Aktiviti Dakwah

23 Pendakwah Ikuti Kursus Kader Dai Profesional Belia Siri-3

oleh: SRZ

JELEBU, 27 OKTOBER 2024 – Bagi melatih para pendakwah supaya mempunyai kekuatan dan peribadi yang teguh dalam menghadapi pelbagai cabaran, Institut Dakwah Antarabangsa Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kuala Lumpur (IDIPKL) telah menganjurkan Kursus Kader Dai Profesional – Belia Siri 3/2024 bertempat di Pusat Latihan Kepimpinan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kem Kongkoi dekat sini.

Program selama tiga hari dua malam itu menghimpunkan seramai 23 pendakwah dari Majlis Belia PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Perak, Negeri Sembilan, Pahang serta mahasiswa UPNM, Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Selangor (UIS).


Penyelaras program, Abdul Qawi Navine Abdullah
berkata, program tersebut bertujuan melatih dan memberi pendedahan kepada para peserta untuk menjadi pendakwah yang berkaliber dan boleh menyampaikan dakwah dengan berkesan.

Kata beliau, kursus tersebut merupakan program kesinambungan yang perlu dicapai bagi melengkapkan petunjuk prestasi utama di mana sebelum ini peserta telah mengikuti kuliah, ceramah, diskusi dan bengkel yang diadakan di IDIPKL.

Antara kursus yang diikuti sebelum ini ialah Kursus Kemahiran Media Dakwah, Penerbitan Video Dakwah dan Infografik, Media Dakwah dalam pembikinan treatment, storyboard, penggambaran, suntingan dan jati diri.

Katanya, kursus jati diri kali kedua itu memberi latihan ketahanan kepada Dai PERKIM dari segi mental dan fizikal sebagai Muslim yang kuat dalam melaksanakan dakwah pada zaman yang penuh cabaran ini.

Jelas beliau, kursus kali pertama telah disertai peserta pada 12 hingga 14 Julai 2024 lalu di Kem Bukit Perjuangan, Kampung Chalin Kenaboi.

Abdul Qawi yang juga merupakan Penolong Pegawai Dakwah IDIPKL berkata, program itu bukan sahaja untuk memberi ilmu kepimpinan dakwah malah membina semangat dan keyakinan diri sebagai seorang pemimpin melalui aktiviti ‘team building’ yang menguji daya ketahanan fizikal dan mental.

Ia juga dapat membina dan menjalinkan kembali rangkaian di antara Dai PERKIM, mempelajari kaedah kerja berkumpulan, membina hubungan dan mempelajari teknik dakwah berkesan.

Selain itu, ia melahirkan Dai PERKIM yang sentiasa positif, cergas dan berdaya saing dalam menyebarkan dakwah Islamiah di seluruh dunia.

Secara tidak langsung, ia dapat melahirkan Dai PERKIM yang fleksibel serta berjiwa pendakwah yang konsisten (istiqamah) dalam berdakwah tanpa mengira tempat di mana mereka berada.

Abdul Qawi mengharapkan Dai PERKIM bakal menjadi pemimpin dan pendakwah profesional pada masa akan datang sekali gus meramaikan ahli PERKIM supaya urusan kerja dakwah dan lain-lain mudah dilaksanakan.

Ujar beliau, bagi memantapkan Dai PERKIM, ia bukan sekadar memberi mereka motivasi dengan di dalam kelas sahaja tetapi lebih berkesan berdakwah dengan cara dakwah bil hal, pendekatan secara aktiviti lasak dan lain-lain.

Katanya, aktiviti-aktiviti yang disediakan turut memupuk para peserta bersemangat setiakawan, kerjasama dan mencintai alam.

Ia juga menjadikan Dai PERKIM dapat mencapai kesepakatan dalam membuat keputusan, mengeratkan silaturahim tanpa ada jurang dan menguji tahap semangat berpasukan.

Selain itu, ia mewujudkan sifat hormat menghormati dan saling bantu membantu dalam menyelesaikan aktviti diberikan sekali gus memberi impak positif kepada peserta.

Aktiviti outdoor dijalankan untuk memberi pengalaman baharu dalam diri peserta yang tidak didapati di dalam kehidupan seharian mereka.

Jelas Abdul Qawi lagi, IDIPKL ingin melahirkan ramai lagi dai profesional di kalangan belia yang dapat menyampaikan Islam dengan penuh hikmah dan berkesan seterusnya menjadi ikon Dai yang serba boleh dari semua aspek.



Ketua Jurulatih Kem Kongkoi, Abd Risham Haji Abd Latif
berkesempatan memberi nasihat dan panduan kepada peserta mengenai kursus yang diadakan.

Beliau berkata, pendakwah perlu bijak di dalam berkomunikasi, kemahiran dalam segala aspek, membina peribadi seorang dai dan muamalat dengan masyarakat.

