Ibadah Korban Bersama Mualaf PERKIM

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
Aidiladha adalah perayaan istimewa bagi umat Islam dalam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail dalam mentaati perintah Allah SWT selain umat Islam yang berkemampuan menyempurnakan ibadah haji yang merupakan rukun Islam yang kelima.
Mengambil semangat itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menganjurkan Majlis Ibadah Korban Bersama Saudara Muslim, Minoriti Islam Rohingya dan Melayu Champa bertempat di Kompleks Darul Hidayah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Sentul, Kuala Lumpur pada 4 September 2017 lalu.
Program mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) itu dihadiri seramai 300 saudara Muslim terdiri daripada kaum Cina, India, Kadazan, Iban, Bidayuh, Indonesia dan Filipina.
Penyelaras program, Muhammad Jais Mariappan Abdullah berkata, ibadah suci ini menekankan perpaduan Islam yang dibina atas dasar takwa bagi mengharmoni dan memantapkan hubungan sesama saudara Muslim yang terdiri daripada pelbagai kaum sejajar dengan moto PERKIM iaitu “Islam Itu Persaudaraan’.
Katanya, ibadah itu secara tidak langsung dapat memupuk semangat berkorban sesama Muslim dengan menjaga hubungan persaudaraan, bersatu hati, menghindari sikap mementingkan diri agar membentuk kekuatan yang perlu difahami dan dijunjung oleh setiap Muslim.
“Sebanyak lima ekor lembu dan empat ekor kambing disumbangkan kepada PERKIM untuk dikorbankan serta diagihkan kepada saudara Muslim,” kata Jais selaku Pegawai Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM Kebangsaan.
Program dimulakan dengan solat tahajud dan disusuli dengan solat Subuh bersama peserta di Surau PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur. Sejurus itu, sebahagian peserta dan urus setia dibawa ke Ladang Agro Batu 8½, Gombak bagi melihat sendiri binatang korban disembelih sekaligus bergotong-royong membantu untuk memotong dan melapah daging.
Ia bersandarkan dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj, ayat 36 bermaksud: “Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan ia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.”
Sesungguhnya Allah mensyariatkan ke atas Nabi Ibrahim ketika Allah menebus anak Nabi Ibrahim dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dalam hadis riwayat Zaid bin Arqam, dikatakan kepada Rasulullah SAW:
Maksudnya: ”Apa itu korban?.” Baginda bersabda, ”Ia sunnah bapa kamu, iaitu Nabi Ibrahim,” Beliau bertanya lagi, ”Apakah padanya kebaikan kepada kami wahai Rasulullah ?” Baginda bersabda,”Setiap helai rambut adalah pahala.” Katanya lagi, ”Bagaimana pula dengan bulunya?” Baginda bersabda, ”Setiap helaian rambut daripada bulunya ialah pahala.” (Riwayat Imam Ahmad, al-Baihaqi, Ibnu Majah)
Jais turut mengajak saudara Muslim menghayati kesusahan, keperitan dan kesempitan hidup yang dihadapi leh mereka yang berada di Palestin, Kemboja, Somalia dan Afrika yang jauh lebih derita berbanding di Malaysia.
Daging korban kemudiannya dibawa ke Kompleks Darul Hidayah untuk dimasak dan diagihkan kepada saudara Muslim.
Peserta turut menikmati makanan segar istimewa seperti sup tulang lembu, kari daging lembu, kambing masak masala dan rebung paru masak lemak.
Majlis diserikan dengan ucapan perasmian oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor.
Beliau dalam ucapannya berkata, Aidiladha merupakan hari kemenangan umat Islam dalam menyambutnya sama ada dengan melaksanakan ibadah korban atau menunaikan haji bagi yang berkemampuan dan wajib bagi setiap umat Islam berniat untuk mengerjakannya apabila tiba masanya.
Dr. Yusof Noor bersama saudara Muslim berkesempatan melaungkan takbir raya beramai-ramai bagi mengimarahkan suasana Aidiladha.
Beliau turut berterima kasih kepada penderma yang telah memberikan sumbangan binatang korban untuk diagihkan kepada mualaf.
Jelasnya, haiwan merupakan binatang yang kita sayang dan apabila tibanya Aidiladha, kita korbankan binatang yang kita sayang untuk diberikan kepada golongan susah semata-mata mentaati perintah Allah.
Kita hendaklah bersyukur kepada Allah SWT di atas pelbagai kurniaan kepada kita dan kita perlu mendoakan kepada penderma supaya diberikan rezeki yang berlipat kali ganda serta dapat menderma lagi.
“Pada hari ini kita menerima, mungkin pada suatu hari nanti kita pula menjadi salah seorang penderma,” kata Dr. Yusof Noor sebelum mengagihkan daging korban kepada 300 saudara Muslim.
Yang turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Datuk Hasbullah L. Isa; Penyelaras Unit Aset dan Bangunan PERKIM, Dato’ Ahmad Mustafa dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI, Maizura Shamsuddin.
Saudara Muslim bersama Muslim Rohingya bersedia untuk menumbangkan lembu untuk disembelih.
Saudara Muslim memegang lembu yang diikat untuk disembelih sambil bertakbir bersama-sama.
Saudara Muslim bersama-sama bertakbir sambil memegang lembu korban untuk disembelih.
Lembu korban yang telah disembelih diasingkan kulit terlebih dahulu untuk mendapatkan tulang dan daging.
Peserta bekerjasama mengasingkan daging dengan tulang pada bahagian batang pinang.
Saudara Muslim bergotong-royong memotong daging dan tulang.
Petugas tidak melepaskan peluang menimba pengalaman untuk mengasingkan daging dengan tulang.
Korban lembu ketiga dilaksanakan dengan iringan takbir raya yang dilaungkan bersama-sama.
Sikap bekerjasama antara petugas dan saudara baru menambahkan ukhuwah sesama Islam.
Saudara baharu memotong daging bersama-sama sebelum dimasak.
Petugas gembira kerana masakan sup tulang dan kari lembu yang dimasak terserlah lazat rasa keenakannya.
Dr. Yusof Noor menyampaikan ucapan perasmian sambil ditemani Pegawai JAWI, Maizura.
Dr. Yusof Noor (tiga dari kiri) gembira ketika menyampaikan daging korban kepada saudara Muslim.
Hasbullah (kiri) turut menyampaikan daging korban kepada saudara Muslim.
Saudara Muslim menerima daging korban daripada Dr. Yusof Noor.
Mualaf turut mengambil makanan kari lembu dan kambing masala yang telah disajikan.
Saudara Muslim bersama-sama menikmati makanan daging segar yang telah dimasak.
Mualaf mengisyaratkan tanda lazat ketika menikmati jamuan makan tengahari.