Aktiviti Dakwah

Kuatkan Pendirian, Pegangan Di Zaman Penuh Cabaran – SUA PERKIM

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 3 MAC 2023 – Daripada Nabi Muhammad SAW bermaksud: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipu daya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah.”

Kemudian akan berkata-katalah golongan al-Ruwaibhidhah. Baginda SAW ditanya: Siapakah golongan al-Ruwaibhidah? Maka baginda SAW menjawab: “Orang yang bodoh lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar,” kata Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dalam memetik Hadis Riwayat Ibnu Majah.


Dr Yusof Noor berkata ketika menyampaikan ucaptamanya di Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga PERKIM Kebangsaan di perkarangan ruang legar Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, di sini.

Majlis itu menghimpunkan lebih 40 warga PERKIM itu terdiri daripada kakitangan PERKIM Kebangsaan, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan dipimpin oleh Pasukan Nasyid PERKIM Kebangsaan manakala bacaan doa pula disampaikan oleh Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM Kebangsaan, Muhammad Jais Mariappan Abdullah.

Menurut Dr Yusof Noor, di suatu zaman nanti akan ada orang berbicara perkara yang dia tidak tahu, tidak mahir malah tidak professional seperti mana yang telah digambarkan oleh Rasulullah SAW sejak 1400 tahun lagi.

 “Ini merupakan perkara yang penting untuk kita mengetahui supaya kita dapat menjalankan urusan yang diamanahkan kepada kita walaupun kita hadapi dan tempuhinya di zaman yang mencabar,” jelasnya.

Beliau mengajak warganya menguatkan pendirian, pegangan dan keyakinan dalam bekerja satu pasukan dengan berusaha supaya terus selamat daripada perkara yang telah dibayangkan oleh Nabi Muhammad SAW.

“Saya memberitahu sekadar ingin berkongsi supaya kita dapat lebih jelas mengharungi cabaran-cabaran yang akan dihadapi di masa akan datang.

Diharap kita dapat menunjukkan contoh terbaik dan kita tidak terlibat dengan mana-mana perkara yang kurang baik yang telah dibayangkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Dalam pada itu, beliau turut memuji Penolong Pegawai Dakwah IDIP-KL, Abdul Qawi Navine Abdullah kerana telah menunjukkan bakat dalam mengacarakan majlis dan berkebolehan dalam menyampaikan pantun.

Katanya, PERKIM akan mencungkil lagi bakat warganya yang berkebolehan dalam pelbagai bidang.

Dr Yusof Noor berkesempatan mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa di Bulan Ramadan 1444H yang bakal tiba tidak lama lagi dan mudah-mudahan ibadah diterima oleh Allah SWT dengan lebih baik berbanding tahun lalu.

Beliau turut mengucapkan penghargaan terima kasih kepada warga PERKIM Kebangsaan kerana telah bertungkus lumus dengan penuh komitmen menjayakan Persidangan Dakwah Kebangsaan bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan pada 16 Februari 2023 lalu.

Katanya, memandangkan kerja-kerja kita berkaitan dengan dakwah di PERKIM, eloklah kita erat perhubungan di antara kita.

Jelas beliau, sesiapa antara manusia yang menggali lubang untuk menjatuhkan kawannya, maka dia akan jatuh ke lubang itu seperti mana firman Allah SWT di dalam Surah Al-Fatir, ayat 43 bermaksud : “Sedang rancangan yang jahat itu tidak menimpa melainkan orang yang menjalankannya”.

“Kita hendaklah menunjukkan contoh yang baik dan mudah-mudahan kita dapat diterima oleh masyarakat yang belum menerima agama Islam.

“Apabila mereka melihat kemesraan di antara kita terjalin, mungkin mereka akan menjadi sebahagian daripada kita dan itulah salah satu daripada dakwah,” ujar Dr Yusof Noor.

Di Persidangan Dakwah Kebangsaan yang lalu, kita lihat ramai tetamu yang mengambil bahagian dalam membicarakan hal dakwah.

“Saya dapati banyak kebaikan apabila kita menjemput orang-orang luar untuk menyertai dalam menyampaikan mesej-mesej tertentu sekali gus ia menambahkan bilangan rakan.

“Jika kita tidak menjemput orang luar datang untuk bersama dengan kita, maka kita pun akan dipencilkan oleh orang lain.

“Kehadiran rakan-rakan kita daripada Singapura, Brunei, Indonesia merupakan satu langkah yang baik untuk kita meramaikan sahabat seagama,” katanya.

Menurutnya, Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi merupakan satu peluang yang baik untuk kita menambahkan amalan kita dan menutup kelemahan di samping berusaha memakmurkan bangunan ini.

Kita akan menggunakan ruang bangunan ini sepenuhnya buat pertama kali untuk Majlis Iftar Ramadan 1444H Bersama Yang Dipertua PERKIM yang lazimnya dilaksanakan di luar sesuai dengan penjimatan kos.

Kemeriahan suasana majlis akan diserikan lagi dengan kehadiran saudara baru, ahli-ahli PERKIM, ahli tadarus bersama pimpinan PERKIM.

Sudah menjadi tradisi, majlis turut mengadakan penyampaian penghargaan dan anugerah kepada Kelab PERKIM Universiti (KPU) yang cemerlang serta terbaik.

Kita memanfaatkan sepenuhnya majlis di bangunan ini yang dahulunya adalah milik Tabung Amanah Dakwah Islamiah Libya-Malaysia dan kini kita telah memilikinya.

Beliau turut berterima kasih kepada warganya yang telah menceriakan ruang legar Bangunan PERKIM dengan enam buah Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) bagi pengajian, pembelajaran dan pendidikan kepada saudara baru yang dipindahkan dari tingkat 23 bangunan yang sama.

Di akhir ucapan, Dr Yusof Noor menyampaikan sumbangan wang tunai kepada dua Pembantu Tadbir PERKIM Kebangsaan, Mariati Mohd Amin kerana pemergian ibunda yang tercinta ke rahmatullah pada 4 Februari 2023 lalu di Temerloh manakala Muhammad Azizi Mohd Arif pula telah menimang cahaya mata kedua.

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Mohamad Nordin Ibrahim; Setiausaha Kerja (Pentadbiran dan Program), YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah IDIP-KL, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad serta Penyelaras Unit Penerbitan dan Media Baru, Firdaus Lokman Tah.

Related Articles

Back to top button