26 Pelajar Kursus Dakwah China Lawat PERKIM
oleh: SRZ
KUALA LUMPUR, 7 OKTOBER 2022 – Seramai 26 peserta terdiri daripada pelajar kursus dakwah warganegara China telah berkunjung ke Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini.
Pelajar berkenaan merupakan mahasiswa yang menuntut di beberapa buah universiti di Malaysia iaitu dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman.
Lawatan pelajar kursus dakwah itu ke PERKIM bertujuan mengenali struktur pentadbiran, pengurusan dan aktiviti selain mengeratkan silaturahim sesama ummah.
Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM Kebangsaan, Ustaz Sulaiman Ding Yu Zhong turut menjadi penterjemah Bahasa Mandarin kepada pimpinan PERKIM.
Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor menyambut dan mengalu-alukan kehadiran pelajar bersama Imam China yang dibawa khas oleh Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Kuala Lumpur.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kerana dapat bertemu dengan pelajar kursus dakwah yang berasal daripada negara China,” katanya.
Tambahnya, beliau berharap dapat bertutur dengan pelajar menggunakan Bahasa Mandarin tetapi beliau akui bahawa beliau tidak dapat menuturnya malah beliau berkomunikasi dengan menggunakan Bahasa Inggeris dan Arab.
Dr Yusof Noor mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada MACMA Cawangan Wilayah Persekutuan kerana telah merancang serta menyusun pertemuan bersama pihak PERKIM.
“Kehadiran pelajar dakwah melawat PERKIM juga merupakan salah satu daripada sesi khas di dalam aktiviti PERKIM.
“Saya juga ada mencadangkan kepada pihak MACMA melalui kepimpinannya dengan mengadakan satu program khusus berdasarkan persefahaman dianjurkan oleh PERKIM,” ujarnya.
Tambah beliau, PERKIM ditubuhkan pada tahun 19 Ogos 1960 oleh Perdana Menteri Malaysia pertama, YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
“Antara objektif pertubuhan ini adalah menjalinkan hubungan yang baik dengan umat Islam dari seluruh kaum dan bangsa.
“Islam bukanlah milik saya disebabkan saya berbangsa Melayu dan bukanlah milik orang China tetapi Islam adalah milik semua.
“Antara objektif lain ialah menjaga hubungan baik di antara Muslim dan bukan Islam tanpa mengira kaum.
“Menurut sejarah, PERKIM sebelum ini telah menganjurkan kursus pembelajaran Islam khusus kepada sekumpulan pelajar dari Korea Muslim Federation bagi menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat bukan Islam pada tahun 1961 menerusi Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) atau sebelum dikenali sebagai Pusat Latihan Mubaligh Darul Arqam.
“Jumlah penganut Islam di China lebih ramai iaitu dianggarkan berjumlah 23 juta orang berbanding penganut Islam di Malaysia iaitu berjumlah 5.6 juta orang,” ujar beliau.
“Situasi sesetengah pihak mendakwa, bila sahaja orang Islam China berkunjung ke negara Malaysia, mereka akan melabelkan mereka sebagai mualaf.
“Ternyata apabila saya membaca buku sejarah berjudul Islamic Expension ketika berada di Arab Saudi berkenaan fakta dan kajian, menyatakan bahawa orang Islam China memeluk Islam lebih awal daripada orang Melayu.
“Hakikatnya disedari bahawa orang Melayu yang sebenarnya mualaf dari orang China.
“Apa kata, kita belajar pertukaran bahasa, para pelajar mengajarkan saya Bahasa Mandarin dan saya pula akan mengajar Bahasa Melayu,” gurau Dr Yusof Noor dengan nada seloroh.
Katanya, ketika beliau belajar di Kaherah, orang Mesir menganggap beliau memiliki rupa paras seakan-akan orang Cina. Beliau tidak tahu sama ada beliau memiliki wajah Cina atau tidak tetapi wajah arwah ibu beliau mirip orang Cina.
“Asalkan sahaja kita telah menerima Islam dan beriman, kita adalah bersaudara,” ucap beliau.
Dr Yusof Noor turut mengalu-alukan pelajar Islam China yang berpengalaman dan mempunyai bahan informasi atau metodologi mengenai Islam untuk disampaikan dakwah kepada orang ramai dan ia boleh diaturkan menerusi sesi seminar atau kelas di Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM – Kuala Lumpur (IDIP-KL).
Jelas beliau, Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan bekas Perdana Menteri Malaysia keempat dan ketujuh mempunyai hubungan rapat dengan kepemimpinan di negara China.
Katanya, Dr Mahathir menyampaikan maklumat Islam dengan cara yang sangat mudah sama ada di dalam isu kontemporari, perkara sosial, sejarah Islam dan lain-lain kerana ilmu Islam adalah sangat luas.
Beliau juga menyarankan pelajar untuk mengadakan kumpulan atau komuniti berkenaan ‘Islam itu mudah’ kepada orang ramai.
Katanya, di Malaysia kita meraikan sambutan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW dinamakan Maulidur Rasul.
“Dunia sering menyerang Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammmad dengan melabelkan ajaran agama yang ganas, jahat dan berbahaya, tetapi ianya tidak.
Meski pun ada, ia hanyalah penganut itu yang melakukan perkara terkutuk dan ia bukanlah dari ajaran Islam.
Beliau turut memetik Surah Ali-Imran, ayat 175 bermaksud: “Janganlah kamu takut kepada mereka (kaum kafir musyrik), tetapi takutlah kepadaKu.”
Menurutnya, Al-Quran merupakan mukjizat yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dan ia tidak mempunyai kelemahan walaupun banyak kajian telah dilakukan oleh ahlinya.
Di dalam Al-Quran juga tidak akan ditemui perkataan “pedang” seperti mana mereka mengatakan bahawa Islam adalah agama yang berbahaya dan kejam.
Kita akan berasa gembira dan hormat jika kita berada di mana-mana negara terdapat orang memberikan salam kepada kita kerana kita Muslim.
“Betapa bertuahnya kita menjadi seorang Islam kerana kita bersaudara dan kemuliaan agama Islam adalah lebih tinggi tempatnya daripada bangsa,” kata Dr Yusof Noor mengakhiri ucapannya.
Turut diadakan sesi soal jawab bersama pelajar.
Dr Yusof Noor turut menyampaikan cendehati berupa sebuah plak dan buku coffee table 60 Tahun PERKIM kepada Setiausaha MACMA Cawangan Kuala Lumpur, YBhg Hajah Maswani Chung Abdullah.
Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Mohamad Nordin Ibrahim; Setiausaha Kerja Pentadbiran dan Program PERKIM, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik; Setiausaha Kerja Bahagian dan Cawangan PERKIM, Zulkefli Arifin; Pengarah Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL), YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad serta Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa.
26 rombongan terdiri daripada pelajar Islam dan Imam China melawat PERKIM Kebangsaan.
Sulaiman Ding (berdiri) menyampaikan taklimat dalam Bahasa Mandarin.
Imam China memperkenalkan diri dalam sesi suai kenal dalam Bahasa Arab.
Sulaiman Ding memperkenalkan barisan pimpinan PERKIM Kebangsaan kepada pelajar.
Dr Yusof Noor menyampaikan ucapannya pada pertemuan lawatan tersebut.
Pelajar kursus dakwah terdiri daripada penuntut universiti-universiti di Malaysia.
Dr Yusof Noor (kanan) menyampaikan cenderahati buku coffee table 60 Tahun PERKIM kepada Maswani (kiri).
Tetamu kehormat bergambar kenang-kenangan di akhir pertemuan bersama rombongan pelajar China.