Jaulah Dakwah dan Ziarah PERKIM 2025 Semarak Kasih di Chiang Rai
ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ
CHIANG RAI, 17 OKTOBER 2025 – Dalam misi penuh keprihatinan dan kasih sayang merentasi sempadan, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan terus menyemarakkan legasi dakwah dan kebajikan melalui Program Jaulah Dakwah dan Ziarah 2025 di wilayah pergunungan utara Thailand, khususnya di daerah Phu Chi Fa, Huai So dan Ban Wiang Mok, Chiang Rai.
Program anjuran PERKIM Kebangsaan dengan kerjasama Yayasan As-Siddiqin dan Jom Buat Baik ini menjadi wadah memperkukuh ukhuwah serta mengeratkan silaturahim antara masyarakat Islam dan bukan Islam, selain menyantuni keluarga anak-anak Madrasah Yayasan As-Siddiqin yang menetap di kawasan pedalaman.

Menurut Penyelaras Program, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah, jaulah dakwah ini diadakan sebagai salah satu inisiatif dakwah lapangan PERKIM bagi memperlihatkan wajah Islam yang penuh rahmah, kasih dan kemanusiaan.
“Matlamat utama kami bukan sekadar menyampaikan sumbangan, tetapi menzahirkan kasih sayang Islam melalui pendekatan hikmah dan perbuatan baik.
Kami mahu masyarakat melihat bahawa Islam itu agama rahmah, bukan paksaan tetapi cara hidup yang membawa kedamaian,” jelas beliau.
Katanya lagi, program yang menjangkau perjalanan lebih 120 kilometer merentasi kawasan berbukit, ladang getah dan perkampungan minoriti etnik seperti Hmong, Lahu, Karen, Muser dan Akha itu turut memberi peluang kepada PERKIM memahami cabaran sebenar masyarakat setempat yang hidup dalam serba kekurangan namun teguh memelihara nilai kekeluargaan dan kemanusiaan.
Rombongan kecil PERKIM diketuai oleh Ustaz Farhan Tee bersama Mudir Madrasah Yayasan As-Siddiqin, Ustaz Usman Che Mat, Pengasas Jom Buat Baik, Ustaz Azatu Ridzuan Hassan, dan Eksekutif Kewangan PERKIM Kebangsaan, Mohd. Aizat Rosli serta 15 orang anak-anak madrasah yang menjadi penghubung kasih kepada keluarga masing-masing.
Perjalanan bermula seawal jam 10 pagi dari Madrasah Yayasan As-Siddiqin menuju ke kawasan Nom Bua Kham, sebelum menyusuri pelbagai kampung pedalaman termasuk Phu Chi Fa, Ban Wiang Mok, Wiang Chai, Long Khe, Ban Mae Phuea dan Nong Tham.
Laluan sempit, jalan berbukit dan rimba tebal tidak mematahkan semangat rombongan untuk menyantuni keluarga pelajar dan masyarakat yang ditemui. Di setiap destinasi, mereka disambut dengan senyuman, pelukan kasih dan linangan air mata.
Rumah pertama diziarahi ialah kediaman Fatihah, salah seorang pelajar madrasah yang telah enam tahun tidak pulang ke pangkuan keluarga. Ketika tiba di rumah ibunya di lereng bukit Phu Chi Fa, suasana bertukar sebak apabila ibu bisu Fatihah memeluk erat anaknya dengan tangisan rindu yang lama terpendam.
Menurut Ustaz Usman, kehidupan keluarga itu amat daif dengan berdindingkan buluh, berlantaikan tanah dan hanya beratapkan zink. Ibu Fatihah kini hidup bersama suami baharu, seorang lelaki cacat penglihatan bernama Anucha, dan menyara keluarga melalui hasil hutan serta kerja kampung.
Kisah pilu turut tersingkap apabila Fatihah menceritakan bahawa dua orang kakaknya pernah dijual kerana kemiskinan, manakala dirinya diserahkan kepada pihak yayasan untuk diselamatkan dan mendapat pendidikan.
Sebelum beredar, Mohd. Aizat menyampaikan beberapa pek makanan kepada keluarga berkenaan dan jiran tetangga, termasuk keluarga Tah Sei yang mempunyai tujuh orang anak kecil.
Perjalanan diteruskan ke Ban Wiang Mok untuk menziarahi rumah keluarga Atiqah. Perjalanan yang mencabar melalui jalan sempit berhampiran Sungai Mekong hanya diterangi lampu suluh pada waktu malam. Ibu Atiqah masih belum pulang bekerja, namun sepupunya, Dennai, menyambut kedatangan rombongan dengan penuh mesra.
Menurut Atiqah, ibunya terpaksa menyerahkannya ke madrasah selepas berpisah dengan suami kerana tekanan hidup. Ustaz Farhan Tee menyampaikan sumbangan makanan kepada keluarga berkenaan dan seterusnya menziarahi ibu saudara Atiqah, Juwah, yang menghadiahkan 45 kilogram beras kepada madrasah sebagai tanda terima kasih atas penjagaan anak saudaranya.
Rombongan turut menziarahi keluarga Sariah dan Rokiah, yang hidup dalam serba kekurangan di kawasan berhampiran. Mereka berjalan kaki melalui laluan becak dan berbukit untuk sampai ke rumah usang yang disewa dengan kadar 1,000 baht sebulan.
Ustaz Usman dan Ustaz Haziq Ariffin mengambil kesempatan berdakwah dengan penuh hikmah, menekankan nilai kasih sayang dan kebersamaan dalam keluarga tanpa mengira agama atau bangsa.
