Aktiviti DakwahMesyuarat Agung PERKIM Kebangsaan

Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-56

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Bagi menyelaras dan membincangkan agenda-agenda dan usul-usul mengenai hal ehwal dakwah, kebajikan, pendidikan dan kewangan, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM kali ke-56 bertempat di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu, Kelantan pada 11 hingga 12 Ogos 2017 baru-baru ini.

Ianya selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya.” (As-Syura: 38)

Ia dihadiri seramai 450 ahli mesyuarat terdiri daripada perwakilan dan pemerhati dari PERKIM Bahagian Negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sarawak.

Turut bersama, badan gabungan PERKIM seperti Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Harakah Islamiah Sarawak (HIKMAH), Persatuan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan Persatuan Darul Fitrah Malaysia.

Program dimulakan dengan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bil. 3/55 dipengerusikan oleh Yang DiPertua PERKIM, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi membincang dan membentangkan pelbagai agenda dan usul berkenaan laporan mesyuarat agung tahunan PERKIM bersama 70 Ahli Majlis Kebangsaan dari seluruh Malaysia.

Program diserikan lagi dengan Majlis Santapan Malam bagi memuliakan keberangkatan Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa’iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Majlis anjuran Kerajaan Negeri Kelantan itu dihadiri seramai 500 orang bagi meraikan para perwakilan dan pemerhati bersempena Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan yang menjadi tradisi pada setiap tahun.

YMM Tengku FaizYMM Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa’iz Petra berkenan untuk menyampaikan titah perasmian sekaligus merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-56 dan Pelancaran Tabung Khas Kompleks Saudara Baru PERKIM selepas menyentuh bola kristal tanda gimik perasmian.

YMM Pemangku Raja Kelantan turut berkenan menerima cenderahati daripada PERKIM disampaikan oleh Dr. Mahathir.

Sementara tetamu menikmati hidangan makanan kebudayaan Cina, diadakan persembahan beberapa buah lagu dari kumpulan nasyid Nurfans dan dikir barat pula disampaikan oleh Halim Yazid.

Ahmad YakobSebelum itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri DiRaja Dr. Ahmad Yakob dalam ucapannya mengucapkan selamat datang dan mengalu-alukan kedatangan semua tetamu dan ahli PERKIM ke ‘Negeri Serambi Mekah’ serta berterima kasih kerana telah memilih Kelantan untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan pada kali ini.

Katanya, selain elemen dakwah, elemen lain turut diberi perhatian oleh PERKIM dalam agenda pendidikan serta kebajikan dan menjalankan amalan-amalan jariah yang lain kepada orang sakit, miskin dan dhaif.

Selain itu, PERKIM juga memberi perkhidmatan kauseling kepada saudara baru yang bermasalah dalam rumahtangga atau masalah individu serta bekerjasama dengan badan-badan Islam yang lain dalam usaha memberi kefahaman kepada masyarakat.

Jelas Dr. Ahmad, peranan PERKIM perlu ditingkatkan daripada semasa ke semasa, kerana situasi pada masa kini dari aspek akidah dan juga akhlak semakin terancam bukan sahaja berlaku kepada anak saudara baru bahkan anak orang Islam sendiri. Maka sangat tepat, kewujudan program-program dakwah PERKIM akan menyelamatkan kembali akidah Islam.

Turut berkenan hadir di majlis santapan ialah Tengku Temenggong Kelantan, Datuk Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz dan isteri Tengku Puan Temenggong Kelantan,  Yang Mulia Dato’ Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Yusof NoorSetiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor dalam ucapan aluannya turut mengucapkan terima kasih kepada yang hadir dan memberi komitmen serta sumbangan kepada urusan agama menerusi dakwah PERKIM.

Mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan kerana sudi menjadi tuan rumah mesyuarat kali ini serta menaja jamuan makan malam.

Katanya, telah menjadi kewajipan kita untuk sentiasa menghargai kepada mereka yang memberi seperti mana di dalam PERKIM sendiri , tugas kita adalah untuk memberi dan bukan menerima semata-mata kerana itulah dakwah yang kita pupuk selama ini.

Katanya, beliau turut mengagumi kepimpinan Tun Dr Mahathir menerajui PERKIM dan telah melaksanakan hasratnya untuk  terus berkhidmat kepada negara sehingga akhir hayat dan mendoakan agar Dr Mahathir diberi kesihatan dan kekuatan untuk terus berkhidmat.

Dr. Yusof Noor Mengajak semua untuk sama-sama mendengar serta menghalusi setiap amanat Tun Dr Mahathir kerana ia akan menentukan perjalanan organisasi PERKIM ini.

