWT.


Jemaah muslimat turut mendengar khutbah disampaikan.


Jemaah di perkarangan luar Surau PERKIM mendengar khutbah selepas menunaikan solat sunat Aidiladha.

Related Articles

Back to top button