Peserta turut dibahagikan kepada empat kumpulan yang diselia bersama lima jurulatih bertauliah yang terdiri daripada bekas tentera iaitu Kapten Suffian Harun, Fahami Mat Yen, Nor Jamatun, Amran Osman, Abdul Karim.

Selepas menunaikan solat Maghrib dan Isyak pada hari pertama, peserta dicabar keberanian mereka dengan aktiviti menjelajah malam di sekitar kawasan kem di dalam keadaan gelap gelita tanpa bantuan cahaya melalui jalan berbukit, semak samun, titi kayu sejauh satu kilometer serta mereka juga dilatih ujian pendengaran dan kepekaan.

Solat Subuh berjemaah pada keesokkan harinya dipimpin oleh peserta dari Kadet UPNM, Muhammad Alief Najmi Sopian diikuti dengan takzirah Subuh bertajuk ‘Syafaat Berselawat’.

Seusai aktiviti senam robik, pelajar dibawa meniti titi dengan ketinggian lima kaki sejauh 400 meter sebagai aktiviti keyakinan diri.

Fahami Mat Yen mengetuai peserta dalam aktiviti penjelajahan hutan di mana peserta diberi peluang mengembara, mendaki bukit dan menuruni kawasan yang curam sejauh 17 kilometer sambil belajar mengenali berbagai jenis tumbuhan yang sukar ditemui.

Antara tumbuhan yang terdapat di situ ialah pucuk paku kubuk, pokok susu nabi, akar tuba, pokok lemba, pokok rempah gunung, pokok sarsi, asam kandis, tongkat ali, pucuk paku gajah, pokok bertam dan lain-lain.

Peserta juga diberi kesempatan untuk menganyam ketupat palas dan menganyam tikar dari pelepah daun bertam di mana secara tidak langsung ia membolehkan peserta lebih dekat dengan alam semula jadi dan memahami ekosistem hutan.

Pada sebelah petang pula, peserta yang dilengkapi peralatan keselamatan diberi peluang untuk mencabar keberanian diri dengan meluncur dengan ketinggian bangunan empat tingkat sejauh 600 meter dalam aktiviti ‘flying fox’.

Ia disusuli dengan aktiviti ‘water confidence’ di mana peserta perlu memakai jaket pelampung untuk merentasi sebahagian tasik dengan memaut pada tali sejauh 300 meter.

Pada sebelah malam pula, peserta yang dibahagikan kepada empat kumpulan itu diberi tugasan mempersembahkan lakonan, pentomin dan puisi sastera mengenai integriti serta adab.

Pelbagai aktiviti yang dilaksanakan sepanjang hari ketiga seperti riadah berkonsepkan ‘outdoor’, latihan jasmani dan kerohanian serta diakhiri dengan aktiviti ‘survival explorace’ yang mencabar di antara peserta kumpulan,” kata Abdul Qawi.

Selesai menunaikan dua rakaat kewajipan di pagi fajar yang sunyi dan penuh kesejukan, peserta kumpulan melaksanakan beberapa aktiviti lasak selepas melakukan senaman pagi.

Aktiviti lasak mencabar diri peserta kumpulan untuk mengharungi beberapa cabaran iaitu memasukkan air ke dalam botol dengan menggunakan tapak tangan, menyelusuri parit berlumpur, meniarap di bawah kawat berduri, mengoca ikan keli menggunakan tangan, meredah tasik, mengharungi lubang-lubang tayar dan merangkak di dalam terowong.

Di dalam majlis penutup, Abdul Qawi turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada jurulatih, urus setia dan para peserta di atas komitmen yang diberikan sepanjang kursus.

Katanya lagi, kursus seperti ini akan diadakan lagi dengan aktiviti yang lebih mencabar pada masa akan datang khususnya kepada pendakwah.

Kursus tersebut dilihat dapat mewujudkan semangat berkumpulan sambil memupuk nilai-nilai kepercayaan dan keyakinan pada diri sendiri dengan aktiviti yang mencabar dan mendebarkan.

Secara tidak langsung, kursus itu dapat menguji sikap sabar, cekal dan tabah serta mengurangkan perasaan takut, gayat dan cemas di dalam diri peserta sekali gus mereka boleh mengharunginya dengan penuh keyakinan.

Di akhir kursus, Ketua Komander, Kapten Suffian Harun menyampaikan hadiah kepada empat peserta kumpulan diiringi Abdul Qawi.

Kursus berakhir dengan sesi fotografi dan jamuan makan tengah hari.

Turut hadir ialah Pegawai Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Muhammad Farhan Tee Abdullah dan Ketua Majlis Belia PERKIM Pusat, Mohd Farhan Aslam.


Peserta Dai PERKIM menunaikan solat fardu Maghrib dan Isyak setibanya di Kem UPNM Kongkoi, Jelebu.


Abdul Qawi memberikan taklimat program kepada peserta.


Risyam memberikan taklimat berkenaan pengembaraan malam kepada peserta.