Tun MahathirMajlis diserikan lagi dengan ucapan dasar oleh Yang DiPertua PERKIM, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kerana seluruh ahli majlis kebangsaan, perwakilan dan pemerhati kerana menjayakan mesyuarat agung tahunan buat kali ke-56.

Dr. Mahathir dalam ucapan dasarnya berpendapat bahawa apa yang dilihat pada masa kini ialah umat Islam dihina, dicerca, dicaci serta direndah-rendahkan sehingga orang Islam dan agama Islam dilabel sebagai pengganas serta agama Islam dipandang sebagai agama yang kasar sekaligus ia tidak mengambil kira akan nasib manusia lain.

Kita lihat umat Islam berperang sesama sendiri walaupun ia adalah dilarang sehingga tidak nampak kebaikan dalam agama Islam.

“Jadi bagaimanakah kita hendak menarik lebih ramai penganut agama Islam dengan berdakwah sedangkan sesama Islam pun bermusuhan? Kita perlu tunjukkan kepada manusia termasuk diri kita sendiri bahawa kita menganut satu agama yang baik tuntutannya dan baik buat seluruh manusia.

“Bagi menggambarkan kebaikan umat Islam dan agama Islam, kita harus memberi perhatian kepada cara hidup Islam yang telah digariskan oleh al-Quran dan sunnah malah Islam bukan sahaja satu kepercayaan malah satu tatacara hidup yang cukup sempurna.

Ujarnya, tiada manusia yang sempurna, yang tiada cacat cela. Namun kekurangan ini bukan penghalang atau alasan untuk kita mengamalkan  hidup secara Islam.

“Harus diingat juga bahawa dalam Islam kita semua adalah bersaudara dan sesungguhnya perpecahan sesama Islam itu adalah ditegah,” katanya.

Orang Islam sepatutnya berupaya mempertahankan diri mereka dengan senjata masa kini. Zaman ini, kita perlukan senjata yang lebih canggih iaitu kebolehan tertentu untuk mempertahankan diri dan umat Islam, bukan dengan meminta perlindungan dan pertolongan dari orang bukan Islam.

Perwakilan dari setiap bahagian turut diberi kesempatan membentangkan usul-usul dan agenda pada persidangan mesyuarat itu berlangsung.

Turut hadir ialah pimpinan PERKIM, Bendahari Kehormat, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim; Pengarah Unit Perancangan, Penyelidikan dan Perlaksanaan (UPPP), Mamat Che Chik; Penyelaras Unit Komunikasi dan Media Baru, Dato’ Idris Mamat; Penyelaras Aset dan Bangunan, Dato’ Ahmad Mustafa; Setiausaha Kerja, Zulkefli Arifin.

Dr. Mahathir di dalam ucapan penggulungannya turut mengucapkan penghargaan dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Kelantan kerana tidak mengambil kira dan tidak membezakan siapa yang memimpin PERKIM asalkan orang itu menjalankan kerja dakwah untuk Islam.

Jelasnya, Kerajaan Negeri Kelantan menaikkan peruntukan kepada PERKIM Kelantan dari 25,000 kepada 50,000 semasa zaman pemerintahan mantan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dan diharap amalan diteruskan.

 “Kita mesti bertoleransi dalam memaafkan kesalahan kerana Allah SWT mempunyai nama Ghaffur yang bersifat pemaaf. Sedangkan Tuhan boleh mengampun, kenapakah kita tidak boleh memaafkan?” kata Dr. Mahathir.

Katanya lagi, saya melihat dan mendapati bahawa adat resam serta budaya kita lebih keras dan melebihi kehendak agama Islam.

Beliau menyeru kepada hadirin dan umat Islam sekiranya kamu menjatuhkan hukum, hukumlah dengan adil dan saksama serta tepat pada tempatnya.

Tambah Dr. Mahathir lagi, kegagalan orang Islam adalah kerana mereka tidak mengikut ajaran agama Islam sepenuhnya seperti tidak menunaikan fardhu ain dan fardhu kifayah.

Umat Islam perlu membetulkan imej Islam supaya dilihat tidak keras, bertimbang rasa bertoleransi dan adil kerana imej ini sendiri akan menarik orang bukan Islam kepada Islam dan sekurangnya menjadikan mereka lebih menghormati agama Islam

Beliau menasihatkan kepimpinan PERKIM dan umat Islam supaya menjadi seorang yang amanah dan tidak mengambil barang yang bukan hak milik kita.

