Aktiviti Dakwah

36 Pegawai PERKIM Negeri Hadir Mesyuarat Penyelarasan Program Dakwah, Kebajikan, Pendidikan

oleh: UMAG

KUALA LUMPUR, 27 MEI 2024 – PERKIM Kebangsaan mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Program dan Aktiviti Dakwah PERKIM Bahagian-bahagian Negeri bertempat di Dewan Al-Ilm, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL).

Mesyuarat dihadiri oleh 36 orang terdiri daripada Pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan serta 13 PERKIM Bahagian-bahagian iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sarawak.

Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan sepenuhnya oleh Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin.

Sebelum itu mesyuarat dimulakan dengan bacaan doa dipimpin oleh Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Muhammad Jais Mariappan Abdullah.

Menurut Dato’ Razali, mesyuarat tersebut diadakan khusus untuk membincangkan dan menyelaraskan program dan aktiviti yang dilaksanakan oleh seluruh PERKIM Bahagian-bahagian.

Ia juga menfokuskan kepada program dan aktiviti yang berteraskan tiga kegiatan utama di PERKIM iaitu dakwah, kebajikan dan pendidikan.

Muhammad Jais Mariappan Abdullah pula membentangkan program dan aktiviti pendidikan yang dilaksanakan oleh PERKIM Kebangsaan supaya dapat diselaraskan oleh PERKIM Bahagian Negeri-negeri.

Antara aktiviti pendidikan yang dilaksanakan ialah Kelas Pengajian Islam PERKIM (KPIPK) yang dilaksanakan pada setiap hari Isnin sehingga Jumaat mulai jam 5.30 petang sehingga jam 7.00 malam manakala pada hujung minggu kelas diadakan mulai jam 10.00 pagi sehingga jam 5.00 petang.

Kelas yang dilaksanakan di kelaskan kepada lima kategori iaitu Pra Asas, Asas, Pertengahan, Lanjutan dan Tahsin.

Pelajar akan dikelaskan mengikut tahap pemahaman mereka terhadap silibus pembelajaran yang disediakan termasuk kelas secara atas talian.

Selain itu, kursus Intensif secara berkala juga disediakan khusus buat mereka yang tidak berkesempatan untuk menghadiri KPIPK.

Peperiksaan bagi KPIPK akan diadakan pada setiap hujung tahun bagi menilai tahap pemahaman pelajar terhadap pembelajaran yang telah dipelajari.

Anugerah Kecemerlangan Pelajar KPIPK turut diadakan pada setiap tahun bagi menghargai serta memberikan semangat kepada pelajar yang ke KPIPK.

Wakil daripada setiap negeri turut membentangkan aktiviti pendidikan yang dilaksanakan oleh mereka.

Mesyuarat menetapkan agar mengguna pakai silibus PERKIM Kebangsaan pada setiap negeri dengan menganjurkan sekurang-kurang satu kelas yang dikendalikan oleh PERKIM bahagian negeri termasuk kelas secara atas talian bagi memudahkan mualaf menghadiri kelas.

Mesyuarat turut mencadangkan sumber kewangan yang diperlukan bagi melaksanakan kelas termasuk bayaran tenaga pengajar dan elaun tambang pelajar diperolehi dengan cara permohonan daripada jabatan atau majlis agama Islam negeri masing-masing.

Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan, Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan turut membentangkan program dan aktiviti dakwah yang dilaksanakan oleh PERKIM Kebangsaan.

Munirah memberi penerangan mengenai prosedur pengislaman yang dilaksanakan di PERKIM Kebangsaan yang berpandukan kepada prosedur pengislaman yang disediakan oleh pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Antara program lain yang dilaksanakan secara bulanan ialah Program Halaqah Al-Quran bersama Mualaf iaitu program tadarus dan tadabbur al-Quran secara bersiri yang dilaksanakan dua kali pada setiap bulan.

Beliau turut memaklumkan bahawa Rumah Lindungan Sri Puteri di Wangsa Maju sebagai rumah perlindungan sementara khusus buat saudara baru yang baru memeluk Islam.

Selain itu, Majlis Perkahwinan Saudara Baru serta Kursus Pembangunan Kendiri Mualaf dan Konvensyen Mualaf turut dianjurkan di bawah unitnya.

Dalam mesyuarat tersebut, Pegawai PERKIM Bahagian Negeri-negeri turut memaklumkan jumlah pengislaman dari setiap negeri serta jumlah zakat yang diperolehi daripada jabatan atau majlis agama Islam negeri kepada saudara baru yang memeluk Islam.

Mesyuarat menetapkan bahawa kit pengislaman yang mengandungi al-Quran, buku Iqra’, fardu ain, telekung, sejadah, kain pelikat perlu disediakan oleh seluruh PERKIM Bahagian Negeri selepas mualaf melafazkan dua kalimah syahadah.

Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan, Muhammad Farhan Tee Abdullah pula membentangkan program dan aktiviti kebajikan yang dilaksanakan di peringkat PERKIM Kebangsaan.