Peserta bersedia meredah kawasan semak samun seorang demi seorang tanpa bantuan cahaya atau lampu.


Kapten Suffian Harun (kanan) menguji peserta dengan latihan pendengaran dan kepekaan.


Peserta kumpulan mengikuti Kapten Suffian Harun dalam pengembaraan malam tanpa sebarang cahaya.


Peserta daripada Kadet UPNM, Muhammad Alief Najmi Sopian memimpin solat Subuh berjemaah diikuti doa selepas solat.


Muhammad Alief Najmi Sopian menyampaikan takzirah Subuh bertajuk ‘Syafaat Berselawat’.


Peserta Dai PERKIM bersemangat melakukan senam robik pada pagi hari.


Peserta diberi pendedahan mengenai sebahagian kereta kebal oleh Risham.


Antara aktiviti keyakinan diri yang perlu ditempuhi oleh peserta meniti titi sejauh 400 meter.


Setiap peserta perlu meniti titi dengan keadaan berhati-hati hingga ke penamat.


Peserta cuba melompat dari blok yang sederhana tinggi.


Peserta dai cuba memanjat blok halangan.


Antara halangan kawat duri yang perlu ditempuh para peserta pada hari ketiga nanti.


Peserta diberi taklimat mengenai jungle trekking disampaikan oleh jurulatih bertugas, Fahami Mat Yen.


Peserta mendengar taklimat dan panduan yang disampaikan oleh jurulatih.


Risham membuat demo bagaimana menghasilkan api daripada geseran besi dan batu.


Fahami Mat Yen menunjukkan tumbuhan yang sukar ditemui.


Peserta Dai PERKIM berkesempatan bergambar di bawah teduhan pokok buluh.


Peserta menuruni bukit di dalam aktiviti jungle trekking.


Peserta menunjukkan hasil ketupat palas yang dianyam.


Salah seorang peserta cuba menganyam tikar daripada pelepah daun bertam.


Peserta Dai PERKIM menunjukkan hasil anyaman mereka.


Peserta mengambil ayam dan ikan keli bakar yang disediakan.


Peserta diberi taklimat dalam aktiviti flying fox.


Farhan Tee bersedia dengan kelengkapan keselamatan sebelum meluncuri flying fox.


Peserta dai teruja dalam aktiviti flying fox.


Peserta dai muslimah juga tidak terkecuali mencuba cabaran menaiki flying fox.


Peserta berdoa sebelum melakukan aktiviti water confidence.


Peserta berasa seronok dalam aktiviti water confidence.


Keyakinan diri peserta ketika melalui tasik dalam aktiviti water confidence.


Peserta kumpulan 2 mempersembahkan lakonan berkenaan dengan tajuk adab.


Peserta kumpulan 2 mempersembahkan lagu nasyid bertajuk ‘Keluarga Bahagia’.


Di antara lakonan ‘lari dari rumah’ yang dibawa oleh peserta kumpulan 4.


Antara peserta kumpulan 4 yang menjayakan lakonan pada malam tersebut.


Persembahan yang berkonsepkan sayembara dipersembahkan oleh kumpulan 1.


Kumpulan 1 mempersembahkan pantun, syair dan sajak bertajuk ‘Integriti Pemangkin Kecemerlangan Diri’.


Gejala yang tidak bermoral di dalam masyarakat dilakonkan oleh peserta kumpulan 3.


Salah seorang peserta kumpulan 3 menukilkan pedoman kepada hadirin.


Peserta dibimbing oleh jurulatih melakukan senam robik di pagi hari ketiga.


Senaman adalah penting untuk kesihatan diri.


Antara aktiviti peserta di mana setiap dari mereka perlu memenuhkan air botol dengan menggunakan tapak tangan.


Peserta perlu mengharungi parit yang berlumpur untuk kecekalan diri.


Peserta mencabar diri mereka berada di dalam parit yang dipenuhi dengan lumpur.


Peserta perlu mengharungi kawat dawai besi dalam keadaan meniarap.


Peserta kumpulan dikehendaki menangkap ikan di dalam kolam dengan menggunakan tangan.


Peserta kumpulan 4 yang berjaya mendapat ikan keli dengan menggunakan tangan.


Kejayaan peserta kumpulan 4 menunjukkan ikan yang telah ditangkap.


Antara cabaran mudah di mana peserta perlu melangkah kaki di dalam setiap lubang tayar.


Peserta Dai PERKIM yang berjaya melepasi semua halangan.


Kumpulan 1 memenangi hadiah kumpulan paling steady.


Kumpulan paling sporting dimenangi oleh kumpulan 3.


Kumpulan 2 dianugerahkan kumpulan paling ceria.


Kumpulan 4 memenangi hadiah kumpulan paling havoc.


Peserta Dai PERKIM bersama jurulatih bergambar kenang-kenangan di akhir kursus.

Related Articles

Back to top button