Sesi kedua jaulah pada keesokan harinya membawa rombongan ke beberapa kampung lain termasuk Nom Bua Kham, Long Khe, Sangun Thai, Ban Mae Phuea, Chok Chai dan Nong Tham.
Di Nom Bua Kham, rombongan menziarahi rumah Hukkah, ibu kepada pelajar Aiyob, seorang penoreh getah daripada etnik Hmong. Dalam suasana sederhana, keluarga ini menyambut rombongan dengan senyuman penuh syukur. Sumbangan makanan turut diberikan kepada jiran mereka, Yusof Hahunak, yang pernah menuntut ilmu di selatan Thailand.
Di Wiang Chai, keluarga Tasneem menerima kunjungan rombongan. Neneknya, Siti Hajar, dan moyangnya, Yay Chuan, antara keluarga Islam terawal di kampung itu. Walaupun ibu bapa Tasneem telah berpisah, neneknya tetap mendidik cucu dengan kasih sayang mendalam. PERKIM menyerahkan bantuan makanan kepada keluarga tersebut.
Perjalanan ke Long Khe mempertemukan rombongan dengan Anan, pemandu madrasah yang juga menantu kepada Hasnah. Keluarga besar ini, seramai 15 orang dari lima isi rumah, tinggal bersama dan bekerja sebagai penoreh getah. Mereka menyediakan makanan ringan sebagai tanda penghargaan kepada tetamu dari Malaysia.
Perjalanan penuh cabaran diteruskan ke Sangun Thai, destinasi keluarga Zaitun yang terpaksa melalui laluan berbukit dan berliku namun, ibu bapa Zaitun telah berpindah. Menurut bapa saudaranya, Licha dan ibu saudaranya, Yeoh, yang berasal daripada suku Muser, keluarga itu kini menetap di kampung lain yang jauh dari situ.
Di Ban Mae Phuea, pertemuan menyentuh hati berlaku antara pelajar Jannah dan ibunya, Payyeng, selepas dua tahun terpisah. Payyeng, ibu tunggal dari suku Hmong, menanggung kehidupan dengan bekerja di ladang pisang, tebu dan jagung bagi membayar sewa rumah sebanyak 500 baht sebulan.
Kehidupan sukar menyebabkan empat daripada anaknya diserahkan kepada orang lain selepas kematian suaminya akibat kanser. Namun, kasih seorang ibu tetap utuh pelukannya pada Jannah membuktikan kekuatan cinta keluarga dalam kemiskinan. Ustaz Farhan Tee menyampaikan sumbangan sambil memberi semangat agar Jannah terus menuntut ilmu dengan tabah.
Destinasi berikutnya, Chok Chai, memperlihatkan keindahan ukhuwah antara keluarga pelajar Kauthar, Bukhari dan Anas. Mereka tinggal di rumah panjang yang menempatkan lima keluarga daripada suku Hmong. Dalam suasana penuh kasih, para ibu bapa menasihati anak-anak agar terus belajar dan menghormati Islam walaupun berlainan pegangan keluarga.
Destinasi terakhir ialah Nong Tham, berhampiran Ban Mai Chatsan, menziarahi keluarga Amirah dan Nur Huda. Perjalanan panjang melalui Ban Pa Sa dan Wiang Chai akhirnya menemukan dua beranak itu dalam pelukan yang mengundang air mata kegembiraan.
Ibu mereka, Nang Cher, menyatakan Amirah anak keempat manakala Nur Huda anak ketujuh daripada lapan beradik. Mereka anak kepada penoreh getah yang kini bekerja di kebun di Ban Mae Phuea. Lima pek makanan disampaikan kepada keluarga tersebut sebelum rombongan berangkat pulang.
“Kami gembira melihat keluarga ini sihat dan masih mengekalkan hubungan erat dengan anak-anak madrasah. Ziarah ini bukan sekadar pertemuan, tetapi kesinambungan kasih dan dakwah,” ujar Ustaz Farhan Tee.
Menurut beliau, jaulah ini menjadi bukti bahawa misi dakwah tidak mengenal sempadan bangsa, bahasa mahupun agama.
“Kami hadir bukan sebagai pelancong, tetapi sebagai saudara yang datang membawa salam, kasih dan pengharapan. Inilah erti sebenar rahmatan lil ‘alamin yang menjadi roh perjuangan PERKIM,” katanya.
Tambahnya, kerjasama erat antara PERKIM, Yayasan As-Siddiqin dan Jom Buat Baik membuktikan bahawa kerja dakwah memerlukan kesabaran, keikhlasan serta semangat sukarelawan yang tinggi.
Program jaulah dua hari itu bukan sekadar perjalanan fizikal merentas gunung dan lembah, tetapi satu perjalanan jiwa yang menyatukan hati dalam semangat dakwah dan kemanusiaan. Ia menjulang mesej kasih dan rahmat Islam hingga ke perbatasan Thailand–Laos.
“Kami akan teruskan usaha ini sebagai agenda tahunan PERKIM, kerana dakwah bukan sekadar kata-kata, bahkan ia tindakan, kasih dan contoh teladan,” ujar Ustaz Farhan mengakhiri jaulah penuh makna itu.
Program Jaulah Dakwah dan Ziarah PERKIM di Chiang Rai 2025 sekali lagi membuktikan bahawa Islam ialah agama kasih sayang dan kemanusiaan sejagat.
Di mana pun umat manusia berada, dakwah dan kebajikan akan terus menyinari kehidupan dan membawa sinar harapan serta rahmah ke seluruh pelusuk dunia.