Antara aktiviti kebajikan yang dilaksanakan ialah ziarah dan memberikan sumbangan barangan makanan di sekitar lembah klang dan Selangor.

Selain itu, unitnya membantu mualaf membayar hutang, ziarah hospital, membayar bil pesakit mualaf di hospital, menguruskan jenazah mualaf dan sesi kaunseling kepada mualaf yang bermasalah.

Aktiviti kebajikan seperti Bantuan Khas Mualaf turut membantu menyelesaikan kes-kes tertentu hingga mencecah ribuan ringgit berdasarkan temuduga serta masalah yang dikemukakan.

Farhan turut memaklumkan mengenai Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE) yang disediakan untuk rawatan pesakit strok di mana perkhidmatannya merangkumi urutan terapi, fisio terapi serta terapi cara kerja dengan kadar bayaran yang rendah.

Selain itu, PERKIM Kebangsaan juga mempunyai asrama bagi anak-anak orang asli iaitu Asrama Darul Falah (ASDAF) dan Taman Asuhan Kanak-kanak Putra Al-Haj (TASPUTRA) untuk pusat jagaan harian bagi kanak-kanak spastik.

Pegawai IDIP-KL, Muhammad Hizam Abdul Rahim pula menerangkan berkenaan program IDIP-KL yang diadakan pada setiap bulan bagi memfokuskan kepada Pembangunan Mualaf Profesional manakala Program Kader Dai Profesional diadakan secara bersiri.

Dato’ Razali menyarankan PERKIM Bahagian Negeri-negeri perlu merujuk Pegawai-pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan bagi tujuan penyelarasan program terutamanya program yang berkaitan pendidikan, kebajikan dan dakwah.

Beliau berharap mesyuarat tersebut diadakan sekurang-kurangnya tiga kali setahun dan berharap ke semua program dan aktiviti dapat dilaksanakan dengan baik.

Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor turut hadir bagi menyampaikan ucapan amanat.

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Pengarah Unit Pembangunan dan Aset PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa serta Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Sembilan, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim.


YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin selaku Pengarah Kanan Dakwah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Program dan Aktiviti bersama PERKIM Bahagian Negeri-negeri pada pagi Isnin.


Jais Mariappan memimpin bacaan doa pembuka majlis.


Pegawai dan kakitangan PERKIM menadah tangan ketika doa dibacakan.


Dato’ Razali meminta warganya untuk melaksanakan program mengikut kaedah dan cara susunan PERKIM Kebangsaan.


Mesyuarat tersebut dihadiri seramai 36 orang terdiri daripada pegawai dan kakitangan PERKIM Bahagian Negeri-negeri.


Jais Mariappan membentangkan aktiviti unitnya kepada hadirin.


Hadirin melihat maklumat yang disampaikan oleh Jais Mariappan melalui tayangan slide.


Pegawai mencatat informasi penting untuk dilaksanakan di peringkat PERKIM bahagian negeri.


Pegawai turut memberi pandangan kepada ahli mesyuarat.


Haji Rahim Abdullah memberikan ulasan dan cadangan beliau kepada ahli mesyuarat.


Ghazali Ismail turut memberikan pandangan serta maklumat mengenai aktivitinya di PERKIM Johor.


PERKIM Kelantan diwakili oleh pegawainya, Nordin Abdullah turut memberikan penerangan mengenai aktivitinya.


Dr Suariza @ Hidayah Muhammad selaku Pengarah Pembangunan Pendidikan dan Pembangunan Insan memberi buah fikiran di dalam mesyuarat tersebut.


Haniwaran memberi penerangan mengenai aktiviti bersama mualaf di PERKIM Perak.


Siti Munirah membentangkan mengenai prosedur pengislaman dan Rumah Perlindungan Sri Puteri.


Kakitangan PERKIM Selangor, Michelle turut memberikan pandangan beliau di mesyuarat tersebut.


Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor mengalu-alukan kehadiran pegawai dan kakitangan dari seluruh negeri ke IDIPKL.


Ahli mesyuarat mendengar taklimat yang disampaikan oleh Tan Sri Setiausaha Agung Kehormat.


Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Sembilan, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim turut memberikan ucapan ringkas dan pandangan beliau.


Farhan Tee membentang mengenai aktiviti kebajikan kepada hadirin.


Sesi kaunseling merupakan aktiviti tugasan Farhan Tee bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mualaf.


Pegawai IDIPKL, Muhammad Hizam Abdul Rahim memberi pemfokuskan Pembangunan Mualaf Profesional dan Program Kader Dai Profesional.


Dato’ Razali menggesa warga kerja PERKIM Bahagian Negeri-negeri supaya mengguna pakai kaedah atau cara yang telah dilaksanakan oleh PERKIM Kebangsaan.


Warga kerja PERKIM berkesempatan bergambar kenang-kenangan.


36 pegawai dan kakitangan PERKIM seluruh Malaysia bergambar di akhir mesyuarat.

Related Articles

Back to top button