Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Aktiviti Dakwah

Kunjungan Hormat PERKIM Cawangan Lawas Ke PERKIM Kebangsaan

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 3 MAC 2023Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor telah menerima kunjungan hormat rombongan Ahli Jawatankuasa PERKIM Cawangan Lawas bertempat di Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan, Jalan Sultan Azlan Shah hari ini.


Dr Yusof Noor menyambut mesra dan mengalu-alukan kehadiran 13 ahli PERKIM Lawas ke PERKIM Kebangsaan.

Katanya, Pengasas PERKIM, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada ketika menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama memikirkan pentingnya orang-orang Islam menjalankan kegiatan agama atas nama pertubuhan untuk bekerjasama dan memberi khidmat kepada masyarakat tanpa mengira agama.


Tambah Dr Yusof Noor, Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud merupakan individu yang aktif membantu Almarhum Tunku ketika menyandang jawatan Yang Dipertua PERKIM sejak tahun 1989.

Dalam menerajui kepimpinan PERKIM, Tun Abdul Taib membawa isterinya, Allahyarham Datuk Patinggi Dr Hajjah Laila Taib dengan melebarkan jaringan PERKIM ketika menyandang jawatan Ketua Wanita PERKIM Kebangsaan dalam merasmikan penubuhan PERKIM Bahagian Negeri Sarawak pada 18 Februari 1989.

Allahyarham Laila juga merupakan Wanita PERKIM pertama mencetuskan buah fikiran dalam memilih rekaan pakaian batik hijau berkerawang yang menjadi pakaian rasmi ketika persidangan mesyuarat agung dan program PERKIM sehingga ke hari ini.

Jelas Dr Yusof Noor, kita mestilah menghargai mereka sehingga PERKIM ini tertubuh kerana PERKIM bukan sahaja memberi khidmat kepada masyarakat Islam tetapi juga kepada masyarakat bukan Islam.

Katanya, Almarhum Tunku telah berusaha berdakwah kepada rakan-rakan berketurunan Cina, India dan Inggeris.

Setelah PERKIM ditubuhkan, Almarhum Tunku menyerahkan PERKIM dengan melantik Allahyarham Tan Sri SOK Ubaidullah Kadir Basha dengan memimpin jawatan Yang Dipertua PERKIM pada tahun 1960 hingga 1964.

Pada ketika itu, Almarhum Tunku juga memilih bangsawan Inggeris untuk memegang jawatan Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Allahyarham Tan Sri Haji Datuk Haji Dr. Abdul Mubin Sheppard pada tahun 1960 hingga 1964.

Orang kanan yang kuat membantu Almarhum Tunku merupakan orang Cina iaitu Allahyarham Tun Omar Yoke Lin.

Tambahnya, tokoh yang memainkan peranan di dalam PERKIM ialah Ketua Menteri Singapura yang kedua, Allahyarham Tun Omar Lim Yew Hock atau nama asalnya Lim Yew Hock yang pernah bertugas sebagai pegawai dan berkhidmat di PERKIM tidak lama dahulu.

Katanya, meskipun penganut agama Islam di Sarawak kira-kira 25 peratus sahaja, tetapi penganut bukan Islam sangat menghormati orang Islam.

“Saya percaya ini satu perkara yang baik dan tidak ada maksud lain kecuali menyebarkan agama Allah dengan cara baik, harmoni serta tanpa perselisihan.

Beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada PERKIM Lawas kerana usaha dan semangat yang gigih serta istiqamah dalam membawa agama Islam menerusi PERKIM dengan keyakinan untuk mendapat ganjaran yang berganda daripada Allah SWT.


Menurut Timbalan Pengerusi PERKIM Cawangan Lawas, YBhg Hajah Aisah Bahad, kunjungan hormat bertujuan untuk melihat sendiri dan bertukar pandangan serta idea ahli PERKIM Cawangan Lawas bagi menggarap usaha dakwah, kebajikan dan pendidikan kepada mualaf khususnya.

Beliau turut menyampaikan salam daripada Pengerusi PERKIM Cawangan Lawas, YBhg Dato’ Hajah Dayang Morliah Datuk Awang Daud yang juga merupakan isteri Timbalan Premier Sarawak, YB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan kerana tidak dapat menyertai kunjungan di saat-saat akhir.

Kata Aisah, Ahli PERKIM Lawas telah melibatkan diri dan bekerja keras demi dakwah, kebajikan dan pendidikan dengan mencerminkan kepada belum Islam bahawa Islam itu baik.

PERKIM Lawas juga memberi keutamaan dalam aktivitinya dengan menyantuni golongan orang kelainan upaya (OKU), anak yatim, ibu tunggal dan mereka yang kurang bernasib baik.

“Hanya beberapa orang ahli sahaja ketika PERKIM Lawas ditubuhkan pada 13 April 1993 dan kini keahlian PERKIM Lawas berjumlah 453 orang setelah perlaksanaan mesyuarat agung tahun demi tahun.

“Berkat usaha dan aktiviti program yang cemerlang, PERKIM Lawas telah menerima Anugerah Setiausaha Kehormat di Kelantan Darul Naim pada tahun 2017.

“Anugerah tersebut menjadi kebanggaan kami dan simbol kebaikan serta keagungan wanita di Sarawak.

“PERKIM Lawas merupakan salah satu daripada 16 cawangan di bawah PERKIM Bahagian Negeri Sarawak,” kata Aisah.

Semoga dengan kunjungan hormat ini mendapat input-input yang segar bagi pihak PERKIM Lawas dalam merancang dan menjalankan program serta aktiviti dakwah, kebajikan dan pendidikan saudara baru di Lawas.

Diharap pertemuan tersebut dapat mempergiatkan lagi program-program dakwah kolaborasi di antara PERKIM Kebangsaan dan PERKIM Cawangan Lawas pada masa akan datang.

PERKIM Lawas akan membuat lawatan ke Tasputra PERKIM yang merupakan destinasi seterusnya selepas berkunjung ke PERKIM Kebangsaan.

Dr Yusof Noor menyampaikan plak cenderahati dan Buku Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM kepada Aisah manakala Aisah turut menyampaikan plak cenderahati PERKIM Lawas kepada Dr Yusof Noor di akhir pertemuan itu.

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Setiausaha Kerja Pentadbiran dan Program PERKIM Kebangsaan, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIPKL), YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad; Setiausaha Kehormat PERKIM Lawas, Majenah Yahya serta Bendahari Kehormat PERKIM Lawas, Noralijah Zainal Abidin.

Related Articles

Back to top button