PERKIM Ziarah Suami Dr. Fatimah Imelda Di HKL
ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ
𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗟𝗨𝗠𝗣𝗨𝗥, 𝟳 𝗔𝗣𝗥𝗜𝗟 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Prihatin terhadap kebajikan warga PERKIM, 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝗿𝗮𝗵 𝗣𝗲𝗻𝘁𝗮𝗱𝗯𝗶𝗿𝗮𝗻 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗗𝗿 𝗦𝘂𝗮𝗿𝗶𝘇𝗮 @ 𝗛𝗶𝗱𝗮𝘆𝗮𝗵 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 bersama empat kakitangan telah menziarahi suami kepada Eksekutif Pusat Pemulihan Komuniti Strok (SCORE) PERKIM, Dr Fatimah Imelda Abdullah iaitu Ali Aman Marine di Institut Kaji Saraf Tunku Abdul Rahman, Hospital Kuala Lumpur pada tengah hari tadi.
Menurut Dr Fatimah Imelda, suaminya mengalami serangan angin ahmar pada Hari Raya kedua yang lalu.
Kejadian tersebut disedari oleh anak perempuan mereka apabila mendapati mangsa tiba-tiba mengalami kelemahan pada anggota badan sebelah kanan serta kurang memberi respons apabila dipanggil.
Beliau kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur dengan ambulans dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum menerima rawatan rapi di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Setelah beberapa minggu, keadaan beliau distabilkan dan dipindahkan ke Wad 4A Institut Kaji Saraf untuk rawatan lanjut.
Menurut pihak perubatan, Ali Aman Marine, 56, didiagnosis menghidap Left Basal Ganglia Bleed, iaitu pendarahan di bahagian otak yang memberi kesan kepada fungsi pergerakan dan kesedaran.
Beliau merupakan Pegawai Penyelidikan Makmal di Institut Penyelidikan dan Perubatan (IMR), Kuala Lumpur.
Turut hadir menziarahi ialah 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗞𝗲𝘄𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗔𝗶𝘇𝗮𝘁 𝗥𝗼𝘀𝗹𝗶 yang bersama-sama menyampaikan doa agar pesakit diberikan kesembuhan dan kekuatan menghadapi ujian.
Dalam kunjungan tersebut, Dr Suariza turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Dr Fatimah Imelda sebagai tanda sokongan dan keprihatinan PERKIM terhadap kebajikan kakitangannya yang diuji.
Sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban perbelanjaan rawatan serta keperluan harian sepanjang tempoh pemulihan suaminya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar keluarga pesakit terus tabah dan diberikan ketabahan dalam menghadapi dugaan, di samping menegaskan komitmen PERKIM untuk sentiasa membantu warga organisasinya dalam situasi mencabar.
Selain itu, ziarah juga menjadi medium dakwah dan kasih sayang sesama insan, selaras dengan prinsip Islam yang menitikberatkan nilai ihsan, empati dan kebersamaan dalam masyarakat.
Kunjungan tersebut jelas mencerminkan nilai kemanusiaan dan semangat kekeluargaan yang kukuh dalam PERKIM, sekali gus memperlihatkan bahawa organisasi itu bukan sahaja berperanan dalam dakwah, malah turut menitikberatkan kebajikan dan kesejahteraan warganya.
Turut ziarah ialah Azura Abdul Rahman dan Mu’alish Shah Mohd Anuar.

PERKIM menziarahi suami Dr. Fatimah Imelda Abdullah di Institut Kajisaraf Tunku Abdul Rahman HKL pada petang Selasa lalu.

Dr Suariza (dua dari kanan) bersama kakitangan PERKIM Kebangsaan bertemu Dr. Fatimah Abdullah di perkarangan Institut Kajisaraf mendengar perkhabaran terkini suaminya.

Aizat Rosli menziarahi dan mendoakan kesembuhan buat Ali Aman yang sedang mendapatkan rawatan di Wad Neuro HKL.

Dr Suariza diiringi Azura Abdul Rahman (kiri) dan Aizat Rosli menghulurkan sumbangan kepada Dr. Fatimah Imelda bagi meringankan beban perbelanjaan rawatan serta keperluan harian sepanjang tempoh pemulihan suaminya.