Mudir As-Siddiqin, Ustaz Usman memberi taklimat sebelum bertolak menziarahi waris dan keluarga pelajar madrasah.

Aizat Rosli menyiapkan bungkusan makanan untuk program ziarah.

Kanak-kanak madrasah yang dibawa untuk bertemu dengan ahli keluarga dan waris mereka menaiki kenderaan pacuan empat roda.

Perjalanan sejauh lebih tiga jam untuk tiba di kawasan pergunungan Phu Chi Fa.

Suasana indah di atas puncak pergunungan Phu Chi Fa, Chiang Rai.

Rombongan ziarah tiba di perkampungan Hui Hook, Phu Chi Fa menziarahi ahli keluarga Fatihah.

Fatihah menitiskan air mata kerinduan kerana tidak bertemu dengan ibunya sejak enam tahun lamanya.

Rombongan ziarah menyampaikan sumbangan tiga pek makanan kepada tiga ahli keluarga Fatihah.

Rombongan menziarahi rumah Fatihah yang hanya berdindingkan buluh, berlantaikan tanah dan beratapkan zink.

Jiran tetangga Fatihah, iaitu keluarga Tah Sei yang mempunyai tujuh orang anak kecil turut diziarahi oleh rombongan.

Dennai (tengah) menerima pek makanan daripada Farhan Tee ketika menziarahi rumah Atiqah (kiri), seorang pelajar madrasah As-Siddiqin.

Rombongan PERKIM menziarahi ibu saudara Atiqah, Juwah (tengah) sambil menyampaikan pek makanan kepada mereka sekeluarga.

Rombongan ziarah menyampaikan pek makanan kepada abang Sariah di pedalaman Ban Wiang Mok jalan yang dipenuhi becak dan lumpur.

Aizat Rosli turut menyampaikan pek makanan kepada kakak kepada isteri Ustaz Usman yang masih belum Islam.

Ziarah turut berkunjung ke rumah Muhammad Alom satu-satunya keluarga Islam di kampung itu.

Farhan Tee menyampaikan pek makanan kepada Hukkah, ibu kepada Aiyob yang merupakan seorang penoreh getah di Nom Bua Kham.

Sumbangan makanan turut diberikan kepada jiran mereka, Yusof Hahunak, yang pernah menuntut ilmu Islam di selatan Thailand.

Di Wiang Chai, keluarga Tasneem diziarahi. Neneknya, Siti Hajar, menerima pek makanan daripada rombongan ziarah.

Perjalanan ke Long Khe mempertemukan rombongan dengan keluarga Anan, pemandu madrasah. Keluarga besar ini bekerja sebagai penoreh getah.

Farhan menziarahi dan menyampaikan pek makanan kepada ibu dan bapa saudara kepada Zaitun di Sangun Thai.

Farhan Tee menyampaikan pek makanan kepada Payyeng, ibu kepada Jannah di Ban Mae Phuea.

Pont yang merupakan jiran Payyeng dan waris Amirah menerima sumbangan pek makanan daripada Farhan Tee.

Pek makanan kepada keluarga Bukhari di dalam ladang getah di Chok Chai oleh rombongan PERKIM.

Farhan Tee menyampaikan sumbangan kepada adik Kauthar dan keluarganya di Chok Chai.

Keluarga Anas turut diberi pek makanan sewaktu menziarahi mereka di ladang getah di Chok Chai.

Jiran mereka, Wanghiyyah turut menerima pek makanan daripada Farhan Tee.

Farhan Tee menyampaikan pek makanan kepada keluarga Amirah dan Nur Huda di Nong Tham.

Adik membetulkan tudung Nur Huda sambil diperhatikan dengan gembira oleh ahli keluarga yang lain.

Nang Cher, ibu kandung kepada Amirah dan Nur Huda memeluk erat kedua-dua anaknya dan memberi pesanan supaya berjaya.

Ahli keluarga Amirah dan Nur Huda bergambar beramai-ramai di akhir sesi ziarah bersama rombongan PERKIM dan pelajar Madrasah As-Siddiqin.