“Apabila nilai hidup tidak sama dengan cara hidup Islam, kita akan gagal tetapi jika kita terus amalkan cara hidup Islam, inshaAllah kita sentiasa berjaya,” kata Dr. Mahathir mengakhiri ucapan penggulungannya.

Dr. Mahathir bersama Dr. Yusof Noor turut menyampaikan sijil penghargaan, trofi dan wang tunai kepada pemenang Anugerah Aktiviti Cemerlang PERKIM Cawangan di akhir majlis tersebut.

PERKIM Cawangan Manjung menjadi johan dan naib johan disandang oleh PERKIM Cawangan Daerah Kuantan manakala PERKIM Cawangan Kuala Muda di tempat ketiga.

Bagi Anugerah Pembangunan Keahlian pula, Wanita PERKIM Cawangan Johor Bahru merangkul johan manakala Wanita PERKIM Cawangan Hulu Klang meraih naib juara dan tempat ketiga diperoleh PERKIM Cawangan Besut Baru.

001
Doa dibacakan sebelum memulakan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bil 3/55.

002
Suasana Mesyuarat Majlis Kebangsaan yang dihadiri oleh Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM.

003
Ahli Majlis Kebangsaan mengemukan cadangan dan pandangan serta persetujuan di dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan.

004
Ahli Majlis Kebangsaan dari seluruh Malaysia membincangkan untuk menaik tarafkan masa depan PERKIM.

005
Tengku Fa’iz Petra bersalaman ketika ketibaan di perkarangan hotel.

006
Pemangku Raja Kelantan, Tengku Fa’iz Petra merakamkan gambar bersama Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM dan barisan Kerajaan Negeri Kelantan.

007
Ketibaan Pemangku Raja Kelantan di Majlis Santapan Malam bersama tetamu kehormat.

008
Ucapan aluan Majlis Santapan Malam disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Dr. Ahmad Yakob.

009
Antara perwakilan dan pemerhati PERKIM di Majlis Santapan Malam.

012
Titah perasmian YMM Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa’iz Petra.

013
Tengku Fa’iz menyentuh bola kristal tanda gimik perasmian.

014
Tanda penghargaan, Dr. Mahathir menyampaikan cenderahati kepada Tengku Fa’iz Petra.

010
Ahli PERKIM menikmati hidangan makanan bangsa Cina.

011
Kumpulan nasyid Nurfans menyampaikan beberapa buah lagu kepada hadirin.

015
Halim Yazid bersama kumpulan dikir barat mendendangkan lagu ‘Daulat Tuanku’.

016
YMM Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Fa’iz Petra berangkat pulang selepas berkenan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM.

017
Barisan perwakilan dan pemerhati merakamkan kenangan manis di atas pentas Majlis Santapan Malam.

018
Para perwakilan mengaminkan bacaan doa ketika di persidangan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-56.

019
Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor menyampaikan ucapan aluannya.

020
Ucapan dasar Yang DiPertua PERKIM, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada persidangan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-56.

021
Tekun…para perwakilan mendengar amanat dan nasihat yang disampaikan oleh Yang DiPertua PERKIM.

022
Barisan kepimpinan tertinggi Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-56.

023
Wanita PERKIM menyatakan pandangan dan pendapat mereka di dalam persidangan tersebut.

024
Khairudin Abdullah daripada PERKIM Bahagian Negeri Sembilan menyampaikan beberapa usul di persidangan tersebut.

025
Perwakilan Kelantan, Taufiq menyampaikan beberapa pandangan dan usul serta pantun.

026
Sesi ucapan penggulungan disampaikan oleh Tun Dr. Mahathir.

027
Wakil PERKIM Cawangan Manjung menerima penghargaan Anugerah Aktiviti Cemerlang PERKIM Cawangan daripada Yang DiPertua PERKIM.

028
Datin Paduka Hajah Hapipah Endot mewakili Wanita PERKIM Cawangan Johor Bahru menerima penghargaan Anugerah Pembangunan Keahlian daripada Yang DiPertua PERKIM.

029
Zakaria (dua dari kiri) mewakili Yayasan PERKIM menyerahkan replika cek berjumlah RM30,000 kepada Yang DiPertua bagi Tabung Khas Kompleks Saudara Baru PERKIM.

030
Dr. Mahathir menerima replika cek berjumlah RM10,000 daripada Pengerusi PERKIM Cawangan Bukit Damansara, Abdul Hanif (dua dari kiri) untuk disumbangkan ke Tabung Khas Kompleks Saudara Baru PERKIM.

032
Yang DiPertua PERKIM berkesempatan melancarkan buku ‘Who’s Who Saudara Muslim PERKIM’ di akhir majlis tersebut.

Related Articles

Back to top button