Ziarah Mahabbah PERKIM Terengganu Ke Pejabat PERKIM Besut Baru
Urus setia Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Negeri Terengganu berkesempatan menziarahi Pejabat PERKIM Cawangan Besut Baru, yang terletak di Air Tawar, Besut baru-baru ini.
Kunjungan ziarah PERKIM Terengganu disambut mesra oleh Pengerusi PERKIM Cawangan Besut Baru, Ustaz Anuar Hassan dan beberapa pimpinannya.
Bangunan yang cantik dan lengkap itu merupakan hasil inisiatif jawatankuasa PERKIM Cawangan Besut yang bekerjasama mencari dana untuk membaik pulih bangunan yang diwakafkan penggunaannya oleh seorang individu.
Di sini turut disediakan dewan aktiviti, bilik tumpangan, dewan makan, dan tempat letak kenderaan yang luas. Selain digunakan untuk aktiviti cawangan, ianya juga dibuka untuk sewaan bagi menjana pendapatan.
Seramai enam orang urusetia PERKIM yang diketuai oleh Pegawai Eksekutif PERKIM Bahagian Negeri Terengganu, YBhg Tuan Haji Mohd Subri Jaafar bersama kakitangan PERKIM termasuklah pelajar latihan industri, Saudari Nurul Atiqah Omar menyertai kunjungan tersebut.
Anuar Hassan turut mengadakan perbincangan ringkas beberapa hal yang berkaitan bagi memperkukuhkan program-program yang bersifat kebajikan dan dakwah di masa akan datang.
Ziarah ini merupakan langkah yang positif bagi melihat sendiri keupayaan sesebuah cawangan menguruskan organisasi dengan baik. PERKIM Cawangan Besut antara yang maju ke depan dari sudut kemajuan dan komitmen yang tinggi dalam menggerakkan PERKIM ini sendiri.
Semoga dengan kemajuan PERKIM Cawangan Besut ini dapat menjadi inspirasi kepada cawangan-cawangan lain.
Syabas dan Tahniah PERKIM Besut Baru !